Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Lanjutan / Rijalul Hadits / ‘AMRAH BINTI ‘ABDUL RAHMAN BIN S’AD BIN ZURARAH
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

‘AMRAH BINTI ‘ABDUL RAHMAN BIN S’AD BIN ZURARAH

Disediakan oleh: Muhammad Hanief Awang Yahaya

 

‘Amrah binti ‘Abdul Rahman bin S’ad bin Zurarah bin ‘Udus al-Ansariyyah al-Najjariyyah, ahli hadis dan ahli fiqh.

Beliau mendapat didikan dan ilmu secara langsung daripada Ummu al-Mu`minin ‘A`ishah r.ha. dan merupakan salah seorang perawi yang utama daripada beliau selain dari al-Qasim bin Muhammad dan ‘Urwah bin al-Zubair.

Datuknya, Sa’d merupakah salah seorang sahabat yang awal memeluk Islam dan saudara kepada As’ad bin Zurarah.

Selain dari ‘Aishah, ‘Amrah juga meriwayatkan hadis daripada Ummi Salamah, Rafi’ bin Khadij, saudara sebelah ibunya, Ummu Hisham binti Harithah bin Nu’man, Habibah binti Sahl dan Ummu Habibah Hamnah bin Jahsh.

Ulama yang mengambil hadis daripada beliau termasuklah anaknya, Abu al-Rijal Muhammad bin ‘Abdul Rahman, cucunya Harithah dan Malik, anak saudaranya, al-Qadi Abu Bakr bin Hazm, ‘Abdullah bin Abu Bakr bin Hazm, Muhammad bin Abu Bakr bin Hazm, al-Zuhri, Yahya bin Sa’id al-Ansari dan ramai lagi.

‘Amrah sememangnya terkenal dengan keluasan ilmunya terutama dalam bidang hadis dan fiqh. Ibn Hibban berkata: “Beliau adalah orang yang paling alim tentang hadis yang driwayatkan daripada ‘A`ishah.”

Ibn al-Madini meriwayatkan daripada Sufyan katanya, “Hadis ‘A`ishah yang paling teguh ialah yang diriwayatkan oleh ‘Amrah, al-Qasim dan ‘Urwah.”

Shu’bah meriwayatkan daripada Muhammad bin ‘Abdul Rahman katanya, “‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz berkata kepada saya: “Tidak ada lagi yang lebih alim tentang hadis ‘A`ishah selain dari ‘Amrah.”

Shu’bah berkata: “‘Abdul Rahman bin al-Qasim selalu bertanya ‘Amrah tentang hadis-hadis ‘A`ishah.”

Ibn Sa’d berkata: “Beliau seorang yang sangat berilmu.” ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz menulis surat kepada Abu Bakr Ibn Hazm memerintahkannya supaya menulis untuknya hadis-hadis daripada ‘Amrah.[1]

Ayyub Suwaid meriwayatkan daripada Yunus daripada Ibn Shihab daripada al-Qasim bin Muhammad bahawa beliau berkata kepada saya: “Wahai anak, saya melihat kamu begitu bersungguh dalam menuntut ilmu. Tidakkah kamu mahu saya tunjukkan kepada bekas (yang penuh mengandunginya)?” Saya menjawab: “Sungguh sekali.” Beliau berkata: “Hendaklah kamu mendapatkan ‘Amrah kerana sesungguhnya beliau pernah berada di bawah jagaan ‘A`ishah r.ha.” Beliau berkata: “Lalu saya pergi menemui ‘Amrah dan mendapatinya laut yang tidak pernah kering.”[2]

وحدثني عن مالك عن يحيى بن سعيد انه قال أخبرني أبو بكر بن محمد بن عمرو بن حزم :انه أخذ نبطيا قد سرق خواتم من حديد فحبسه ليقطع يده فأرسلت إليه عمرة بنت عبد الرحمن مولاة لها يقال لها أمية قال أبو بكر فجاءتني وأنا بين ظهراني الناس فقالت تقول لك خالتك عمرة يا بن أختي أخذت نبطيا في شيء يسير ذكر لي فأردت قطع يده قلت نعم قالت فإن عمرة تقول لك لا قطع الا في ربع دينار فصاعدا قال أبو بكر فأرسلت النبطي

Imam Malik meriwayatkan daripada Yahya bin Sa’id bahawa beliau berkata, Abu Bakr bin Muhammad bin ‘Amr bin Hazm bahawa beliau menangkap seorang Nabati [3] yang telah mencuri beberapa bentuk cincin besi dan menahannya untuk dijatuhkan hukuman potong tangan. Lalu ‘Amrah binti ‘Abdul Rahman menghantar hambanya yang dipanggil Umayyah. Abu Bakr berkata, “Umayyah datang menemui saya dan pada masih itu saya berada di hadapan orang ramai.” Umayyah berkata: “Makcik kamu, ‘Amrah bertanya, adakah kamu menangkap seorang Nabati kerana kes kecil yang disebutkan kepada saya dan kamu mahu memotong tangannya?” Saya menjawab: “Ya.” Umayyah berkata: “Sesungguhnya ‘Amrah mengatakan kepada anda, tidak boleh dijatuhkan hukuman potong tangan kecuali kerana mencuri sesuatu yang bernilai satu perempat dinar atau lebih daripada itu.” Abu Bakr berkata: “Maka sayapun melepaskan orang Nabati itu.” (al-Muwatta`)

Riwayat ini menunjukkan bahawa ‘Amrah seorang yang sangat berilmu dan fatwanya itu diterima kerana kemas berdasarkan hadis-hadis. Campurtangan beliau berlaku pada masa adanya tujuh orang fuqaha Madinah yang terkenal tanpa ada seorang pun yang membantahnya. [4]

Al-Zahabi berkata: “Ulama berselisih pendapat tentang tahun kewafatannya.[5] Al-Mizzi menyebutkan bahawa Abu Hassan al-Ziyadi menyatakan bahawa ada yang mengatakan pada tahun 98 H. Abu ‘Ubayd Muhammad bin Yahya Ibn al-Hazza` mengatakan pada 106 H. [6] Pada ketika itu beliau berusia 77 tahun.

 

 


[1] Ibn Hajar, Tahzib al-Tahzib, jil. 6, hal. 607.
[2] Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala`, jil. 4, hal. 508
[3] Nisbah kepada salah satu kaum bukan Arab yang menduduk satu tempat di ‘Iraq. Mereka dinamakan demikian kerana mereka mendapatkan sumber air dengan cara menggali air bawah tanah (daripada perkataan nabata) bukan dengan dari sungai.
[4] Mohammad Akram Nadwi, al-Muhaddithat: The Woman Scholars In islam, hal. 279.
[5] Siyar A’lam al-Nubala`, jil. 4, hal. 508
[6] Al-Mizzi, Tahzib al-Kamal, 35, hal. 243

Check Also

Ja’far bin Sulaiman al-Dhuba’i al-Basri

Beliau seorang yang benar, zahid tetapi mempunyai fahaman Syiah. Ahmad berkata: Dia tidak mempunyai masalah. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *