Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Lanjutan / Asbaabul Wuruud / Sebab Wurud Hadis Tentang Perintah Beriman Dengan Allah Dan Rasul-Nya, Patuh Dengan Syariat Agama Dan Mendakwahkan Kepadanya
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Sebab Wurud Hadis Tentang Perintah Beriman Dengan Allah Dan Rasul-Nya, Patuh Dengan Syariat Agama Dan Mendakwahkan Kepadanya

Muhammad Hanief Awang Yahaya
www.darulkautsar.net

عَنِ ابْنِ عَبّاس قَالَ إِنَّ وَفْدَ عَبْدِ الْقَيْسِ لَمّا أَتَوُا النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم قَالَ: مَنِ الْقَوْمُ أَوْ مَنِ الْوَفْدُ قَالُوا: رَبِيعَةَ قَالَ: مَرْحَبًا بِالْقَوْمِ أَوْ بِالْوَفْدِ غَيْرَ خَزايا وَلاَ نَدَامَى فَقالُوا: يا رَسُولَ اللهِ إِنَّا لاَ نَسْتَطِيعُ أَنْ نَأْتِيَكَ إِلاَّ في الشَّهْرِ الْحَرامِ، وَبَيْنَنَا وَبَيْنَكَ هَذا الْحَيُّ مِنْ كُفّارِ مُضَرَ، فَمُرْنَا بِأَمْرٍ فَصْلٍ نُخْبِرْ بِهِ مَنْ وَرَاءَنا وَنَدْخُلْ بِهِ الْجَنَّةَ وَسَأَلُوهُ عَنِ الأَشْرِبَةِ فَأَمَرَهُمْ بِأَرْبَعٍ وَنَهاهُمْ عَنْ أَرْبَعٍ: أَمَرَهُمْ بِالإِيمانِ بِاللهِ وَحْدَهُ، قَالَ: أَتَدْرُونَ مَا الإِيمانُ بِاللهِ وَحْدَهُ قَالُوا: اللهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ، قَالَ: شَهادَةُ أَنْ لاَ إِلهَ إِلاّ اللهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللهِ، وَإِقامُ الصَّلاةِ وَإِيتاءُ الزَّكاةِ وَصِيامُ رَمَضَانَ وَأَنْ تُعْطُوا مِنَ الْمغنَمِ الْخُمُسَ وَنَهاهُمْ عَنْ أَرْبَعٍ: عَنِ الْحَنْتَمِ وَالدُّبَّاءِ وَالنَّقِيرِ وَالمُزَفَّتِ وَرُبَّما قَالَ المُقَيَّرِ وَقالَ: احْفَظُوهُنَّ وَأَخْبِرُوا بِهِنَّ مَنْ وَراءَكُمْ

Daripada Ibn ‘Abbas, katanya, sesungguhnya apabila rombongan deligasi ‘Abdul Qays, datang kepada Rasulullah s.a.w. lalu baginda bertanya: “Siapakah rombongan itu?” Mereka menjawab: “Rabi’ah”. Baginda mengucapkan: “Selamat datang kepada rombongan Rabi’ah yang datang dalam keadaan tidak terhina dan tidak menyesal.” Mereka berkata: “Wahai Rasulullah, kami tidak dapat datang menemui tuan kecuali pada bulan haram. Di antara kami dengan tuan ada kabilah Kuffar Mudar. Oleh itu suruhlah kami dengan perkara yang jelas supaya dapat kami sampaikan kepada orang-orang di belakang kami dan kerananya kami dapat memasuki syurga. Dan mereka juga bertanya tentang minuman-minuman, maka Rasulullah s.a.w. menyuruh mereka dengan empat perkara dan melarang mereka daripada empat perkara. Baginda menyuruh mereka beriman hanya dengan Allah semata-mata. Kemudian baginda bertanya: “Tahukah kamu apa itu iman dengan Allah semata-mata”. Mereka berkata: “Allah dan Rasul-Nya sahaja yang mengetahuinya”. Baginda bersabda:  “Bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah, dan Muhammad utusan Allah, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, puasa Ramadan dan kamu berikan sebahagian daripada harta ghanimah Khumus (satu perlima)”. Dan dia melarang mereka daripada empat perkara: “al-Hantam (tempayan-tempayan hijau), al-Dubba`(bekas daripada labu kering), al-Naqir (lubang tangkai kurma bagi mengisi arak) dan al-Muzaffat (bekas yang dilumur tar)”. Kata perawi, mungkin katanya : “al-Muqayyar”. Dan Rasulullah s.a.w. bersabda : “Jagalah perkara itu semua dan ceritakan tentangnya kepada orang-orang di belakang kamu.”

 Hadis Ibn ‘Abbas ini diriwayatkan oleh al-Bukhari: 53, Muslim: 17, Abu Dawud, 3692, al-Nasa`i: 5033. Hadis ini lebih dikenali dengan namanya, Hadis Wafd (Rombongan deligasi) Abdul Qays.

Perkataan wafd bermaksud, satu kumpulan yang terpilih dari sebuah masyarakat untuk menemui pembesar atau ketua negara dalam sesuatu urusan yang penting. Qabilah ‘Abdul Qays qabilah yang masyhur dari Bani Ma’d bin ‘Adnan.  Rombongan Abdul Qays ini dikatakan seramai 14 orang atau 17 orang. Di antara yang menjadi ketua, Mazid bin Malik al-Muharibi, ‘Ubaydah bin Hammam al-Muharibi, Suhar bin al-‘Abbas, al-Harith bin Shu’ayb,‘Amr bin Marhum, al-Harith bin Jundub. Qadi ‘Iyad berkata: Kedatangan mereka pada tahun Pembukaan Mekah, 8H, sebelum Rasulullah menuju ke Mekah. Hafiz Ibn Hajar berpendapat kedatangan mereka sekurang-kurangnya sebanyak dua kali dan ini dipersetujui oleh Mawlana Anwar al-Kashmiri. Bagaimanapun mereka berdua berbeza pendapat tentang bilakah kedatangan mereka itu. Hafiz Ibn Hajar mengatakan yang pertama pada tahun 5H atau lebih awal lagi dan yang kedua pada tahun wufud iaitu tahun 9H. Manakala menurut Anwar al-Kashmiri, yang pertama pada tahun 6 dan yang kedua pada tahun 8H iaitu pada tahun pembukaan Mekah.

Al-Nawawi menyebutkan sebab kedatangan mereka. Kata beliau: “Munqidh bin Hayyan salah seorang dari Bani Ghunm bin Wadi’ah berdagang ke Yathrib (Madinah) di zaman jahiliyyah. Beliau menuju ke Yathrib dengan membawa kain selimut dan buah tamar dari Hajar setelah Rasulullah s.a.w. berhijrah ke sana. Sedang beliau duduk tiba-tiba Rasulullah s.a.w. lalu dekatnya dan Munqidh bangun kepada baginda lantas baginda bertanya, adakah ini Munqidh bin Hayyan? Bagaimanakah dengan kaum anda? Kemudian baginda bertanya tentang ketua/pembesar mereka seorang demi seorang, baginda menyebut nama setiap mereka. Munqidh memeluk Islam dan mempelajari surah al-Fatihah dan Iqra`. Kemudian beliau pulang ke Hajar dan Rasulullah s.a.w. mengirimkan surat bersamanya untuk kaumnya. Selama beberapa hari beliau menyembunyikan surat tersebut. Beliau mengerjakan sembahyang dan isterinya memberitahu kepada ayahnya al-Mundhir bin ‘A`idh, “Wahai ayahanda, sesungguhnya saya mendapati suami saya berkelakuan aneh sejak beliau datang dari Yathrib. Beliau membasuh hujung anggotanya kemudian menghadap ke satu arah (beliau memaksudkan Kaa’bah). Beliau menundukkan belakangnya sekali (ruku’) dan turun ke tanah (sujud). Begitulah kelakuannya sejak kepulangannya.”

Kemudian mereka berdua bertemu dan berbincang lalu timbul dalam hati Mundhir keinginan kepada Islam lantas beliau bangkit dengan surat Rasulullah s.a.w. menuju kepada kaumnya, ‘Amr, Muharib dan membacakan kepada mereka lalu mereka memeluk Islam dan sepakat untuk berangkat menemui Rasulullah s.a.w. Apabila mereka hampir tiba ke Madinah, Rasulullah bersabda kepada sahabat yang duduk bersama baginda: “Datang kepada kamu rombongan ‘Abd al-Qays, sebaik-baik penduduk timur, di kalangan mereka ada al-Ashajj al-‘Asari, mereka bukan orang mencabuli janji, bukan orang menukar ganti dan bukan yang ragu-ragu.”

Dalam riwayat al-Bukhari, Kitab Mawaqit al-Salah, disebutkan: “Kami ini sesungguhnya dari suku kaum Rabi’ah.” Iaitu salah satu qabilah dari keturunan Nizar bin Ma’add bin ‘Adnan. Ibn al-Sam’ani menyebutkan susur galur keturunan Rabi’ah iaitu ‘Abd al-Qays bin Afsa bin Du’mi bin Jadilah bin Asad bin Rabi’ah bin Nizar bin Ma’dd bin ‘Adnan.

Rasulullah s.a.w. menyebutkan kedatangan mereka bukan dalam keadaan hina dan menyesal kerana mereka masuk Islam dengan kerelaan hati mereka tanpa berlaku perperangan dan mereka pula tidak pernah dikenakan jizyah sebagai tunduk kepada kerajaan Islam.

Kedatangan mereka itu hanya pada bulan yang diharamkan berlaku perperangan dan pertumpahan darah. Dalam Millah Ibrahimiyyah, adanya bulan-bulan Haram itu dengan tujuan untuk menjamin keamanan dan keselamatan bagi rombongan perdagangan, haji dan umrah. Falsafahnya ialah, hendaklah ada satu tempoh masa dan satu tempat yang terjamin keamanannya kepada semua orang hatta kepada binatang dan tumbuhan. Tidak boleh berlaku pencerobohan, pencabulan, pembunuhan dan penebangan pokok dengan sesuka hati. Lafaz dalam hadis ini boleh diertikan sebagai jenis kepada bulan haram iaitu bulan Dhu al-Qa’dah, Dhu al-Hijjah, Muharram dan Rejab dan ini berdasarkan kepada beberapa riwayat yang lain dengan lafaz jama’ iaitu ashhur. Atau boleh ertikan bulan haram yang telah diketahui iaitu bulan Rejab. Ya’ni bulan haram yang dimaksudkan di sini ialah Rejab. Ini kerana (1) tersebut dengan jelas dalam Sunan al-Bayhaqi al-Kubra:

وَإِنَّا لاَ نَصِلُ إِلَيْكَ إِلاَّ فِى الشَّهْرِ الْحَرَامِ أَوْ قَالَ فِى رَجَبٍ

(2) Bulan haram ini merujuk kepada Rejab dan ia lebih dikenali Rejab Mudar, kerana mereka lebih membesarkannya berbanding orang lain.

 

عَنْ أَبِي بَكْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ الزَّمَانَ قَدْ اسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضَ السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ثَلَاثٌ مُتَوَالِيَاتٌ ذُو الْقَعْدَةِ وَذُو الْحِجَّةِ وَالْمُحَرَّمُ وَرَجَبُ مُضَرَ الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ

Daripada Abu Bakrah daripada Rasulullah s.a.w. sabdanya: ‘Sesungguhnya masa itu kembali kepada keadaannya yang asal pada ketika Allah menjadikan langit dan bumi. Setahun itu 12 bulan, 4 antaranya adalah bulan haram, 3 berturut-turut, Dhu al-Qa’dah, Dhu al-Hijjah dan Muharram, dan yang terakhir Rejab Mudar, yang berada antara Jumada dan Sha’ban. (al-Bukhari)

Al-Nawawi berkata: “Sebab orang kafir Mudar berada di antara mereka dan Madinah sehingga terpaksa melalui mereka sebelum sampai ke Madinah. Mereka bimbang terhadap musuh mereka kecuali pada bulan-bulan haram. Mawlana Safiyy al-Rahman menjelaskan, maksud kami tidak dapat datang kecuali bulan haram ialah kami dihalang oleh suku kaum Mudar untuk sampai ke Madinah kerana mereka sentiasa berkeliaran Najd dari timur Madinah sehinggalah ke timur Semenanjung Arab.

Kata-kata mereka: “Allah dan Rasul-Nya sahaja yang mengetahuinya” menunjukkan bahawa ketika itu, mereka telahpun memeluk Islam. Ini mengembalikan ilmu kepada Allah dan Rasul-Nya tidak akan terkeluar melainkan dari mulut mereka yang telah beriman.

Mengapakan disebutkan perintah menunaikan khumus?

Adakah ia termasuk dalam iman atau tidak. Pesanan ini diberikan secara khusus kerana mereka berkemungkinan besar akan terlibat dengan peperangan dengan suku Mudar. Harta ghanimah yang diperolehi itu hendaklah disalurkan kepada jalan yang betul iaitu 20 peratus hendaklah diserahkan kepada Allah dan Rasul dan ini termasuk dalam tuntutan iman. Penyelewengan dalam pembahagiannya menunjukkan kepada kelemahan dan kekurungan iman kepada Allah s.w.t.

Ibn Rajab berkata: “Rasulullah s.a.w. memberi jawapan kepada rombongan Abd Qays tentang soalan mereka tentang iman dengan jawapan yang sama kepada soalan Jibril tentang Islam. Ini menunjukkan Iman itu adalah Islam dan apa termasuk dalam mussama penama Iman adalah apa yang termasuk dalam penama Islam. (Fath al-Bari, jil. 1, hal. 209)

Larangan menggunakan bekas-bekas ini bermaksud jika seseorang menyimpan nabidh (air yang diletakkan di dalamnya beberapa biji buah kering seperti tamar dan kismis) di dalamnya maka ia akan cepat bertukar menjadi arak daripada tempoh yang biasa dan tanpa disedari dia telah minum minuman yang memabukkan.

Pengajaran dan bimbingan hadis:

(1) Memilih rombongan yang terdiri daripada tokoh dan orang terhormat atau ketua untuk bertemu dengan pemimpin yang lebih besar untuk mendapatkan penjelasan perkara-perkara yang penting adalah baik dan diakui oleh Nabi Muhammad s.a.w. dan ini merupakan sunnah taqririyyah.

(2) Hadis ini menjelaskan perkara-perkara penting dalam Islam serta rukun-rukunnya selain daripada Haji kerana pada itu belum difardukan haji.

(3) Untuk mendapat penjelasan yang tepat wajar sekali menyatakan dengan jelas akan situasi dan sebab kepada orang yang ditanya seperti mufti dan alim ulama. Inilah yang dilakukan oleh rombongan ini ketika menceritakan halangan suku kabilah Mudar yang mereka hadapi.

(4)  Adalah sangat baik dan dianjurkan untuk mengalu-alukan kedatangan tetamu, dengan ucapan yang bersesuaian. Rasulullah s.a.w. diriwayatkan dalam banyak hadis menggunakan perkataan marhaban untuk mengalukan kedatang seseorang. Umpamanya: dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim, ketika pembukaan Mekah, baginda berkata kepada Ummu Hani`: مَرْحَبًا بِأُمِّ هَانِىءٍ , Rasulullah s.a.w. mengucapkan kepada Fatimah r.a. مَرْحَبًا بِابْنَتِي , kepada Ikrimah مَرْحَبًا بِالرَّاكِبِ الْمُهَاجِرِ (Sunan al-Tirmidhi, al-Mu’jam al-Kabir), dan kepada ‘Ammar  مَرْحَبًا بِالطَّيِّبِ الْمُطَيَّبِ (Sunan al-Tirmidhi, Sunan Ibn Majah)

(5) Hadis ini juga mensabitkan bahawa iman itu merangkumi juga amalan, sebagaimana tafsiran baginda iman itu, dua kalimah syahadah, sembahyang, zakat, puasa dan khumus. Apa yang dinamakan sebagai iman itu juga apa yang dinamakan sebagai Islam.

(6) Perintah supaya mengingati dengan baik apa yang telah dipelajari dan menyampaikan pula kepada orang yang tidak ada bersama dalam rombongan ini. Perkataan orang di belakang kami boleh juga dimaksudkan kepada anak-cucu dan generasi yang akan datang.

 

Check Also

Sabab Wurud Hadis “Sesiapa Yang Menipu Maka Dia Bukan Dari Kalangan Ku.”

  عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ غَشَّ فَلَيْسَ مِنِّي …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *