Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Lanjutan / Hadis Mutawaatir / PERBINCANGAN ASAS TENTANG HADIS MUTAWATIR
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

PERBINCANGAN ASAS TENTANG HADIS MUTAWATIR

 Disediakan oleh: Muhammad Hanief Awang Yahaya

 

Oleh kerana khabar atau hadis datang melalui para perawi maka ada kalanya ia disampaikan oleh satu jumlah yang ramai dan ada kalanya disampaikan oleh dua tiga orang sahaja. Berdasarkan kepada bilangan perawi yang meriwayatkan hadis, ulama telah membahagikan hadis kepada dua, mutawatir dan ahad. Mutawatir ialah khabar yang diriwayatkan oleh kumpulan yang ramai manakala ahad ialah khabar yang diriwayatkan oleh beberapa individu sahaja.

Ma’na Mutawatir Dari Segi Bahasa

Mutawatir adalah kata nama pelaku (isim fa’il) bagi tawatara, datang berturut-turut. Al-Syaukani menyebutkan mutawatir pada bahasa ialah kedatangan satu selepas satu dengan adanya tempoh antara kedua-duanya dan ia diambil daripada al-watr (Irsyad al-Fuhul, hal. 89). Dalam al-Qur`an terdapat contoh penggunaan perkataan al-watr.

ثُمَّ أَرْسَلْنَا رُسُلَنَا تَتْرَا

Kemudian Kami mengutus Rasul-rasul Kami silih berganti. (Surah Mu`minun: 44)

Asal perkataan tatr ialah watr, ya’ni huruf waw ditukarkan kepada huruf ta`. (al-Mardawi, al-Tahbir Syarh al-Tahrir, jil. 8, hal. 1749)

Ta’rif Mutawatir

Tarif “mutawatir” ialah khabar yang dilaporkan oleh satu kumpulan (jama’ah) pelapor yang mustahil mereka bersepakat untuk berdusta. Ini bererti khabar yang dilaporkan oleh bukan satu kumpulan tidak dikira sebagai mutawatir tetapi ahad.

Al-Khatib al-Baghdadi telah merumuskan hadis mutawatir sebagai:

ما يخبر به القوم الذين يبلغ عددهم حدا يُعلم عند مشاهدتهم بمستقر العادة أن اتفاق الكذب عندهم محال .وأن التواطؤَ منهم في مقدار الوقت الذي انتشر الخبر عنهم فيه متعذر . وأن ما أخبروا عنه لا يجوز دخول اللبس والشبهة في مثله ، وأن أسباب القهر والغلبة والأمور الداعية إلى الكذب منتفية عنهم فمتى تواتر الخبر عن قوم هذه سبيلهم ، قطع على صدقه ، وأوجب وقوع العلم ضرورة “

Apa yang diberitakan oleh satu kaum atau kumpulan yang bilangan mereka itu mencapai satu had di mana pada keadaan biasa yang tetap diketahui daripada persaksian mereka bahawa mustahil pada mereka kesepakatan untuk berdusta. Kesepakatan itu dalam tempoh tersebar berita daripada mereka itu terhalang dan apa yang mereka khabarkan itu tidak boleh dimasuki oleh kekeliruan dan keraguan dalam khabar sepertinya dan sebab-sebab kekerasan dan perkara-perkara yang mendorong kepada pendusta ternafi daripada mereka. Bila sahaja telah mutawatir (berturut-turut) datangnya berita daripada mereka dengan cara ini maka diputuskan akan kebenarannya dan memestikan terhasilnya ilmu yang dharuri. (alKifayah, hal. 50)

Syarat-Syarat Mutawatir

Berdasarkan kepada ta’rif di atas, dapat dirumuskan beberapa syarat bagi menentukan hadis itu mutawatir ataupun tidak.

Pertama: Bilangan yang ramai

Hendaklah bilangan pelapor itu sampai pada satu tahap yang mustahil kesemua mereka itu berdusta dalam pemberitaan mereka.

Ada yang mensyaratkan kepada empat orang kerana saksi yang diperlukan dalam menyelesaikan kes hudud ialah empat orang. Ada yang mengatakan sepuluh kerana qiyas kepada had minimum bagi jama’ kathrah ialah sepuluh. Sebahagiannya pula mensyaratkan 70 orang kerana itu bilangan lelaki yang telah dipilih oleh Nabi Musa untuk pergi ke Tur Sina.

Mengikut pendapat yang lebih kuat, berasaskan kepada ta’rif di atas, bilangan perawi yang dikehendaki tidak ditentukan. Mutawatir tidak mempunyai satu bilangan mundhabit. Bilangan yang dititikberatkan ialah yang melebihi daripada kadar pada hadis masyhur di samping perlu ada qarinah lain iaitu bilangan yang menafikan kesepakatan mereka untuk mereka-reka khabar atau berdusta atas nama Rasulullah s.a.w. Walaupun ulama menetapkan bilangan yang tertentu namun kesemuanya itu berasaskan kepada qiyas semata-mata.

Kedua: Ramai pada setiap tabaqat

Bilangan yang ramai ini hendaklah ada pada setiap tabaqat sanad dan tidak boleh kurang pada tabaqat-tabaqat yang lain. Sebaliknya kalau pada tabaqat yang seterusnya itu jumlah perawi lebih ramai daripada yang sebelumnya maka itu menjadi lebih utama. Seperti dalam satu tabaqat seramai 30 orang kemudian tabaqat yang meriwayatkan daripada mereka pula seramai 40 orang.

Ketiga: Kandungan berita adalah berasaskan mahsus

Apa yang dilaporkan itu berkenaan perkara mahsus, ya’ni yang diketahui berdasarkan kepada pancaindera bukan penaakulan akal. Dengan syarat ini, berita tentang alam ini bersifat baru tidak dikatakan sebagai mutawatir kerana ianya diketahui berasaskan kepada penaakulan mantiq. Seperti kata ahli ilmu kalam, alam ini berubah-ubah, setiap yang berubah-ubah adalah baru maka alam ini baru. Ini kerana perkara yang difikirkan dengan akal hanya diyakini kebenarannya itu dengan burhan, iaitu bukti dan hujah akal.

Perbezaan Antara Tawatur Al-Qur`an Dan Hadis

Tawatur al-Qur`an adalah bersifat dharuri iaitu tawatur yang tidak memerlukan sanad kerana tersebarnya al-Qur`an dan ia diwarisi sejak zaman Rasulullah dipelajari dan dihafaz oleh semua lapisan umat di sepanjang zaman.

Tawatur pada hadis-hadis pula adalah bersifat nazari ya’ni perlu kepada mengumpulkan dan memeriksa sanad-sanad. Ia berasaskan kepada pengkajian dan penelitian. Oleh sebab itu, tidak memadai semata-mata dengan banyak sanad tetapi perlu diselidiki siapakah setiap perawi dalam sanad itu. Oleh kerana itu, semata-mata banyak jalan hadis atau sanad tidak bermakna hadis itu langsung menjadi mutawatir.

Ilmu Yang Terhasil Daripada Hadis Mutawatir

Hadis mutawatir memberikan ilmu yaqini dan dharuri yang tidak boleh ditolak manusia dan dia mesti menerima kebenarannya. Yaqin ialah i’tiqad yang kemas (jazim) yang bertepatan dengan kenyataan (waqi’) dan kebenaran.

Pembahagian Mutawatir

‘Allamah Syabbir ‘Uthmani (Muqaddimah Fath al-Mulhim, hal. 26) menyebutkan bahawa tawatur terbahagi kepada empat:

  1. Tawatur isnad
  2. Tawatur tabaqah
  3. Tawatur ‘amal atau tawatur tawaruth
  4. Tawatur al-Qadr al-Musytarak

Tawatur isnad

Hadis diriwayatkan daripada awal sanad hingga ke hujungnya kumpulan yang mustahil berkumpulnya mereka itu untuk berdusta. Seperti hadis, ”Sesiapa yang sengaja berdusta atas namaku maka hendaklah dia menyediakan tempatnya di dalam neraka”.

Ibn al-Solah berkata: “Seramai 62 orang sahabat telah meriwayatkan hadis ini. Ada ulama yang mengatakan lebih daripada seratus orang sahabat meriwayatkannya. Al-Nawawi dalam syarah Sahih Muslim menyatakan seramai dua ratus orang sahabat meriwayatkannya.

Tawatur tabaqah

Tawatur tabaqah seperti tawaturnya al-Qur`an, tersebut di setiap pelosok dunia, timur dan barat. Tawatur al-Qur`an merangkumi pembelajaran dan pengajaran, tilawah dan hafazan, pengulangan oleh hafiz, dari satu tabaqat ke tabaqat yang lain. Dengan sifatnya yang mutawatir, al-Qur`an tidak memerlukan kepada sanad kerana ia dinukilkan pada setiap generasi di segenap pelosok dunia.

Tawatur ‘amal atau tawatur tawaruth

Amalan yang dilakukan oleh setiap generasi di setiap zaman sejak dari zaman Rasulullah s.a.w. seperti menggosok gigi ketika berwudu` sehingga zaman ini.

Tawatur al-Qadr al-Musytarak

Iaitu berlaku tawatur dari segi ma’na sahaja tidak pada lafaz hadis. Mutawatir ini lebih merujuk kepada himpunan hadis-hadis yang setiap daripadanya itu mempunyai satu ma’na yang dikongsi bersama. Hadis ini juga dinamakan mutawatir ma’nawi atau mutawatir min jihah al-ma’na.

Sebilangan besar hadis mutawatir adalah mutawatir ma’nawi dan kebanyakan perkara yang penting dan pasti (dharuri) yang wajib diketahui dalam agama ialah sabit melalui mutawatir secara ma’na.

Contoh mutawatir ma’nawi ialah hadis tentang sabitnya azab kubur

Hadis pertama:-

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ مَرَّ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِحَائِطٍ مِنْ حِيطَانِ الْمَدِينَةِ أَوْ مَكَّةَ فَسَمِعَ صَوْتَ إِنْسَانَيْنِ يُعَذَّبَانِ فِي قُبُورِهِمَا

Daripada Ibn Abbas katanya, Rasulullah s.a.w. melalui dekat salah sebuah kebun di Madinah atau Mekah lalu baginda terdengar suara dua orang yang diseksa di dalam kubur mereka. (al-Bukhari, Muslim, Abu Daud)

Hadis kedua:-

عَنْ عُرْوَةَ أَنَّ عَائِشَةَ أَخْبَرَتْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَدْعُو فِي صَلَاتِهِ اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ

Daripada ‘Urwah bahawa ‘A`ishah telah menceritakan kepadanya bahawa Rasulullah s.a.w. sering berdoa dalam sembahyangnya: “Ya Allah aku berlindung dengan Engkau dari azab kubur, aku berlindung dengan Engkau dari fitnah dajjal dan aku berlindung dengan Engkau dari fitnah kehidupan dan kematian.” (Abu Daud)

Hadis ketiga:-

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَكْثَرُ عَذَابِ الْقَبْرِ مِنْ الْبَوْلِ

Daripada Abu Hurairah katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Kebanyakan azab kubur berpunca dari air kencing. (Ibn Majah)

Hadis keempat:-

أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَالْجُبْنِ وَالْهَرَمِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ

Daripada Anas bin Malik katanya Rasulullah s.a.w. sering berdoa: “Ya Allah aku berlindung dengan Engkau dari kelemahan, kemalasan, sifat pengecut, tua nyanyuk, aku berlindung dengan Engkau dari fitnah kehidupan dan kematian dan aku berlindung dengan Engkau dari azab kubur (al-Bukhari)

Hadis kelima:-

عَنْ أَنَسٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَوْلَا أَنْ لَا تَدَافَنُوا لَدَعَوْتُ اللَّهَ أَنْ يُسْمِعَكُمْ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ

Daripada Anas bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Kalau tidak kerana kamu tidak akan mengkebumikan jenazah tentu aku berdoa kepada Allah supaya kamu didengarkan azab kubur. (Muslim)

Hadis keenam:-

عَنْ الْبَرَاءِ بْنِ عَازِبٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ { يُثَبِّتُ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا بِالْقَوْلِ الثَّابِتِ } قَالَ نَزَلَتْ فِي عَذَابِ الْقَبْرِ

Daripada al-Bara` bin ‘Azib daripada Rasulullah s.a.w. sabdanya: “Ayat

{يُثَبِّتُ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا بِالْقَوْلِ الثَّابِتِ}

Yang bermaksud: Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh (surah Ibrahim: 27) turun tentang azab kubur.” (Muslim)

Keraguan Dan Kemusykilan Yang Ditimbulkan Tentang Hadis Mutawatir

Kemusykilan Pertama:-

Gambaran tentang kewujudan hadis mutawatir tidak boleh diterima kerana mustahil sejumlah orang mempunyai pandangan yang sama sedangkan mereka itu berbeza-beza dari segi tabiat, kekuatan pancaindera, kecenderungan dan minat.

Jawapan

Tidak menjadi satu kemustahilan tentang wujudnya khabar mutawatir. Tidakkah kewujudan kota-kota yang terkenal seperti Mekah, Kaherah, London dan Paris itu diketahui oleh yang tidak pernah melihatnya berdasarkan kepada laporan yang bersifat mutawatir.

Kemusykilan Kedua:-

Sekiranya harus satu kumpulan melaporkan sesuatu yang memberikan ilmu yang pasti maka harus juga satu kumpulan lain melaporkan cerita yang bertentang dengan cerita kumpulan yan pertama. Maka dengan itu berlaku pertentangan pada cerita yang sama dan ini tentu sekali mustahil seperti mana satu mengatakan si A meninggal dunia manakala satu pihak yang lain mengatakan dia masih lagi hidup. Adalah mustahil berkumpul pada A itu hidup dan mati serentak dalam satu masa.

Jawapan

Sesungguhnya andaian mustahil kerana apabila satu kumpulan telah melaporkan satu cerita dalam keadaan mereka itu sudah memenuhi syarat-syarat mutawatir maka tidak mungkin datang pula satu kumpulan yang juga ada pada mereka syarat-syarat mutawatir membawa berita yang bertentangan dengannya.

Kemusykilan Ketiga:-

Sekiranya khabar mutawatir itu memberikan ilmu yang pasti maka tentu sekali dakwaan Yahudi dan Kristian bahawa Nabi Isa telah dibunuh adalah laporan yang bersifat pasti yang diyakini kebenarannya.

Jawapan

Apa yang dikatakan oleh Yahudi dan Kristian tidak boleh dianggap mencapai taraf mutawatir kerana dakwaan mereka itu tidaklah disepakati pada setiap tabaqat terutamanya di tabaqat pertama dan kedua dan syarat tawatur itu hendaklah ada pada setiap tabaqat. Tetapi merujuk kepada kitab Injil dan Taurat, nukilan dan periwayatannya itu tidak diketahui sanadnya apatah lagi untuk dibuktikan sifat tawatur pada kedua-duanya. Dari sudut yang lain, sebenarnya laporan Yahudi dan Kristian itu bercanggah dengan laporan al-Qur`an yang bersifat tawatur iaitu firman Allah s.w.t..

وَقَوْلِهِمْ إِنَّا قَتَلْنَا الْمَسِيحَ عِيسَى ابْنَ مَرْيَمَ رَسُولَ اللَّهِ وَمَا قَتَلُوهُ وَمَا صَلَبُوهُ وَلَكِنْ شُبِّهَ لَهُمْ وَإِنَّ الَّذِينَ اخْتَلَفُوا فِيهِ لَفِي شَكٍّ مِنْهُ مَا لَهُمْ بِهِ مِنْ عِلْمٍ إِلَّا اتِّبَاعَ الظَّنِّ وَمَا قَتَلُوهُ يَقِينًا

Dan juga (disebabkan) dakwaan mereka dengan mengatakan: “Sesungguhnya Kami telah membunuh Al-Masih Isa Ibni Maryam, Rasul Allah”. Padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak memalangnya (di kayu palang -salib), tetapi diserupakan bagi mereka (orang yang mereka bunuh itu seperti Nabi Isa). Dan sesungguhnya orang-orang yang telah berselisih faham, mengenai Nabi Isa, sebenarnya mereka berada dalam keadaan syak (ragu-ragu) tentang menentukan (pembunuhannya). Tiada sesuatu pengetahuan pun bagi mereka mengenainya selain daripada mengikut sangkaan semata-mata; dan mereka tidak membunuhnya dengan yakin. (al-Nisa`: 157)

Check Also

Mutawatir Dan Jenis-Jenisnya

Jenis-jenis Mutawatir 1. Tawatur Isnad – Diriwayatkan melalui banyak jalur sanad dan mungkin mereka berpakat …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *