Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Lanjutan / Hadis Sahih / HADIS SAHIH: LARANGAN MENJUAL BARANGAN YANG MENJEJASKAN KEMASLAHATAN MANUSIA
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

HADIS SAHIH: LARANGAN MENJUAL BARANGAN YANG MENJEJASKAN KEMASLAHATAN MANUSIA

Disediakan oleh: Muhammad Hanief Awang Yahaya

 

وَعَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اَللَّهِ رَضِيَ اَللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اَللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ عَامَ اَلْفَتْحِ وَهُوَ بِمَكَّةَ إِنَّ اَللَّهَ وَرَسُولَهُ حَرَّمَ بَيْعَ اَلْخَمْرِ, وَالْمَيْتَةِ, وَالْخِنْزِيرِ, وَالْأَصْنَامِ. فَقِيلَ: يَا رَسُولَ اَللَّهِ ! أَرَأَيْتَ شُحُومَ اَلْمَيْتَةِ, فَإِنَّهُ تُطْلَى بِهَا اَلسُّفُنُ, وَتُدْهَنُ بِهَا اَلْجُلُودُ, وَيَسْتَصْبِحُ بِهَا اَلنَّاسُ? فَقَالَ: ” لَا. هُوَ حَرَامٌ “, ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اَللَّهِ صلى الله عليه وسلم عِنْدَ ذَلِكَ: ” قَاتَلَ اَللَّهُ اَلْيَهُودَ, إِنَّ اَللَّهَ لَمَّا حَرَّمَ عَلَيْهِمْ شُحُومَهَا جَمَلُوهُ, ثُمَّ بَاعُوهُ, فَأَكَلُوا ثَمَنَهُ – مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ .

Daripada Jabir bin ‘Abdullah bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda pada hari pembukaan Mekah: “Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya telah mengharamkan jualan khamar, bangkai, babi dan berhala. Ada orang bertanya: ‘Wahai Rasulullah, apa pendapat tuan tentang lemak bangkai? Sesungguhnya ia dilumurkan pada perahu dan dicalitkan pada kulit-kulit dan orang ramai menggunakannya untuk nyalaan lampu di rumah? Rasulullah s.a.w menjawab: “Tidak boleh, ia adalah haram. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda: “Semoga Allah memerangi orang-orang Yahudi, sesungguhnya apabila Allah s.w.t mengharamkan mereka dari lemak-lemak lalu mereka mencairkannya kemudian mereka menjualnya lalu memakan hasil jualannya. (al-Bukhari, 2236, Muslim, no: 1581, Abu Daud, no: 3486, al-Tirmizi, no: 1297, al-Nasa`i, no: 4683, Ibn Majah, no: 2167)

Semakna dengan hadis ini hadis Ibn ‘Abbas yang diriwayatkan oleh Abu Daud, no: 3482

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَالِسًا عِنْدَ الرُّكْنِ قَالَ فَرَفَعَ بَصَرَهُ إِلَى السَّمَاءِ فَضَحِكَ فَقَالَ لَعَنَ اللَّهُ الْيَهُودَ ثَلَاثًا إِنَّ اللَّهَ حَرَّمَ عَلَيْهِمْ الشُّحُومَ فَبَاعُوهَا وَأَكَلُوا أَثْمَانَهَا وَإِنَّ اللَّهَ إِذَا حَرَّمَ عَلَى قَوْمٍ أَكْلَ شَيْءٍ حَرَّمَ عَلَيْهِمْ ثَمَنَهُ

Daripada Ibn ‘Abbas, katanya saya melihat Rasulullah s.a.w duduk berdekatan dengan Rukun. Kata beliau: “Lalu Rasulullah s.a.w mendongak ke langit dan ketawa seraya bersabda: “Allah s.w.t melaknat orang-orang Yahudi –tiga kali- sesungguhnya Allah s.w.t mengharamkan mereka dari (makan) lemak-lemak lalu mereka menjualnya lalu memakan hasil jualannya. Sesungguhnya apabila Allah s.w.t mengharamkan sesuatu ke atas satu kaum maka Dia mengharamkan juga harganya.

Kefahaman hadis

Perawi hendaklah mengambil berat sejarah berlakunya sesesuatu perkara atau masa disebutkan sesuatu hukum. Hadis ini diriwayatkan semasa peristiwa Pembukaan Mekah iaitu pada bulan Ramadan tahun kelapan hijrah.

Sebagai seorang yang menjaga kepentingan dan kemaslahatan rakyat, pemimpin hendaklah menyebarkan hukum-hukum syara’ yang penting kepada masyarakat terutamanya pada masa-masa perhimpunan utama. Pengisytiharan perlu dilakukan dari semasa ke semasa supaya setiap hukum yang penting dapat diketahui dengan jelas oleh semua lapisan masyarakat. Dengan itu, semua pihak tidak boleh memberikan alasan tidak tahu apabila apa-apa hukuman dikuatkuasa dan tindakan berkaitan dengannya diambil.

Allah s.w.t menyebutkan sifat-sifat Rasulullah s.a.w yang berperanan menjelaskan perkara yang halal dan haram, serta syari’at yang dibawa olehnya adalah untuk menjaga kepentingan manusia.

الَّذِينَ يَتَّبِعُونَ الرَّسُولَ النَّبِيَّ الْأُمِّيَّ الَّذِي يَجِدُونَهُ مَكْتُوبًا عِنْدَهُمْ فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنْجِيلِ يَأْمُرُهُمْ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَاهُمْ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ وَيَضَعُ عَنْهُمْ إِصْرَهُمْ وَالْأَغْلَالَ الَّتِي كَانَتْ عَلَيْهِمْ

(Iaitu orang-orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi yang Ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. ia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. (Surah al-A’raf: 157)

Syari’ah Islam datang membawa segala kebaikan untuk manusia di samping menjelaskan kepada mereka perkara-perkara yang merosakkan dengan mengingatkan bahawa perkara tersebut telah diharamkan.

Sebab ketiga-tiga benda ini diharamkan ialah kerana ianya mempunyai makna kekejian khaba`ith yang mengandungi mafsadah dan kemudaratan kepada manusia. Apabila ada unsur ini segala kemaslahatan manusia akan terbatal kerana ia menjejaskan aqidah, nyawa, aqal, maruah, keturunan dan harta. Supaya benda-benda ini tidak tersebar maka di samping ia haram dimakan maka ia juga diharamkan dari dijadikan barang dagangan.

Haramnya arak adalah sesuatu yang jelas kerana ia adalah ibu kepada segala kekejian. Dalam bahasa Arab khamr bermaksud menutup. Pada istilah fiqh khamr adalah setiap benda sama ada minuman dan bahan lain yang memabukkan dan ia menghilangkan kewarasan aqal manusia dengan sebab ia menutup aqal manusia dari berfikir dengan waras. Manusia kehilangan aqal dengan sebab dia meminum arak sedangkan aqal itulah sebab kepada kemuliaannya.

Asas kepada pengharaman arak ialah

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (Surah al-Ma`idah: 90)

Pengharamannya tidak hanya berkaitan meminum dan menjualnya sahaja tetapi meliputi setiap aktiviti yang berkaitan dengannya.

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْخَمْرِ عَشْرَةً عَاصِرَهَا وَمُعْتَصِرَهَا وَشَارِبَهَا وَحَامِلَهَا وَالْمَحْمُولَةُ إِلَيْهِ وَسَاقِيَهَا وَبَائِعَهَا وَآكِلَ ثَمَنِهَا وَالْمُشْتَرِي لَهَا وَالْمُشْتَرَاةُ لَهُ

Daripada Anas bin Malik katanya: “Rasulullah s.a.w melaknat pada khamr itu sepuluh perkara, pemerahnya, orang yang meminta ia diperahkan, peminumnya, orang yang menghidangkannya, orang yang memesannya, pembawanya, penjualnya, orang yang memakan hasil jualannya, pembelinya dan orang yang meminta supaya dibelikan untuknya. (al-Tirmizi, no: 1295, Ibn Majah, no: 3381)

Haramnya bangkai pula kerana matinya haiwan itu dengan tidak sembelih secara syar’ie, sementara babi pula sejenis binatang yang kotor. Asas dalam masalah ini ialah ayat al-Quran berikut:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنْزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ وَالْمُنْخَنِقَةُ وَالْمَوْقُوذَةُ وَالْمُتَرَدِّيَةُ وَالنَّطِيحَةُ وَمَا أَكَلَ السَّبُعُ إِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْ وَمَا ذُبِحَ عَلَى النُّصُبِ وَأَنْ تَسْتَقْسِمُوا بِالْأَزْلَامِ ذَلِكُمْ فِسْقٌ

Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), darah (yang keluar mengalir), daging babi (termasuk semuanya), binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, yang mati tercekik, yang mati dipukul, yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, yang mati ditanduk, yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. yang demikian itu adalah perbuatan fasik. (Surah al-Ma`idah: 3)

Manakala berhala pula tidak boleh dijual beli bukan kerana objeknya itu bernajis tetapi kerana sifatnya itu yang dijadikan sembahan orang-orang yang sesat.

Allah s.w.t menegaskan:

فَاجْتَنِبُوا الرِّجْسَ مِنَ الْأَوْثَانِ وَاجْتَنِبُوا قَوْلَ الزُّورِ

Maka jauhilah kekotoran syirik yang disebabkan oleh penyembahan berhala, serta jauhilah perkataan yang dusta. (Surah al-Hajj: 30)

Apabila kesemua benda yang disebutkan dalam hadis ini haram dijual beli maka adakah sebab tidak boleh dijual beli itu kerana ianya tidak boleh dimakan, najis atau kerana tidak boleh dimanfaatkan secara syar’ie?

Ulama berbeza pendapat tentang ‘illah kepada pengharaman jual belinya. Di sisi mazhab al-Shafi’i ialah kerana ia najis. Dengan ini, setiap objek yang najis tidak boleh dijual beli.

Ada di kalangan ulama yang mengatakan bangkai, khamr dan juga babi tidak najis. Apa yang dinyatakan tentang haram memakannya bukan kerana kenajisannya. Ini kerana tidak semestinya apabila sesuatu itu haram maka ia najis sebagaimana apabila sesuatu itu suci maka tidak bererti ia halal dimakan.

Menurut Ibn al-Qayyim, hadis ini menunjukkan kepada pengharaman tiga jenis benda, iaitu minuman yang merosakkan akal, makanan yang merosakkan tabi’at kerana mengalirkan kekotoran dalam tubuh dan objek yang merosakkan agama dan membawa kepada fitnah (kekufuran) dan syirik [1].

Berdasarkan kepada pandangan ini, ‘illah kepada haramnya penjualan perkara yang disebutkan oleh hadis ini ialah setiap perkara yang menjejaskan kulliyyat khams atau daruriyyat agama yang meliputi agama, nyawa, keturunan, akal dan harta. Oleh itu, setiap apa yang membawa kepada kerosakan pada daruriyyat khams iaitu lima perkara yang menjadi kepentingan menentukan kelangsungan hidup manusia, maka haram menjualnya. Termasuk dalam hukum menjual ialah menyewa, mempromosikan dan mengiklan serta mana-mana aqad yang mengandungi makna pertukaran (muawadah).

Adakah secara mutlak tidak harus mengambil manfaat daripada bangkai?

Kebanyakan ulama berpendapat tidak harus mengambil manfaat daripada bangkai sama sekali. Ini berdasarkan kepada penafsiran tempat kembali kata ganti nama pada lafaz لَا, هُوَ حَرَامٌ. Iaitu merujuk kepada mengambil manfaat bukan merujuk kepada menjualnya. Bagaimana al-Shafi’i mengatakan damir (kata ganti nama) itu kembali kepada menjualnya. Ini bererti harus mengambil manfaat daripada bangkai dengan tidak menjualnya seperti menjadikannya makanan untuk anjing berburu dan sebagainya.

Menurut Shaikh Zafar al-Uthmani, haram menjual menunjukkan haram mengambil manfaat daripadanya dan demikian juga haram mengambil manfaat bererti haram juga menjualnya. [2]

Ibn al-Qayyim berpendapat tidak semestinya haram menjualnya bermakna haram mengambil manfaat daripadanya sama sekali. Beliau menyatakan: “Jual beli itu diharamkan walaupun harus mengambil manfaat daripadanya. Maksudnya tidak menjadi kemestian dari pengharaman bangkai itu haram mengambil manfaat daripadanya pada perkara yang bukan diharamkan oleh Allah dan Rasul-Nya seperti dijadikan bahan bakar dan makanan untuk burung helang yang dilatih untuk berburu. Imam Malik telah menyatakan harus menyalakan pelita dengan minyak yang terkena najis pada tempat selain masjid dan harus membuat sabun dengannya. Hendaklah diketahui bahawa bab mengambil manfaat lebih luas dari bab jual beli. Tidak semua yang haram dijual beli maka haram menggunakannya bahkan tidak ada kemestian di antara kedua-duanya maka tidak boleh dihukumkan haram mengambil manfaat kerana haram jual beli.” [3]

Bagaimanapun, mengikut Shaykh Zafar al-Uthmani, tidak harus memberikan bangkai kepada anjing melainkan ia sendiri memakannya dan kita tidak wajib menegahnya kerana ia bukan mukallaf. [4]

Hadis ini yang menyatakan haramnya menjual bangkai juga menunjukkan haram menjual kulit bangkai sebelum disamak kerana ia belum boleh digunakan. Adapun setelah disamak maka ia boleh digunakan dan boleh dijual beli dengannya.[5]

Bulu bangkai tidak dinamakan sebagai maytah kerana tidak ada nyawa padanya. Oleh itu, harus mengambil manfaat daripadanya dan menjualnya

Permasalahan helah atau Ihtiyal

Ihtiyal adalah satu cara yang halus yang dilakukan oleh seseorang untuk mencapai matlamatnya dengan menggunakan kepintaran dan kecerdikannya. Ihtiyal menjadi haram dalam dua keadaan. Pertama, apabila digunakan dengan tujuan untuk membatalkan dan mengabaikan hukum shara’ seperti orang yang telah memberikan hibah kepada isterinya pada akhir tahun yang diwajibkan zakat bagi mengelakkan wajibnya zakat ke atas dirinya. Begitu juga orang yang berkahwin dengan perempuan yang diceraikan dengan tiga talak dengan syarat menceraikannya pula setelah berlaku persetubuhan bagi menghalalkannya untuk suaminya yang terdahulu.

Kedua, melakukan perbuatan haram untuk sampai kepada perkara halal. Contohnya, tidak boleh seorang isteri menjadi murtad dengan tujuan untuk menfasakhkan nikahnya kerana suaminya seorang yang kejam. Begitu juga menjual barang yang tidak halal manfaatnya dengan tujuan untuk mendapatkan harganya atau hasil jualannya.[6]

Keadaan yang kedua inilah yang dinyatakan dalam hadis ini iaitu helah yang dilakukan oleh orang-orang Yahudi untuk menghalal perkara yang telah diharamkan.

Al-Khattabi menegaskan bahawa hadis ini membatalkan segala bentuk helah yang dilakukan menghalalkan perkara haram dan hukum haram tidak akan berubah walaupun berubah bentuknya dan ditukarkan namanya. [7]

 

 


[1] Zad al-Ma’ad Fi Huda Khayr al-‘Ibad, jil. 5, hal. 661
[2] I’la` al-Sunan, jil. 14, hal. 115.
[3] Zad al-Ma’ad Fi Huda Khayr al-‘Ibad, jil. 5, hal. 668.
[4] I’la` al-Sunan, jil. 14, hal. 116.
[5] I’la` al-Sunan, jil. 14, hal. 117.
[6] Lihat, Muhammad Rawwas Qal’ah Ji, Al-Mawsu’ah al-Fiqhiyyah al-Muyassarah, jil. 1,hal. 77.
[7] Lihat Ma’alim al-Sunan, jil. 3, hal. 133.

Check Also

Hadis Sahih: Tidak Berlaku Kiamat Selagi Ada Orang Mu`Min

Muhammad Hanief bin Awang Yahaya   لَا تَقُوْمُ السَّاعَةُ عَلى أَحَدٍ يَقُوْلُ: اللهُ، اللهُ. وَفِيْ …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *