Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Lanjutan / Hadis Sahih / Hadis Sahih: Tanggungjawab Berasaskan Kepada Sebab
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Hadis Sahih: Tanggungjawab Berasaskan Kepada Sebab

Muhammad Hanief bin Awang Yahaya
www.darulkautsar.net
  

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْعَجْمَاءُ جَرْحُهَا جُبَارٌ وَالْبِئْرُ جُبَارٌ وَالْمَعْدِنُ جُبَارٌ وَفِي الرِّكَازِ الْخُمُسُ

Daripada Abu Hurayrah daripada Rasulullah s.a.w sabdanya: “Binatang itu kerosakan yang dilakukannya sia-sia dan kecederaan yang berlaku di lombong sia-sia dan kecederaan di telaga sia-sia dan pada rikaz dikenakan khumus”.

Hadis ini di antara hadis yang disepakati oleh imam-imam hadis, Malik, Ahmad dan pengarang Sunan Sittah, al-Darimi, Ibn Khuzaymah dan lain-lain.

Pada asalnya maksud perkataan ajma` ialah haiwan. Dinamakan demikian kerana ia tidak bercakap-cakap, atau percakapannya tidak difahami. Oleh sebab itu, orang bukan Arab dipanggil ‘ajam kerana percakapan mereka tidak difahami oleh orang Arab dan begitu juga sebaliknya. Ini tidak bermaksud untuk merendahkan bangsa bukan Arab atau menganggap mereka sama dengan haiwan. Maksud sebenar ialah untuk menyatakan percakapan mereka itu tidak difahami oleh bukan Arab.

Sia-sia bermaksud tidak dikenakan apa-apa ganti rugi. Kerosakan yang dilakukan oleh haiwan dengan apa cara sekalipun sama ada kecederaan atau sebagainya maka sia-sia, tidak ada ganti rugi padanya.

Hadis ini menunjukkan bahawa apa yang dirosakkan oleh haiwan bukan kerana berpunca dari pemiliknya atau kerana kecuaiannya maka tidak dikenakan apa-apa ganti rugi. Hadis ini juga mengingatkan kita supaya berhati-hati dengan binatang kerana jika berlaku kemalangan akan sia-sia kecederaan dan kemalangan yang dialami.

Jika binatang itu mencederakan atau merosakkan sesuatu dalam keadaan tidak ada penjaga, dan waktu siang hari di padang ragutnya maka tidak dikenakan ganti rugi, ya’ni keadaan yang menunjukkan bukan kecuaian pemilik. Sebaliknya jika berlaku dalam keadaan ada penjaganya dan dia cuai maka dikenakan ganti rugi kerana kecuaiannya. Jika berlaku pada waktu malam maka dikenakan ganti rugi kerana kecuaian tuannya yang tidak menjaga dengan baik dalam kandang. Dalam konteks semasa, hukum ini merangkumi juga kenderaan seperti kereta, jika ia menyebabkan kecederaan maka tetap dikenakan ganti rugi sama ada dari arah depan atau belakang. Ini kerana kenderaan bergerak mengikut kehendak pemandunya dan segala pergerakannya itu berpunca daripadanya.

Jika melombong atau mendulang emas dengan kehendak sendiri maka dia sendiri yang menanggung risiko kemalangan. Tetapi jika dia memasuki lombong itu dengan bekerja dengan pihak kerajaan atau pihak tertentu maka hendaklah diadakan perjanjian supaya kepentingan pekerja terjaga dan ini berdasarkan kepada orang Islam itu mengikut syarat mereka.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الصُّلْحُ جَائِزٌ بَيْنَ الْمُسْلِمِينَ إِلَّا صُلْحًا أَحَلَّ حَرَامًا أَوْ حَرَّمَ حَلَالًا الْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ

Daripada Abu Hurayrah daripada Rasulullah s.a.w sabdanya: “Perdamaian (kerana pertikaian) di antara orang-orang itu harus kecuali yang menghalalkan yang haram atau mengharamkan yang halal dan orang-orang Islam itu terikat mengikut sharat yang dibuat sesama mereka. (Abu Dawud)

Jika seseorang itu menggali telaga di kawasan miliknya dengan cara yang harus lalu ada orang yang terjatuh dalam telaga, maka sia-sia atau percuma ya’ni tidak dikenakan ganti rugi kepada tuan telaga.

Orang yang bekerja menggali telaga lalu mengalami kemalangan maka ia sia-sia, kerana dia bekerja atas risiko sendiri.

Rikaz bermaksud harta yang tertanam atau tersembunyi. Perkataan ini berkait dengan rikz dalam ayat terakhir surah Maryam,

وَكَمْ أَهْلَكْنَا قَبْلَهُمْ مِنْ قَرْنٍ هَلْ تُحِسُّ مِنْهُمْ مِنْ أَحَدٍ أَوْ تَسْمَعُ لَهُمْ رِكْزًا

(dan amatlah banyaknya kaum-kaum kafir yang Kami telah binasakan sebelum mereka; engkau tidak menyedari ataupun mendengar suara yang sayup bagi seseorangpun dari orang-orang yang telah dibinasakan itu).

Menurut al-Nawawi dan Ibn Qudamah rikaz ialah harta tertimbus dari zaman jahiliyyah. Pada harta itu tidak dapat dipastikan ciri-ciri Islam atau cop kerajaan Islam. Jika tidak ini termasuk dalam hukum luqatah iaitu hendaklah diwarwarkan selama setahun. Mengikut mazhab Hanafi, rikaz ini merangkumi harta peninggalan dan galian yang dalam bentuk asal belum diproses, tersembunyi kerana Khaliq atau makhluq kerana rikaz itu dengan ma’na markuz sesuatu yang tersembunyi.

Rikaz tidak hanya khusus dengan emas dan perak tetapi merangkumi barang berharga yang lain.

Ulama berbeza pendapat syarat nisab. Walaupun begitu, mereka bersetuju bahawa tidak syaratkan hawl padanya. Kadar yang dikenakan sebanyak satu perlima atau 20%.

Ulama berbeza pendapat tentang tanah yang dimiliki atau dibeli dan didapati di dalamnya terdapat galian berharga. Mengikut jumhur ulama, ia menjadi milik empunya tanah dan dia berhak mendapatnya. Tetapi Imam Malik berpendapat, tanah itu menjadi milik kerajaan kerana itu merupakan khazanah negara dan orang yang membelinya itu membeli mengikut uruf. Jika diberikan kepada tuan tanah maka ia akan menjadi milik perseorangan atau berlegar di kalangan yang tertentu sahaja. Pada hal kekayaan hasil bumi ini sepatutnya faedahnya dini’mati bersama.

Umum hadis ini menunjukkan dikenakan khumus sama barang temuan itu banyak atau sedikit dan ini pendapat kebanyakan ulama. Tetapi al-Shafi’i dalam qawl jadid mensharatkan cukup nisab.

Check Also

Hadis Sahih: Tidak Berlaku Kiamat Selagi Ada Orang Mu`Min

Muhammad Hanief bin Awang Yahaya   لَا تَقُوْمُ السَّاعَةُ عَلى أَحَدٍ يَقُوْلُ: اللهُ، اللهُ. وَفِيْ …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *