Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Lanjutan / Mukhtaliful Hadis / PENYELARASAN DENGAN MENTAFSIRKAN AL-AMR (PERINTAH) DENGAN MAKNA SUNNAT
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

PENYELARASAN DENGAN MENTAFSIRKAN AL-AMR (PERINTAH) DENGAN MAKNA SUNNAT

Disediakan Oleh: Muhammad Hanief Awang Yahaya

 

Ada kalanya didapati beberapa hadis yang menunjukkan ma’na wajib kerana lafaznya didatangkan dalam bentuk perintah (al-amr). Dalam masa yang sama juga, terdapat hadis yang tidak menunjukkan kepada wajib. Oleh itu, dalam menyelesaikan percanggahan ini ulama menggunakan kaedah al-jam’ bi haml al-amr ‘ala al-nadb iaitu menyelaraskan hadis-hadis yang bercanggah, dengan mentafsirkan amar (perintah) dengan makna sunnat.

Pengertian Amr

Perbahasan tentang amar adalah perbahasan yang sangat penting. Oleh sebab itu, Imam al-Sarakhsi menyatakan, penjelasan yang paling berhak untuk dimulakan ialah tentang amar dan nahi (larangan) kerana sebahagian besar ibtila` ya’ni ujian taklif kepada manusia berasaskan kepada kedua-duanya. Dengan mengetahui akan sempurna pengetahuan tentang hukum-hukum syara’ dan dapat dibezakan antara halal dan haram. (Usul al-Sarakhsi, jil. 1, hal. 11)

Amar ialah lafaz yang menunjukkan kepada meminta supaya sesuatu perbuatan dilakukan. Permintaan supaya dilakukan perbuatan ini datang dari pihak atas kepada orang yang rendah daripadanya. Maksud dari pihak atas ialah perintah itu datang daripada Allah s.w.t yang ditujukan kepada manusia.

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآَتُوا الزَّكَاةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِينَ

Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk. (Surah al-Baqarah: 43)

وَذَرُوا ظَاهِرَ الْإِثْمِ وَبَاطِنَهُ وَذَرُوا ظَاهِرَ الْإِثْمِ وَبَاطِنَهُ إِنَّ الَّذِينَ يَكْسِبُونَ الْإِثْمَ سَيُجْزَوْنَ بِمَا كَانُوا يَقْتَرِفُونَ

Dan tinggalkanlah kamu dosa yang nyata dan yang tersembunyi. kerana sesungguhnya orang-orang yang berusaha melakukan dosa, mereka akan dibalas dengan apa yang mereka telah lakukan. (Surah al-An’am: 120)

Asal Lafaz Amar Menunjukkan Kepada Wajib

Amar tidak dipakai dengan makna wajib apabila ia didatangkan dengan qarinah atau tanda yang memalingkannya daripada makna yang asal, iaitu wajib kepada makna sunnat. Antara qarinahnya ialah seperti tersebut lafaz li man sya`, iaitu kepada sesiapa yang mahu.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ الْمُزَنِيِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلُّوا قَبْلَ صَلَاةِ الْمَغْرِبِ قَالَ فِي الثَّالِثَةِ لِمَنْ شَاءَ كَرَاهِيَةَ أَنْ يَتَّخِذَهَا النَّاسُ سُنَّةً

Daripada ‘Abdullah bin al-Muzani katanya, Rasulullah s.a.w bersabda: “Sembahyanglah sebelum sembahyang Maghrib dua rakaat, baginda berkata kali ketiga kepada sesiapa yang mahu.” Kerana bimbang orang ramai menjadikannya sebagai sunnah yang sabit secara berterusan. (al-Bukhari)

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مُغَفَّلٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَ كُلِّ أَذَانَيْنِ صَلَاةٌ بَيْنَ كُلِّ أَذَانَيْنِ صَلَاةٌ لِمَنْ شَاءَ

Daripada ‘Abdullah bin Mughaffal katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Di antara dua azan ada sembahyang, kepada sesiapa yang mahu.” (Abu Daud)

Sunnat ialah perkara yang dituntut oleh syara’ supaya dikerjakan tanpa ada celaan jika meninggalkan.

Mentafsirkan wajib yang difahami daripada lafaz amar yang terdapat dalam sebuah hadis dengan makna sunnat apabila sebuah hadis lain menunjukkan kepada tidak wajib.

Contoh:

Masalah mandi pagi Jumaat

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا جَاءَ أَحَدُكُمْ الْجُمُعَةَ فَلْيَغْتَسِلْ

Daripada ‘Abdullah bin ‘Umar bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Apabila seseorang dari kamu pergi Jumaat maka hendaklah dia mandi.” (al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasa`i, Ibn Majah)

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْغُسْلُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُحْتَلِمٍ

Dari Abu Sa’id al-Khudri daripada Rasulullah s.a.w bersabda: “Mandi hari Jumaat adalah wajib bagi setiap orang yang baligh.” (al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Nasa`i, Ibn Majah)

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَقٌّ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ أَنْ يَغْتَسِلَ فِي كُلِّ سَبْعَةِ أَيَّامٍ يَوْمًا يَغْسِلُ فِيهِ رَأْسَهُ وَجَسَدَهُ

Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah s.a.w bersabda: “Menjadi kewajipan kepada setiap orang Islam untuk mandi pada setiap tujuh hari, dia membasuh kepala dan tubuhnya. (al-Bukhari, Muslim, Ahmad)

عَنْ سَمُرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ تَوَضَّأَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ فَبِهَا وَنِعْمَتْ وَمَنْ اغْتَسَلَ فَهُوَ أَفْضَلُ

Daripada Samurah katanya, Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesiapa yang berwudu` pada hari Jumaat maka ia adalah sunnah dan ia sebaik-baik sunnah. Sesiapa yang mandi maka itu lebih afdal. (Abu Daud, al-Nasa`i, al-Tirmizi, Ibn Majah)

عَنْ عَائِشَةَ زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَتْ كَانَ النَّاسُ يَنْتَابُونَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ مِنْ مَنَازِلِهِمْ وَالْعَوَالِيِّ فَيَأْتُونَ فِي الْغُبَارِ يُصِيبُهُمْ الْغُبَارُ وَالْعَرَقُ فَيَخْرُجُ مِنْهُمْ الْعَرَقُ فَأَتَى رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنْسَانٌ مِنْهُمْ وَهُوَ عِنْدِي فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَوْ أَنَّكُمْ تَطَهَّرْتُمْ لِيَوْمِكُمْ هَذَا

Daripada ‘A`ishah, isteri Rasulullah s.a.w katanya, orang ramai datang dari rumah mereka dan pinggir kota (kawasan yang lebih kurang empat batu atau lebih dari Madinah) pada Hari Jumaat (untuk sembahyang Jumaat), mereka melalui kawasan berdebu menyebabkan debu mengenai mereka dan peluh membasahi mereka. Mereka mengeluarkan peluh menyebabkan keadaan tidak menyenangkan). Ada seorang lelaki telah datang menemui Rasulullah s.a.w dan pada ketika baginda berada di rumah saya. Baginda bersabda: “Kalaulah kamu bersuci dengan bersungguh-sungguh (mandi) untuk hari (perhimpunan) kamu ini (ya’ni tentu lebih baik). (al-Bukhari dan Muslim)

Wajah pertentangan ialah hadis pertama, kedua dan ketiga menunjukkan wajib manakala dua hadis yang terakhir pula menunjukkan perintah mandi itu tidak diberatkan.

Penyelesaian

Perintah wajib yang disebutkan dalam tiga hadis ditafsirkan sebagai sunnat kerana dalam dua hadis yang terakhir menunjukkan ma’na pilihan tanpa ada lafaz yang mewajibkan.

Masalah aqiqah

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ نَعُقَّ عَنْ الْغُلَامِ شَاتَيْنِ وَعَنْ الْجَارِيَةِ شَاةً

Daripada ‘A`ishah katanya, Rasulullah s.a.w memerintahkan kami supaya melakukan ‘aqiqah bagi anak lelaki dua ekor kambing dan bagi anak perempuan seekor kambing. (Ibn Majah)

عَنْ عَمْرِو بْنِ شُعَيْبٍ عَنْ أَبِيهِ أُرَاهُ عَنْ جَدِّهِ قَالَ سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الْعَقِيقَةِ فَقَالَ لَا يُحِبُّ اللَّهُ الْعُقُوقَ كَأَنَّهُ كَرِهَ الِاسْمَ وَقَالَ مَنْ وُلِدَ لَهُ وَلَدٌ فَأَحَبَّ أَنْ يَنْسُكَ عَنْهُ فَلْيَنْسُكْ عَنْ الْغُلَامِ شَاتَانِ مُكَافِئَتَانِ وَعَنْ الْجَارِيَةِ شَاةٌ

Diriwayatkan daripada ‘Amr bin Shu’ayb daripada ayahnya daripada datuknya katanya, Rasulullah s.a.w ditanya tentang ‘aqiqah. Baginda bersabda: “Allah s.w.t tidak menyukai ‘uquq.” Seolah-olah baginda tidak menyukai nama itu. Baginda bersabda: “Sesiapa dilahirkan anak untuknya dan dia suka untuk menyembelih baginya maka dia boleh menyembelih bagi anak lelaki dua ekor kambing yang sama saiz dan seekor bagi anak perempuan. (Abu Daud)

Wajah pertentangan ialah hadis pertama menunjukkan wajib aqiqah kerana lafaz yang disebutkan oleh ‘A`ishah ialah Rasulullah s.a.w memerintahkan kami, dan kaedah usul menyatakan perintah menunjukkan kepada wajib. Manakala hadis kedua menunjukkan tidak wajib kerana baginda memberi pilihan kepada orang yang mahu menyembelih. Memberi pilihan tidak menunjukkan wajib, paling tinggi hanya menunjukkan kepada sunnat.

Penyelesaiannya ialah hadis yang menyebutkan perintah melakukan ‘aqiqah ditafsirkan sebagai suruhan yang sunnat kerana memakai makna hadis kedua yang tidak mewajibkan. Sekiranya ‘aqiqah itu wajib pasti Rasulullah s.a.w tidak akan memberi pilihan untuk menyembelih ‘aqiqah atau tidak

Check Also

HADIS MUKHTALIF TENTANG KAYFIYYAT TAYAMMUM

  Hadis pertama: وَعَنْ عَمَّارِ بْنِ يَاسِرٍ رَضِيَ اَللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ بَعَثَنِي اَلنَّبِيُّ صلى الله …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *