Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Lanjutan / Musykilul Atsar / HADIS MUSYKIL TENTANG SIFAT-SIFAT ALLAH S.W.T
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

HADIS MUSYKIL TENTANG SIFAT-SIFAT ALLAH S.W.T

 

عَنْ عَبْد اللَّهِ بْن عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ يَقُولُ أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ قُلُوبَ بَنِي آدَمَ كُلَّهَا بَيْنَ إِصْبَعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ الرَّحْمَنِ كَقَلْبٍ وَاحِدٍ يُصَرِّفُهُ حَيْثُ يَشَاءُ ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اللَّهُمَّ مُصَرِّفَ الْقُلُوبِ صَرِّفْ قُلُوبَنَا عَلَى طَاعَتِكَ

Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As berkata bahawa saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya hati-hati anak Adam semuanya di antara dua jari daripada jari-jari Allah s.w.t. seperti satu hati, Dia memalingkannya mengikut kehendak-Nya. Kemudian baginda berdoa: “Ya Allah, Tuhan yang memalingkan hati-hati, palingkanlah hati-hati kami kepada ketaatan-Mu.” (Muslim, no: 2654)

Hadis ini sahih dan tidak ada ‘illah, walaupun hanya Imam Muslim yang mengeluarkannya dalam sahihnya tetapi kandungan hadis ini juga diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi melalui hadis Anas:

عَنْ أَنَسٍ قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُكْثِرُ أَنْ يَقُولَ يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ آمَنَّا بِكَ وَبِمَا جِئْتَ بِهِ فَهَلْ تَخَافُ عَلَيْنَا قَالَ نَعَمْ إِنَّ الْقُلُوبَ بَيْنَ أُصْبُعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ اللَّهِ يُقَلِّبُهَا كَيْفَ يَشَاءُ

Daripada Anas katanya Rasulullah s.a.w selalu mengucapkan: “Wahai Tuhan yang memalingkan hati-hati, tetapkanlah hati-hati kami di atas agama-Mu. Saya bertanya: “Wahai Rasulullah, kami telah beriman kepada tuan dan ajaran yang tuan bawakan adakah tuan bimbang akan kami? Rasulullah s.a.w. bersabda: “Ya, sesungguhnya hati-hati manusia di antara dua jari daripada jari-jari Allah s.w.t. seperti satu hati, Dia memalingkannya mengikut kehendak-Nya.” (al-Tirmizi, no: 2140)

عَنْ أَبِي مُوسَى الْأَشْعَرِيِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَثَلُ الْقَلْبِ مَثَلُ الرِّيشَةِ تُقَلِّبُهَا الرِّيَاحُ بِفَلَاةٍ

Daripada Abu Musa al-Ash’ari katanya, Rasulullah s.a.w bersabda: “Perumpamaan hati manusia adalah seperti bulu yang diterbangkan angin di padang pasir.” (Ibn Majah: 88)

Hadis ini juga termasuk dalam senarai hadis tentang sifat-sifat Allah s.w.t yang mana zahirnya ia menyerupai makhluk tetapi hakikatnya hanya diketahui oleh Allah s.w.t sahaja. Tugas orang yang beriman hendaklah mentanzihkan Allah iaitu mensucikan Allah dari segala sifat-sifat makhluq, ia bukan seperti anggota manusia.

Ketika menghuraikan hadis ‘Abdullah bin ‘Amr ini, Imam al-Nawawi menulis: ada dua pendapat, pertama beriman dengannya tanpa cuba untuk menta`wilkannya dan tanpa cuba untuk mengetahui ma’nanya bahkan beriman bahawa ianya benar dan zahirnya tidak dikehendaki Allah s.w.t.

لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ

Tiada sesuatupun yang sebanding dengan-Nya (Zat-Nya, sifat-sifat-Nya, dan pentadbiran-Nya). (Surah al-Shura: 11)

Pendapat yang kedua, hadis ini dita`wil mengikut yang selayak dengannya. Berdasarkan kepada ini, maksudnya ialah majaz iaitu bahasa pinjaman. Seperti kata-kata si fulan dalam genggamanku, dalam tapak tanganku, ia bukan bermaksud dia berada di tapak tangannya bahkan maksudnya di berada di bawah kekuasaanku. Maksud hadis ini dan hadis lain yang sepertinya ialah menyatakan kehendak Allah s.w.t adalah mutlak tidak sesuatu yang menghalang-Nya dari menciptakan apa yang telah ditaqdirkan. Ini seperti mana manusia mampu membuat sesuatu terhadap apa yang ada di tangannya. Jesteru, Allah berbicara dengan orang Arab dengan sesuatu yang difahami mereka dan membuat perumpaan dengan ma’na-ma’na yang difahami oleh pancaindera sebagai menguatkan lagi kesan dalam jiwa mereka. [1]

Selain itu ada dua pendapat lagi yang tidak disebutkan oleh al-Nawawi. Pendapat ketiga, pendapat satu jemaah daripada salaf dan dipilih oleh Hafiz al-Zahabi, Ibn Taymiyyah dan Ibn al-Qayyim iaitu maksud jari ialah ma’nanya yang hakiki tetapi ia adalah sifat Allah s.w.t. bukan sebagai anggota, bukan seperti jari-jari makhluk bahkan kaifiyatnya tidak diketahui.

Ibn Taymiyyah menulis, di antara tuntutan beriman dengan Allah s.w.t. ialah beriman dengan sifat-sifat diri-Nya yang disebutkan dalam Kitab-Nya, dan seperti yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w. tanpa tahrif [2] dan ta’til [3], tanpa takyif [4]dan tamthil [5]. Bahkan hendaklah beriman dengan Allah s.a.w. Tiada sesuatupun yang sebanding dengan-Nya dan Dia-lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. Bahkan tidak menafikan apa yang Allah s.w.t. mensifatkan diri-Nya, tanpa mengubah kalimah-kalimah dari tempat-tempatnya (dan maksudnya) yang sebenar dan tidak menyimpang dari kebenaran dalam menyebut nama-nama Allah dan ayat-ayat-Nya, tidak menyatakan kaifiyat bagi sifat-sifat Allah dan tidak menyerupakan sifat-sifat-Nya dengan sifat-sifat makhluk kerana Allah s.w.t. tidak ada yang sama dan setara dengan-Nya, [6] tidak ada sekutu bagi-Nya dan tidak boleh diqiyas-Nya dengan makhluk-Nya kerana Dia-lah yang lebih mengetahui tentang diri-Nya, Dia yang lebih benar perkataan-Nya dan lebih benar ucapan-Nya. [7]

Pendapat keempat, iaitu pendapat yang disebutkan ‘Allamah Ibn Daqiq al-‘Id. [8] Beliau berkata: “Kita mengatakan berhubung dengan sifat-sifat yang musykil bahawa ia adalah haq dan benar mengikut ma’na yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. Sesiapa yang menta`wilkannya maka kita perhatikan sekiranya ia hampir dengan kehendak bahasa Arab maka kita tidak membantah. Sekiranya ta`wilan itu jauh maka kita tawaqquf (tidak memberi apa-apa keputusan) dan kita merujuk kepada tasdiq bersama-sama dengan tanzih (mensucikan Allah dari sifat-sifat makhluk). Sekiranya hadis-hadis sifat itu ma’nanya zahir yang difahami oleh mereka yang bertutur dengan bahasa Arab maka maka kita tanggungkan ma’na itu mengikut zahir berdasarkan kepada firman Allah s.w.t.:

عَلَى مَا فَرَّطْتُ فِي جَنْبِ اللَّهِ

Kerana aku telah mencuaikan kewajipan-kewajipanku terhadap Allah. (Surah al-Zumar: 56)

Kerana yang dimaksudkan dengannya ialah mengikut penggunaan mereka yang umum iaitu Haq Allah s.w.t. maka tidak boleh bertawaqquf padanya. Demikian juga sabda Rasulullah s.a.w. :

إِنَّ قُلُوبَ بَنِي آدَمَ كُلَّهَا بَيْنَ إِصْبَعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ الرَّحْمَنِ

Maksudnya ialah kehendak hati manusia dipalingkan dengan qudrat Allah s.w.t. dan pada apa yang ia diletakkan padanya.

Mufti Taqi ‘Uthmani menyimpulkan pendapat-pendapat di atas dengan mengatakan: “Keempat-empat pendapat ini boleh diterima dan menjadi mazhab beberapa kumpulan ulama muhaqqiqin kerana apa yang penting dalam aqidah ialah mentanzihkan Allah dari tashbih dan ta’til (penafian sifat). Setiap dari empat pendapat ini menegaskan aqidah tanzih, perbezaan antara mereka bukan pada aqidah kerana aqidah mereka adalah tanzih Allah s.w.t. dari tashbih dan ta’til. Perbezaan hanyalah dari segi menyatakan aqidah tersebut dan cara meletakkannya sebagai qaedah pada nas-nas shara’. Tidak ada satupun dari keempat-empat pendapat ini batil dan sesat seratus peratus. Walaupun perdebatan dan perbahasan secara teori masih lagi berlaku sejak berkurun lamanya, bahkan berlaku keterlajakan dan keterlaluan dari pihak-pihak yang berbeza dan melencong dari had kesederhanaan tetapi sebenarnya asal khilaf hanyalah khilaf ijtihadi sama seperti khilaf fiqhi dalam masalah fiqh yang diijtihadkan. Oleh sebab itu, pendapat-pendapat ini diikuti oleh para ulama yang besar yang berpegang teguh dengan al-Qur`an dan al-Sunnah yang tidak diragui bahawa mereka adalah ahli Haq dan ahli Sunnah wa Jama’ah.[9]

Jelasnya mazhab jumhur ulama salaf ialah tafwid dan ia adalah lebih selamat dan lebih cermat serta lebih sesuai dengan firman Allah s.w.t.:

وَمَا يَعْلَمُ تَأْوِيلَهُ إِلَّا اللَّهُ وَالرَّاسِخُونَ فِي الْعِلْمِ يَقُولُونَ آَمَنَّا بِهِ

Padahal tidak ada yang mengetahui takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu ugama, berkata:” Kami beriman kepada-Nya. (Surah Al ‘Imran: 7)

 

 

[1] Al-Nawawi, al-Minhaj Fi Sharh Sahih Muslim Bin al-Hajjaj, jil. 6, hal. 155
[2] Tanpa menyelewengkan maksud, tanpa mengubah dan meminda-minda dari maksud asal.
[3] Mensabitkan sifat-sifat yang disebutkan Allah pada diri-Nya tanpa menafikannya.
[4] Dengan tidak menyatakan kayfiyat dan cara.
[5] Tanpa menyerupakan Allah dengan mana-mana makhluk-Nya.
[6] Sesungguhnya sifat itu mengikut mawsuf (kata nama yang disifatkan) sebagaimana zat Allah s.w.t. tidak diketahui hakikatnya maka demikian sifat-sifat Allah s.w.t. juga tidak diketahui hakikatnya.
[7] Ibn Taymiyyah, al-‘Aqidah al-Wasatiyyah, hal. 8
[8] Ibn Hajar, Fath al-Bari, jil. 15, hal. 337
[9] Takmilah Fath al-Mulhim, juz. 5, hal. 259

Check Also

Hadis Mushkil: Penciptaan Nabi Adam Dan Zuriatnya

Share...TwitterPrintPinterestLinkedinFacebookDigg

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *