Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Lanjutan / Mukhtaliful Hadis / HADIS MUKHTALIF LARANGAN BERSUCI DENGAN AIR LEBIHAN PEREMPUAN
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

HADIS MUKHTALIF LARANGAN BERSUCI DENGAN AIR LEBIHAN PEREMPUAN

 

وَعَنْ رَجُلٍ صَحِبَ اَلنَّبِيَّ – صلى الله عليه وسلم – قَالَ: – نَهَى رَسُولُ اَللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – “أَنْ تَغْتَسِلَ اَلْمَرْأَةُ بِفَضْلِ اَلرَّجُلِ, أَوْ اَلرَّجُلُ بِفَضْلِ اَلْمَرْأَةِ, وَلْيَغْتَرِفَا جَمِيعًا – أَخْرَجَهُ أَبُو دَاوُدَ. وَالنَّسَائِيُّ, وَإِسْنَادُهُ صَحِيحٌ .

Diriwayatkan daripada seorang lelaki yang telah bersahabat dengan Rasulullah s.a.w. katanya: “Rasulullah s.a.w. melarang perempuan mandi dari lebihan yang digunakan lelaki [1] atau lelaki mandi dari lebihan perempuan. Hendaklah mereka berdua mencebok sekali. (Abu Dawud, no: 81, al-Nasa`i, no: 238) Hafiz Ibn Hajar mengatakan sanadnya sahih. [2]

وَعَنْ اِبْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اَللَّهُ عَنْهُمَا; – أَنَّ اَلنَّبِيَّ – صلى الله عليه وسلم – كَانَ يَغْتَسِلُ بِفَضْلِ مَيْمُونَةَ رَضِيَ اَللَّهُ عَنْهَا – أَخْرَجَهُ مُسْلِمٌ

Diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas bahawa Rasulullah s.a.w. mandi dari lebihan Maimunah. (Muslim, no: 323)

وَلِأَصْحَابِ “اَلسُّنَنِ”: – اِغْتَسَلَ بَعْضُ أَزْوَاجِ اَلنَّبِيِّ – صلى الله عليه وسلم – فِي جَفْنَةٍ, فَجَاءَ لِيَغْتَسِلَ مِنْهَا, فَقَالَتْ لَهُ: إِنِّي كُنْتُ جُنُبًا, فَقَالَ: “إِنَّ اَلْمَاءَ لَا يُجْنِبُ” – وَصَحَّحَهُ اَلتِّرْمِذِيُّ, وَابْنُ خُزَيْمَةَ

Dalam riwayat Sunan [3] yang lain: “Salah seorang isteri Rasulullah s.a.w. mandi dalam besen lalu baginda datang untuk mandi darinya lalu isteri baginda berkata: “Sesungguhnya saya berjunub. Baginda menjawab: “Sesungguhnya air tidak berjunub.” Hadis ini disahihkan oleh al-Tirmizi dan Ibn Khuzaimah. [4]

 

Sudut pertentangan

Hadis pertama menunjukkan tidak boleh bersuci dengan lebihan air yang telah digunakan oleh perempuan untuk bersuci manakala hadis kedua dan ketiga menunjukkan harus kerana Rasulullah s.a.w. sendiri menggunakannya untuk bersuci.

 

Penyelesaian

Kaedah tarjih

Ada ulama yang mentarjihkan umum dan zahir hadis yang melarang iaitu tidak boleh menggunakan lebihan perempuan. Mereka yang memilih pendapat ini ialah Ahmad bin Hanbal dan Ibn Hazm. [5] Pendapat ini juga diriwayatkan daripada ‘Umar bin al-Khattab, ‘Abdullah bin Sarjis, al-Hakam ‘Amr al-Ghifari dan Sa’id bin al-Musayyab. [6]

Kaedah jama’

Kaedah jama’ juga digunakan oleh ulama untuk menyelesaikan percanggahan antara hadis-hadis tentang perkara ini. Kaedah ini bermaksud mentafsirkan kesemua hadis-hadis dengan satu makna yang selaras antara kesemuanya. Dengan cara ini, kesemua hadis ini dapat diamalkan pada sudutnya yang tersendiri.

Cara jama’ yang pertama

Pentafsiran larangan dengan ma’na makruh. Ma’na haram dipalingkan kepada makruh kerana terdapat hadis-hadis yang menyatakan harus. Berdasarkan kepada kaedah ini, hadis yang melarang dipakai dengan makna makruh tanzihi. Sementara hadis yang menunjukkan Rasulullah s.a.w. mandi bersama isterinya hukumnya harus.

Cara jama’ yang kedua

Dilarang apabila perempuan itu berseorangan ketika berwudu`. Adapun jika ada orang lain ada bersamanya maka hukumnya harus. Ini merupakan pendapat Daud, Ishaq dan salah satu riwayat daripada Imam Ahmad. [7]

Mengikut Shabbir ‘Uthmani [8], larangan ini mempunyai sebab yang tersendiri. Rasulullah s.a.w. mahu menyatakan cara mengekal kemesraan suami isteri. Di antara cara tersebut ialah suami isteri tidak mandi berasingan sebaliknya mandi bersama. Beliau menukilkan daripada gurunya, Shaikh Anwar Shah al-Kashmiri: “Hadis-hadis larangan ini termasuk dalam bab mengajarkan cara pergaulan suami isteri, ya’ni janganlah dia meninggalkan baki air untuk perempuan dan perempuan janganlah meninggalkan baki air untuknya, hendaklahlah kedua-duanya itu sama menceduknya. Yang dimaksudkan dengan perempuan di sini ialah isteri. Boleh jadi yang menjadi isyarat kepada perkara ini ialah lafaz hadis yang diriwayatkan daripada al-Harith daripada ‘Ali dalam Sunan Ibn Majah

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَهْلُهُ يَغْتَسِلُونَ مِنْ إِنَاءٍ وَاحِدٍ وَلَا يَغْتَسِلُ أَحَدُهُمَا بِفَضْلِ صَاحِبِهِ

“Rasulullah s.a.w. dan isterinya mandi dari bekas yang sama dan tidak mandi dari lebihan isterinya.”

Wa Allah A’lam dan Imam al-Nasa`i meletakkan hadis ini dalam bab-bab air musta’mal. Beliau meriwayatkan:

أَنَّ أُمَّ سَلَمَةَ سُئِلَتْ أَتَغْتَسِلُ الْمَرْأَةُ مَعَ الرَّجُلِ قَالَتْ نَعَمْ إِذَا كَانَتْ كَيِّسَةً

“Sesungguhnya Ummu Salamah ditanya adakah perempuan itu boleh mandi bersama suaminya. Beliau menjawab, ya apabila dia seorang yang bijaksana.”

Mansukh

Ada juga ulama yang berpendapat hadis yang melarang itu sudah dimansukhkan. Akan tetapi dakwaan berlaku mansukh perlu kepada bukti tarikh yang jelas malah tidak boleh berhujah dengan mansukh melainkan apabila tidak dapat dipakaikan kaedah jama’.

Disediakan oleh Muhammad Hanief Awang Yahaya


[1] Larangan ini sebagai tanzih dan karahah bukan sebagai haram dengan dalil Rasulullah s.a.w. mandi bersama dengan salah seorang isterinya. Sememangnya diketahui bahawa apabila baginda mandi tentu masih ada lebihan darinya dan juga lebih isterinya.

[2] Dalam Fath al-Bari, Hafiz Ibn Hajar mengatakan, perawi-perawinya thiqah, saya tidak mengetahui hujah yang kuat bagi orang yang mengatakan hadis ini ma’lul. Dakwaan al-Bayhaqi bahawa ia sebagai mursal tertolak kerana ibham atau kesamaran pada sahabat tidak menjejaskan (kesahihan hadis) sedangkan beliau menyatakan dengan jelas bahawa beliau sempat dengan Rasulullah s.a.w. Manakala dakwaan Ibn Hazm bahawa perawinya, Dawud daripada Humayd bin Abdul Rahman ialah Ibn Yazid al-Awdi, seorang yang da’if adalah tertolak kerana beliau adalah Ibn ‘Abdullah al-Awdi, seorang yang thiqah dan Abu Dawud menyebutkan dengan jelas nama ayahnya.

[3] Abu Dawud, no: 68, al-Tirmizi, no: 65, al-Nasa`i, no: 236, Ibn Majah, no: 370

[4] Ibn Khuzaymah, no: 109

[5] Ibn Qudamah, al-Mughni, jil. 1, hal. 282.

[6] Al-Ityubi, Zakhirah al-‘Uqba, jil. 4, hal. 399.

[7] Dr. Salih bin Fawzan, Tashil al-Ilmam Sharh Bulugh al-Maram, jil. 1, hal. 29.

[8] Fath al-Mulhim, juz, 3, hal. 82.

Check Also

HADIS MUKHTALIF TENTANG KAYFIYYAT TAYAMMUM

  Hadis pertama: وَعَنْ عَمَّارِ بْنِ يَاسِرٍ رَضِيَ اَللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ بَعَثَنِي اَلنَّبِيُّ صلى الله …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *