Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Lanjutan / Mukhtaliful Hadis / HADIS MUKHTALIF TENTANG TERBATALNYA WUDU` KERANA TERSENTUH KEMALUAN
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

HADIS MUKHTALIF TENTANG TERBATALNYA WUDU` KERANA TERSENTUH KEMALUAN


عَنْ قَيْسِ بْنِ طَلْقٍ عَنْ أَبِيهِ قَالَ قَدِمْنَا عَلَى نَبِيِّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَجَاءَ رَجُلٌ كَأَنَّهُ بَدَوِيٌّ فَقَالَ يَا نَبِيَّ اللَّهِ مَا تَرَى فِي مَسِّ الرَّجُلِ ذَكَرَهُ بَعْدَ مَا يَتَوَضَّأُ فَقَالَ هَلْ هُوَ إِلَّا مُضْغَةٌ مِنْهُ أَوْ قَالَ بَضْعَةٌ مِنْهُ

Daripada Qays bin Talq daripada ayahnya katanya, kami datang menemui Rasulullah s.a.w lalu datang seorang lelaki seperti seorang badwi lalu bertanya: “Wahai Rasulullah, apa pendapat anda tentang seseorang yang menyentuh kemaluannya dalam sembahyang setelah dia berwudhu`. Rasulullah s.a.w menjawab: “Bukankah ia sebahagian daripada tubuhnya?” (Abu Daud)

عَنْ بُسْرَةَ بِنْتِ صَفْوَانَ رَضِيَ اَللَّهُ عَنْهَا أَنَّ رَسُولَ اَللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَال مَنْ مَسَّ ذَكَرَهُ فَلْيَتَوَضَّأْ

Daripada Busrah binti Safwan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang menyentuh kemaluannya maka hendaklah dia berwudhu`. (Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasa`i, Ibn Hibban dan Ibn Majah)

Sudut pertentangan

Kedua-dua hadis di atas kelihatan bercanggah. Hadis Qays menunjukkan tidak batal wudu` kerana menyentuh kemaluan manakala hadis Busrah pula menunjukkan wudu` mesti diperbaharui apabila menyentuh kemaluan. Perbezaan riwayat ini membawa kepada perselisihan pendapat di kalangan ulama sejak zaman sahabat lagi.

Al-Hazimi dalam kitabnya, al-I’tibar Fi al-Nasikh Wa al-Mansukh Min al-Athar, menukilkan khilaf ulama di kalangan salaf berhubung dengan masalah ini. Golongan pertama yang berpegang dengan hadis ini mengatakan wudhu` tidak terbatal kerana menyentuh kemaluan. Mereka ialah ‘Ali bin Abi Talib, ‘Ammar bin Yasir, ‘Abdullah bin Mas’ud, ‘Abdullah bin ‘Abbas, Huzayfah al-Yaman, ‘Imran bin Husayn, Abu al-Darda`, Sa’d bin Abi Waqqas (dalam salah satu riwayat), Sa’id bin Musayyab (dalam salah satu riwayat), Sa’id bin Jubayr, Ibrahim, Rabi’ah bin Abi ‘Abdul Rahman, Sufyan al-Thawri, Abu Hanifah dan murid-muridnya, Yahya bin Ma’in dan penduduk Kufah. (hal. 40)

Sementara sahabat yang mewajibkan wudhu` ialah ‘Umar bin al-Khattab, Abu Ayyub al-Ansari, Zaid bin Khalid, Abu Hurayrah, ‘Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As, Jabir, ‘A`ishah, Ummu Habibah, Busrah binti Safwan, Sa’id bin Abi Waqqas dalam salah satu riwayat, begitu juga Ibn ‘Abbas dalam salah satu riwayat.

Di kalangan ulama selepas sahabat yang sependapat dengan mereka ialah ‘Urwah bin al-Zubair, Sulaiman bin Yasar, ‘Ata` bin Abi Rabah, Aban bin ‘Uthman, Jabir bin Zaid, al-Zuhri dan Mus’ab bin Sa’d.

Penyelesaian

Kaedah Nasakh

Golongan mengatakan wudhu` itu batal kerana tersentuh kemaluan berpendapat hadis Talq telah dimansukhkan dengan hadis Busrah. Mereka berhujah bahawa hadis Talq di permulaan hijrah pada masa Rasulullah s.a.w membina masjid. Manakala hadis Busrah, Abu Hurairah dan ‘Abdullah bin ‘Amr datang selepas itu kerana mereka itu lewat memeluk Islam. (al-Hazimi, al-I’tibar, hal. 54)

Kaedah Tarjih

Ulama yang mentarjihkan riwayat Talq kerana beliau sememangnya telah dikenali sebagai sahabat Rasulullah s.a.w dan telah lama bersahabat dengan baginda serta banyak pula hadis yang diriwayatkannya. (al-I’tibar, hal. 43)

Dalam Talkhis al-Habir, Hafiz Ibn Hajar menukilkan pendapat al-Baihaqi yang mengatakan bahawa memadai untuk mentarjihkan hadis Busrah daripada hadis Talq dengan mengatakan hadis Talq itu tidak dikemukakan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim dalam kitab sahih mereka berdua. Perawi-perawi hadis Talq itu pula Imam al-Bukhari dan Muslim tidak berhujah dengan mereka. Manakala perawi-perawi hadis Busrah dijadikan hujah oleh mereka berdua cuma hadis ini tidak dikemukakan oleh mereka berdua kerana terdapat perbezaan periwayatan daripada ‘Urwah dan juga daripada Hisham bin ‘Urwah. Kami telah menjelaskan bahawa perbezaan itu tidak menghalang daripada dihukumkan hadis itu sebagai sahih walaupun ianya rendah sedikit dari syarat al-Bukhari dan Muslim. (jil. 1, hal. 347)

Kaedah Jama’

Ada juga ulama yang mengatakan batal wudhu` apabila menyentuhnya tanpa pelapik. Sekiranya dia menyentuhnya dengan berlapik tidak akan batal. Ini disokong oleh riwayat yang menyebutkan sentuhan itu dalam sembahyang. Dengan itu, sembahyang bukanlah tempat untuk menyentuh kemaluan tanpa berlapik. Walau bagaimanapun, pendapat ini tidak sesuai kerana terdapat hadis:

إذَا أَفْضَى أَحَدُكُمْ بِيَدِهِ إلَى فَرْجِهِ لَيْسَ دُونَهَا حِجَابٌ وَلَا سِتْرٌ فَقَدْ وَجَبَ عَلَيْهِ الْوُضُوءُ

Apabila seseorang itu menghulurkan tangannya pada kemaluannya dalam keadaan tidak ada penutup dan pelapik maka hendaklah dia berwudhu`. (Ibn Hibban)

Ibn Shahin menukilkan bahawa ulama yang memperincikan masalah ini dengan mengatakan terbatal wudhu` apabila sengaja menyentuh kemaluan tetapi sekiranya berlaku persentuhan secara tidak sengaja maka ia tidak membatalkan wudhu`. (al-Nasikh Wa al-Mansukh Min al-Ahkbar, hal. 98)

Ada juga yang berpendapat sentuhan yang membatalkan wudhu` ialah yang berlaku kerana syahwat. Adapun sentuhan biasa ia tidak menjejaskan keadaan wudhu` seseorang. Ini kerana ia tidak lain hanyalah salah satu anggota manusia. Selagi mana tersentuh dengan cara biasa maka wudhu` masih lagi sah. Sebab dikaitkan dengan syahwat kerana dibimbangi akan terkeluar mazi dan ia menyebabkan wudhu` terbatal. (lihat Tawdih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram, jil. 1, hal. 298)

Ibn al-Humam berkata, sekiranya kita mengikuti cara jama’ maka sentuh kemaluan itu difahami sebagai kinayah (bahasa sindiran) kepada apa yang keluar daripadanya. Ia merupakan sebahagian daripada rahsia balaghah, orang-orang Arab menyebutkan sesuatu dan mereka mengisyaratkan kepadanya dengan menyebutkan apa-apa yang menurutinya. Oleh kerana pada kebiasaannya menyentuh kemaluan mengiringi keluarnya hadas dan ia merupakan kemestiannya maka disebutkan menyentuh kemaluan dengan makna keluar hadas seperti mana Allah s.w.t menyatakan datang dari tempat yang sunyi dengan makna apa yang menjadi tujuan kepada orang yang pergi ke tempat tersebut dan berada di situ. Dengan ini, al-Qur`an dan al-Sunnah selaras dalam mengungkapkan makna. Maka cara ini dirujuk untuk mengelakkan percanggahan (antara dua hadis ini). (Fath al-Qadir, jil. 1, hal. 59)

Sheikh Anwar al-Kashmiri pula menjama’kan kedua-dua hadis ini dengan mengatakan perintah yang tersebut dalam hadis Busrah ditafsirkan sebagai mustahab. (al-Binuri, Ma’arif al-Sunan, jil. 1, hal. 296). Jama’ dengan cara ini selaras dengan kaedah al-jam’ bi haml al-amr ‘ala al-nadb iaitu menyelaraskan hadis-hadis yang bercanggah, dengan mentafsirkan amar (perintah) dengan makna sunat. Walaupun pada asalnya kata kerja perintah menunjukkan kepada hukum wajib namun apabila terdapat qarinah, pengertian wajib itu dipalingkan kepada sunnat. Dalam konteks ini, qarinahnya ialah terdapat hadis yang menunjukkan tidak berwudhu` kerana menyentuh kemaluan.

Check Also

HADIS MUKHTALIF TENTANG KAYFIYYAT TAYAMMUM

  Hadis pertama: وَعَنْ عَمَّارِ بْنِ يَاسِرٍ رَضِيَ اَللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ بَعَثَنِي اَلنَّبِيُّ صلى الله …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *