Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Lanjutan / Asbaabul Wuruud / SABAB WURUD HADIS KELEBIHAN MEMPELAJARI AL-QUR’AN
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

SABAB WURUD HADIS KELEBIHAN MEMPELAJARI AL-QUR’AN

Disediakan oleh: Muhammad Hanief Awang Yahaya

تَعَلَّمُوا الْقُرْآنَ وَاقْرَءُوهُ فَإِنَّ مَثَلَ الْقُرْآنِ وَمَنْ تَعَلَّمَهُ فَقَامَ بِهِ كَمَثَلِ جِرَابٍ مَحْشُوٍّ مِسْكًا يَفُوحُ رِيحُهُ كُلَّ مَكَانٍ وَمَثَلُ مَنْ تَعَلَّمَهُ فَرَقَدَ وَهُوَ فِي جَوْفِهِ كَمَثَلِ جِرَابٍ أُوكِيَ عَلَى مِسْكٍ

Pelajarilah al-Qur`an dan bacakanlah kerana perumpamaan al-Qur`an dan orang yang mempelajarinya lalu membacanya dalam sembahyang malam adalah seperti karung yang dipenuhi dengan kasturi baunya semerbak di segenap tempat dan perumpamaan orang yang mempelajarinya tetapi dia tidur dalam keadaan al-Qur`an itu ada dalam dirinya maka ia seperti karung terikat di dalamnya kasturi. (Ibn Majah, no: 217)

Sebabnya:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ بَعَثَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَعْثًا وَهُمْ ذُو عَدَدٍ فَاسْتَقْرَأَهُمْ فَاسْتَقْرَأَ كُلَّ رَجُلٍ مِنْهُمْ مَا مَعَهُ مِنْ الْقُرْآنِ فَأَتَى عَلَى رَجُلٍ مِنْهُمْ مِنْ أَحْدَثِهِمْ سِنًّا فَقَالَ مَا مَعَكَ يَا فُلَانُ قَالَ مَعِي كَذَا وَكَذَا وَسُورَةُ الْبَقَرَةِ قَالَ أَمَعَكَ سُورَةُ الْبَقَرَةِ فَقَالَ نَعَمْ قَالَ فَاذْهَبْ فَأَنْتَ أَمِيرُهُمْ فَقَالَ رَجُلٌ مِنْ أَشْرَافِهِمْ وَاللَّهِ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا مَنَعَنِي أَنْ أَتَعَلَّمَ سُورَةَ الْبَقَرَةِ إِلَّا خَشْيَةَ أَلَّا أَقُومَ بِهَا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَعَلَّمُوا الْقُرْآنَ وَاقْرَءُوهُ فَإِنَّ مَثَلَ الْقُرْآنِ لِمَنْ تَعَلَّمَهُ فَقَرَأَهُ وَقَامَ بِهِ كَمَثَلِ جِرَابٍ مَحْشُوٍّ مِسْكًا يَفُوحُ رِيحُهُ فِي كُلِّ مَكَانٍ وَمَثَلُ مَنْ تَعَلَّمَهُ فَيَرْقُدُ وَهُوَ فِي جَوْفِهِ كَمَثَلِ جِرَابٍ وُكِئَ عَلَى مِسْكٍ

Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah s.a.w mengutuskan satu pasukan yang terdiri daripada beberapa orang. Baginda meminta mereka membaca al-Qur`an. Baginda menyuruh setiap orang daripada mereka membaca al-Qur`an yang dihafaz. Baginda pergi kepada seorang yang paling muda di kalangan mereka lalu berkata: “Wahai fulan, apa yang kamu hafaz? Dia menjawab: “Pada saya ayat-ayat sekian dan surah al- Baqarah. Baginda bertanya adakah pada kamu surah al-Baqarah? Dia menjawab: Ya. Baginda bersabda, pergilah maka kamulah ketua mereka. Lalu seorang lelaki dari kalangan orang-orang mulia berkata: “Demi Allah, wahai Rasulullah, tidak ada yang menghalang saya dari mempelajari surah al-Baqarah melainkan kerana saya takut tidak dapat membacanya dalam sembahyang malam. Rasulullah s.a.w bersabda: “Pelajarilah al-Qur`an dan bacakanlah kerana perumpaan al-Qur`an dan orang yang mempelajarinya lalu membacanya dalam sembahyang malam adalah seperti karung yang dipenuhi dengan kasturi baunya semerbak di segenap tempat dan perumpamaan orang yang mempelajarinya tetapi dia tidur dalam keadaan al-Qur`an itu ada dalam dirinya maka ia seperti karung yang terikat dalamnya kasturi. (al-Tirmizi, no: 2876)

Pengajaran hadis

Dalam hadis ini terdapat perintah supaya mempelajari al-Qur`an, sentiasa membacanya dan beramal dengannya. Pembelajaran al-Qur`an bukan terhenti sekadar mengenal huruf dan cara membaca, tetapi hendaklah difahami juga maksudnya yang merangkumi setiap persoalan asas kehidupan manusia. Hal ini kerana sifat al-Qur`an sebagai petunjuk yang suci dan abadi untuk manusia sepanjang zaman. Ia membimbing manusia dari segi aqidah, pemikiran, ibadat, akhlak dan peraturan hidup

Hadis ini didatangkan dalam bentuk perumpamaan supaya pendengar mudah memahami maksud yang ingin disampaikan. Faedah atau manfaat sesuatu yang dijadikan perumpamaan akan mendekatkan lagi keinginan untuk melaksanakan perintah yang tersebut di dalamnya dan faedah ukhrawi yang ada padanya. Dalam hal ini, kasturi diambil sebagai contoh kerana sifatnya yang mahal, bermutu dan lambang kepada keni’matan dan kemewahan.

Keberkatan yang diperolehi oleh ahli keluarga disebabkan bacaan penghuninya diibaratkan seperti haruman kasturi yang mahal harganya memenuhi ruang rumah. Menterjemahkan ajaran dan tuntutan al-Qur`an dalam bentuk amalan akan mendatangkan pelbagai faedah dan keberkatan untuk diri sendiri dan juga untuk orang lain. Dalam banyak ayat, Allah s.w.t memuji-muji orang yang sentiasa melakukan kebaikan pada tahap nilai tambah (ihsan) dan Dia juga amat membenci kerosakan dan pemusnahan (fasad) yang dilakukan oleh manusia. Beginilah hal sekiranya orang yang beramal dengan tuntutan al-Qur`an, manfaatnya akan dirasai oleh orang lain.

Selain itu, hadis ini juga menunjukkan kelebihan orang yang menghafaz al-Qur`an atau lebih tepat lagi orang yang mempunyai pengetahuan tentang al-Qur`an sehingga dia layak dilantik menjadi ketua.

Check Also

Sabab Wurud Hadis “Sesiapa Yang Menipu Maka Dia Bukan Dari Kalangan Ku.”

  عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ غَشَّ فَلَيْسَ مِنِّي …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *