Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Lanjutan / Hadits Dhaif Dan Maudhu` / RIWAYAT PALSU TIDAK DICIPTAKAN ALAM INI MELAINKAN KERANA RASULULLAH S.A.W
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

RIWAYAT PALSU TIDAK DICIPTAKAN ALAM INI MELAINKAN KERANA RASULULLAH S.A.W

 

Antara hadis palsu yang sering disebutkan oleh penceramah di musim Maulid Rasul ialah:

لولاك ما خلقت الأفلاك

“Kalaulah tidak kerana engkau (wahai Muhammad) tidak Aku jadikan sekalian falak.”

Ada dengan lafaz:

أتاني جبريل فقال يا محمد لولاك ما خلقت الجنة ولولاك ما خلقت النار

Jibril datang kepada saya dan berkata: “Wahai Muhammad, kalaulah tidak kerana engkau, maka tidak diciptakan syurga. Dan kalaulah tidak kerana engkau, maka tidak diciptakan neraka.”

Dan ada pula lafaz:

لولاك ما خلقت الدنيا

“Kalaulah tidak kerana engkau, maka tidak dijadikan dunia.”

Hadis yang lengkap berserta dengan sanadnya boleh dirujuk dalam riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak:

عن عمر بن الخطاب مرفوعاً: ” لما اقترف آدم الخطيئة قال يا رب أسألك بحق محمد لما غفرت لي فقال الله : يا آدم و كيف عرفت محمدا و لم أخلقه ؟ قال : يا رب لأنك لما خلقتني بيدك و نفخت في من روحك و رفعت رأسي فرأيت على قوائم العرش مكتوبا لا إله إلا الله محمد رسول الله فعلمت أنك لم تضف إلى اسمك إلى أحب الخلق فقال الله : صدقت يا آدم إنه لأحب الخلق إلي ادعني بحقه فقد غفرت لك و لولا محمد ما خلقتك

Diriwayatkan daripada ‘Umar al-Khattab secara marfu’ bahawa setelah Adam a.s. bersalah kerana melakukan kesilapan lalu baginda berkata, aku memohon ampun dari-Mu dengan hak Muhammad. Allah s.w.t. bertanya, “Wahai Adam, bagaimana engkau mengenali Muhammad sedangkan Aku belum menciptakannya?” Maka sahut Adam: “Ya Allah, sesungguhnya Engkau telah menciptakanku, dengan Tangan-Mu, Engkau tiupkan Roh–Mu padaku, dan aku telah mengangkat kepala tiba-tiba aku terpandang pada tiang-tiang Arasy tertulis La Ilaha Illa Allah Muhammad Rasulullah. Maka aku meyakini bahawa sesungguhnya Engkau tidak menyandarkan pada nama Engkau melainkan orang yang paling Engkau kasihi.” Maka Allah telah mewahyukan kepada Adam, “Engkau benar wahai Adam, dia adalah orang yang paling Aku kasihi. Berdoalah kepada-Ku dengan haknya sesungguhnya Aku telah mengampunkan kamu dan kalaulah tidak kerana Muhammad tidak Aku jadikan engkau.” (al-Mustadrak, no: 4287, jil.1, hal. 722)

Riwayat ini juga dinukilkan oleh al-Baihaqi dalam Dala`il al-Nubuwwah dengan rantaian perawi yang sama dengan al-Hakim iaitu daripada Abu al-Harith ‘Abdullah bin Muslim al-Fahari daripada Ismail bin Maslamah daripada Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam daripada ayahnya, Zaid bin Aslam daripada Aslam daripada Umar al-Khattab.

Setelah mengemukakan riwayat ini, al-Baihaqi memberikan komentarnya: “Hanya Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam meriwayatkan cerita ini dan dia seorang yang dha’if.” (Dala`il al-Nubuwwah, jil. 5, hal. 489)

Al-Hakim mengatakan riwayat ini sahih sanadnya tetapi al-Zahabi dalam komentarnya terhadap Kitab al-Mustadrak membantah dengan mengatakan riwayat ini adalah palsu, kerana ‘Abdullah bin Zaid seorang yang lemah dan ‘Abdullah bin Muslim al-Fahari tidak dikenali siapakah dia. (al-Mustadrak, jil.1, hal. 723).

Dalam Mizan al-I’tidal di bawah biografi ‘Abdullah bin Muslim al-Fahari, al-Zahabi menyebutkan bahawa beliau ada meriwayatkan daripada Isma’il bin Maslamah bin Qa’nab daripada ‘Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam sebuah riwayat palsu yang menyatakan “Wahai Adam kalaulah tidak kerana Muhammad tentu Aku tidak jadikan engkau.” Ini diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam Dala`il al-Nubuwwah)

Al-Hakim sendiri dalam kitabnya al-Madkhal Ila al-Sahih menyatakan bahawa Abdul Rahman bin Zaid meriwayatkan beberapa hadis palsu daripada ayahnya yang sememangnya diketahui oleh semua ahli ilmu kerana dialah puncanya. Oleh itu, madar (paksi) sanad ini ialah ‘Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam. Beliau seorang yang lemah dalam hadis. Abu Zur’ah mengatakan dia seorang yang dha’if. Abu Hatim mengatakan dia tidak kuat dalam hadis walaupun dia seorang yang baik pada dirinya tetapi lemah dalam hadis. Ibn Sa’ad mengatakan dia banyak meriwayatkan hadis dan sangat lemah. Ibn Khuzaimah mengatakan dia bukanlah seorang yang hadisnya dijadikan hujah oleh ahli ilmu kerana buruk hafalannya dan dia seorang ahli ibadat bukan ahli dalam hadis. (Ibn Hajar, Tahzib al-Tahzib, jil. 3, hal. 363-364)

Perawi utama yang dipertikai ialah ‘Abdullah bin Muslim al-Fihri. Hafiz Ibn Hajar menyebutkan ‘Abdullah bin Muslim al-Fihri meriwayatkan daripada Isma’il bin Maslamah bin Qa’nab daripada ‘Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam sebuah riwayat palsu yang menyatakan: “Wahai Adam, kalaulah tidak kerana Muhammad tentu Aku tidak jadikan engkau.” Ini diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam Dala`il al-Nubuwwah. Saya (Ibn Hajar) mengatakan, tidak mustahil perawi sebelumnya (ya’ni dalam kitab Lisan al-Mizan, ‘Abdullah bin Muslim bin Rusyaid) kerana dia sezaman dengannya. ‘Abdullah bin Muslim bin Rusyaid disebutkan oleh Ibn Hibban sebagai seorang yang dituduh mereka-reka hadis. (Lisan al-Mizan jil. 5, hal. 11-12)

Persoalannya mengapa terdapat pertentangan di antara apa yang ditulis oleh al-Hakim dalam kedua-dua kitab itu? Jawapannya, al-Hakim menulis al-Mustadrak ketika mencapai usia 72 dalam keadaan ingatannya sudah mengalami kemerosotan. Hafiz Ibn Hajar mengatakan:

“Setengah ulama menyebutkan bahawa berlaku perubahan pada ingatan al-Hakim dan menjadi lalai di akhir usianya. Ini dapat dilihat apabila beliau menyebut sekumpulan perawi dalam kitabnya al-Dhu’afa` dan memutuskan bahawa riwayat itu mereka ditinggalkan dan tidak boleh berhujah dengannya tetapi kemudiannya beliau menyebutkan beberapa hadis mereka dalam al-Mustadrak kemudian mentashihkannya! Antaranya ialah beliau mengeluarkan sebuah hadis daripada ‘Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam dan beliau sendiri menyebutkan di dalam al-Dhu’afa` dan mengatakan Abdul Rahman bin Zaid meriwayatkan beberapa hadis palsu daripada ayahnya yang tidak tersembunyi lagi kepada ahli ilmu kerana dialah puncanya.” (Lisan al-Mizan, hal. 7, hal. 257)

Al-Sakhawi dalam Fath al-Mughith menyebutkan: “Dikatakan sebabnya ialah beliau menyusun al-Mustadrak di hujung usianya dan telah berlaku kepadanya perubahan ingatan dan kelalaian atau beliau tidak berkesempatan untuk menyemak dan menyaringnya, ini dibuktikan sikap bermudahnya (tasahul) pada satu perlima awal sedikit berbanding dengan yang bakinya. (jil.1, hal. 62)

Berdasarkan kepada ini, al-Hakim dikenali sebagai ulama yang longgar dalam menilai dan memberi keputusan terhadap status perawi dan kesahihan hadis. Oleh sebab itu, para ulama hadis mengingatkan supaya berhati-hati dengan riwayat-riwayatnya dan dalam hal ini, amat penting kepada kita untuk merujuk kepada Hafiz al-Zahabi yang telah menilai kembali keputusan al-Hakim yang mendakwa sahih mengikut syarat al-Bukhari dan Muslim.

Pada potongan kedua riwayat al-Hakim itu terdapat lafaz yang bermaksud: kalaulah tidak kerana Muhammad tidak Aku jadikan engkau.

Dalam sebuah riwayat lain yang dihukumkan palsu disebutkan kalaulah tidak kerana engkau tidaklah Aku jadikan falak-falak ini.

Riwayat ini dihukum sebagai palsu oleh al-Saghani, al-Syaukani, Mulla ‘Ali al-Qari, al-Laknawi dan ramai lagi. (lihat al-Asrar al-Marfu’ah Fi al-Akhbar al-Maudhu’ah, hal. 295, Al-Athar al-Marfu’ah Fi al-Akhbar al-Maudhu’ah, hal. 44, al-Fawaid al-Majmu’ah, hal. 295)

Jelasnya Kepalsuan Berdasarkan Kaedah Dirayah

Riwayat ini tidak dapat dipertahankan apabila diuji dengan kaedah dirayah iaitu kerana bercanggah dengan kenyataan al-Qur`an.

إِنَّ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ لَآَيَاتٍ لِلْمُؤْمِنِينَ (3) وَفِي خَلْقِكُمْ وَمَا يَبُثُّ مِنْ دَابَّةٍ آَيَاتٌ لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ (4) وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ وَمَا أَنْزَلَ اللَّهُ مِنَ السَّمَاءِ مِنْ رِزْقٍ فَأَحْيَا بِهِ الْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا وَتَصْرِيفِ الرِّيَاحِ آَيَاتٌ لِقَوْمٍ يَعْقِلُونَ (5) تِلْكَ آَيَاتُ اللَّهِ نَتْلُوهَا عَلَيْكَ بِالْحَقِّ فَبِأَيِّ حَدِيثٍ بَعْدَ اللَّهِ وَآَيَاتِهِ يُؤْمِنُونَ (6)

[3.] Sesungguhnya pada langit dan bumi terdapat tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman. [4.] dan pada kejadian diri kamu sendiri, serta (pada kejadian) segala binatang yang dibiakkan-Nya, terdapat juga tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang meyakininya. [5.] dan (pada) pertukaran malam dan siang silih berganti, dan juga (pada) rezeki yang diturunkan oleh Allah dari langit, lalu ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta (pada) peredaran angin, (semuanya itu mengandungi) tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah, kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, serta keluasan rahmat-Nya) bagi kaum yang mahu menggunakan akal fikiran. [6.] itulah ayat-ayat penerangan Allah yang Kami bacakan kepadamu (Wahai Muhammad) kerana menegakkan kebenaran; maka dengan perkataan yang manakah lagi mereka hendak beriman, sesudah penerangan Allah dan tanda-tanda kekuasaannya (Mereka tidak mahu memahami dan menelitinya)? (Surah al-Jathiyah: 3-6)

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.(Surah al-Zariyat: 56)

Inilah matlamat penciptaan manusia, diutuskan para rasul dan dijadikan hari pembalasan supaya manusia beribadat kepada Allah. Semua makhluk tidak diciptakan kerana makhluk yang lain.

Mendakwa penciptaan alam semesta kerana Rasulullah s.a.w. menyalahi kenyataan jelas yang terkandung dalam al-Qur`an. Berdasarkan kepada ayat-ayat al-Qur`an, para ahli tafsir menjelaskan bahawa tujuan penciptaan alam semesta ini ialah supaya manusia mengenali Allah s.w.t. yang telah menciptakannya dan menyakini akan kekuasaan dan kebesaran-Nya. Manusia itu sendiri diciptakan untuk beribadat kepada Allah s.w.t. Kebesaran Allah ini membuktikan bahawa hanya Dia yang berhak disembah dan menegaskan betapa luasnya rahmat dan kurniaan-Nya.

Kerapuhan matan riwayat palsu ini dapat dilihat pada lafaz لولاك

Ini kerana kata ganti nama kaf itu tidak digunakan melainkan ketika mansub atau majrur.

Yang betulnya ialah menggunakan kata ganti nama marfu’ iaitu “anta”.

Seperti mana dalam ayat 31 surah Saba`:

يَقُولُ الَّذِينَ اسْتُضْعِفُوا لِلَّذِينَ اسْتَكْبَرُوا لَوْلَا أَنْتُمْ لَكُنَّا مُؤْمِنِينَ

Kesimpulannya, hadis yang diriwayatkan oleh al-Hakim ini jelas kepalsuannya dari sudut riwayah dan dirayah. Tokoh-tokoh hadis yang terkenal seperti al-Zahabi dan Hafiz Ibn Hajar memutuskannya sebagai palsu.

Check Also

Hadis Maudhu- Kemunculan Dan Usaha Ulama Menanganinya

Share...TwitterPrintPinterestLinkedinFacebookDigg

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *