Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Lanjutan / Asbaabul Wuruud / PENGENALAN ASBAB WURUD HADIS
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

PENGENALAN ASBAB WURUD HADIS

Disediakan oleh: Muhammad Hanief Awang Yahaya

 

Antara keperluan utama dalam berinteraksi dengan hadis Rasulullah s.a.w. ialah mengetahui sebab-sebab mengapa hadis itu muncul. Pengetahuan tentang perkara ini amatlah penting sehingga ulama hadis memberi perhatian khusus dan seterusnya menjadi satu cabang pengajian hadis yang terpenting. Sekiranya ilmu gharib al-hadith membincangkan ma’na lafaz-lafaz hadis, maka ilmu ini pula membahaskan latar belakang hadis itu diucapkan atau perbuatan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Dari segi struktur pengajian, ilmu ini termasuk dalam kategori ilmu dirayah hadis, ya’ni pemahaman kandungan hadis. Walaupun begitu, ia juga melibatkan ilmu riwayah hadis ya’ni periwayatan hadis.

Takrif Asbab Wurud Hadis

Dr. Abu Syahbah menjelaskan bahawa definisi ilmu asbab wurud hadis sebagai satu ilmu yang membincangkan sebab-sebab yang mendorong Rasulullah s.a.w. menyebutkan hadisnya, sebab ini kadang-kadang adalah soalan, cerita dan peristiwa yang berlaku lalu Rasulullah s.a.w. mengucapkan hadisnya. (Abu Syahbah, al-Wasit Fi ‘Ulum Wa Mustalah al-Hadith, hal. 467)

Dr. Muhammad Abu al-Laith mendefinisikannya sebagai: Apa yang menjadi sebab kepada datangnya hadis pada zaman berlakunya. (‘Ulum al-Hadith Asiluh wa Mu‘asiruh, hal. 329). Dr. Mohd Asri mentakrifkan sebab wurud hadis sebagai: Apa yang membawa kepada kewujudan hadis pada hari-hari kemunculannya. (Sabab Wurud al-Hadith, hal. 48)

Daripada takrif-takrif di atas, dapat disimpulkan bahawa ilmu asbab wurud hadis ialah ilmu yang membincangkan faktor-faktor yang mendorong terbitnya hadis Rasulullah s.a.w. sama ada dalam bentuk pengucapan, perbuatan dan pengakuan.

Asbab wurud lebih bersifat sebagai penjelasan kepada wahyu dan maksud al-Quran untuk dilaksanakan dan diterapkan dalam realiti masyarakat. Ia sedikit sebanyak memperlihatkan kepada kita pengalaman Rasulullah s.a.w. dan sahabat dalam melaksanakan kehendak Allah s.a.w. dalam masyarakat Islam pada ketika itu.

Ini tidaklah bermakna sebab itu terlalu mengikat kita sehingga kita tidak dapat melihat kepada prinsip-prinsip syari’at yang umum dan kesesuaian semasa dan setempat. Apa yang penting ialah Maqasid Syari’ah yang bersifat abadi diletakkan di hadapan dalam memahami hadis-hadis Rasulullah s.a.w.

Mengapa Hadis Itu Muncul

Oleh kerana sebab wurud hadis ialah suasana, situasi atau keadaan yang melingkungi nas hadis atau seiring dengan kemunculan hadis, maka lafaz hadis mestilah diteliti terlebih dahulu sebelum berijtihad dengannya atau menyimpulkan hukum daripadanya.

Walaupun sesuatu lafaz hadis itu pada zahirnya bersifat umum dan abadi tetapi setelah ditentukan sebab wurudnya maka didapati ianya mempunyai latar belakang dan sebab yang khusus. Dengan itu, keumuman sesuatu hadis tidak dipakai secara mutlak kerana perlu melihat kepada faktor terbitnya. Bagaimana pun ini tidak berma’na kita mesti menyempitkan ma’na hadis yang umum itu kerana sebab yang khusus. Apa yang penting ialah kita mestilah memahami maksud dan ruh syari’at yang terkandung dalam hadis itu yang dituntut supaya melaksanakannya. Contohnya hadis tentang jenis harta untuk zakat fitrah:

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ عَلَى الْعَبْدِ وَالْحُرِّ وَالذَّكَرِ وَالْأُنْثَى وَالصَّغِيرِ وَالْكَبِيرِ مِنْ الْمُسْلِمِينَ وَأَمَرَ بِهَا أَنْ تُؤَدَّى قَبْلَ خُرُوجِ النَّاسِ إِلَى الصَّلَاةِ

Daripada Ibn ‘Umar katanya Rasulullah s.a.w. mewajibkan zakat fitrah sebanyak satu gantang tamar atau satu gantang barli ke atas hamba, orang merdeka, lelaki, perempuan, kanak-kanak dan orang dewasa dan memerintahkan supaya ditunaikan sebelum orang ramai pergi bersembahyang. (al-Bukahri dan Muslim)

Sekiranya sebab atau latar belakang hadis ini tidak diketahui tentu orang akan menyangka zakat fitrah itu mesti ditunaikan dengan buah tamar dan barli sahaja, dan ini akan menyukarkan orang-orang Islam yang tidak memperoleh kedua-dua makanan dengan mudah. Sebab mengapa kedua-dua makanan ini disebutkan secara khusus ialah Rasulullah s.a.w. bercakap dengan penduduk Madinah yang makanan asasi mereka ialah tamar dan barli. Oleh itu, wajar sekali disebutkan kepada mereka sesuatu yang ada dan dilihat oleh mereka. Tetapi melihat kepada situasi orang lain yang makanan asasinya jenis yang lain seperti gandum dan beras maka kita memerlukan kepada pencarian ‘illah (tahqiq al-manat) bagi melaksanakan hadis ini. ‘Illah ataupun sebab kepada ditunaikan dengan tamar dan barli ialah kerana ia merupakan makanan asasi. Oleh itu, jenis benda yang dikeluarkan sebagai zakat fitrah ialah mengikut jenis makanan asasi pembayar zakat. Tetapi apabila disorot dengan lebih jauh lagi, maksud utama ialah untuk membantu faqir miskin pada hari raya puasa maka wang ringgitlah yang paling sesuai digunakan sebagai bayaran dengan mengikut kadar harga makanan asasi tersebut.

Kita telahpun menegaskan bahawa sebab kedatangan hadis ialah faktor atau beberapa faktor yang mendorong kepada terbitnya hadis daripada Rasulullah s.a.w. sama ada dalam bentuk ucapan, perbuatan atau pengakuan. Faktor-faktor ini termasuklah beberapa dimensi yang ada pada diri Rasulullah iaitu baginda sebagai penyampai syariat Allah, pemimpin kerajaan Islam Madinah, panglima perang, ketua keluarga, sebagai hakim atau kadi, penasihat dan sebagai manusia biasa. (Ibn ‘Ashur, Maqasid al-Shari’ah, hal. 213-229). Dimensi ini bolehlah dinyatakan sebagai dimensi penyampai mesej (khitab) dan risalah daripada Allah s.w.t.

Dimensi kedua yang berkait dengan kemunculan hadis ialah dimensi orang yang menerima mesej daripada Rasulullah s.a.w. iaitu mereka yang berada di sekeliling baginda. Ia membabitkan diri yang ditujukan ucapan, merangkumi tahap iman, akhlak, kefahaman, kadar kemampuan dan lain-lain. Umpamanya sahabat yang datang bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang manakah amalan yang paling utama. Jawapan yang diberikan oleh baginda itu berdasarkan kepada latar belakang iman dan akhlak seseorang itu. Termasuk dalam bahagian ini kemampuan sahabat dalam memahami ma’na ayat al-Qur`an. Contohnya ialah para sahabat yang musykil dalam memahami ma’na ayat:

الَّذِينَ آَمَنُوا وَلَمْ يَلْبِسُوا إِيمَانَهُمْ بِظُلْمٍ أُولَئِكَ لَهُمُ الْأَمْنُ وَهُمْ مُهْتَدُونَ

Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.(Surah al-An’am: 82)

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ لَمَّا نَزَلَتْ هَذِهِ الْآيَةُ { الَّذِينَ آمَنُوا وَلَمْ يَلْبِسُوا إِيمَانَهُمْ بِظُلْمٍ } شَقَّ ذَلِكَ عَلَى أَصْحَابِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَالُوا أَيُّنَا لَمْ يَلْبِسْ إِيمَانَهُ بِظُلْمٍ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّهُ لَيْسَ بِذَاكَ أَلَا تَسْمَعُ إِلَى قَوْلِ لُقْمَانَ لِابْنِهِ { إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ }

Diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin Mas’ud katanya, tatkala turun ayat ini, para sahabat merasa berat dan mereka berkata, siapakah dia antara kita yang tidak mencampur aduk imannya dengan kezaliman? Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: Bukan itu maksudnya, tidakkah kamu dengar kata-kata Luqman kepada anaknya, sesungguhnya syirik itu adalah kezaliman yang besar (Surah Luqman:13) (al-Bukhari)

Dimensi ketiga pula ialah faktor semasa bagi kemunculan hadis. Dimensi ini mencakupi zaman baginda di Mekah dan di Madinah atau peringkat awal dakwah dan ketika kemunculan Negara Islam Madinah dalam tempoh 23 tahun sebelum kewafatan baginda. Dalam setiap peringkat ini ada beberapa keadaan dan suasana yang mendorong Rasulullah mengucapkan dan melakukan sesuatu perkara.

Dimensi keempat ialah faktor setempat di mana hadis itu muncul. Dimensi ini mengambarkan keadaan Semenanjung Arab berserta dengan keadaan masyarakatnya, adat, budaya, pekerjaan, kegiatan dan perkara-perkara yang Rasulullah s.a.w. berinteraksi dengannya pada ketika itu.

Kepentingan Ilmu Tentang Asbab Wurud Hadis

Kesedaran tentang kepentingan ilmu sebab wurud telahpun muncul sejak zaman sahabat lagi. Para sahabat berbincang sesama mereka tentang hadis yang diucapkan oleh baginda, masa yang diucapkan hadis itu, dan dialog yang berlaku antara Rasulullah s.a.w. dan para sahabat.

عَنْ عُرْوَةَ بْنِ الزُّبَيْرِ قَالَ قَالَ زَيْدُ بْنُ ثَابِتٍ يَغْفِرُ اللَّهُ لِرَافِعِ بْنِ خَدِيجٍ أَنَا وَاللَّهِ أَعْلَمُ بِالْحَدِيثِ مِنْهُ إِنَّمَا كَانَا رَجُلَيْنِ اقْتَتَلَا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنْ كَانَ هَذَا شَأْنُكُمْ فَلَا تُكْرُوا الْمَزَارِعَ فَسَمِعَ قَوْلَهُ لَا تُكْرُوا الْمَزَارِعَ

Daripada ‘Urwah bin al-Zubair katanya, Zaid bin Thabit berkata, semoga Allah s.w.t mengampuni Rafi’ bin Khadij, (kerana) saya lebih mengetahui hadis itu daripadanya. Sebenarnya ada dua orang lelaki berbalah lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: “Jika begini urusan kamu maka janganlah kamu menyewa ladang-ladang. Lalu Rafi’ hanya mendengar kata-kata, janganlah kamu menyewa ladang-ladang. (al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menjelaskan mengapa tidak dibenarkan menyewakan ladang-ladang iaitu apabila membawa kepada kezaliman dan mencetuskan perbalahan antara kedua-dua belah pihak. Oleh kerana itu, Zaid bin Thabit tampil menyatakan sebab mengapa Rasulullah s.a.w. melarang penyewaan ladang-ladang.

Kata Dr. Yusuf al-Qaradhawi: “Untuk memahami hadis dengan betul tidak dapat tidak mesti difahami perkara-perkara yang berkaitan dengan hadis tersebut iaitu mengetahui bahawa hadis itu diucapkan bagi membetulkan dan menerangkan keadaan tertentu. Dengan demikian akan dapat diketahui maksud hadis dengan tepat, tidak hanya dengan agak-agak sahaja atau hanya memahami zahir hadis yang tidak dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w. (Bagaimana Berinteraksi dengan al-Sunnah, hal. 152)

Peranan Ilmu Tentang Asbab Wurud Hadis

Pertama, ilmu ini dapat menjelaskan kekeliruan yang ditimbulkan oleh golongan yang tidak memahami hadis. Hadis tentang “Kamu lebih mengetahui urusan dunia kamu” telah dijadikan alasan dan batu loncatan bagi mereka yang mahu lari daripada terikat dengan hukum-hukum syara’ dalam urusan dunia. Mereka mengatakan Rasulullah s.a.w. telah menyerahkan kepada kita untuk menentukan urusan dunia kesemuanya. Sedangkan hadis ini mempunyai latar belakangnya iaitu berhubung dengan kisah pendebungaan pokok tamar sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:

عَنْ رَافِع بْن خَدِيجٍ قَالَ قَدِمَ نَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ وَهُمْ يَأْبُرُونَ النَّخْلَ يَقُولُونَ يُلَقِّحُونَ النَّخْلَ فَقَالَ مَا تَصْنَعُونَ قَالُوا كُنَّا نَصْنَعُهُ قَالَ لَعَلَّكُمْ لَوْ لَمْ تَفْعَلُوا كَانَ خَيْرًا فَتَرَكُوهُ فَنَفَضَتْ أَوْ فَنَقَصَتْ قَالَ فَذَكَرُوا ذَلِكَ لَهُ فَقَالَ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ إِذَا أَمَرْتُكُمْ بِشَيْءٍ مِنْ دِينِكُمْ فَخُذُوا بِهِ وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِشَيْءٍ مِنْ رَأْيٍ فَإِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ

Diriwayatkan daripada Rafi’ bin Khadij katanya, Rasulullah s.a.w. datang ke Madinah dalam keadaan penduduk Madinah itu mendebungakan pokok tamar. Mereka mengatakan mereka mengahwinkan pokok tamar. Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apa yang kamu lakukan? Mereka menjawab: “Kami sering kali melakukannya. Baginda bersabda, boleh jadi kalau tidak melakukannya tentu lebih baik. Kemudian mereka tidak melakukannya lalu buah menjadi tidak bermutu atau kurang. Rafi’ berkata: Mereka pun mengadu hal kepada baginda dan baginda bersabda: “Sesungguhnya aku seorang manusia, apabila aku memerintah kepada kamu dengan sesuatu urusan agama kamu maka hendaklah kamu berpegang dengannya dan apabila aku memerintahkan kamu dengan sesuatu pandangan aku sendiri maka aku hanyalah seorang manusia.

Dalam riwayat yang lain juga dalam Sahih Muslim:

عَنْ عَائِشَةَ وَعَنْ ثَابِتٍ عَنْ أَنَسٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّ بِقَوْمٍ يُلَقِّحُونَ فَقَالَ لَوْ لَمْ تَفْعَلُوا لَصَلُحَ قَالَ فَخَرَجَ شِيصًا فَمَرَّ بِهِمْ فَقَالَ مَا لِنَخْلِكُمْ قَالُوا قُلْتَ كَذَا وَكَذَا قَالَ أَنْتُمْ أَعْلَمُ بِأَمْرِ دُنْيَاكُمْ

Diriwayatkan daripada ‘Aishah, Thabit dan Anas bahawa Rasulullah s.a.w. melalui dekat dengan satu kumpulan yang sedang mengahwinkan pokok lalu baginda bersabda, “Kalaulah kamu tidak melakukannya tentu akan baik. Perawi berkata, kemudian keluarlah buah yang kemek. Baginda melalui dekat mereka sambil bertanya: “Apakah yang terjadi kepada pokok tamar kamu? Mereka berkata: ”Tuan telah menyebutkan kata-kata tuan”. Baginda menjawab: “Kamu lebih mengetahui urusan dunia kamu”.

Dengan itu, hadis ini bukan memberikan kebebasan kepada sesiapa untuk membebaskan diri daripada hukum-hukum syari’at dalam urusan duniawi. Cerita sebenar hadis tersebut ialah Rasulullah s.a.w. memberikan pendapatnya yang peribadi berkenaan dengan salah satu cara memperolehi rezeki yang baginda tidak ada pengalaman tentangnya. (Abu al-Laith, ‘Ulum al-Hadith, hal. 329-330)

Kedua, mengkhususkan hadis yang umum. Contohnya, hadis:

عَنْ عِمْرَانَ بْنِ حُصَيْنٍ قَالَ سَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الَّذِي يُصَلِّي قَاعِدًا قَالَ مَنْ صَلَّى قَائِمًا فَهُوَ أَفْضَلُ وَمَنْ صَلَّى قَاعِدًا فَلَهُ نِصْفُ أَجْرِ الْقَائِمِ وَمَنْ صَلَّى نَائِمًا فَلَهُ نِصْفُ أَجْرِ الْقَاعِدِ

Daripada ‘Imran bin Husain katanya saya bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang orang yang bersembahyang dengan duduk. Baginda menjawab: “Orang yang sembahyang berdiri itulah yang utama, orang yang sembahyang duduk memperolehi separuh pahala orang yang sembahyang berdiri dan orang yang sembahyang sambil tidur mendapat separuh pahala orang yang sembahyang duduk. (al-Nasa`i)

Hadis ini secara umumnya berkenaan setiap orang yang bersembahyang. Tetapi melihat kepada sebabnya, ia menunjukkan makna yang khusus. Dalam riwayat al-Muwatta` disebutkan:

عَنْ مَالِك عَنْ ابْنِ شِهَابٍ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ أَنَّهُ قَالَ لَمَّا قَدِمْنَا الْمَدِينَةَ نَالَنَا وَبَاءٌ مِنْ وَعْكِهَا شَدِيدٌ فَخَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى النَّاسِ وَهُمْ يُصَلُّونَ فِي سُبْحَتِهِمْ قُعُودًا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَاةُ الْقَاعِدِ مِثْلُ نِصْفِ صَلَاةِ الْقَائِمِ

Diriwayatkan daripada Malik daripada Ibn Syihab daripada ‘Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As bahawa katanya: “Tatkala kami tiba di Madinah, kami ditimpa dengan wabak penyakit kerana kepanasan Madinah yang bersangatan. Lalu Rasulullah s.a.w. keluar menemui orang ramai sedang mereka itu sembahyang sunnat dengan duduk lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sembahyang orang yang duduk seperti separuh pahala orang yang sembahyang berdiri.”

Maka difahami daripada hadis ini, pengurangan kadar pahala ini bagi orang yang mampu untuk berdiri tetapi bersembahyang sunnat dengan duduk. Dengan cara ini juga difahami hadis:

عَنْ سِمَاكٍ قَالَ أَخْبَرَنِي جَابِرُ بْنُ سَمُرَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمْ يَمُتْ حَتَّى صَلَّى قَاعِدًا

Daripada Simak katanya, Jabir bin Samurah menceritakan kepada saya bahawa Rasulullah s.a.w. tidak wafat melainkan sembahyang dengan duduk.”

Maksudnya, di akhir usianya, Rasulullah s.a.w. sering sembahyang tahajjud dengan duduk kerana agak berbadan dan berisi.

Contoh yang lain tentang larangan menyewa tanah.

عَنْ رَافِعِ بْنِ خَدِيجٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ كِرَاءِ الْمَزَارِعِ

Diriwayatkan daripada Rafi’ bin Khadij bahawa Rasulullah s.a.w. melarang menyewa ladang-ladang tanaman.(Malik, al-Bukhari dan Muslim)

Sekiranya kita tidak mengetahui sebab hadis ini disebutkan dan terus memahaminya dengan cara yang umum, tentu akan menimbulkan kesukaran dan kesulitan kepada orang ramai.

Ketiga, mengikat pengertian hadis yang bersifat umum:

مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ وَمَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ

 “Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang baik lalu ia diamalkan selepas itu ditulis untuknya seperti pahala orang yang mengamalkannya. Ini tidak mengurangkan pahala mereka (para pengamal itu) sedikit pun. Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang jahat lalu ia diamalkan selepas itu ditulis untuknya seperti dosa orang yang mengamalkannya. Ini tidak mengurangkan dosa mereka (para pengamal itu) sedikit pun”.

Ungkapan sunnah yang disifatkan dengan baik dan jahat adalah terlalu mutlak meliputi sesuatu yang mempunyai dalil daripada syara’ dan sebaliknya. Dengan memeriksa sebab hadis ini, kemutlakan lafaz sunnah itu dapat dijelaskan iaitu satu jalan atau cara yang mempunyai dalil dan sandaran dalam Islam.

عَنْ جَرِيرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ جَاءَ نَاسٌ مِنَ الْأَعْرَابِ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَيْهِمُ الصُّوفُ فَرَأَى سُوءَ حَالِهِمْ قَدْ أَصَابَتْهُمْ حَاجَةٌ فَحَثَّ النَّاسَ عَلَى الصَّدَقَةِ فَأَبْطَئُوا عَنْهُ حَتَّى رُئِيَ ذَلِكَ فِي وَجْهِهِ قَالَ ثُمَّ إِنَّ رَجُلًا مِنَ الْأَنْصَارِ جَاءَ بِصُرَّةٍ مِنْ وَرِقٍ ثُمَّ جَاءَ آخَرُ ثُمَّ تَتَابَعُوا حَتَّى عُرِفَ السُّرُورُ فِي وَجْهِهِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ وَمَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ

Daripada Jarir bin ‘Abdullah, katanya: Datang sekumpulan arab badawi kepada Rasulullah s.a.w. Mereka memakai pakaian bulu. Baginda melihat buruknya keadaan mereka. Mereka ditimpa kesusahan. Baginda menggesa orang ramai bersedekah. Namun mereka lambat melakukannya sehingga kelihatan marah pada wajah baginda. (Kata Jarir) Kemudian seorang lelaki daripada Ansar datang dengan seberkas perak. Kemudian datang seorang yang lain pula. Kemudian orang ramai datang (bersedekah) berturut-turut. Sehingga dilihat kegembiraan pada wajah baginda. Maka RasululLah s.a.w bersabda: “Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang baik lalu ia diamalkan selepas itu ditulis untuknya seperti pahala orang yang mengamalkannya. Ini tidak mengurangkan pahala mereka (para pengamal itu) sedikit pun. Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang jahat lalu ia diamalkan selepas itu ditulis untuknya seperti dosa orang yang mengamalkannya. Ini tidak mengurangkan dosa mereka (para pengamal itu) sedikit pun”. (Muslim)

Keempat, menyelesaikan dalil-dalil yang kelihatan bercanggah antara satu sama lain. Contohnya hadis:

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي سَفَرٍ فَرَأَى زِحَامًا وَرَجُلًا قَدْ ظُلِّلَ عَلَيْهِ فَقَالَ مَا هَذَا فَقَالُوا صَائِمٌ فَقَالَ لَيْسَ مِنْ الْبِرِّ الصَّوْمُ فِي السَّفَرِ

Daripada Jabir bin ‘Abdullah katanya, Rasulullah s.a.w. berada dalam satu perjalanan lalu baginda ternampak kesesakan dan seorang lelaki sedang dipayungi. Lalu baginda bersabda: “Bukan daripada kebajikan berpuasa dalam perjalanan.” (al-Bukhari)

Kalau hadis ini difahami dengan keumumannya tentu akan kelihatan bercanggah dengan ayat yang menyatakan berpuasa dalam perjalanan dan ketika sakit itu lebih baik lagi. Allah s.w.t. berfirman:

وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

(Walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah, kalau kamu mengetahui. (Surah al-Baqarah: 184)

Apabila kita merujuk kepada hadis yang lain, jelas kepada kita maksud hadis tersebut.

عَنْ رَبِيعَةَ قَالَ حَدَّثَنِي قَزَعَةُ قَالَ أَتَيْتُ أَبَا سَعِيدٍ الْخُدْرِيَّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ وَهُوَ مَكْثُورٌ عَلَيْهِ فَلَمَّا تَفَرَّقَ النَّاسُ عَنْهُ قُلْتُ إِنِّي لَا أَسْأَلُكَ عَمَّا يَسْأَلُكَ هَؤُلَاءِ عَنْهُ سَأَلْتُهُ عَنْ الصَّوْمِ فِي السَّفَرِ فَقَالَ سَافَرْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى مَكَّةَ وَنَحْنُ صِيَامٌ قَالَ فَنَزَلْنَا مَنْزِلًا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّكُمْ قَدْ دَنَوْتُمْ مِنْ عَدُوِّكُمْ وَالْفِطْرُ أَقْوَى لَكُمْ فَكَانَتْ رُخْصَةً فَمِنَّا مَنْ صَامَ وَمِنَّا مَنْ أَفْطَرَ ثُمَّ نَزَلْنَا مَنْزِلًا آخَرَ فَقَالَ إِنَّكُمْ مُصَبِّحُو عَدُوِّكُمْ وَالْفِطْرُ أَقْوَى لَكُمْ فَأَفْطِرُوا وَكَانَتْ عَزْمَةً فَأَفْطَرْنَا ثُمَّ قَالَ لَقَدْ رَأَيْتُنَا نَصُومُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَعْدَ ذَلِكَ فِي السَّفَرِ

Daripada Rabi’ah katanya Qaza’ah menceritakan kepada saya bahawa saya menemui Abu Sa’id al-Khudri dalam keadaan beliau dikerumuni oleh orang ramai. Apabila orang ramai bersurai daripadanya, saya berkata kepadanya, saya tidak akan bertanya kepada anda apa yang ditanyai oleh orang-orang itu tadi. Saya ingin bertanya tentang berpuasa dalam perjalanan. Abu Sa’id berkata: “Kami bermusafir bersama Rasulullah ke Mekah dalam keadaan kami berpuasa. Kami berhenti di suatu persinggahan lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya kamu telah menghampiri musuh kamu dan berbuka itu lebih memberi kekuatan kepada kamu dan ia merupakan rukhsah (kelonggaran). Maka di kalangan kami ada yang terus berpuasa dan ada yang berbuka. Kemudian kami singgah di persinggahan yang lain lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya kamu berhadapan dengan musuh dan berbuka itu lebih memberi kekuatan kepada kamu maka hendaklah kamu berbuka dan ia merupakan kemestian. Lalu kami berbuka. Abu Sa’id berkata: Sesungguhnya saya masih lagi terbayang-bayang kami berpuasa bersama Rasulullah s.a.w. dalam perjalanan selepas itu. (Muslim)

Larangan berpuasa itu ditujukan kepada orang yang tidak mampu berpuasa tetapi memaksa diri dengan puasa. Ini dapat dijelaskan lagi dalam hadis berikut:

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ كُنَّا نُسَافِرُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمْ يَعِبْ الصَّائِمُ عَلَى الْمُفْطِرِ وَلَا الْمُفْطِرُ عَلَى الصَّائِمِ

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik katanya, kami bermusafir bersama dengan Rasulullah s.a.w., tidak ada orang yang berpuasa yang mencela orang yang berbuka dan tidak ada orang yang berbuka mencela orang yang berpuasa. (al-Bukhari dan Muslim)

Bagaimana Mengetahui Sebab Wurud

Pertama: Nas Hadis Rasulullah s.a.w.

Iaitu ucapan, atau perbuatan Rasulullah s.a.w. secara terang-terangan atau secara isyarat. (Mohd Asri, hal. 115)

Ada kalanya, sebab hadis itu disebutkan di dalam hadis itu sendiri dengan adanya sikap Rasulullah s.a.w. terhadap sesuatu situasi dan keadaan yang tersebut di dalam hadis. Kebanyakan jenis ini adalah dalam bentuk soal jawab atau perbualan antara Rasulullah s.a.w. dengan para sahabat.

Contohnya, hadis tentang kepetahan berbicara termasuk dalam jenis sihir.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّهُ قَدِمَ رَجُلَانِ مِنْ الْمَشْرِقِ فَخَطَبَا فَعَجِبَ النَّاسُ لِبَيَانِهِمَا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ مِنْ الْبَيَانِ لَسِحْرًا أَوْ إِنَّ بَعْضَ الْبَيَانِ لَسِحْرٌ

Daripada ‘Abdullah bin ‘Umar bahawa dua lelaki dari sebelah timur datang lalu menyampaikan pidato maka orang ramai terpegun dengan kepandaian berbicara mereka berdua lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya sebahagian daripada kepandaian berbicara itu sihir (memukaukan pendengar). (al-Bukhari)

Dalam riwayat ini, disebutkan sebab Rasulullah s.a.w. mengucapkan hadis ini iaitu kerana orang ramai merasai kagum kepada pepetahan berbicara dua orang lelaki itu.

Di samping itu, ada juga sebab mengapa hadis itu tidak disebutkan di dalam hadis itu sendiri tetapi disebutkan di dalam riwayat yang lain atau dalam hadis yang sama tetapi melalui jalan sanad yang lain. Hal ini berlaku kerana kadang kala perawi hadis itu meringkaskan hadis dengan cara menyebutkan bahagian hadis yang diperlukan sahaja ketika menghuraikan sesuatu perkara.

Kedua: Ucapan Sahabat

Ucapan sahabat merupakan jalan yang terpenting dalam menentukan kepada sebab wurud hadis kerana mereka berada dalam lingkungan terbitnya hadis dan perlaksanaannya di samping mereka berada di zaman penurunan al-Qur`an. Contohnya kisah al-Syarid yang datang menemui Rasulullah s.a.w. pada ketika pembukaan Mekah dan berkata kepada baginda: “Sesungguhnya saya bernazar sekiranya Allah s.w.t. memberikan kemenangan kepada tuan, saya akan bersembahyang di Baitul Maqdis. Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: “Di sini lebih utama”. Kemudian baginda bersabda: “Demi nyawaku di tangan-Nya, jika kamu bersembahyang di sini, maka memadai bagi kamu.” Seterusnya baginda bersabda: “Satu sembahyang di masjid ini lebih utama daripada seribu sembahyang di masjid yang lain.” (Musannaf ‘Abd al-Razzaq)

Ijtihad

Ada kalanya sesuatu sebab hadis itu tidak dapat diketahui daripada hadis-hadis yang lain dan juga daripada ucapan sahabat. Maka pada ketika itu, seorang ahli hadis perlu berijtihad untuk menentukan sebabnya. Contohnya:

عَنِ ابْنِ عُمَرَ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ مِنَ الشَّجَرِ شَجَرَةً لا يَسْقُطُ وَرَقُهَا وَإِنَّهَا مَثَلُ الْمُسْلِمِ حَدِّثُونِي مَا هِيَ قَالَ فَوَقَعَ النَّاسُ فِي شَجَرِ الْبَوَادِي قَالَ عَبْدُاللَّهِ فَوَقَعَ فِي نَفْسِي أَنَّهَا النَّخْلَةُ فَاسْتَحْيَيْتُ ثُمَّ قَالُوا حَدِّثْنَا مَا هِيَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ هِيَ النَّخْلَةُ

Diriwayatkan daripada Ibnu Umar daripada Nabi s.a.w, sabdanya: Di antara pokok-pokok itu ada satu pokok yang mana daunnya tidak gugur. Perbandingannya seperti orang muslim, ceritakan kepadaku apakah pokok itu? Kata perawi (Ibnu Umar): Fikiran para sahabat pada pokok-pokok di padang itu. Abdullah berkata: Timbul pada fikiran saya bahawa pokok itu ialah pokok tamar, tetapi saya malu. Kemudian mereka (para sahabat) berkata: “Ceritakan kepada kami, apakah pokok itu wahai Rasulullah”. Rasulullah s.a.w berkata: “Pokok tamar”. (al-Bukhari)

Imam al-Bukhari telah memasukkan hadis ini di bawah tajuk:

بَاب طَرْحِ الامَامِ الْمَسْأَلَةَ عَلَى أَصْحَابِهِ لِيَخْتَبِرَ مَا عِنْدَهُمْ مِنَ الْعِلْمِ

Bab: Imam Mengemukakan Soalan Kepada Sahabat-Sahabatnya Untuk Menguji Ilmu Yang Ada Pada Mereka Itu. Beliau telah berijtihad dengan mengemukakan tajuk ini bahawa soalan Rasulullah s.a.w. adalah untuk menguji kefahaman dan keilmuan sahabat.

عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ وَثَوْبَانَ وَفَضَالَةَ بْنِ عُبَيْدٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَاءَ فَأَفْطَرَ وَإِنَّمَا مَعْنَى هَذَا أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ صَائِمًا مُتَطَوِّعًا فَقَاءَ فَضَعُفَ فَأَفْطَرَ

Daripada Abu al-Darda`, Thauban dan Fudhalah bin ‘Ubai bahawa Rasulullah s.a.w. telah muntah kemudian berbuka puasa. Kata Imam al-Tirmizi: Maksudnya ialah Rasulullah s.a.w. berpuasa sunat lalu termuntah dan merasa lemah maka baginda pun berbuka puasa. (Sunan al-Tirmizi, jil. 2, hal. 98)

Di sini Imam al-Tirmizi telah berijtihad dalam menentukan mengapa baginda s.a.w. berbuka puasa bukan puasa itu terbatal kerana sebab muntah.

Check Also

Sabab Wurud Hadis “Sesiapa Yang Menipu Maka Dia Bukan Dari Kalangan Ku.”

  عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ غَشَّ فَلَيْسَ مِنِّي …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *