Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Lanjutan / Musykilul Atsar / HADIS MUSYKIL: LARANGAN MELEBIHKAN-LEBIHKAN PARA NABI
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

HADIS MUSYKIL: LARANGAN MELEBIHKAN-LEBIHKAN PARA NABI

 

لَا تُخَيِّرُوا بَيْنَ الْأَنْبِيَاءِ فَإِنَّ النَّاسَ يَصْعَقُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَأَكُونُ أَوَّلَ مَنْ تَنْشَقُّ عَنْهُ الْأَرْضُ فَإِذَا أَنَا بِمُوسَى آخِذٌ بِقَائِمَةٍ مِنْ قَوَائِمِ الْعَرْشِ فَلَا أَدْرِي أَكَانَ فِيمَنْ صَعِقَ أَمْ حُوسِبَ بِصَعْقَةِ الْأُولَى

Jangan kamu pilih-pilih di antara nabi-nabi kerana sesungguhnya manusia itu pengsan pada hari Kiamat dan aku lah orang pertama dikeluarkan oleh bumi tiba-tiba aku dapati Nabi Musa berpegang pada salah satu tiang Arasy. Aku tidak tahu adakah baginda termasuk dalam kalangan orang yang pengsan atau dikecualikan dengan sebab pengsan yang pertama. (al-Bukhari dan Muslim)

Bagaimana dapat difahami hadis ini yang kelihatan bercanggah dengan ayat-ayat al-Qur`an dan hadis yang lain.

Percanggahan dengan ayat-ayat al-Qur`an

تِلْكَ الرُّسُلُ فَضَّلْنَا بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ

Rasul-rasul Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain (dengan kelebihan-kelebihan yang tertentu). (al-Baqarah: 253)

وَرَبُّكَ أَعْلَمُ بِمَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَلَقَدْ فَضَّلْنَا بَعْضَ النَّبِيِّينَ عَلَى بَعْضٍ وَآَتَيْنَا دَاوُودَ زَبُورًا

Dan Tuhanmu (Wahai Muhammad) lebih mengetahui akan sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi; dan sesungguhnya Kami telah melebihkan setengah Nabi-nabi atas setengahnya yang lain; dan Kami telah memberikan Kitab Zabur kepada Nabi Daud. (al-Isra`: 55)

Zahir daripada ayat ini harus melebihkan-lebihkan antara para rasul. Begitu juga hadis-hadis berikut menguatkan pengertian ayat-ayat di atas.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَا سَيِّدُ وَلَدِ آدَمَ وَأَوَّلُ مَنْ تَنْشَقُّ عَنْهُ الْأَرْضُ وَأَوَّلُ شَافِعٍ وَأَوَّلُ مُشَفَّعٍ

Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah bersabda: “Saya adalah penghulu anak-anak Adam dan orang yang pertama terbelah bumi, orang pertama memberi syafa’at dan orang pertama syafa’atnya diterima.” (Abu Daud)

Hadis ini pula menunjukkan Rasulullah s.a.w. menyatakan kelebihan dirinya yang tidak ada pada nabi yang lain.

Penyelesaian

Pertama:

Hadis yang pertama mempunyai latar belakang

حَدَّثَنَا مُوسَى بْنُ إِسْمَاعِيلَ حَدَّثَنَا وُهَيْبٌ حَدَّثَنَا عَمْرُو بْنُ يَحْيَى عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ بَيْنَمَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَالِسٌ جَاءَ يَهُودِيٌّ فَقَالَ يَا أَبَا الْقَاسِمِ ضَرَبَ وَجْهِي رَجُلٌ مِنْ أَصْحَابِكَ فَقَالَ مَنْ قَالَ رَجُلٌ مِنْ الْأَنْصَارِ قَالَ ادْعُوهُ فَقَالَ أَضَرَبْتَهُ قَالَ سَمِعْتُهُ بِالسُّوقِ يَحْلِفُ وَالَّذِي اصْطَفَى مُوسَى عَلَى الْبَشَرِ قُلْتُ أَيْ خَبِيثُ عَلَى مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَخَذَتْنِي غَضْبَةٌ ضَرَبْتُ وَجْهَهُ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تُخَيِّرُوا بَيْنَ الْأَنْبِيَاءِ فَإِنَّ النَّاسَ يَصْعَقُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَأَكُونُ أَوَّلَ مَنْ تَنْشَقُّ عَنْهُ الْأَرْضُ فَإِذَا أَنَا بِمُوسَى آخِذٌ بِقَائِمَةٍ مِنْ قَوَائِمِ الْعَرْشِ فَلَا أَدْرِي أَكَانَ فِيمَنْ صَعِقَ أَمْ حُوسِبَ بِصَعْقَةِ الْأُولَى

Daripada Abu Sa’id al-Khudri katanya ketika mana Rasulullah s.a.w. sedang duduk tiba-tiba datang seorang Yahudi lalu berkata, wahai Abu al-Qasim, seorang lelaki dari kalangan sahabat kamu telah memukul muka saya. Baginda bertanya: “Siapa?” dia menjawab: “Seorang lelaki Ansar.” Baginda bersabda: “Panggilkan dia ke mari.” Kemudian baginda bertanya: “Adakah kamu memukulnya?” Lelaki Ansar menjawab: “Saya dengar dia bersumpah di pasar, demi Dia yang telah memilih Musa daripada sekalian manusia. Lalu saya berkata, wahai orang yang mencela Muhammad s.a.w. lalu saya naik marah dan memukul wajahnya. Lantas Rasulullah s.a.w. bersabda: “Jangan kamu pilih-pilih di antara nabi-nabi kerana sesungguhnya manusia itu pengsan pada hari Kiamat dan aku lah orang pertama dikeluarkan oleh bumi tiba-tiba aku dapati Nabi Musa berpegang pada salah satu tiang Arasy. Aku tidak tahu adakah baginda termasuk dalam kalangan orang yang pengsan atau dikecualikan dengan sebab pengsan yang pertama. (al-Bukhari dan Muslim)

Difahami daripada riwayat ini larangan melebih-lebihkan antara nabi ialah yang menyebabkan berlaku kepada perbalahan dan pertengkaran yang membawa kepada asabiyyah dan kepuakan. Oleh sebab itu, melebihkan antara nabi dengan cara kesombongan ‘asabiyyah adalah tercela.

Kedua:

Larangan apabila tafdhil itu membawa kepada merendahkan nabi lain. Dalam hal ini, ada diriwayatkan:

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا يَنْبَغِي لِعَبْدٍ أَنْ يَقُولَ إِنِّي خَيْرٌ مِنْ يُونُسَ بْنِ مَتَّى

Daripada Ibn ‘Abbas daripada Rasulullah s.a.w. sabdanya: “Tidak sepatutnya bagi seseorang hamba mengucapkan saya lebih baik daripada Yunus bin Matta. (Abu Daud)

Yunus bin Matta merupakan salah seorang Rasul Allah yang namanya disebutkan beberapa kali dalam al-Qur`an. Seperti dalam surah al-Anbiya`, ayat 87:

وَذَا النُّونِ إِذْ ذَهَبَ مُغَاضِبًا فَظَنَّ أَنْ لَنْ نَقْدِرَ عَلَيْهِ فَنَادَى فِي الظُّلُمَاتِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ

Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun (Nabi Yunus), ketika dia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan dia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka ia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: “Sesungguhnya tiada tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (Ya Allah)! Maha suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya Aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri”.

Dalam ayat 48 dan 49, surah al-Qalam, Allah s.w.t. merakamkan:

فَاصْبِرْ لِحُكْمِ رَبِّكَ وَلَا تَكُنْ كَصَاحِبِ الْحُوتِ إِذْ نَادَى وَهُوَ مَكْظُومٌ (48) لَوْلَا أَنْ تَدَارَكَهُ نِعْمَةٌ مِنْ رَبِّهِ لَنُبِذَ بِالْعَرَاءِ وَهُوَ مَذْمُومٌ (49) فَاجْتَبَاهُ رَبُّهُ فَجَعَلَهُ مِنَ الصَّالِحِينَ

Maka bersabarlah (Wahai Muhammad) menerima hukum Tuhanmu (memberi tempoh kepada mereka), dan janganlah engkau bersikap seperti orang yang telah ditelan oleh ikan. (ingatlah kisahnya) ketika ia berdoa merayu dengan keadaan sesak sebak terkurung dalam perut ikan. (49). Kalaulah ia tidak didatangi nikmat pertolongan dari Tuhannya, nescaya tercampaklah ia ke tanah yang tandus (di tepi pantai) dalam keadaan ia ditempelak (kerana salah silapnya).

Menjadi kewajipan kepada setiap orang yang beriman untuk memuliakan sekalian rasul Allah a.s. dan menyebutkan sesuatu yang layak dan bersesuaian dengan mereka. Walaupun peristiwa ditelan ikan terjadi kepada nabi Yunus, namun tidak seorangpun berhak membicarakan perkara ini dengan cara yang tidak beradab. Oleh sebab itu, Rasulullah s.a.w. memberi amaran dengan hadis di atas.

Ketiga:

Tidak harus melebih-lebih antara rasul semata-mata berdasarkan akal fikiran dan hawa nafsu tanpa berlandaskan kepada dalil.

Abu Ja’far al-Tahawi berkata: “Pada pandangan kami, dan Allah lebih mengetahuinya, larangan melebih-lebihkan antara para nabi dengan fikiran kita sendiri, dengan sesuatu yang tidak diberitahu dan tidak dijelaskan kepada kita. Adapun apa yang telah diberitahu dan dijelaskan kepada kita maka ia adalah dibenarkan kepada kita dan larangan itu merujuk perkara-perkara yang tidak disebutkan kepada kita dan tidak dibenarkan kepada yang Allah s.w.t. sendiri mengaturkannya dan Dia melarang kita daripadanya.” (al-Tahawi, Sharh Mushkil al-Athar, jil. 3, hal. 57)

Kata al-Shawkani: Pada pendapat saya tidak ada pertentangan di antara al-Qur`an dan al-Sunnah (berhubung dengan perkara ini) kerana al-Qur`an menyatakan bahawa Allah s.w.t. melebihkan sebahagian nabi daripada sebahagian yang lain. Walaubagaimanapun, tidak semestinya harus kepada kita untuk melebihkan sebahagian mereka daripada yang lain kerana keistimewaan yang menjadi sebab dilebihkan itu hanya diketahui Allah s.w.t. kerana tidak tersembunyi kepada-Nya apa yang tersembunyi kepada kita. Keistimewaan tersebut sememangnya tidak diketahui oleh manusia. Malah kadang-kadang pengikut nabi itu sendiri tidak mengetahui keistimewaan nabi mereka apatah lagi keistimewaan nabi lain. Oleh itu, tidak seharusnya melebih-lebihkan kecuali setelah diketahui semua sebab yang menjadikan seseorang nabi itu mempunyai keutamaan. Tidak boleh melebih-melebihkan dalam keadaan hanya mengetahui sedikit sahaja atau sebahagiannya sahaja kerana itu membawa kepada melebih-lebihkan tanpa ilmu dan berani melakukan sesuatu yang di luar pengetahuan sendiri. (Fath al-Qadir, jil. 1, hal. 407)

Check Also

Hadis Mushkil: Penciptaan Nabi Adam Dan Zuriatnya

Share...TwitterPrintPinterestLinkedinFacebookDigg

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *