Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Lanjutan / Musykilul Atsar / HADIS-HADIS BERKENAAN NAZAR DAN KAITANNYA DENGAN MENGIRIMKAN PAHALA KEPADA SI MATI
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

HADIS-HADIS BERKENAAN NAZAR DAN KAITANNYA DENGAN MENGIRIMKAN PAHALA KEPADA SI MATI

 

Jika si mati bernazar dan meninggal dunia tanpa sempat membayarnya maka syariat mengharuskan kepada warisnya untuk menyempurnakannya. Begitu juga jika si mati menanggung haji dan puasa diharuskan kepada waris untuk melakukannya bagi pihaknya. Perkara ini jelas difahami daripada hadis-hadis Rasulullah s.a.w. bahawa baginda memberi keizinan supaya disempurnakan kewajipan si mati.

Walaupun perkara ini diperdebatkan sejak zaman sahabat lagi sehingga ke hari ini namun jika kita menerima kesimpulan ini maka polemik ini akan selesai tanpa meninggalkan sebarang kesan.

Amalan-amalan yang wajib yang tidak sempat dilaksanakan oleh si mati seperti puasa dan haji boleh dilakukan oleh anak untuk pihaknya. Termasuklah nazar dan kaffarah. Syariat memberi keizinan sebegini supaya si mati tidak lagi menanggung kewajipan dan dia terlepas dari dosa serta tidak diazab kerana meninggalkannya.

Apa yang dilakukan oleh waris itu sama sekali tidak boleh dianggap sebagai satu amalan untuk menghadiahkan pahala untuk si mati. Bahkan ianya dilaksanakan untuk menyelesaikan hutang yang dipikul oleh si mati supaya si mati berhadapan dengan Allah s.w.t di akhirat dalam keadaan telah tertunai segala kewajipan yang ditaklifkan kepadanya.

Waris yang menunaikan haji untuk si mati hanya boleh dianggap sebagai wakil sahaja. Tegasnya, dia bertindak mewakili si mati yang tidak sempat menunaikannya. Perbuatan wakil itu tidak boleh dianggap sebagai perbuatannya sendiri kerana itu adalah perbuatan orang yang diwakilkan bagi pihaknya.

Dalam masalah yang sama, jika orang yang diwakilkan itu berhutang maka warisnya akan membayarnya bagi pihaknya. Waris bertanggungjawab untuk melepaskan bebanan hutang yang ditanggung oleh si mati. Dengan itu, waris itu menjadi wakil si mati.

Kesimpulan ini diambil daripada hadis Rasulullah s.a.w Baginda telah menyamakan ibadat yang ditanggung oleh si mati dengan hutang.

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ أُمِّي مَاتَتْ وَعَلَيْهَا صَوْمُ شَهْرٍ أَفَأَقْضِيهِ عَنْهَا قَالَ نَعَمْ قَالَ فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى

Daripada Ibn Abbas katanya seorang lelaki datang menemui Rasulullah s.a.w. seraya berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya ibu saya telah meninggal dunia dan dia berkewajipan untuk berpuasa sebulan. Apakah saya boleh menunaikannya untuk pihaknya? Rasulullah s.a.w. menjawab: “Ya.” Kemudian baginda bersabda lagi: “Maka hutang Allah itu lebih berhak untuk dibayar.”[1]

Seolah-olah ini adalah salah satu bentuk hutang dan hutang mesti diselesaikan oleh si waris.

HADIS SA’AD BIN UBADAH

Antara hadis yang dikatakan sebagai dalil kepada sampainya pahala kepada si mati ialah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aishah:

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّ رَجُلًا قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ أُمِّي افْتُلِتَتْ نَفْسُهَا وَأُرَاهَا لَوْ تَكَلَّمَتْ تَصَدَّقَتْ أَفَأَتَصَدَّقُ عَنْهَا قَالَ نَعَمْ تَصَدَّقْ عَنْهَا

Daripada ‘Aishah bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: “Sesungguhnya ibu saya telah meninggal dunia secara mengejut dan saya fikir kalau beliau sempat memberitahu, beliau akan bersedeqah. Apakah boleh saya bersedeqah untuk pihaknya? Rasulullah s.a.w. menjawab: “Ya, bersedeqahlah bagi pihaknya.[2]

Perawi yang meriwayatkan hadis ini hanya menyampaikannya dengan lafaz عنها (bagi pihaknya) bukan لها (untuknya). Lafaz عنها menunjukkan bahawa sahabat yang bertanya berpendapat bahawa si mati sendiri mempunyai keinginan untuk mewasiatkan hartanya tetapi tidak sempat berbuat demikian. Beliau tidak bertanya dengan menggunakan lafaz لها yang membawa pengertian bersedeqah untuk si mati dengan menyalurkan pahala itu kepadanya. Ini membuktikan bahawa akidah atau amalan menghadiahkan pahala tidak pernah terlintas pada fikiran sahabat.

Hadis ini sangat ringkas dan perlu kepada penafsiran yang lebih jelas dan mesti ditentukan sabab al-wurud (sebab kedatangannya). Mengikut kaedah usul, dalil yang bersifat mujmal perlu kepada dalil yang menjelaskannya yang diistilahkan oleh ulama Usul al-Fiqh sebagai mubayyin. Hadis berikut ini menerangkan dengan lebih jelas latar belakang mengapa Rasulullah s.a.w. mengucapkan hadis sebelum ini dan siapakah yang bertanya.

عَنْ سَعِيدِ بْنِ عَمْرِو بْنِ شُرَحْبِيلَ بْنِ سَعِيدِ بْنِ سَعْدِ بْنِ عُبَادَةَ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ قَالَ خَرَجَ سَعْدُ بْنُ عُبَادَةَ مَعَ النَّبِىِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِى بَعْضِ مَغَازِيهِ وَحَضَرَتْ أُمَّهُ الْوَفَاةُ بِالْمَدِينَةِ فَقِيلَ لَهَا أَوْصِى . فَقَالَتْ فِيمَ أُوصِى الْمَالُ مَالُ سَعْدٍ . فَتُوُفِّيَتْ قَبْلَ أَنْ يَقْدَمَ سَعْدٌ فَلَمَّا قَدِمَ سَعْدٌ ذُكِرَ ذَلِكَ لَهُ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ هَلْ يَنْفَعُهَا أَنْ أَتَصَدَّقَ عَنْهَا فَقَالَ النَّبِىُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ « نَعَمْ » . فَقَالَ سَعْدٌ حَائِطُ كَذَا وَكَذَا صَدَقَةٌ عَنْهَا لِحَائِطٍ سَمَّاهُ

Daripada Sa’id bin ‘Amar bin Syurahbil bin Sai’d bin Sa’ad bin Ubadah daripada bapanya daripada datuknya katanya: Sa’ad telah keluar berperang dengan Rasulullah s.a.w. dalam salah satu peperangan dan ibunya telah hampir meninggal dunia di Madinah. Lalu dikatakan kepada ibunya: “Wasiatkanlah.” Ibunya menjawab: “Untuk apa saya hendak mewasiatkan, harta itu harta Sa’ad.” Ibunya meninggal dunia sebelum Sa’ad pulang. Apabila Sa’ad tiba, perkara itu disebutkan kepadanya lalu beliau bertanya, wahai Rasulullah adakah akan memberi manfaat kepada ibuku jika saya bersedekah bagi pihaknya. Rasulullah s.a.w. menjawab: “Ya”. Maka Sa’ad mengisyaratkan kebun sekian sekian sebagai sedeqah bagi pihaknya bagi kebun yang disebutkannya.[3]

Ini juga tidak ada kaitan dengan amalan menghadiahkan pahala kepada si mati. Ini adalah hadis yang paling lengkap tentang ibu Sa’ad ini. Ibunya hampir hendak mewasiatkan tetapi tidak sempat melakukannya kerana memikirkan harta itu menjadi hak Sa’ad yakni akan menjadi harta pusaka Sa’ad. Beliau meninggal dunia sebelum kepulangan Sa’ad dan tidak sempat menyatakan hasratnya untuk mewakafkan hartanya. Berdasarkan kepada sifat ibunya, Sa’ad berpendapat ibunya akan bersedeqah atau mewakatkan harta kalau berpeluang berbuat demikian. Oleh itu, beliau bertindak bagi pihak ibunya untuk mewakafkan kebunnya itu.

Berasaskan kepada kefahaman hadis ini, disunatkan bagi anak atau warisnya untuk menyempurnakan niat wasiat tersebut. Ini kerana lafaz عن membawa maksud seseorang itu hendak melakukan sesuatu aqad tetapi tidak dapat berbuat demikian lalu orang lain menjadi wakil bagi pihaknya. Sebagaimana yang disimpulkan oleh Imam al-Bukhari dalam tajuk bab ‘Perkara Yang Disunatkan Kepada Orang Lain Untuk Bersedeqah Bagi Pihak Si Mati Yang Meninggal Dunia Secara Mengejut Dan Menunaikan Nazar Baginya’.

Dalam hadis ini juga tidak ada bukti bahawa sedekah itu dilakukan untuk dihadiahkan pahala untuk ibunya tetapi menunaikan wasiat bagi pihak ibunya kerana lafaz yang digunakan adalah عن yang menunjukkan bagi pihak atau sebagai wakil.

Tetapi dalam satu riwayat yang lain menyebutkan nazar bukan wasiat iaitu hadis yang dikeluarkan oleh Imam al-Nasa`i melalui jalan Abdullah bin ‘Ubaidillah.

أَخْبَرَنَا مُحَمَّدُ بْنُ صَدَقَةَ الْحِمْصِىُّ قَالَ حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ شُعَيْبٍ عَنِ الأَوْزَاعِىِّ عَنِ الزُّهْرِىِّ أَخْبَرَهُ عَنْ عُبَيْدِ اللَّهِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ عَنْ سَعْدِ بْنِ عُبَادَةَ أَنَّهُ اسْتَفْتَى النَّبِىَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِى نَذْرٍ كَانَ عَلَى أُمِّهِ فَمَاتَتْ قَبْلَ أَنْ تَقْضِيَهُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ « اقْضِهِ عَنْهَا » .

Daripada Ibn Abbas daripada Sa’ad bin ’Ubadah bahawa beliau bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang nazar yang menjadi kewajipan kepada ibunya dan beliau meninggal dunia sebelum sempat menunaikannya. Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tunaikanlah bagi pihaknya.”[4]

Dalam hadis ini disebutkan nazar bukan wasiat. Rasulullah s.a.w. memerintahkan Sa’ad membayar nazar tersebut kerana adalah tanggungjawab si mati yang mesti ditunaikan oleh warisnya. Nazar samalah seperti hutang dan ia lebih patut lagi dibayar kerana ia merupakan hutang dengan Allah swt. Begitu juga dalam hadis ini, lafaz عن digunakan dengan makna bagi pihak dan tidak ada kaitan langsung dengan mensedekahkan pahala. Membayar hutang sama sekali tidak sama dengan memberi hadiah, apatah lagi menghadiahkan pahala.

 


[1] al-Bukhari, Kitab al-Shaum, Bab Man Mata Wa ‘Alaihi al-Shaum, Muslim, Kitab al-Shiyam, Bab Qadha al-al-Shiyam ‘An al-Mayyit.

[2]AlBukhari, Kitab al-Wasaya, Bab Ma Yustahabbu Li Man Tuwuffiya Fuja`ah, Muslim, Kitab al-Wasiyyah, Bab Wusul al-Thawab al-Sadaqat Ila al-Mayyit.

[3] Malik, Kitab al-Aqdhiyah, Bab Sadaqah al-Hayy ‘An al-Mayyit, al-Nasa`i, Kitab al-Wasaya, Bab Iza Mat Fuj`ah Hal Yustahabb Li Ahli An Yatasaddaqa ‘Anhu

[4] Al-Nasa`i, Kitab al-Wasaya, Bab Fadhl al-Sadaqah ‘An al-Mayyit.

Check Also

Hadis Mushkil: Penciptaan Nabi Adam Dan Zuriatnya

Share...TwitterPrintPinterestLinkedinFacebookDigg

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *