Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Lanjutan / At-Ta`arud wa At-Tarjih / METODE PENTARJIHAN HADIS – HADIS YANG SALING BERCANGGAH
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

METODE PENTARJIHAN HADIS – HADIS YANG SALING BERCANGGAH

Disediakan oleh: Muhammad Hanief Awang Yahaya

 

Apabila dua hadis sahih yang sama taraf bercanggah antara satu sama lain, dan tidak diketahui adakah kedua-duanya saling memansukhkan antara satu sama lain dan tidak dapat diselaraskan, maka tiada pilihan lain bagi mujtahid atau pengkaji hadis melainkan melakukan proses ‘tarjih’.

Tarjih bermaksud mendahulukan beramal dengan salah satu daripada dua atau lebih hadis yang bertentangan kerana (hadis yang ditarjihkan itu ) mempunyai keistimewaan yang diakui yang menyebabkannya lebih patut diamalkan.

Walaupun kewajipan mengikuti dan beramal dengan hadis adalah seperti mengikuti al-Quran, kewajipan untuk beramal dengan hadis-hadis tersebut tidak berada pada taraf yang sama. Ada di antara hadis tersebut sahih, hasan , daif, ma`lul, mansukh, mudraj dan sebagainya. Oleh kerana itu, kedudukan sesebuah hadis mesti ditentukan sebelum beramal dengannya. Penentuan ini mestilah berdasarkan kepada kaedah riwayah (dari sudut sanad) dan dirayah ( dari sudut matan) . Daripada sini berlaku tarjih berdasarkan kedudukan para perawi, matan dan pengertian hadis, hukum dan perkara-perkara luaran.

Pentarjihan antara dua hadis atau lebih yang bercanggah boleh dilakukan dengan menggunakan metode-metode berikut:

1) Metode pentarjihan berdasarkan perawi

2) Metode pentarjihan berdasarkan matan hadis

3) Metode pentarjihan berdasarkan hukum

4) Metode pentarjihan berdasarkan perkara luaran

 

1) Metode Pentarjihan Berdasarkan Perawi

Bentuk-bentuk pentarjihan berdasarkan keadaan para perawi:

1. Pentarjihan berdasarkan bilangan perawi yang ramai.

2. Pentarjihan berdasarkan usia perawi

3. Pentarjihan berdasarkan kefaqihan perawi

4. Pentarjihan berdasarkan kedudukan perawi yang hampir dengan Rasulullah s.a.w.

5. Pentarjihan dengan kedudukan perawi yang mempunyai kaitan dengan hadis

6. Pentarjihan dengan kedudukan perawi lewat memeluk Islam

7. Pentarjihan dengan kedudukan perawi yang mempunyai sifat-sifat yang menguatkan kebenarannya

8. Pentarjihan dengan kedudukan perawi lebih banyak mendampingi Rasulullah s.a.w., lebih berusia dan terdahulu memeluk Islam

9. Pentarjihan dengan terkenal

10. Pentarjihan dengan kedudukan perawi mendengar tidak di balik hijab.

11. Pentarjihan dengan kedudukan perawi yang ditazkiahkan

1.1 Pentarjihan berdasarkan bilangan perawi yang ramai.

Jika sebuah hadis yang mempunyai bilangan yang ramai bertentangan dengan sebuah hadis yang lain yang bilangan perawinya tidak ramai, maka hendaklah didahulukan hadis yang mempunyai ramai perawi. Alasannya ialah kemungkinan berlaku kesilapan dan pendustaan pada hadis yang pertama itu kurang berbanding dengan hadis yang bilangan perawinya tidak ramai. Contohnya ialah hadis tentang wajib berwuduk kerana menyentuh kemaluan lebih ditarjihkan daripada hadis yang menunjukkan tidak wajib. Hadis yang mewajibkan mengambil wudhu’ semula selepas menyentuh kemaluan mempunyai ramai perawi. Antara yang meriwayatkan hadis ini ialah Abdullah bin Amar bin al-`Ash, Aishah, Ummu Habibah, Busrah. Sementara hadis yang tidak mewajibkan hanya diriwayatkan oleh Talq bin Ali al-Yamami.

1.2 Pentarjihan berdasarkan usia perawi

Apabila dua hadis sahih bercanggah dan kedua-duanya itu tidak dapat diselaraskan serta tidak dapat ditentukan manakah yang terlebih dahulu muncul ( berkenaan dengan peristiwa yang sama ) atau boleh diselaraskan tetapi tidak diketahui manakah yang lebih khusus, cuma bezanya salah seorang perawi hadis-hadis tersebut lebih berusia. Maka dengan itu, ditarjihkan perawi yang lebih dewasa melainkan jika perawi yang lebih muda itu memiliki ketepatan sepertinya atau lebih lagi. Alasannya ialah, pertama, perawi yang dewasa lebih tepat dalam mengingati hadis daripada perawi yang muda. Kedua, biasanya perawi dewasa lebih hampir dengan Rasulullah s.a.w. kerana sabda baginda:

عَنْ أَبِي مَسْعُودٍ قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَمْسَحُ مَنَاكِبَنَا فِي الصَّلَاةِ وَيَقُولُ اسْتَوُوا وَلَا تَخْتَلِفُوا فَتَخْتَلِفَ قُلُوبُكُمْ لِيَلِنِي مِنْكُمْ أُولُو الْأَحْلَامِ وَالنُّهَى ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ قَالَ أَبُو مَسْعُودٍ فَأَنْتُمْ الْيَوْمَ أَشَدُّ اخْتِلَافًا

Luruskanlah dan janganlah kamu saling bertelingkahan lalu dengan itu hati-hati kamu tidak bersatu, hendaklah orang-orang yang cerdik pandai mengiringiku kemudian yang mengikuti mereka.(Muslim, al-Nasa`i, Ibn Majah dan Ahmad)

Ketiga, perawi dewasa lebih kuat menjaga diri dari pendustaan berbanding dengan kanak-kanak. Dia lebih cermat dalam menukilkan dan hanya meriwayatkan sesuatu yang dipastikan benar, berbeza dengan kanak-kanak yang jarang berhati-hati.

Contohnya, pertentangan di antara riwayat Ibn Umar dan Anas bin Malik tentang talbiyah Rasulullah s.a.w. ketika menunaikan Haji Wida`. Ibn Umar meriwayatkan baginda berniat haji ifrad iaitu menunaikan haji sahaja sementara Anas meriwayatkan bahawa baginda berniat haji qiran iaitu mengerjakan haji dan umrah serentak. Lalu ditarjihkan riwayat Ibn Umar berdasarkan kepada keseluruhan hadis tersebut yang hujungnya menyatakan: “Anas pada ketika itu masih lagi kecil sering memasuki kawasan perempuan yang tidak menutup aurat dengan bebas dan saya (Ibn Umar) memegang tali unta Rasulullah s.a.w., air liurnya mengenai saya.”

1.3 Pentarjihan berdasarkan kefaqihan perawi

Apabila terdapat percanggahan antara dua hadis yang tidak boleh diselaraskan dan tidak dapat dipastikan sejarahnya serta salah seorang perawinya adalah faqih, maka hadis perawi tersebut ditarjihkan. Perawi faqih ialah seorang mujtahid yang mengetahui pengertian-pengertian lafaz hadis, mampu mengeluarkan hukum-hukum syara` daripada lafaz-lafaz tersebut. Ini kerana perawi faqih dapat membezakan antara perkara yang harus dan tidak harus dan berupaya menentukan lafaz zahir dipakai dengan zahirnya atau tidak. Berbeza dengan perawi yang bukan faqih yang hanya mementingkan penyampaian hadis. Ini merupakan pendapat majoriti Ahli Hadis, ulama Syafi`iyyah dan lain-lain.

Perlu juga disebutkan di sini, ulama Hanafiyyah mempunyai perincian berhubung dengan mensyaratkan fiqh bagi menerima hadis. Mereka menerima hadis yang diriwayatkan oleh perawi yang faqih dan tidak mengambil hadis yang perawinya tidak faqih. Apabila sesuatu hadis itu bercanggah dengan semua qiyas mereka tidak menerima hadis tersebut walaupun perawinya faqih. Dengan itu, apabila dua hadis saling bercanggah, salah satunya diriwayatkan oleh perawi faqih dan satu lagi tidak, cumanya hadis pertama itu bercanggah dengan qiyas dan tidak hadis yang kedua, maka kedua-dua hadis itu tidak dapat ditarjihkan antara satu sama lain. Jika riwayat perawi faqih bercanggah dengan semua qiyas maka ia ditarjihkan daripada hadis bukan faqih yang tidak bercanggah dengan qiyas.

Contoh hadis yang ditarjihkan kerana kefaqihan perawi ialah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah: “Sesiapa yang berada pada waktu pagi dalam keadaan berjunub maka tidak ada puasa baginya.” Riwayat ini bercanggah dengan riwayat Aishah:

قَالَتْ عَائِشَةُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُدْرِكُهُ الْفَجْرُ فِي رَمَضَانَ مِنْ غَيْرِ حُلْمٍ فَيَغْتَسِلُ وَيَصُومُ

“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. berada pada waktu pagi dalam keadaan berjunub bukan kerana mimpi dan baginda berpuasa.” Hadis Aishah ini ditarjihkan kerana Aishah lebih faqih daripada Abu Hurairah dan beliau lebih mengetahui urusan rumahtangga baginda. (al-Bukhari dan Muslim)

Contoh lain, Abu Hanifah mentarjihkan hadis Ibn Mas`ud tentang tidak mengangkat tangan di dalam sembahyang kecuali takbiratul ihram kerana berdasarkan kefaqihan Ibn Mas`ud.

1.4 Pentarjihan dengan kedudukan perawi hampir di segi keakraban dengan Rasulullah s.a.w.

Hadis yang diriwayatkan perawi yang lebih akrab dengan Rasulullah s.a.w. didahulukan apabila berlaku pencanggahan kerana kemungkinan berlaku kesilapan apabila keakraban di antara perawi dengan Rasulullah adalah jauh.

1.5 Pentarjihan dengan kedudukan perawi yang mempunyai kaitan dengan hadis

Hadis dari perawi yang berkait langsung dengan peristiwa di dalam hadis tersebut ditarjihkan daripada hadis perawi lain. Ini kerana orang yang terlibat secara langsung dalam peristiwa dalam hadis tersebut tentu sekali lebih mengetahui tentang kandungan dan maksud hadis tersebut. Antara contohnya, hadis Maimunah tentang perkahwinannya dengan Rasulullah s.a.w. ditarjihkan daripada hadis Ibn Abbas. Hadis Maimunah itu menyebutkan:

عَنْ يَزِيدَ بْنِ الْأَصَمِّ حَدَّثَتْنِي مَيْمُونَةُ بِنْتُ الْحَارِثِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَزَوَّجَهَا وَهُوَ حَلَالٌ

“Rasulullah s.a.w. mengahwini ku dalam keadaan baginda keadaan halal (tidak berihram). (Muslim, al-Tirmizi dan Ibn Majah)

Manakala riwayat Ibn Abbas menyebutkan:

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَزَوَّجَ مَيْمُونَةَ وَهُوَ مُحْرِمٌ

Daripada Ibn ‘Abbas bahawa sesungguhnya Rasulullah s.a.w. mengahwininya (Maimunah) dalam keadaan berihram.(al-Bukhari, Muslim, al-Tirmizi, al-Nasa`i, Abu daud dan Ahmad)

Ulama mentarjihkan riwayat Maimunah kerana beliau sendiri yang berkahwin dan terlibat dalam cerita hadis itu.

1.6 Pentarjihan dengan kedudukan perawi samada awal atau lewat memeluk Islam

Apabila dua hadis bertentangan sama dari semua sudut tetapi salah seorang perawi dahulu memeluk Islam sementara seorang lagi lewat hadis siapakah yang patut ditarjihkan? Di dalam masalah ini ada empat pendapat:

Pertama: Ditarjihkan riwayat perawi yang kemudian memeluk Islam. Ini adalah pendapat al-Syafi`i, majoriti pengikutnya, sebahagian ulama Malikiyyah dan sebahagian ulama Hanbali. Hujah mereka ialah lewatnya perawi memeluk Islam menunjukkan dia menghafaz perkara yang terakhir daripada Rasulullah s.a.w.

Kedua: Ditarjihkan hadis riwayat perawi yang terdahulu memeluk Islam. Antara yang berpendapat begini ialah sebahagian ulama Hanafiyyah, al-Amidi, Ibn al-Hajib dan lain-lain. Dalil mereka ialah perawi yang terdahulu memeluk Islam lebih memahami dan mengetahui tentang Islam berbanding yang kemudian memeluk Islam dan lebih menjaga diri daripada berdusta kerana menjaga kedudukannya yang lebih awal memeluk Islam.

Ketiga: Ada perincian iaitu jika perawi yang terdahulu Islam masih hidup di zaman perawi yang kemudian Islam maka riwayat salah seorang mereka tidak boleh ditarjihkan daripada riwayat yang lain. Dengan kata lain, riwayat mereka adalah sama kerana kemungkinan riwayat perawi yang awal memeluk Islam itu kemudian daripada riwayat perawi yang lewat Islam. Dan begitu juga sebaliknya.

Jika dapat diketahui perawi yang awal memeluk Islam meninggal dunia sebelum Islamnya perawi yang lewat memeluk Islam atau diketahui kebanyakan riwayatnya adalah lebih dahulu daripada riwayat perawi yang lewat memeluk Islam maka riwayatnya itu didahulukan. Contohnya ialah dua hadis yang bertentangan di dalam masalah batal wuduk kerana menyentuh kemaluan. Hadis yang mengatakan batal diriwayatkan oleh Abu Hurairah, sementara yang tidak batal diriwayatkan oleh Qais bin Talq. Riwayat Abu Hurairah ditarjihkan kerana riwayat beliau adalah lebih kemudian daripada riwayat Qais. Abu Hurairah memeluk Islam lebih lewat daripada Qais.

Keempat: Kedua-dua hadis tersebut sama sahaja tarafnya. Satu riwayat tidak boleh ditarjihkan daripada riwayat yang lain. Alasannya ialah masing-masing mempunyai keistimewaan. Salah seorang perawi mempunyai keistimewaan kerana awal memeluk Islam sementara seorang lagi hanya meriwayatkan perkara yang terakhir daripada Rasulullah s.a.w.

1.7 Pentarjihan dengan kedudukan perawi yang mempunyai sifat-sifat yang menguatkan kebenarannya

Perawi yang mempunyai sifat-sifat yang menguatkan kebenarannya seperti aqidah yang baik, ingatan baik, atau lebih kuat ingatan, seorang ahli bahasa yang mahir dengan ilmu-ilmu bahasa Arab seperti nahu, saraf, balaghah dan makna-makna lafaz Arab perlu ditarjihkan berbanding mereka yang tidak atau kurang memiliki sifat-sifat sedemikian.

Oleh itu, jika dua hadis yang sama cirinya saling bertentangan tetapi salah seorang perawi hadis itu memiliki sifat-sifat di bawah maka riwayatnya akan didahulukan. Mereka ialah:

1) Perawi adalah seorang yang ahli dalam ilmu-ilmu bahasa Arab kerana kurangnya kemungkinan berlaku kesilapan dalam memahami dan menyampaikan hadis. Perawi itu lebih mengetahui pengertian setiap lafaz. Adakah lafaz zahir tetap dipakai dengan zahirnya atau tidak.

2) Perawi itu mempunyai aqidah yang baik iaitu beliau terselamat dari sebarang fahaman bid`ah. Maksud bid`ah di sini ialah bid`ah yang tidak membawa kepada kekufuran. Jika bid`ah itu membawa kepada jatuhnya aqidah seseorang itu seperti Mujassimah dan Rafidhah maka riwayat mereka itu memang daripada awal lagi sudah tertolak.

Contohnya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Ibrahim bin Yahya:

Rasulullah s.a.w. bersabda:

من صام الدهر كله فقد وهب نفسه لله

Sesiapa yang berpuasa dahri (sepanjang tahun) bererti dia telah menyerahkan dirinya kepada Allah.”

Sedangkan hadis ini bertentangan dengan hadis:

لا صام من صام الدهر، صوم ثلاثة أيام صوم الدهر كله

Tidak ada puasa bagi orang yang puasa dahri. Puasa tiga hari setiap bulan adalah puasa dahri.

Perawi hadis yang pertama, Ibrahin bin Yahya, walaupun kita menerima dia sebagai thiqah, tetapi menurut Imam al-Bukhari, beliau adalah seorang ahli bid`ah. Oleh kerana itu, hadis beliau ini ditolak.

1.8 Pentarjihan dengan kedudukan perawi lebih banyak mendampingi Rasulullah s.a.w., lebih berusia dan terdahulu memeluk Islam

Apabila berlaku pertentangan, maka lebih patut didahulukan hadis Abu Bakar daripada hadis sahabat lain kerana kedudukan beliau lebih awal Islam. Jika dilihat dari sudut lebih banyak mendampingi Rasulullah s.a.w. maka lebih patut didahulukan hadis Abu Hurairah di samping beliau seorang yang begitu bersungguh-sungguh dan lebih memberi tumpuan kepada hadis-hadis Rasulullah serta paling kuat ingatan.

1.9 Pentarjihan dengan terkenal

Maksudnya ialah pentarjihan berdasarkan kepada kedudukan perawi yang terkenal. Masyhur perawi itu dapat dinilai dari beberapa perspektif:

1) Daya hafalan yang kuat, ketekunan dan ketepatan.

2) Keturunan yang mulia dan tinggi.

3) Masyhur dari segi sanad iaitu perawi terkenal dengan hanya meriwayatkan daripada perawi yang thiqah sahaja. Atau apabila dia meriwayatkan hadis mursal, dia juga akan meriwayatkan secara bersambung-sambung melalui tariq yang lain.

Hadis itu ditarjihkan kerana ia lebih masyhur dan diterimapakai oleh kebanyakan perawi dan ulama hadis.

1.10 Pentarjihan dengan kedudukan perawi mendengar tidak di balik hijab

Pentarjihan di antara dua hadis dibuat berdasarkan kepada salah seorang perawinya tidak mendengar dari sebalik tabir. Dengan itu kepastian mendengar daripada tuan punya ucapan adalah jelas dan selamat daripada dimasuki gangguan atau pencelahan.

Contohnya ialah jumhur ulama usul mentarjihkan riwayat al-Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar daripada riwayat al-Aswad. Riwayat al-Qasim menyebutkan bahawa Barirah telah dibebaskan dalam keadaan suaminya masih seorang hamba. Manakala riwayat al-Aswad pula menyebutkan bahawa suaminya telah merdeka. Riwayat al-Qasim ditarjihkan kerana beliau mendengar sendiri secara langsung daripada makciknya `Aishah sementara al-Aswad mendengar dari balik tabir kerana beliau bukan mahram `Aishah.

1.11. Pentarjihan dengan kedudukan perawi yang ditazkiahkan

1. Bentuk pentajihan yang pertama itu mempunyai ramai ulama yang mentazkiahkannya (memujinya).

2. Pentazkiah perawi yang pertama itu lebih adil daripada pentazkiah perawi kedua.

3. Tazkiah perawi pertama dengan cara penyaksian manakala bagi perawi kedua dengan cara mengamalkan riwayatnya.

4. Tazkiah perawi pertama berdasarkan kepada pengujian dan pemeriksaan. Manakala tazkiyah perawi kedua dengan cara periwayatan daripadanya. Tazkiah dengan cara pengujian dan pemeriksaan perawi itu lebih diutamakan kerana periwayatan kadang-kadang diambil daripada orang yang tidak adil atau penyaksian yang diberikan oleh orang yang tidak adil. Tetapi tazkiah dengan penjelasan yang terang hanya dilakukan oleh orang yang adil.

(Bersambung, insyaAllah )

Check Also

Pentarjihan Berdasarkan Matan

  Pentarjihan berdasarkan kepada dalil lain yang menyokong Pentarjihan berasaskan matan selamat daripada idhtirab Pentarjihan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *