Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Lanjutan / Hadis Sahih / Hadis Sahih: Tidak Berlaku Kiamat Selagi Ada Orang Mu`Min
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Hadis Sahih: Tidak Berlaku Kiamat Selagi Ada Orang Mu`Min

Muhammad Hanief bin Awang Yahaya

 

لَا تَقُوْمُ السَّاعَةُ عَلى أَحَدٍ يَقُوْلُ: اللهُ، اللهُ. وَفِيْ طَرِيْقٍ: لَا إلهَ إِلّا اللهُ

Tidak akan berlaku kiamat ke atas seseorang yang mengucapkan Allah, Allah. Dalam riwayat lain: La Ilah Illa Allah. (Muslim, al-Tirmizi, Ibn Hibban, Ahmad)

Sanad Dan Perawi Pertama: Sahih Muslim

حَدَّثَنِي زُهَيْرُ بْنُ حَرْبٍ حَدَّثَنَا عَفَّانُ حَدَّثَنَا حَمَّادٌ أَخْبَرَنَا ثَابِتٌ عَنْ أَنَسٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى لَا يُقَالَ فِي الْأَرْضِ اللَّهُ اللَّهُ

حَدَّثَنَا عَبْدُ بْنُ حُمَيْدٍ أَخْبَرَنَا عَبْدُ الرَّزَّاقِ أَخْبَرَنَا مَعْمَرٌ عَنْ ثَابِتٍ عَنْ أَنَسٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَقُومُ السَّاعَةُ عَلَى أَحَدٍ يَقُولُ اللَّهُ اللَّهُ

Imam Muslim mengambil hadis ini melalui dua sanad: Sanad pertama daripada Zuhair bin Harb daripada ‘Affan daripada Hammad daripada Thabit daripada Anas. Sanad kedua daripada ‘Abd bin Humaid daripada ‘Abdul Razzaq daripada Ma’mar daripada Thabit daripada Anas bin Malik. Zuhair bin Harb: Seorang yang dipercayai lagi teguh (thiqah thabt), Imam Muslim banyak meriwayatkan daripada beliau sehingga lebih daripada seribu hadis. Selain itu, hadisnya boleh didapati dalam Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abi Daud, Sunan al-Nasa`i dan Sunan Ibn Majah. (Taqrib al-Tahzib, hal. 168) ‘Affan Nama beliau ‘Affan bin Muslim bin ‘Abdullah al-Soffar, seorang thiqah thabt. Hadis-hadisnya terdapat dalam Sunan Sittah. Hammad ya’ni Hammad bin Salamah, seorang thiqah ‘abid (ahli ibadat). Beliau merupakan murid yang paling teguh yang meriwayatkan hadis daripada Thabit. Walau bagaimanapun, fikirannya bercelaru di akhir usia. Thabit ya’ni Thabit bin Aslam al-Bunani, seorang thiqah dan ‘abid (ahli ibadat). Anas bin Malik. Anas bin Malik bin al-Nadhr bin Dhamdham al-Ansari al-Khazraji. Beliau telah berkhidmat kepada Rasulullah s.a.w. sejak kedatangan baginda ke Madinah ketika berusia sepuluh tahun. Beliau telah meriwayatkan sebanyak 1286 hadis daripada Rasulullah s.a.w.

‘Abd bin Humaid. Beliau seorang imam yang terkenal dan mempunyai sebuah kitab musnad. Kuniahnya Abu Muhammad. Dikatakan namanya ialah ‘Abdul Hamid. Inilah yang diputuskan oleh Ibn Hibban dan ramai lagi. Seorang yang thiqah dan hafiz. Riwayatnya boleh didapati dalam Sahih Muslim dan Jami’ al-Tirmizi. Manakala Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada secara ta’liq. (Taqrib al-Tahzib, hal. 322) ‘Abdul Razzaq. Beliau ialah ‘Abdul Razzaq bin Hammam bin Nafi’, Abu Bakar al-San’ani, pengarang kitab al-Musannaf. Seorang yang thiqah, hafiz tetapi berfahaman tasyayyu’. Beliau hilang penglihatan di akhir usia dan mengalami perubahan pada ingatannya. Riwayatnya boleh didapati dalam semua Sunan Sittah. (Taqrib al-Tahzib, hal. 308) Ma’mar. Beliau ialah Ma’mar bin Rasyid al-Azdi, Abu ‘Urwah al-Basri. Seorang yang thiqah teguh dan fadhil (utama). Bagaimanapun riwayatnya daripada Thabit, al-A’masy dan Hisyam bin ‘Ur wah terdapat masalah. Begitu juga periwayatannya semasa di Basrah. Riwayatnya boleh didapati dalam semua Sunan Sittah. (Taqrib al-Tahzib, hal. 497)

Musnad Ahmad. Imam Ahmad meriwayatkan hadis ini daripada ‘Abdul Razzaq daripada Ma’mar daripada Thabit daripada Anas bin Malik.

حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّزَّاقِ أَخْبَرَنَا مَعْمَرٌ عَنْ ثَابِتٍ عَنْ أَنَسٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَقُوم السَّاعَةُ عَلَى أَحَدٍ يَقُولُ اللَّهُ اللَّهُ

Sahih Ibn Hibban. Ibn Hibban mengambil hadis ini daripada al-Husain bin ‘Abdullah bin Yazid al-Qattan daripada Nuh bin Habib daripada ‘Abdul Razzaq daripada Ma’mar daripada Thabit daripada Anas bin Malik.

أخبرنا الحسين بن عبد الله بن يزيد القطان، قال: حدثنا نوح بن حبيب، قال: حدثنا عبدالرزاق، قال: أخبرنا معمر، عن ثابت، عن أنس بن مالك، قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: “لا تقوم الساعة على أحد يقول: لا إله إلا الله

Al-Husain bin ‘Abdullah bin Yazid al-Qattan: Beliau merupakan guru Imam Ibn Hibban. Sheikh al-Albani tidak menemui biografi beliau dalam kitab-kitab rijal dan beliau berpendapat bahawa boleh jadi Ibn Hibban menyebutkannya dalam Kitab al-Thiqat. Beliau merupakan guru utama Ibn Hibban dalam sahihnya dan tentu sekali beliau lebih mengetahui kedudukan gurunya, al-Husain al-Qattan. (lihat Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, jil. 3, hal. 237) Nuh bin Habib al-Qumasi al-Bazsyi. Beliau meninggal dunia pada tahun 142 H. Ibn Hibban menyebutkan dalam Kitab al-Thiqat, jil. 9, hal. 211. Hafiz Ib Hajar mengatakan beliau seorang yang thiqah dan berfahaman Ahli Sunnah. (Taqrib al-Tahzib, hal. 522) Riwayatnya boleh didapati dalam Sunan Abi Daud dan Sunan al-Nasa`i. Sanad al-Tirmizi dengan lafaz sedikit perbezaan:

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ بَشَّارٍ حَدَّثَنَا ابْنُ أَبِي عَدِيٍّ عَنْ حُمَيْدٍ عَنْ أَنَسٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى لَا يُقَالَ فِي الْأَرْضِ اللَّهُ اللَّهُ قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ الْمُثَنَّى حَدَّثَنَا خَالِدُ بْنُ الْحَارِثِ عَنْ حُمَيْدٍ عَنْ أَنَسٍ نَحْوَهُ وَلَمْ يَرْفَعْهُ وَهَذَا أَصَحُّ مِنْ الْحَدِيثِ الْأَوَّلِ

Sanad pertama: daripada Muhammad bin Basysyar daripada Ibn Abi ‘Adi daripada Humaid daripada Anas. Sanad kedua: Muhammad bin al-Muthanna daripada Khalid bin al-Harith daripada Humaid daripada Anas secara mauquf. Kedua-dua sanad ini sahih cuma tariq Khalid bin al-Harith lebih sahih daripada tariq Ibn Abi ‘Adi kerana Khalid lebih thiqah daripada Ibn Abi ‘Adi. Muhammad bin Basysyar. Muhammad bin Basysyar bin ‘Uthman bin Daud bin Kaisan al-‘Abdi. Kuniahnya Abu Bakr al-Basri dan gelarannya, Bundar kerana beliau seorang yang mempunyai ingatan yang kuat. Beliau merupakan seorang thiqah. (Taqrib al-Tahzib, hal. 424) Riwayatnya boleh didapati dalam semua Sunan Sittah. Ibn Abi ‘Adi. Beliau ialah Muhammad bin Ibrahim bin Abi ‘Adi. Kadang-kadang beliau dibinkan kepada datuknya. Beliau seorang yang thiqah dan riwayatnya boleh didapati dalam semua Sunan Sittah. (Taqrib al-Tahzib, hal. 420) Khalid bin al-Harith. Beliau ialah Khalid bin al-Harith bin ‘Ubaid bin Sulaim al-Hujaimi, Abu ‘Uthman al-Basri. Beliau merupakan seorang yang thiqah lagi teguh. Riwayatnya boleh didapati dalam semua Sunan Sittah. (Taqrib al-Tahzib, hal. 139) Humaid. Beliau ialah Humaid bin Abi Humaid al-Towil, Abu ‘Ubaidah al-Basri. Terdapat sepuluh pendapat tentang nama ayahnya. Beliau seorang yang thiqah dan riwayatnya terdapat dalam Sunan Sittah. (Taqrib al-Tahzib, hal. 134)

Tajuk-Tajuk Yang Dapat Disimpulkan Daripada Hadis Ini

· Keutamaan kalimah tawhid.

· Orang mukmin sebagai nyawa kepada alam ini.

· Besarnya nilai nyawa orang yang beriman

· Antara tanda kiamat ialah apabila tidak ada lagi orang mukmin

· Sentiasa mengingati Allah

· Sifat orang yang berlaku kiamat ke atasnya

( ذكر الإخبار عن وصف الناس الذين يكون قيام الساعة على رؤوسهم )

· Hilangnya iman di akhir zaman

Huraian Dan Pengajaran Hadis

Hadis ini menjelaskan bahawa kiamat tidak akan berlaku dalam keadaan masih ada lagi orang mukmin sebaliknya ia berlaku ke atas orang-orang jahat seperti yang disebutkan dalam riwayat lain.

حَدَّثَنِي يَزِيدُ بْنُ أَبِي حَبِيبٍ حَدَّثَنِي عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ شِمَاسَةَ الْمَهْرِيُّ قَالَ كُنْتُ عِنْدَ مَسْلَمَةَ بْنِ مُخَلَّدٍ وَعِنْدَهُ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ فَقَالَ عَبْدُ اللَّهِ لَا تَقُومُ السَّاعَةُ إِلَّا عَلَى شِرَارِ الْخَلْقِ هُمْ شَرٌّ مِنْ أَهْلِ الْجَاهِلِيَّةِ لَا يَدْعُونَ اللَّهَ بِشَيْءٍ إِلَّا رَدَّهُ عَلَيْهِمْ فَبَيْنَمَا هُمْ عَلَى ذَلِكَ أَقْبَلَ عُقْبَةُ بْنُ عَامِرٍ فَقَالَ لَهُ مَسْلَمَةُ يَا عُقْبَةُ اسْمَعْ مَا يَقُولُ عَبْدُ اللَّهِ فَقَالَ عُقْبَةُ هُوَ أَعْلَمُ وَأَمَّا أَنَا فَسَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا تَزَالُ عِصَابَةٌ مِنْ أُمَّتِي يُقَاتِلُونَ عَلَى أَمْرِ اللَّهِ قَاهِرِينَ لِعَدُوِّهِمْ لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ حَتَّى تَأْتِيَهُمْ السَّاعَةُ وَهُمْ عَلَى ذَلِكَ فَقَالَ عَبْدُ اللَّهِ أَجَلْ ثُمَّ يَبْعَثُ اللَّهُ رِيحًا كَرِيحِ الْمِسْكِ مَسُّهَا مَسُّ الْحَرِيرِ فَلَا تَتْرُكُ نَفْسًا فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ حَبَّةٍ مِنْ الْإِيمَانِ إِلَّا قَبَضَتْهُ ثُمَّ يَبْقَى شِرَارُ النَّاسِ عَلَيْهِمْ تَقُومُ السَّاعَةُ

Daripada Yazid katanya ‘Abdul Rahman bin Shimasah al-Mahri meriwayatkan kepada saya katanya, saya berada bersama dengan Maslamah bin Mukhallad dan bersamanya juga ada ‘Abdullah bin ‘Amar bin al-‘Ash. Beliau berkata: “Tidak berlaku kiamat melainkan ke atas orang-orang yang jahat. Mereka itu lebih jahat daripada ahli jahiliyyah. Tidaklah mereka meminta daripada Allah akan sesuatu melainkan Dia tidak menerimanya.” Sedang mereka berada di situ berbincang-bincang, ‘Uqbah bin ‘Amir datang lalu Maslamah berkata kepadanya, wahai ‘Uqbah dengarlah apa yang dikatakan oleh ‘Abdullah. ‘Uqbah menjawab: “Beliau lebih mengetahui. Adapun saya, pernah saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Satu kumpulan dari umatku akan terus berjuang di jalan Allah, mengalahkan musuh mereka, tidak ada yang dapat memudaratkan mereka orang yang menyalahi mereka sehinggalah datang kiamat dan mereka dalam keadaan demikian. ‘Abdullah berkata: “Memang benar, kemudian Allah s.w.t. mengutuskan satu angin seperti haruman kasturi, sentuhannya itu seperti sutera. Ia tidak meninggalkan satu jiwa yang dalam hatinya ada iman seberat biji sawi melainkan diambilnya kemudian tinggal orang-orang yang jahat, dan kepada merekalah berlakunya kiamat. (Muslim) Mulla ‘Ali al-Qari berkata: “Daripada hadis ini dapat diketahui bahawa kekalnya alam ini dengan keberkatan ulama yang beramal dan hamba-hamba yang soleh serta orang-orang mu`min yang lain. Maksud tidak diucapkan Allah Allah ya’ni tidak mengingati Allah, tidak beribadat kepada-Nya.” (Mirqat al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih, juz. 16, hal. 72)

Ayat-ayat al-Qur`an yang sema’na dengan hadis ini

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَى جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّار

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha suci engkau, maka peliharalah Kami dari azab neraka. (Surah Aal ‘Imran: 191) Tidaklah Allah s.w.t.menjadikan alam ini sia-sia dan batil tanpa ada hikmah bahkan supaya Dia diingati dan disembah.

Apabila manusia tidak lagi menyembah Allah maka tidak patut lagi alam ini ada dan selayaknya berlaku kiamat. Berdasarkan kepada ini, zikir yang diamalkan oleh orang mu`min seolah-olah ruh kepada alam ini.

أَنَّهُ مَنْ قَتَلَ نَفْسًا بِغَيْرِ نَفْسٍ أَوْ فَسَادٍ فِي الْأَرْضِ فَكَأَنَّمَا قَتَلَ النَّاسَ جَمِيعًا وَمَنْ أَحْيَاهَا فَكَأَنَّمَا أَحْيَا النَّاسَ جَمِيعًا

Bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya. (al-Maidah: 32)

Di samping itu, hadis ini menguatkan makna hadis:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَزَوَالُ الدُّنْيَا أَهْوَنُ عَلَى اللَّهِ مِنْ قَتْلِ رَجُلٍ مُسْلِمٍ

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya hilangnya dunia itu lebih mudah kepada Allah daripada pembunuhan terhadap seorang muslim.” (al-Tirmizi)

Check Also

Hadis Sahih: Tanggungjawab Berasaskan Kepada Sebab

Muhammad Hanief bin Awang Yahaya www.darulkautsar.net    عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *