Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Lanjutan / Hadits Dhaif Dan Maudhu` / HADIS PALSU: “AKU ADALAH KOTA ILMU SEDANGKAN ‘ALI ADALAH PINTUNYA”
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

HADIS PALSU: “AKU ADALAH KOTA ILMU SEDANGKAN ‘ALI ADALAH PINTUNYA”

 

Mukaddimah

Ada suatu golongan manusia (yang sikapnya berlebihan terhadap Ahlul Bait, terutama terhadap Saidina ‘Ali r.a.) mendakwa, dengan berdalil dengan ‘hadis’ ini , bahawa pendapat mereka adalah benar; iaitu bahawa ‘Ali adalah pintu ilmu, oleh itu sesiapa yang ingin memasuki rumah, maka wajiblah melalui pintunya dan –kata mereka- satu-satunya pintu itu adalah ‘Ali, sehingga sekiranya tidak melalui pintu tersebut, maka tidak sah.

Kalau pun hadis ini sahih (padahal hakikatnya tidaklah demikian), maka tidaklah bermakna ianya (iaitu Ali) adalah satu-satunya pintu itu, tetapi menurut para ulama, hanya merupakan “salah satu” dari pintu-pintu ilmu.

Memang tidak diragukan bahawa ‘Ali merupakan seorang yang berpengetahuan tinggi di kalangan para sahabat dan memiliki banyak keutamaan. Tetapi keutamaan itu tidaklah sepatutnya dilebih-lebihkan sebegitu rupa sehingga diangkat sebagai Tuhan , (sebagaimana yang dilakukan oleh golongan Ghulaat )

Teks Hadis

أَنَا مَدِيْنَةُ اْلعِلْمِ وَعَلِيٌّ بَابُهَا

 “Aku (Rasulullah) adalah kota ilmu dan ‘Ali adalah pintunya.”

Hadis ini diriwayatkan oleh at-Tirmizi dari hadis ‘Ali dan katanya , “Hadis Munkar.” Hadis ini juga ditolak oleh al-Bukhari. Di samping itu, hadis ini diriwayatkan juga oleh al-Hakim di dalam kitab al-Mustadrak dari hadis Ibn ‘Abbas. Ia berkatai, “Hadis Sahih.” Walaupun begitu Imam az-Zahabi berkata, “Sebaliknya, ianya hadis Maudu’ (Palsu).”

Ad-Daruquthni berkata, “Tidak sah.”

Ibn Daqiq al-Ied berkata, “Mereka (ulama hadis) tidak menilainya sebagai sah.” Bahkan Ibn al-Jauzi memasukkannya di dalam kitabnya al-Mawdhuu’aat (kitab yang khusus mengumpulkan hadits-hadits Maudhu’).

Al-Hafizh Abu Sa’id al-‘Alaa`i berkata, “Yang benar, bahawa ia hadis Hasan bila dilihat dari jalur-jalurnya, tidak sahih dan juga tidak Dha’if apalagi dikatakan Maudhu’ (palsu).”

Menurut Imam as-Suyuthi : “Memang demikian yang dikatakan Syaikhul Islam Ibn Hajar (al-Haitsamy-penyunting) dalam fatwanya. Ucapan al-‘Alaa`iy dan Ibn Hajar tersebut telah beliau paparkan dengan panjang lebar di dalam kitabnya at-Ta’aqqubaat yang menyanggah kenyataan yang terdapat di dalam kitab al-Mawdhuu’aat tersebut.

Pendapat Syaikh Muhammad Luthfi Ash-Shabbaagh, Penahqiq (Peneliti) Buku:

Hadis ini MAUDHU’ (PALSU), untuk keterangan lanjut sila rujuk :

al-Maqaashid al-Hasanah karya as-Sakhawi, h.97

TamyÎz ath-Thayyib Min al-Khabiits… karya Ibn ad-Dubai’, h.33

Kasyf al-Khafaa` karya al-‘Ajluni, Jld.I, h.203

Al-Mawdluu’aat karya Ibn al-Jawzi, Jld.I, h.439

Al-La`aali, Jld.I, h.329

Tanziih asy-Syari’ah, Jld.I, h.377

Ahaadiits al-Qushshaash, h.15

Al-Fawaa`id karya al-Karmi, h.57

Al-Fawaa`id karya asy-Syawkani, h.348-354

Al-Asraar, h.71

Tadzkirah al-Mawdluaa’aat, h.95

Al-Fataawa al-Hadiitsiyyah, h.126

Miizaan al-I’tidaal, Jld.II, h.251

Asna al-Mathaalib, h.72

Tuhfah al-Ahwadzi, Jld.IV, h.329

Al-Mustadrak, Jld.III, h.126 (telah dinilai sahih oleh al-Hakim namun kemudian diteliti jalur periwayatannya oleh Imam az-Zahabi yang berkata, “Ianya hadis Maudhu. Ia (al-Haakim) mengatakan, “Abu ash-Shalt [salah seorang perawi hadis] adalah seorang yang Tsiqah, Ma`mun. Menurutku (az-Zzahaby), “Demi Allah, ia bukan Tsiqah dan bukan pula Ma`mun.”)

Dla’if al-Jami’ ash-Shaghiir karya Syaikh al-Albani, no.1322

Al-Kaamil karya Ibn ‘Ady, Jld.I, h.193

Adl-Dlu’afaa` karya al-‘Uqaily, Jld.III, h.150

Majma’ az-Zawaa`id, Jld.IX, h.114

(SUMBER: ad-Durar al-Muntatsiarah Fi al-Ahaadiits al-Masyhuurah karya Imam as-Suyuthi, tahqiq, Syaikh Muhammad Luthfy ash-Shhabbaagh, h.70, hadis no.38)

Tambahan Dari Penyunting

Dalam teks yang kami dapati di dalam sunan at-Tirmizi tertulis:

أَنَا دَارُ اْلحِكْمَةِ وَعَلِيٌّ بَابُهَا

“Aku (Rasulullah) adalah Daar (gedung) ilmu dan ‘Ali adalah pintunya.”

Jadi, bukan seperti teks hadis dalam buku rujukan kita di atas, barangkali ada teks berbeza di dalam kitab selain sembilan kitab hadis induk (al-Kutub at-Tis’ah).

Mengenai teks ini, at-Tirmizi mengatakan, “Hadits Gharib Munkar.”

Ath-Thibi mengatakan, “Orang-orang Syi’ah nampaknya berpegang pada perumpamaan ini iaitu bahawa, mengambil ilmu dan hikmah dari beliau s.a.w. adalah khusus buat ‘Ali, tidak seorang pun boleh melakukannya kecuali melalui perantaraannya kerana memasuki rumah hanya boleh dari pintunya di mana Allah berfirman, ‘Dan masukilah rumah-rumah tersebut dari pintu-pintunya.’ Padahal sebenarnya itu sama sekali tidak dapat menjadi hujjah bagi mereka kerana Daar al-Jannah (Rumah surga) sendiri tidak seluas Daar (rumah) hikmah, Dalam keadaan itu pun , ia (Darul al-Jannah) memiliki 8 pintu.” (Maksudnya, dari arah mana saja dari kelapan-lapan pintu itu boleh dimasuki, tidak semestinya satu pintu sebagaimana dakwaan Syi’ah tersebut-Penyunting ).

Al-Qaari mengatakan, “Ali adalah salah satu dari pintu-pintunya (pintu hikmah). Akan tetapi adanya pengkhususan itu mengisyaratkan penghormatan kepadanya di mana beliau r.a. memang mempunyai kedudukan yang tinggi bila dibanding dengan sebahagian sahabat dari sisi keagungan dan ilmu. Di antara hal yang menunjukkan bahawa kedudukan para sahabat semuanya sebagai pintu-pintu adalah hadis Nabi s.a.w, ‘Para sahabatku adalah seperti bintang-gemintang; siapa pun yang kalian ikuti, pasti kalian mendapat petunjuk.’ Iaitu sebagai isyarat perbezaan tingkatan cahayanya di dalam mendapatkan petunjuk itu. Sebagai bukti, para Tabi’in juga mengambil ilmu-ilmu syari’at seperti bacaan, tafsir, hadis, fiqih dari para sahabat lain selain ‘Ali. Dengan itu, dapat diketahui bahawa pintu itu tidak khusus milik Ali r.a. sahaja, kecuali dalam satu pintu, iaitu masalah qadha’ sebab memang ada hadis mengenai dirinya dalam hal itu, yang berbunyi, ‘Ia (‘Ali) adalah orang yang paling mengerti mengenai qada’ di antara kamu.’ Sama seperti yang dikatakan kepada Ubay bahawa dia adalah ‘orang yang paling bagus bacaannya di antara kamu‘ , Zaid bin Tsabit sebagai yang ‘paling mengerti masalah fara’idh di antara kamu’ dan Mu’adz bin Jabal sebagai yang ‘paling mengerti masalah halal dan haram di antara kamu.’ ”

Sebenarnya, dengan berdalil dengan hadis “Para sahabatku adalah seperti bintang-gemintang…” juga tidak tepat, sebab menurut pensyarah sunan at-Tirmizi, al-Mubarakfuri yang menukil dari Ibn Hajar bahwa hadis tentang ‘para sahabatku adalah seperti bintang-gemintang…’ itu tidak shahih, sangat lemah bahkan Ibn Hazm menilainya sebagai hadits Maudhu’. Al-Baihaqi mengemukakan hadis dha’if lain yang senada dengan itu lalu mengatakan bahawa boleh jadi dijadikan perumpamaan dalam hal mereka itu (para shahabat) adalah seperti bintang tetapi tidak dalam memberi petunjuk. Dan hal ini sesuai dengan makna hadis sahih yang diriwayatkan Muslim, isinya, ‘Bintang-gemintang adalah amanah langit, bila bintang-gemintang itu hilang maka akan datanglah apa yang dijanjikan kepada ahli langit.’ Pendapat al-Baihaqi ini didukung oleh Ibn Hajar sekali pun beliau menegaskan bahawa makna zahir hadis yang ada di dalam Sahih Muslim itu (hanya) berbicara tentang fitnah yang akan terjadi setelah berakhirnya masa sahabat, iaitu dengan munculnya berbagai bid’ah dan perbuatan-perbuatan keji di seluruh muka bumi.” (aiitu tidak berkait dengan makna kedua hadits lemah di atas- Penyunting.)

(Lihat, Tuhfah al-Ahwadzi Syarh Sunan at-Turmudzy karya al-Mubaarakfuri, berkaitan dengan syarah hadis di atas)

Kesimpulan:

a) Hadis tersebut adalah MAUDHU’ sebagaimana yang dianalisa oleh Syaikh Muhammad Luthfi ash-Shabbaagh.

b) ‘Ali r.a. memang memiliki kedudukan lebih dari sebahagian sahabat dari sisi keagungan dan ilmu, tetapi tidak boleh dikatakan bahawa oleh sebab itu, beliaulah satu-satunya pintu ilmu, apalagi dengan dakwaan hal itu telah dikhususkan oleh Nabi s.a.w kepadanya. Tambahan pula, hujjahnya bersandarkan kepada hadis maudhu di atas, Wallahu a’lam.

Disaring oleh www.darulkautsar.net dari artikel asal dari www.alsofwah.or.id

Check Also

Hadis Maudhu- Kemunculan Dan Usaha Ulama Menanganinya

Share...TwitterPrintPinterestLinkedinFacebookDigg

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *