Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Lanjutan / Asbaabul Wuruud / Sabab Wurud Hadis “Sesiapa Yang Menipu Maka Dia Bukan Dari Kalangan Ku.”
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Sabab Wurud Hadis “Sesiapa Yang Menipu Maka Dia Bukan Dari Kalangan Ku.”

 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ غَشَّ فَلَيْسَ مِنِّي

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang menipu maka dia bukan dari kalanganku.”

 

Sebab hadis ini ialah

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّ عَلَى صُبْرَةِ طَعَامٍ فَأَدْخَلَ يَدَهُ فِيهَا فَنَالَتْ أَصَابِعُهُ بَلَلًا فَقَالَ مَا هَذَا يَا صَاحِبَ الطَّعَامِ قَالَ أَصَابَتْهُ السَّمَاءُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ أَفَلَا جَعَلْتَهُ فَوْقَ الطَّعَامِ كَيْ يَرَاهُ النَّاسُ مَنْ غَشَّ فَلَيْسَ مِنِّي

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. lalu berdekatan dengan selonggok makanan lalu baginda memasukkan tangannya ke dalam longgokan itu. Tiba-tiba jari baginda terkena sesuatu yang basah. Baginda bertanya: “Apa semuanya ini wahai tuan punya makanan? Orang itu menjawab: “Terkena hujan, wahai Rasulullah.” Baginda bersabda: “Mengapa tidak kamu letakkan di atas supaya orang ramai dapat melihatnya. Sesiapa yang menipu maka dia bukan dari kalanganku. (Muslim, al-Tirmizi)

Huraian Hadis

Di antara sifat Rasulullah s.a.w. ialah sentiasa mengambil berat tentang urusan umatnya termasuklah urusan mu’amalat mereka. Ini mendorong baginda untuk meninjau bagaimana keadaan perjalanan jual beli mereka di pasar.

Sekali pandang kelihatan penjual tersebut cuba untuk menipu pelanggan dengan menyembunyikan makanan yang tidak baik di bawah. Walau bagaimanapun ada kemungkinan hal ini berlaku secara tidak disengajakan. Ini kerana makanan yang berada di atas sememangnya tidak basah kerana terdedah kepada matahari manakala yang berada di bahagian bawah masih lagi basah. Kemungkinan sebab yang mendorong baginda memasukkan tangannya ialah kesan basah yang mungkin terdapat di bahagian atas yang tertentu. Sukar dibayangkan jika baginda memasukkan tangannya pada setiap longgokkan makanan yang ada di pasar.

Rasulullah s.a.w. mengganggap perbuatan tersebut sebagai penipuan boleh ditafsirkan sebagai amaran keras kepada perbuatan yang mengandungi unsur penipuan. Sifat orang mukmin ialah sentiasa menginginkan kebaikan untuk saudaranya dan perbuatan ini tentu sekali bercanggah dengan tuntutan iman. Walaupun yang basah itu belum rosak namun ia akan cepat rosak. Oleh itu, mudarat terhadap orang lain mestilah dielakkan sekalipun ia tidak menguntungkan diri sendiri.

Maksud penafian dari menjadi sebahagian umat Rasulullah s.a.w. ialah perbuatan tersebut menyalahi sunnah dan petunjuk baginda. Sufyan bin ‘Uyainah lebih cenderung menerima makna hadis ini tanpa takwilan supaya itu lebih membekaskan dalam diri dan lebih berkesan dalam menyampaikan amaran. (al-Nawawi, al-Minhaj Fi Sharh Sahih Muslim, jil. 11, hal. 108)

Pengajaran Hadis

1. Pemimpin yang prihatin terhadap rakyat akan turun padang untuk meninjau dan menjaga kemaslahatan mereka.

2. Harus mempamerkan barangan yang dijual secara longgokan dengan syarat tiada unsur penipuan dan gharar.

3. Amaran keras terhadap penipuan dalam urusan mu’amalat sehingga kepada tahap penafian mengikuti Sunnah Rasulullah s.a.w.

4. Haram melakukan perbuatan yang mengandungi unsur penipuan dalam segala bentuk mu’amalat seperti jual beli, sewa beli, gadaian, pinjaman, pertukangan dan juga pekerjaan professional.

5. Penjual wajib menyatakan kecacatan yang ada pada barangnya. Ini kerana walaupun makanan tersebut belum lagi rosak namun baginda mengingatkan penjual tersebut supaya jangan menyembunyikannya kerana ia mudah terdedah kepada kerosakan dan ini menyebabkan penjual itu menjualnya dalam keadaan sudah rosak.

6. Penjual hendaklah sentiasa memeriksa stok barangannya demi menjaga kualiti dan mutu khidmat pelanggan.

Check Also

Apabila Mengantuk Ketika Bangun Malam

Rasulullah s.a.w. melarang seseorang yang terus bertahajjud dalam keadaan dia mengantuk dan memerintahkannya supaya tidur …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *