Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

YASIN SEBAGAI QALBUL-QURAN?

oleh Dr.Mohd Asri Zainul Abidin

Telah menjadi menjadi sesuatu yang masyhur di kalangan orang awam, mereka selalu membaca hadis : Inna likulli syai-in qalban wa -qalbul quraan yaasiin.”Maksudnya,”Bagi setiap sesuatu itu ada hatinya, hati bagi al-Quran ini ialah Yasin.”Hadis ini sebenarnya diriwayatkan oleh al-Imam at -Tirmizi, dengan beliau mengingatkan bahawa di dalam sanad ataupun rangkaian para periwayat hadis ini ada seorang yang bernama Harun bin Abi Muhammad, syaikhul majhul-seorang yang tidak dikenali.
Para penganalisa hadis yang terdiri di kalangan para ulamak hadis menyemak sanad dan riwayat hadis ini dan menyimpulkan bahawasanya hadis ini adalah hadis yang palsu. Ini seperti yang disebut oleh Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani (rahimahullahu Ta’ala) di dalam kitabnya Silsilatul Ahadithi al-Maudhu’ ah wad-Dha’ifah. Di dalamnya dinyatakan bahawasanya hadis ini adalah palsu.
Kita hendaklah ingat bahawasanya hadis palsu adalah haram diriwayatkan oleh seseorang melainkan hendaklah diterangkan tentang kepalsuannya.Ini seperti yang disebut oleh Imam Ibnus Solah di dalam kitabnya yang masyhur berhubung dengan ilmu hadis, yang dikenali sebagai ‘Muqaddimah Ibnus Solah’. Di dalamnya dinyatakan bahawasanya haram seseorang meriwayatkan hadis palsu melainkan hendaklah diterang tentang kepalsuannya.
Hadis-hadis palsu ini muncul kerana seseoarng menyandarkan kepada Nabi SAW apa yang baginda tidak ucapkan. Mereka mengada-ngada dan mereka-reka ucapan -ucapan nabi ataupun pebuatan Nabi yang tidak sama sekali pernah dilakukan oleh Rasullullah s.a.w. Ulamak-ulamak hadis mengesan kepalsuan mereka, mengesan para periwayat yang memalsukan hadis ini. Inilah kepentingan ilmu hadis. Baginda s.a.w memberi amaran tentang akan berlakunya pemalsuan hadis pada akhir zaman. Kata baginda s.a.w dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim (dalam Muqaddimahnya)
Maksudnya “Akan datang pada akhir zaman golongan dajjal dan pendusta, mereka akan membawa kepada kamu hadis-hadis yang tidak pernah didengari oleh kamu dan emak bapa kamu. Hendaklah kamu berhati-hati dengan mereka.Inilah keadaan yang paling bahaya,dimana Rasullullah memberi amaran ,kata Baginda:

“Sesungguhnya dusta kepadaku tidak sama dengan dusta kepadaku dengan sengaja maka siap tempat duduknya di dalam api neraka.”
Dalam sejarah pemalsuan hadis , ada beberapa golongan yang terlibat memalsukan hadis. Mereka sebahagian besarnya ialah golongan zanadiqah, iaitu mereka yang menzahirkan Islam sedangkan hati dan sanubari mereka memusuhi agama .Mereka ini merekai hadis-hadis yang akan mencemarkan kesucian agama, mencemarkan Rasul s.a.w.
Di sebelah pihak yang lain golongan yang mereka hadis ialah golongan zuhhad, iaitu golongan yang cuba safkan diri mereka kepada kerohanian dan kesufian . Mereka kononnya ingin mengajak orang supaya lebih mendekati agama, dengan mereka hadis-hadis yang tidak pernah diucapkan oleh Nabi. Antara fokus rekaan mereka ialah hadis yang berhubung dengan fadhilat-fadhilat surah, yang membabitkan berbagai-bagai surah. Ini yang seperti dilakukan oleh Abu Ismah Nuh al-Jami’ yang mereka hadis-hadis berhubung dengan fadhilat surah, konon katanya “Sesungguhnya aku merekanya disebabkan untuk menggalakkan orang ramai membaca al-Quran, kerana mereka terlalu tertumpu kepada sirah-sirah Nabi s.a w. Dia melupai perbuatannya itu adalah perbuatan yang haram dan menjerumuskan dia ke dalam api neraka.
Maka dengan itu hendaklah kita mengambil pengajaran dan pengiktibaran-janganlah kita memudahkan -mudahkan dalam membaca sesuatu hadis terutama yang berhubung dengan fadhilat-fadhilat surah. Hendaklah terlebih dahulu kita merujuk kepada ahli-ahli dan pakar dalam bidang hadis, atau merujuk kepada huffaz iaitu orang-orang yang menguasai bidang hadis yang terdiri daripada para ulamak silam dan para pengkaji hadis yang menguasai bidang ini , sepertimana yang disebut oleh Syeikh Syu’ib al-Arna’ud (ketika mentahqiqkan kitab besar oleh Imam Zahabi), katanya, “Tidak halal bagi seseorang meriwayatkan hadis-hadis Nabi, melainkan hendaklah dipastikan terlebih dahulu daripada huffaz bahawasanya hadis itu kedudukannya adalah thabit, iaitu pasti daripada Nabi s.a.w.”

 

Sumber: www.al-wahidah.com dengan sedikit pembetulan taip.

Check Also

Hadis Maudhu- Kemunculan Dan Usaha Ulama Menanganinya

Share...TwitterPrintPinterestLinkedinFacebookDigg

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *