Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Lanjutan / Mukhtaliful Hadis / Penyelarasan Dua Hadis Yang Bertentangan Dengan Kaedah Penafsiran Sebagai Ma’na Majaz
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Penyelarasan Dua Hadis Yang Bertentangan Dengan Kaedah Penafsiran Sebagai Ma’na Majaz

Muhammad Hanief Awang Yahaya

Dari segi penggunaan makna, lafaz terbahagi kepada haqiqat dan majaz. Haqiqat ialah lafaz yang digunakan pada maknanya yang asal dalam istilah yang diguna pakai oleh sesebuah bangsa. Majaz ialah lafaz yang digunakan pada bukan maknanya yang asal diletakkan kerana terdapat qarinah yang menghalang dari pemahaman sebagai makna haqiqat.

Maksud penyelarasan dengan mentafsirkan lafaz dengan makna majaz ialah apabila dua hadis yang mempunyai pengertian yang khusus bercanggah antara satu sama lain yang berkaitan dengan dua masalah yang sama tetapi mempunyai dua makna yang berbeza. Salah satu dari hadis ini mempunyai dua makna berikut:

  1. Makna haqiqi yang bercanggah dengan makna haqiqi bagi hadis yang satu lagi.
  2. Makna majazi yang bersamaan dengan makna haqiqi bagi hadis yang satu lagi.

Supaya bersesuaian antara dua hadis dan tidak ada lagi percanggahan maka hadis yang mempunyai dua makna itu ditafsirkan dengan makna majazi. Dengan cara ini, kedua-dua hadis ini diamalkan iaitu hadis pertama dipakai maknanya yang haqiqi dan hadis yang satu lagi dipakai dengan maknanya yang majazi. (‘Abdul Majid, Manhaj al-Tawfiq Wa al-Tarjih Bayn Mukhtalif al-Hadith, hal. 183)

Contoh

Masalah wajib berniat puasa Ramadan pada waktu malam

عَنْ حَفْصَةَ زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ لَمْ يُجْمِعْ الصِّيَامَ قَبْلَ الْفَجْرِ فَلَا صِيَامَ لَهُ

Daripada Hafsah, isteri Rasulullah s.a.w. bahawa baginda bersabda: ‘Sesiapa yang tidak berniat puasa sebelum fajar maka tiada puasa baginya. (Abu Dawud, no: 2454, al-Tirmidhi, no: 730, Ahmad, no:  26457, al-Nasa`i, no: 2331)

عَنْ سَلَمَةَ بْنِ الْأَكْوَعِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ أَمَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلًا مِنْ أَسْلَمَ أَنْ أَذِّنْ فِي النَّاسِ أَنَّ مَنْ كَانَ أَكَلَ فَلْيَصُمْ بَقِيَّةَ يَوْمِهِ وَمَنْ لَمْ يَكُنْ أَكَلَ فَلْيَصُمْ فَإِنَّ الْيَوْمَ يَوْمُ عَاشُورَاءَ

Daripada Salamah bin al-Akwa’ katanya, Rasulullah s.a.w. memerintahkan seorang lelaki dari Bani Aslam supaya menyeru pada orang ramai bahawa sesiapa yang telah makan maka hendaklah dia berpuasa pada baki hari yang tinggal dan sesiapa yang belum makan maka hendaklah dia berpuasa kerana sesungguhnya hari ini adalah hari ‘Ashura`.” (al-Bukhari, no: 2007, Muslim: 1135)

عَنْ عَائِشَةَ أُمِّ الْمُؤْمِنِينَ قَالَتْ دَخَلَ عَلَيَّ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ فَقَالَ هَلْ عِنْدَكُمْ شَيْءٌ فَقُلْنَا لَا قَالَ فَإِنِّي إِذَنْ صَائِمٌ ثُمَّ أَتَانَا يَوْمًا آخَرَ فَقُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ أُهْدِيَ لَنَا حَيْسٌ فَقَالَ أَرِينِيهِ فَلَقَدْ أَصْبَحْتُ صَائِمًا فَأَكَلَ

Daripada ‘A`ishah katanya pada suatu hari, Rasulullah s.a.w. masuk menemui saya dan bertanya apakah ada apa-apa (untuk dimakan) pada kamu. Kami menjawab, tidak ada. Baginda bersabda: “Kalau begitu saya berpuasa. Pada suatu hari yang lain pula baginda datang menemui kami dan kami berkata kepada baginda, wahai Rasulullah, kami telah dihadiahkan hais (sejenis makanan).”  Baginda menjawab: “Tunjukkan kepada saya dan saya telah pun berpuasa.” Kemudian baginda memakannya. (Muslim, no: 1154, al-Nasa`i, no: 2324-2332, Abu Dawud, no: 2455, al-Tirmidhi, no: 733, 734)

Hadis Hafsah menunjukkan bahawa tidak sah puasa orang yang tidak berniat pada waktu malam sebelum terbit fajar. Manakala hadis Salamah bin al-Akwa’ dan ‘A`ishah menunjukkan sahnya puasa walaupun seseorang itu berniat pada siang hari.

Penyelesaian

Mazhab Hanafi berpendapat bahawa penafian yang dinyatakan dalam hadis Hafsah sebagai penafian terhadap puasa yang sempurna bukan penafian terhadap sahnya puasa. (lihat Ibn al-Humam, Fath al-Qadir Sharh al-Hidayah, jil. 2, hal. 311)

Dengan memakai makna majaz pada penafian puasa, kedua-dua hadis dapat diamalkan. Jumhur ulama pula menyelaraskan kedua-dua hadis ini dengan kaedah mentafsirkan dengan dua keadaan yang berlainan. Hadis Hafsah diamalkan dalam konteks puasa Ramadan manakala hadis ‘A`ishah berkaitan dengan puasa sunnat. (lihat al-Nawawi, al-Majmu’ Bi Sharh al-Muhazzab, jil. 6, hal. 318-319)

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

‘,”,”);

 

Check Also

HADIS MUKHTALIF TENTANG KAYFIYYAT TAYAMMUM

  Hadis pertama: وَعَنْ عَمَّارِ بْنِ يَاسِرٍ رَضِيَ اَللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ بَعَثَنِي اَلنَّبِيُّ صلى الله …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *