Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Lanjutan / Rijalul Hadits / ‘ABDULLAH BIN ZAKWAN
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

‘ABDULLAH BIN ZAKWAN

Disediakan oleh: Muhammad Hanief Awang Yahaya

 

Abdullah bin Zakwan merupakan seorang tokoh hadis dari kalangan tabi’in yang diakui sebagai imam dan faqih Madinah, beliau lebih dikenali dengan kuniahnya Abu al-Zinad dan nisbahnya, al-Madani.

Beliau dilahirkan pada tahun 64 dan meninggal dunia pada tahun 130 ketika berusia 66 tahun.

Antara ulama yang menjadi tumpuannya untuk mendengar hadis ialah Anas bin Malik, As’ad bin Sahl bin Hunaif, ‘Abdullah bin Ja’far, Sa’id bin al-Musayyab.

Sementara itu, ulama yang meriwayatkan hadis daripada beliau ialah Malik, Syu’aib bin Abi Hamzah, Laith, Sufyan bin ‘Uyainah, Sufyan al-Thawri, dan anaknya ‘Abdul Rahman dan ramai lagi.

Hafiz Ibn Hajar dalam Tahzib al-Tahzib menukilkan kata-kata Harb daripada Imam Ahmad katanya: “Sufyan al-Thauri menamakannya amir al-Mu`minin Fi al-Hadith ya’ni penghulu orang-orang mu’min dalam hadis. (Tazkirah al-Huffaz, jil. 1, hal. 101, Tahzib al-Kamal, jil. 14, hal. 480, Siyar, jil. 5, hal. 445)

Abu Hatim berkata: “Beliau seorang yang thiqah, faqih dan soleh hadisnya, berpegang dengan sunnah dan termasuk dalam kalangan orang yang dijadikan hujah apabila meriwayatkan daripada perawi thiqah.

Imam al-Bukhari berkata: “Sanad yang paling sahih ialah daripada Malik daripada Nafi’ daripada Ibn ‘Umar. Sanad Abu Hurairah yang paling sahih ialah daripada Abu al-Zinad daripada al’A’raj daripada Abu Hurairah.”

Ibn ‘Ali al-Madini berkata: “Tidak ada yang lebih alim di Madinah selepas daripada Kibar Tabi’in selain dari Ibn Syihab al-Zuhri, Yahya bin Sa’id al-Ansari, Abu al-Zinad dan Bukair al-Asyaj. (al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala`, jil. 5, hal. 446)

Kealimannya itu merangkumi beberapa cabang ilmu. Dengan sebab itu, mempunyai ramai murid yang sentiasa mendampinginya.

Laith meriwayatkan daripada ‘Abd Rabbihi bin Sa’id, bahawa Abu Zinad memasuki Masjid Nabawi dengan diikuti oleh kumpulan pengikutnya seperti sultan yang diiringi oleh pengiringnya. Ada yang bertanya tentang faraidh, ilmu hisab, syair, hadis dan ilmu-ilmu yang sukar. (ibid)

Sulaiman bin Abu Syaikh berkata, ‘Umar bin al-‘Aziz telah melantik Abu al-Zinad menjaga baitul mal di Kufah.

Muhammad bin Sallam al-Jumahi berkata: “Ada orang bertanya kepada Abu al-Zinad, mengapa tuan menyukai dirham sedangkan ia mendekatkan tuan kepada dunia. Beliau menjawab: “Dirham itu walaupun ia mendekatkan saya kepada dunia tetapi sesungguhnya ia menjaga saya daripada dunia.” (ibid)

Hadis-hadis yang diriwayatkan oleh boleh didapati dalam kitab Muwatta` dan kesemua Sunan Sittah.

Check Also

Ja’far bin Sulaiman al-Dhuba’i al-Basri

Beliau seorang yang benar, zahid tetapi mempunyai fahaman Syiah. Ahmad berkata: Dia tidak mempunyai masalah. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *