Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Lanjutan / Musykilul Atsar / BEBERAPA KEMUSYKILAN DALAM HADIS SEBAB-SEBAB WANITA DIKAHWINI
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

BEBERAPA KEMUSYKILAN DALAM HADIS SEBAB-SEBAB WANITA DIKAHWINI


وَعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ تُنْكَحُ اَلْمَرْأَةُ لِأَرْبَعٍ لِمَالِهَا وَلِحَسَبِهَا وَلِجَمَالِهَا وَلِدِينِهَا فَاظْفَرْ بِذَاتِ اَلدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ – مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ

Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah s.a.w. sabdanya: “Perempuan dinikahi kerana empat, kerana hartanya, kemuliaannya, kecantikannya dan kerana agamanya, maka pilihlah yang beragama (kalau kamu tidak pilih yang beragama) lekat tanah di tanganmu.[1]

Kemusykilan Pertama: Adakah Keempat Perkara Ini Merupakan Perintah

Ada yang menyangka bahawa Rasulullah s.a.w. memerintahkan kita supaya mengahwini perempuan kerana keempat-empat perkara iaitu harta, kedudukan, kecantikan dan agama. Sebenarnya hadis ini menyatakan empat perkara yang pada kebiasaannya menjadi sebab kepada pemilihan seseorang sebagai isteri bukannya sebagai suatu perintah kepada umat memilih perempuan yang lengkap dengan semua perkara ini.[2]

Adat kebiasaan manusia dalam berkahwin kerana menurut pandangan masing-masing bahawa pilihannya itu membawa kepada kebahagiaan. Ada yang memilih orang kaya kerana pada sangkaannya kebahagiaan terletak pada harta yang banyak. Padahal harta yang banyak biasanya membawa kemudharatan. Ada juga yang menganggap status sosial sebagai keperluan dan kepuasan hidup, maka dengan sebab itu perempuan yang berkedudukan menjadi pilihan. Ada juga yang mengutamakan kecantikan kerana pada pandangannya kecantikan adalah kenikmatan bagi matanya dan dia berbangga di hadapan orang lain kerana memiliki wanita yang paling cantik.

Sebagai orang yang mengutamakan kebahagiaan akhirat dan mempunyai pendirian dan tanggungjawab, Rasulullah s.a.w. menasihati para pemuda supaya mengutamakan yang beragama. Dalam usia yang muda, selalunya pandangan dan pemikiran seseorang belum mencapai tahap kematangan sepenuhnya. Oleh sebab itu, Rasulullah menekankan kepentingan isteri yang solehah.

Maksud hadis ini ialah galakan dan gesaan supaya mengahwini perempuan yang beragama dan ingatan supaya tidak memilih yang tidak mempunyai sifat ini walaupun dia bukan seorang yang kaya, rupawan dan bangsawan. Tidak ada makna dan nilai pada wanita itu melainkan agama dan akhlaknya sekalipun dia seorang yang paling jelita, kaya, serta bangsawan. Apabila telah ada pada perempuan itu sifat kesolehan maka pilihlah sifat-sifat lain yang membawa kepada kesempurnaan. Harta yang banyak akan selamat dan berguna jika ada pada orang yang bertaqwa. Kecantikan rupa paras bertambah seri dengan akhlak yang mulia.

Walaupun masyarakat semasa hanya melihat faktor zahir namun seorang yang beriman dan mengharapkan kebahagian dunia dan akhirat akan mengutamakan isteri yang kuat menjaga agama. Masyarakat yang kurang mementingkan agama hanya memandang faktor luaran semata-mata. Inilah teguran yang terkandung dalam hadis ini, iaitu untuk mengubah pandangan dari semata-mata melihat kepada faktor tabi’i atau shahwaniyyah kepada mengutamakan faktor imani dan dini.

Hadis ini menegaskan tidak sepatutnya seseorang itu terikut-ikut dengan orang ramai yang tidak menjadikan agama matlamat utama mereka. Rasulullah s.a.w. menegaskan satu-satunya pilihan yang tepat ialah mengutamakan agama. Orang yang bijak hendaklah menilai, merenung serta mengambil kira masa hadapannya. Jangan pandangannya yang seketika itu menutup pemikirannya sehinggakan sesiapa sahaja yang merupakan pandangan pertamanya menjadi jodohnya untuk selama-lamanya. Walaupun demikian tidaklah menjadi satu dosa kepada seseorang yang memilih kerana harta dan kedudukan, namun dia tidak terlepas daripada celaan jika sifat yang utama iaitu agama diabaikan.

Kemusykilan Kedua: Apakah Islam Menolak Faktor Tabi’i Dalam Pemilihan Isteri?

Secara zahir ada yang berpendapat sekiranya kita beramal dengan hadis ini bermakna tidak ada ruang untuk kita memilih wanita yang cantik dan berharta. Maka di sini apakah Islam menentang harta dan kecantikan? Tidak, bahkan Islam menyeru supaya agama hendaklah dijadikan asas pilihan ikhtiar. Janganlah sesekali pemilihan itu hanya berdasarkan kepada kecantikan semata-mata.[3] Sebagaimana yang terdapat dalam beberapa hadis lain gesaan supaya mengambil kira sifat-sifat cantik kerana maksud untuk menundukkan pandangan dan memelihara diri akan lebih tercapai dengan mengahwini isteri yang cantik.

Kemusykilan Ketiga: Apakah Rasulullah s.a.w. Mendoakan Keburukan Untuk Umatnya

Maksud lekat tanah di tanganmu ialah apabila kamu jatuh fakir kamu terkena tanah, melarat sampai ke tanah.

Ucapan ini digunakan dalam percakapan orang-orang Arab dalam konteks puji dan cela. Tidak dimaksudkan sebagai doa buruk dalam percakapan kerana adakalanya ia dimaksudkan sebagai doa kebaikan.

Maknanya di sini ialah carilah perempuan yang beragama soleh wahai orang yang bijak lagi berakal pasti engkau akan dicemburui kerana kebijaksanaanmu kerana ada yang berkata, wahai fulan, pasti kamu jatuh hina sampai kena tanah kalau kamu pilih yang sebaliknya.[4]

Dari sini dapat difahami bahawa sesuatu ucapan hendaklah difahami mengikut uruf dan adat masyarakat yang menggunakannya. Oleh itu, tidak boleh sama sekali memahaminya semata-mata dengan makna bahasa. Dalam hal ini kaedah fiqhiyyah menyatakan “percakapan orang ramai ditafsirkan mengikut adat yang berlaku di kalangan mereka”.[5]

 

 

Disediakan oleh Muhammad Hanief Awang Yahaya untuk www.darulkautsar.net

[1] Al-Bukhari, no: 5090, Muslim, no: 1466, Abu Dawud, no: 2047, al-Nasa`i, no: 3230, Ibn Majah, no: 1858, Ahmad, no: 9521, al-Darimi, no: 2170
[2] Al-Qurtubi, al-Mufhim, jil. 4, hal. 215
[3] Mufi Taqi ‘Uthmani, Takmilah Fath al-Mulhim, jil. 1, hal. 84.
[4] Al-Sindi, Kifayah al-Hajah ‘Ala Sunan Ibn Majah dalam Shuruh Ibn Majah, jil. 1, hal. 733.
[5] Muhammad al-Zuhayli, ‘Al-Qawa’id al-Fiqhiyyah Wa Tatbiqatuha Fi al-Madhahib al-Arba’ah, jil. 1, hal. 335.

Check Also

Hadis Mushkil: Penciptaan Nabi Adam Dan Zuriatnya

Share...TwitterPrintPinterestLinkedinFacebookDigg

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *