Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Lanjutan / Asbaabul Wuruud / SEBAB WURUD HADIS APABILA DUA ORANG YANG BERJUAL BELI BERSELISIH
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

SEBAB WURUD HADIS APABILA DUA ORANG YANG BERJUAL BELI BERSELISIH

Disediakan oleh: Muhammad Hanief Awang Yahaya

 

وَعَنْ اِبْنِ مَسْعُودٍ رضي الله عنه قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اَللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ إِذَا اِخْتَلَفَ اَلْمُتَبَايِعَانِ لَيْسَ بَيْنَهُمَا بَيِّنَةٌ, فَالْقَوْلُ مَا يَقُولُ رَبُّ اَلسِّلْعَةِ أَوْ يَتَتَارَكَانِ – رَوَاهُ اَلْخَمْسَةُ, وَصَحَّحَهُ اَلْحَاكِمُ

Daripada Ibn Mas’ud katanya: “Saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: “Apabila dua orang yang berjual beli berselisih, tidak ada bukti pada sesiapapun di antara mereka berdua, maka perkataan yang diterima ialah tuan punya barang atau mereka berdua menarik diri (membatalkan jual beli).

Sebab Kepada Hadis Ini Ialah:

عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ الْأَشْعَثِ قَالَ اشْتَرَى الْأَشْعَثُ رَقِيقًا مِنْ رَقِيقِ الْخُمْسِ مِنْ عَبْدِ اللَّهِ بِعِشْرِينَ أَلْفًا فَأَرْسَلَ عَبْدُ اللَّهِ إِلَيْهِ فِي ثَمَنِهِمْ فَقَالَ إِنَّمَا أَخَذْتُهُمْ بِعَشَرَةِ آلَافٍ فَقَالَ عَبْدُ اللَّهِ فَاخْتَرْ رَجُلًا يَكُونُ بَيْنِي وَبَيْنَكَ قَالَ الْأَشْعَثُ أَنْتَ بَيْنِي وَبَيْنَ نَفْسِكَ قَالَ عَبْدُ اللَّهِ فَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِذَا اخْتَلَفَ الْبَيِّعَانِ وَلَيْسَ بَيْنَهُمَا بَيِّنَةٌ فَهُوَ مَا يَقُولُ رَبُّ السِّلْعَةِ أَوْ يَتَتَارَكَانِ

Diriwayatkan daripada Muhammad bin al-Ash‘ath katanya: “Al-Ash‘ath (bin Qays) telah membeli seorang hamba daripada harta khumus dari ‘Abdullah (bin Mas’ud) dengan harga 20 ribu. ‘Abdullah telah menghantar seseorang untuk menuntut harga bayaran daripadanya. Al-Ash‘ath berkata: “Saya membelinya dengan harga 10 ribu sahaja. ‘Abdullah berkata: “Pilihlah seseorang yang menjadi pemutus di saya dan kamu. Al-Ash‘ath berkata: “Kamulah yang menjadi pemutus di antara saya dan dirimu. ‘Abdullah berkata: “Maka sesungguhnya saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila dua orang yang berjual beli, tidak ada bukti pada sesiapapun di antara mereka berdua, maka perkataan yang diterima ialah tuan punya barang atau mereka berdua menarik diri (membatalkan jual beli).” [1]

Kefahaman Dan Pengajaran Hadis

Hadis ini menyatakan bahawa sekiranya dua pihak yang melakukan aqad jual beli bertelingkah tentang akad jual beli umpamanya pada harga, barangan, salah satu syarat jual beli dan sebagainya. Pada ketika itu, sekiranya tidak ada bukti seperti tiada resit atau rekod maka hendaklah diterima kata-kata pemilik barangan kerana dialah yang pada asalnya memiliki barangan tersebut. Jika tidak, akad tersebut hendaklah dibatalkan. Adapun jika bukti masih lagi ada kes hendak diselesaikan mengikut bukti yang ada.[2] Maksud kata-kata penjual hendaklah diterima ialah dia dikehendaki untuk bersumpah bahawa kenyataannya itu betul dan benar. Dalam hal ini, sumpah itu termasuk juga dalam kaedah syara’ iaitu sesiapa yang kata-katanya dipegang maka hendaklah dia bersumpah.[3]

Ulama berbeza pendapat dalam masalah ini. Imam Malik dan al-Shafi’i mengatakan, penjual diminta bersumpah dengan nama Allah bahawa “saya tidak menjual barang ini kecuali dengan harga yang saya sebutkan”. Sekiranya penjual bersumpah maka dikatakan kepada pembeli, sama ada anda mengambil barang dengan harga yang disebutkan oleh penjual atau bersumpah bahawa “saya tidak membeli melainkan dengan harga yang saya nyatakan”. Sekiranya dia bersumpah maka dia tidak menanggung apa-apa tanggungjawab. Maka dengan itu, dia hendaklah memulangkan barang tersebut.

Menurut Al-Shafi’i sama sahaja sama ada barang itu masih ada atau telah digunakan atau rosak, penjual dan pembeli hendaklah bersumpah dan membatalkan akad jual beli. Demikian juga pendapat Muhammad bin al-Hasan al-Shaibani.

Sementara itu al-Nakha’i, al-Awza’i, Sufyan al-Thauri, Abu Hanifah dan Abu Yusuf berpendapat, jika barang itu telah digunakan kata-kata yang dipegang ialah kata-kata pembeli tetapi dengan bersumpah. Pendapat Malik dalam salah satu riwayat yang masyhur daripada beliau adalah hampir sama dengan pendapat mereka ini.[4]

Tuntutan supaya bersumpah berdasarkan kepada riwayat

عَنْ عَبْدِ الْمَلِكِ بْنِ عُمَيْرٍ أَنَّهُ قَالَ حَضَرْتُ أَبَا عُبَيْدَةَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ وَأَتَاهُ رَجُلَانِ يَتَبَايَعَانِ سِلْعَةً فَقَالَ هَذَا أَخَذْتُ بِكَذَا وَكَذَا وَقَالَ هَذَا بِعْتُ بِكَذَا وَكَذَا فَقَالَ أَبُو عُبَيْدَةَ أُتِيَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مَسْعُودٍ فِي مِثْلِ هَذَا فَقَالَ حَضَرْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُتِيَ فِي مِثْلِ هَذَا فَأَمَرَ بِالْبَائِعِ أَنْ يُسْتَحْلَفَ ثُمَّ يُخَيَّرَ الْمُبْتَاعُ إِنْ شَاءَ أَخَذَ وَإِنْ شَاءَ تَرَكَ

Daripada ‘Abdul Malik bin ‘Umair bahawa beliau berkata, saya menemui Abu ‘Ubaidah bin ‘Abdullah bin Mas’ud. Tiba-tiba beliau didatangi dua orang lelaki yang berjual beli satu barang. Seorang berkata: “Saya ambil dengan harga sekian, sekian. Manakala seorang lagi berkata: “Saya telah jual dengan harga sekian, sekian. Abu ‘Ubaidah berkata: “ ‘Abdullah bin Mas’ud pernah didatangi dengan kes seperti ini dan beliau berkata, saya pernah berada bersama Rasulullah s.a.w yang didatangi dengan kes seperti ini. Baginda memerintahkan supaya penjual bersumpah dan pembeli diberikan pilihan. Jika dia mahu dia boleh mengambil, jika tidak dia boleh meninggalkannya.” (Ahmad dan al-Daruqutni) [5]

Hukum ini terpakai sekiranya barangan tersebut masih lagi ada. Sekiranya barang sudah digunakan, jika pembeli ingin membatalkan akad tersebut maka dia dikehendaki supaya menggantikan barang tersebut atau dengan membayar harga.

 

 

 

Rujukan
[1] Abu Dawud, 3511, al-Nasa`i, no: 4648, al-Tirmizi, no: 1270, Ibn Majah, no: 2186. Riwayat ini pada asalnya dai’f kerana setiap sanadnya tidak terlepas dari kritikan. Bagaimanapun al-Bayhaqi menguatkan hadis ini berdasarkan banyaknya sanadnya yang menunjukkan hadis ini ada asalnya. Al-Bayhaqi, al-Sunan al-Kubra, jil. 5, hal. 332.
[2] Rasulullah s.a.w. bersabda:
الْبَيِّنَةُ عَلَى الْمُدَّعِي وَالْيَمِينُ عَلَى الْمُدَّعَى عَلَيْهِ
“Bukti dipertanggungjawab ke atas pendakwa dan sumpah dipertanggungjawab ke atas tertuduh.” (al-Tirmizi, no: 1341.
[3] Al-Qadi Husayn al-Magribi, Al-Badr al-Tammam, jil. 3, hal. 120.
[4] Al-Saharanpuri, Bazl al-Majhud Fi Hall Sunan Abi Dawud, juz. 15, hal. 190.
[5] Ahmad, no: 4442, jil. 7, hal. 441. Sunan al-Daruqutni, no: 2856, jil. 3, hal. 409.

Check Also

Sabab Wurud Hadis “Sesiapa Yang Menipu Maka Dia Bukan Dari Kalangan Ku.”

  عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ غَشَّ فَلَيْسَ مِنِّي …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *