Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Lanjutan / Musykilul Atsar / HADIS MUSYKIL: HADIS YANG MENYEBUTKAN ALLAH S.W.T. JEMU
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

HADIS MUSYKIL: HADIS YANG MENYEBUTKAN ALLAH S.W.T. JEMU

Disediakan oleh: Muhammad Hanief Awang Yahaya

 

Di antara hadis Rasulullah s.a.w ada yang datang dengan lafaz yang terang lagi jelas. Ada juga hadis yang sampai kepada kita dalam keadaan jika difahami dengan zahir akan menyebabkan kekeliruan dan keraguan. Termasuk dalam kategori ini sebuah hadis yang menyebutkan sifat jemu pada Allah s.w.t sedangkan itu adalah sifat yang menunjukkan kelemahan dan sudah tentu Allah s.w.t sama sekali tidak mempunyai sifat yang lemah.

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَخَلَ عَلَيْهَا وَعِنْدَهَا امْرَأَةٌ قَالَ مَنْ هَذِهِ قَالَتْ فُلَانَةُ تَذْكُرُ مِنْ صَلَاتِهَا قَالَ مَهْ عَلَيْكُمْ بِمَا تُطِيقُونَ فَوَاللَّهِ لَا يَمَلُّ اللَّهُ حَتَّى تَمَلُّوا وَكَانَ أَحَبَّ الدِّينِ إِلَيْهِ مَادَامَ عَلَيْهِ صَاحِبُهُ

Daripada ‘Aishah bahawa Rasulullah s.a.w. masuk menemuinya dan dekat dengannya ada seorang perempuan. Rasulullah s.a.w bertanya, siapakah dia ini. ‘Aishah menjawab, si fulanah dan beliau (‘Aishah) menyebutkan tentang sembahyang perempuan itu. Rasulullah s.a.w bersabda: Cukuplah. Hendaklah kamu beramal mengikut kemampuan kamu. Demi sesungguhnya Allah s.w.t tidak jemu sehinggalah kamu merasa jemu. Dan agama yang paling disukai Allah ialah apa yang dilakukan seseorang secara berterusan. (al-Bukhari, Kitab al-Iman, Bab Ahabb al-Din Ila Allah ‘Azza Wa Jalla Adwamuha)

Zahir daripada hadis ini menunjukkan Allah s.w.t. bersifat dengan sifat makhluk, iaitu merasa jemu. Sifat jemu menunjukkan kepada kekurangan dan kelemahan. Pada prinsipnya Allah s.w.t. tidak menyerupai makhluk dan tidak mempunyai apa-apa sifat kekurangan. Hadis ini menimbulkan kemusykilan dari sudut aqidah.

Ulama hadis memberi beberapa jawapan untuk menyelesaikan kemusykilan yang timbul daripada hadis ini. Antara jawapan yang diberikan ialah Allah s.w.t. tidak jemu memberi pahala sehinggalah kamu jemu beramal. Makna jemu pada Allah dita`wil sebagai tidak memberi pahala dan tidak memberi kurniaan.

Ada juga ulama yang berpendapat penggunaan jemu di sini sebagai al-muqabalah al-lafziah atau al-musyakalah wa al-izdiwaj iaitu penggunaan bahasa yang sama pada lafaz tetapi berlainan pada ma’na. (‘Umdah al-Qari, jil. 1, hal. 402)

Ini berma’na Allah s.w.t. tidak jemu tetapi kamulah yang merasa jemu. Terdapat beberapa ayat al-Qur`an yang menunjukkan kepada penggunaan yang sama. Allah s.w.t berfirman:

فَمَنِ اعْتَدَى عَلَيْكُمْ فَاعْتَدُوا عَلَيْهِ بِمِثْلِ مَا اعْتَدَى عَلَيْكُمْ

Oleh itu sesiapa yang melakukan pencerobohan terhadap kamu maka lakukan percerobohan terhadapnya (balaslah pencerobohannya) itu seimbang dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu; (Surah al-Baqarah:194)

وَجَزَاءُ سَيِّئَةٍ سَيِّئَةٌ مِثْلُهَا

Dan (jika kamu hendak membalas maka) balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya; (Surah al-Syura: 40)

وَمَكَرُوا وَمَكَرَ اللَّهُ وَاللَّهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ

Dan orang-orang (Yahudi yang kafir) itupun merancangkan tipu daya (hendak membunuh Nabi Isa), dan Allah pula membalas tipu daya (mereka); dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak yang membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya. (Surah Aal ‘Imran: 54)

Dalam pemakaian biasa perkataan jemu bermaksud seseorang merasa berat terhadap sesuatu dan tidak menyukai sesuatu setelah dia menyukainya. Ini disepakati sebagai mustahil pada Allah s.w.t. Al-Isma’ili dan sekumpulan ulama muhaqqiqin mengatakan lafaz ini diungkapkan secara muqabalah lafziah majazan. Ini disokong oleh sesetengah jalan hadis ‘A`isah yang dikeluarkan oleh Ibn Jarir: Sesungguhnya Allah s.w.t tidak jemu memberi pahala sehinggalah kamu jemu beramal.

Al-Qurtubi berkata: Penggunaannya secara ma’na pinjaman ialah oleh kerana terhentinya pahala kepada orang yang berhenti beramal kerana jemu maka diungkapkan keadaan itu sebagai jemu dan ini termasuk dalam menamakan sesuatu dengan nama sebabnya.

Ini berma’na, pada manusia jemu itu merupakan sebab kepada ditinggalkan sesuatu amalan yang biasa dilakukannya. Dalam hadis ini, bukan jemu itu yang menjadi maksud tetapi tinggal yang merupakan kesan daripada jemu.

Al-Harawi berkata: Tidak terputus daripada kamu kelebihan Allah sehinggalah kamu berhenti meminta daripada-Nya.

Penjelasan ini kesemuanya berdasarkan kepada makna huruf حتّى dengan ma’na sampai ke penghujung. Setengah ulama’ cenderung menta`wilkannya. Ada yang mengatakan hatta dengan makna iza (apabila). Ma’nanya, Allah s.w.t. tidak jemu apabila kamu jemu. Ini banyak digunakan dalam percakapan orang-orang Arab. Mereka mengucapkan, aku tidak akan melakukan perkara ini sehinggalah minyak tar menjadi putih, atau sehingga gagak menjadi putih.

Al-Maziri berkata: حتّى dengan ma’na واو (dan/dalam keadaan/sedangkan) taqdirnya: Allah s.w.t. tidak jemu sedangkan kamu lah yang jemu. Ini berma’na mensabitkan jemu pada manusia tetapi menafikan daripada Allah. Ada juga ulama mentafsirkan حتّى dengan ma’na حين (pada ketika). (lihat Awjaz al-Masalik, jil. 2, hal. 315)

Apakah Maksud Sebenar Hadis Ini?

Hadis ini bermaksud untuk memberi galakan kepada umat beristiqamah dalam melakukan amalan walaupun amalan itu sedikit. Amalan yang berterusan walaupun sedikit tidak akan mendatangkan perasaan jemu kepada pelakunya.

Ibadat yang berterusan mempunyai nilai yang amat istimewa sehingga kelebihannya itu tidak mampu dihitung kerana besar pahala sebagai balasan kepada kesukaran istiqamah itu. Dengan beristiqamah melakukan amalan, perasaan cergas dan minat dapat dikekalkan dan dengan itu, seseorang itu akan sentiasa berada dalam ketaatan dan ingat kepada Allah s.w.t. Perasaan jemu pada hakikatnya, bertentangan dengan maksud ibadat iaitu merasai kehadiran Allah s.w.t. dalam hati dengan penuh ketundukan dan khusu’. Sedangkan sifat jemu itu menafikan ingatan kepada Allah s.w.t.

Hadis ini juga bermaksud supaya seseorang itu hendaklah berusaha menyingkirkan sifat jemu dalam ibadat dan menggantikannya dengan sifat minat sehingga dia merasai kelazatan dan kemanisan beramal. Ini termasuk dalam tuntutan supaya menghiaskan diri dengan sifat-sifat Allah yang tidak jemu. Secara tidak langsung difahami tujuan Rasulullah s.a.w meyebutkan sifat Allah yang tidak jemu supaya kita mengikutinya.

Kemanisan beramal akan dirasai apabila sentiasa beristiqamah dalam amalan. Jika seseorang itu mahu imannya sentiasa meningkat, maka hendaklah berusaha meningkatkan amalannya baik dari segi kuantiti mahupun kualiti. Apabila kemanisan beramal itu menguasainya diri maka tidak beramal itu pula akan mendatangkan kejemuan kepadanya.

Sekiranya hamba itu berhenti beramal kerana jemu maka terputus pahala untuknya dan terputus rahmat Allah daripadanya.

أَلَا أُخْبِرُكُمْ عَنْ النَّفَرِ الثَّلَاثَةِ أَمَّا أَحَدُهُمْ فَأَوَى إِلَى اللَّهِ فَآوَاهُ اللَّهُ وَأَمَّا الْآخَرُ فَاسْتَحْيَا فَاسْتَحْيَا اللَّهُ مِنْهُ وَأَمَّا الْآخَرُ فَأَعْرَضَ فَأَعْرَضَ اللَّهُ عَنْهُ

Tidak mahukah aku khabarkan kepada kamu tiga orang itu. Orang yang pertama itu, dia cenderung kepada Allah maka Allah cenderung kepadanya. Orang kedua, dia malu maka Allah malu kepadanya dan orang yang terakhir dia berpaling maka Allah berpaling daripadanya. (al-Bukhari, Kitab al-‘Ilm, Bab Man Qa’ada Haithu Yantahi bihi al-Majils, Muslim, Kitab al-Salam, Man Ata Majlisan)

Check Also

Hadis Mushkil: Penciptaan Nabi Adam Dan Zuriatnya

Share...TwitterPrintPinterestLinkedinFacebookDigg

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *