Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Lanjutan / Mukhtaliful Hadis / LARANGAN DENGAN MAKNA MAKRUH
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

LARANGAN DENGAN MAKNA MAKRUH

Disediakan oleh: Muhammad Hanief Awang Yahaya

 

Larangan ialah tuntutan dari pihak yang tinggi supaya menahan diri daripada melakukan sesuatu perbuatan. Maksud pihak yang tinggi ialah larangan itu datang dari pihak tinggi, ya’ni syara’ terhadap orang yang dilarang, ya’ni mukallaf. Apabila larangan itu datang dari Allah s.w.t atau Rasulullah s.a.w maka ianya memberi makna tidak harus mengerjakan perbuatan itu sama sekali. (lihat Muhammad Amin al-Shinqiti, Muzakkirat Fi Usul al-Fiqh, hal. 241, ‘Abdul Karim Zaydan, al-Wajiz Fi Usul al-Fiqh, hal. 301)

Ini merupakan makna asal bagi larangan iaitu haram. Walau bagaimanapun, sekiranya terdapat tanda atau dalil lain yang menunjukkan kepada sebaliknya maka pada ketika itu hukum tersebut tidak boleh dihukumkan haram tetapi makruh sahaja.

Maksud haram ialah apa yang dituntut oleh syara’ secara tegas supaya mukallaf menahan diri dari melakukannya. Ia difahami berdasarkan lafaz yang menunjukkan perbuatan itu mesti ditinggalkan seperti fi’l al-Nahy (kata kerja larangan) atau terdapat ancaman azab sekiranya ia dilakukan. Manakala makruh ialah apa yang dituntut oleh syara’ secara tidak tegas supaya mukallaf menahan diri dari melakukannya. (lihat ‘Abdul Karim Zaydan, al-Wajiz Fi Usul al-Fiqh, hal. 41 & 45)

Apabila terdapat percanggahan antara dua hadis atau lebih, hadis yang pertama mengandungi hukum haram berdasarkan kepada lafaz larangan manakala hadis kedua pula tidak menunjukkan makna haram maka pada ketika itu kaedah haml al-nahy ‘ala al-karahah (mentafsirkan larangan dengan makna makruh) digunakan untuk menyelaraskan antara kedua-duanya.

Menyelesaikan hadis yang saling bercanggah dengan kaedah ini bermaksud meninggalkan pergertian asal lafaz larangan dalam hadis yang mengandungi hukum haram dan menurunkan larangan tersebut kepada makna yang lebih rendah kerana pada ketika itu terdapat tanda atau unsur yang melonggarkan hukum haram tersebut. Qarinah tersebut memalingkan makna asal yang tegas kepada makna yang tidak tegas iaitu makruh.

Contoh:

Larangan Buang Air Dengan Mengadap Dan Membelakangkan Kiblat

عَنْ أبي أيّوبَ الأنصاري رَضِي الله عَنْهُ قال: قالَ رسول الله صلى الله عليه وسلم “إِذا أردتمُ الغَائِطَ فَلا تَستقْبِلوا القِبلَةَ بِغَاِئطٍ وَلا بَوْل وَلا تسْتدْبِرُوهَا وَلكنْ شَرقوا أوْ غَربُوا”. قال أبو أيوب: “فقدمنا الشام فوجدنا مراحيض قد بنيت نحو الكعبة، فننحرف عنها، ونستغفر الله عز وجل”

Daripada Abu Ayyub al-Ansari katanya Rasulullah s.a.w bersabda: “Apabila kamu pergi ke tempat buang air maka janganlah buang air besar atau kecil dengan menghadap kiblat dan juga jangan membelakangkannya tetapi menghadaplah ke arah timur atau barat.” Abu Ayyub berkata: “Kami pergi ke Syam dan mendapati bilik-bilik air di sana dibina menghadap kiblat dan kamipun mengelak darinya dan beristighfar kepada Allah s.w.t.” (al-Bukhari dan Muslim)

عَنْ عَبْدِ الله بْنِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضيَ الله عَنْهُمَا قَالَ: رَقيِتُ يَوْماً عَلَى بَيْتِ حَفْصَةَ، فَرَأيْتُ النبي صلى الله عليه وسلم يَقْضى حَاجَتَهُ مُسْتَقْبلَ الشَّام مُسْتَدْبرَ الكَعْبَةِ.

Daripada ‘Abdullah bin ‘Umar bin al-Khattab katanya: “Suatu hari saya memanjat atas bumbung rumah Hafsah. Tiba-tiba saya ternampak Rasulullah sedang menunaikan hajatnya dengan menghadap ke Syam dan membelakangkan kiblat. (al-Bukhari dan Muslim)

Hadis Abu Ayyub menunjukkan larangan menghadap dan membelakangkan kiblat semasa buang air dan larangan menghendaki perbuatan itu haram, manakala hadis ‘Abdullah bin ‘Umar menunjukkan perbuatan tersebut tidak haram kerana Rasulullah s.a.w sendiri melakukannya dan baginda tidak akan melakukan perkara yang haram.

Penyelesaian

Al-San’ani berkata: “Kita mesti menyelaraskan hadis-hadis ini (yang kelihatan bercanggah) dengan mentafsirkan larangan itu sebagai makruh bukan haram. Walaupun cara ini bertentangan dengan kaedah asal bagi larangan (iaitu memberi makna haram), tetapi terdapat qarinah (tanda) maksud perbuatan Rasulullah s.a.w berlainan dengan hukum (haram) dan bagi menyatakan keharusannya. Saya bersetuju bahawa mentafsirkan hadis-hadis bab (yakni bab larangan menghadap kiblat ketika membuang air) dengan cara ini adalah lebih hampir untuk diterima dan ini juga pendapat satu kumpulan ulama. Dengan ini, pertentangan di antara hadis-hadis dapat dihilangkan.(al-San’ani, al-‘Uddah Hashiyah ‘Ala Ihkam al-Ahkam Sharh ‘Umdah al-Ahkam, jil. 1, hal. 234)

Check Also

HADIS MUKHTALIF TENTANG KAYFIYYAT TAYAMMUM

  Hadis pertama: وَعَنْ عَمَّارِ بْنِ يَاسِرٍ رَضِيَ اَللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ بَعَثَنِي اَلنَّبِيُّ صلى الله …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *