Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Lanjutan / Hadits Dhaif Dan Maudhu` / PERKAHWINAN FATIMAH DIIRINGI OLEH JIBRIL DAN MIKA`IL?
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

PERKAHWINAN FATIMAH DIIRINGI OLEH JIBRIL DAN MIKA`IL?

Muhammad Hanief bin Awang Yahaya

حدثنا المفضل الجندي، حدثنا عبدالرحمن بن محمد ابن أخت عبد الرزاق، حدثنا توبة بن علوان، حدثنا شعبة، عن أبى حمزة، عن ابن عباس، قال: لما كانت الليلة التى زفت فاطمة إلى على كان النبي صلى الله عليه وسلم أمامها وجبرائيل عن يمينها وميكال عن يسارها وسبعون ألف ملك خلفها.

Al-Mufaddal al-Jundi menceritakan kepada kami katanya ‘Abdul Rahman bin Muhammad Ibn Ukht ‘Abdul Razzaq menceritakan kepada kami, katanya Tawbah bin ‘Ulwan menceritakan kepada kami, katanya Shu’bah menceritakan kepada kami daripada Abu Hamzah daripada Ibn ‘Abbas katanya: “Pada malam Fatimah dibawa kepada ‘Ali sebagai pengantinnya, Rasulullah s.a.w. berada di hadapannya, Jibril di sebelah kanan dan Mika`il di sebelah kiri dan tujuh puluh ribu malaikat di belakangnya.

Al-Zahabi berkata: “Riwayat ini jelas sekali kepalsuannya.” (Mizan al-I’tidal, jil. 1, hal. 80)

Al-Suyuti juga menyebutkan riwayat ini dalam kitabnya, al-La`ali al-Masnu’ah, jil. 1, hal. 365, dengan sedikit tambahan dan menyatakan kepalsuannya.

زفت فاطمة إلى علي كان النبي أمامها وجبريل عن يمينها وميكائيل عن يسارها وسبعون ألف ملك خلفها يسبحون الله تعالى ويقدسونه حتى طلع الفجر

Fatimah dibawa kepada ‘Ali sebagai pengantinnya, Rasulullah s.a.w. berada di hadapannya, Jibril di sebelah kanan dan Mika`il di sebelah kiri dan tujuh puluh ribu malaikat di belakangnya bertasbih kepada Allah dan bertaqdis kepada-Nya sehingga terbit fajar.

Punca kekarutan riwayat ini ialah:

  1. ‘Abdul Rahman bin Muhammad Ibn Ukht ‘Abdul Razzaq

Al-Zahabi mengatakan beliau membawa khabar batil daripada Tawbah bin ‘Ulwan tentang Fatimah. (Mizan al-I’tidal, jil. 4, hal. 314)

Al-Suyuti mengatakan Ibn Ukht Abdil Razzaq seorang pendusta besar, begitu juga Tawbah. (al-La`ali al-Masnu’ah, jil. 1, hal. 365)

  1. Tawbah bin ‘Ulwan

توبة بن علوان البصري يروي عن شعبة قال ابن حبان يروي عن الثقات ما ليس من أحاديثهم وقال أبو الفتح الأزدي متروك الحديث

Tawbah bin ‘Ulwan al-Basri, ada meriwayatkan daripada Shu’bah. Ibn Hibban berkata: “Dia meriwayatkan daripada perawi-perawi thiqah yang bukan daripada hadis mereka. Abu Fath al-Azdi berkata: “Dia seorang yang ditinggalkan hadisnya. (Ibn al-Jawzi, al-Du’afa` Wa al-Matrukin, jil. 1, hal. 156)

Penilaian Dari Sudut Dirayah

Riwayat ini nyata sekali kepalsuannya dari sudut dirayah kerana:

1. Riwayat ini disandarkan kepada Ibn ‘Abbas sebagai kata-katanya dan bagaimana beliau dapat mengetahui kedatangan malaikat?

2. Ketika perkahwinan Fatimah berlangsung, Ibn ‘Abbas baru berusia lima tahun dan beliau masa itu masih lagi berada di Mekah. Oleh itu, beliau tidak ada bersama dalam peristiwa ini.

3. Bagaimanakah cara malaikat bertasbih? Adakah dengan suara yang perlahan atau nyaring? Sekiranya dengan suara yang nyaring pasti akan didengari juga oleh orang lain. Tetapi keadaannya tidak begitu.

4. Bagaimana Ibn ‘Abbas dapat menyatakan jumlah malaikat yang sebegitu ramai? Mengapa tidak dikatakan Ibn ‘Abbas mempunyai mu’jizat?

Check Also

Hadis Maudhu- Kemunculan Dan Usaha Ulama Menanganinya

Share...TwitterPrintPinterestLinkedinFacebookDigg

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *