Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Lanjutan / Mukhtaliful Hadis / HADIS MUKHTALIF TENTANG KAYFIYYAT TAYAMMUM
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

HADIS MUKHTALIF TENTANG KAYFIYYAT TAYAMMUM

 

Hadis pertama:

وَعَنْ عَمَّارِ بْنِ يَاسِرٍ رَضِيَ اَللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ بَعَثَنِي اَلنَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم فِي حَاجَةٍ, فَأَجْنَبْتُ, فَلَمْ أَجِدِ اَلْمَاءَ, فَتَمَرَّغْتُ فِي اَلصَّعِيدِ كَمَا تَمَرَّغُ اَلدَّابَّةُ, ثُمَّ أَتَيْتُ اَلنَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لَهُ, فَقَالَ: “إِنَّمَا كَانَ يَكْفِيكَ أَنْ تَقُولَ بِيَدَيْكَ هَكَذَا” ثُمَّ ضَرَبَ بِيَدَيْهِ اَلْأَرْضَ ضَرْبَةً وَاحِدَةً, ثُمَّ مَسَحَ اَلشِّمَالَ عَلَى اَلْيَمِينِ, وَظَاهِرَ كَفَّيْهِ وَوَجْهَهُ – مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ, وَاللَّفْظُ لِمُسْلِم ٍ .

Daripada ‘Ammar bin Yasir r.hma. katanya, Rasulullah s.a.w menghantar saya untuk satu urusan, tiba-tiba saya berjunub dan tidak mendapati air. Lalu saya bergelumang di atas tanah seperti yang dilakukan oleh haiwan kemudian saya menemui Rasulullah s.a.w dan menceritakan perkara tersebut kepadanya. Baginda bersabda: “Sebenarnya memadai untuk kamu untuk berbuat begini”. Lalu Rasulullah s.a.w menepuk tanah dengan kedua-dua tapak tangannya kemudian menyapu yang kanan dengan yang kiri, belakang tapak tangan dan wajahnya. (Mutaffaq ‘Alaih; Ini adalah lafaz Muslim).

وَفِي رِوَايَةٍ لِلْبُخَارِيِّ: وَضَرَبَ بِكَفَّيْهِ اَلْأَرْضَ, وَنَفَخَ فِيهِمَا, ثُمَّ مَسَحَ بِهِمَا وَجْهَهُ وَكَفَّيْه ِ .

Dalam riwayat al-Bukhari: “Kemudian baginda menepuk tanah dengan kedua-dua tapak tangannya dan meniup debu yang ada pada kedua-duanya kemudian menyapu dengan kedua-dua tapak tangannya itu akan mukanya dan tangan hingga ke pergelangan.

Hadis kedua

وَعَنِ اِبْنِ عُمَرَ رَضِيَ اَللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ: قَالَ رَسُولُ اَللَّهِ صلى الله عليه وسلم التَّيَمُّمُ ضَرْبَتَانِ ضَرْبَةٌ لِلْوَجْهِ, وَضَرْبَةٌ لِلْيَدَيْنِ إِلَى اَلْمِرْفَقَيْنِ – رَوَاهُ اَلدَّارَقُطْنِيُّ, وَصَحَّحَ اَلْأَئِمَّةُ وَقْفَه.

Daripada Ibn ‘Umar r.hm. katanya, Rasulullah s.a.w bersabda: “Tayammum itu dua kali tepuk satu untuk muka dan satu untuk kedua-dua tangan sampai ke siku. (al-Daruqutni. Para imam hadis mengatakan yang sahih adalah mawquf)

Sudut pertentangan

Hadis ‘Ammar di atas menunjukkan tayammum itu sah dilakukan dengan satu tepukan ke muka dan tangan sampai kepada pergelangan tangan manakala hadis Ibn ‘Umar menyatakan tayammum hendaklah dilakukan dengan dua tepukan satu untuk muka dan satu untuk tangan hingga ke siku.

Ayat al-Qur`an menyebutkan hukum tayammum sangat ringkas (mujmal) dan perlu kepada penjelasan (bayan)

وَإِنْ كُنْتُمْ مَرْضَى أَوْ عَلَى سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِنْكُمْ مِنَ الْغَائِطِ أَوْ لَامَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُمْ مِنْهُ

Dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pejalanan jauh, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedangkan kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah – debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah – debu itu. (Surah al-Ma`idah: 6)

Tangan yang disebutkan dalam ayat di atas boleh ditafsirkan dengan beberapa makna. Pertama, hingga ke pergelangan tangan, kedua, hingga ke siku dan ketiga, hingga ke ketiak. Berdasarkan kepada penggunaan bahasa Arab, ketiga-tiga makna ini boleh dipakai. Walau bagaimana penjelasan daripada Sunnah diperlukan untuk menentukan maksud yang sebenar yang dikehendaki oleh syara’.

Penyelesaian

Kaedah tarjih

Jumhur ulama berpendapat bahawa had atau kadar tayammum ialah menyapu muka dan tangan hingga ke siku. Mereka mentarjihkan hadis Ibn ‘Umar kerana ianya dikuatkan dengan qiyas iaitu diqiyaskan tayammum dengan wudu`. Al-Sarakhsi berkata, tayammum merupakan badal (ganti) kepada wudu` dan wudu` pula sama ke siku maka demikian juga tayammum. Tegasnya, dua anggota telah gugur sama sekali pada tayammum dan tinggal dua anggota sahaja, maka tayammum padanya itu seperti wudu` pada keseluruhan sebagaimana sembahyang pada ketika safar gugur darinya dua raka’at maka yang baki darinya kekal dengan sifat sempurna, oleh sebab itulah kita mensyaratkan isti’ab (menyapu secara keseluruhan) [1]

Mazhab Shafi’i yang mengatakan sapu hingga ke siku berdalil dengan firman Allah s.w.t. وَأَيْدِيكُمْ مِنْهُ

Mereka berkata, disebutkan tangan secara mutlak merangkumi hingga ke bahu, maka lengan juga termasuk dalam umumnya nama tangan itu, kemudian dibataskan sapuan pada tayammum dengan ditaqyidkan tangan sama seperti ditaqyidkan pada wudu` hingga siku. Begitu juga sekiranya sapuan pada muka secara keseluruhan maka sapuan pada tangan juga secara keseluruhan. [2]

Imam Ahmad, Ishaq, Ibn Hazm dan Ahli hadis mengatakan bahawa memadai dengan sekali tepuk dan sapu hingga pergelangan tangan sahaja kerana beramal dengan hadis ‘Amar yang merupakan hadis yang paling sahih dalam perkara ini sebagaimana yang diakui oleh al-Turbashti, al-Khattabi, Ibn Daqiq al-‘Id dan lain-lain. [3]

Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari menyatakan, hadis-hadis berkenaan tayammum tidak ada yang sahih melainkan hadis Abu al-Juhaym dan ‘Ammar. Adapun hadis yang lain, sama ada da’if atau khilaf tentang marfu’ atau mawquf tetapi yang rajih ialah tidak marfu’. Hadis Abu al-Juhaym menyebutkan tangan secara mujmal. Hadis ‘Ammar pula dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim menyebutkan tangan hingga ke pergelangan, dalam kitab-kitab sunan pula disebutkan hingga ke siku. Dalam satu riwayat yang lain pula hingga ke separuh lengan dan ada juga riwayat hingga ke ketiak. Riwayat hingga ke siku dan juga hingga ke separuh lengan dipertikai oleh ulama tentang kesahihannya. Riwayat hingga ke ketiak pula Imam al-Shafi’i dan juga ulama lain mengatakan jika ianya berdasarkan kepada perintah Rasulullah s.a.w. maka riwayat-riwayat lain yang sahih memansukhkannya. Sekiranya tidak diperintah oleh baginda maka yang menjadi hujah adalah apa yang diperintah baginda. Antara perkara yang menguatkan riwayat al-Bukhari dan Muslim yang membataskan pada menyapu muka dan tangan hingga ke pergelangan ialah ‘Ammar memberi fatwa berdasarkan kepada hadis ini dan perawi hadis lebih mengetahui maksudnya daripada orang lain apatah lagi seorang sahabat yang mujtahid. [4]

Kaedah jama’ dan tawfiq

Mazhab Malik mentawfiqkan hadis tentang kaifiat tayammum ini dengan mengatakan wajib menyapu hingga pergelangan tangan dan sunnat menyapu sehingga ke siku ya’ni mentafsirkan hadis Ibn ‘Umar dengan makna sunnat sementara hadis ‘Ammar sebagai kadar wajib.

Ibn Rushd mengatakan ini adalah mazhab yang baik kerana jama’ lebih utama daripada tarjih, walau bagaimanapun kaedah ini sesuai jika hadis-hadis tersebut sahih. [5]

 

 

Disediakan oleh Muhammad Hanief bin Awang Yahaya

 

[1] Al-Mabsut, jil. 1, hal. 107
[2] Lihat al-Nawawi, jil. 2, hal. 244.
[3] Al-Mubarakfuri, Mir’ah al-Mafatih, jil. 2, hal. 225
[4] Fath al-Bari, jil. 1, hal. 590
[5] Ibn Rushd, Bidayah al-Mujtahid, jil. 1, hal. 88

Check Also

HADIS MUKHTALIF LARANGAN BERSUCI DENGAN AIR LEBIHAN PEREMPUAN

  وَعَنْ رَجُلٍ صَحِبَ اَلنَّبِيَّ – صلى الله عليه وسلم – قَالَ: – نَهَى رَسُولُ …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *