Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Asas / Prinsip-Prinsip Hadis / Prinsip Yakin Dan Menjauhi Keraguan Dalam Mengerjakan Ibadat
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Prinsip Yakin Dan Menjauhi Keraguan Dalam Mengerjakan Ibadat

 

 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا وَجَدَ أَحَدُكُمْ فِي بَطْنِهِ شَيْئًا فَأَشْكَلَ عَلَيْهِ أَخَرَجَ مِنْهُ شَيْءٌ أَمْ لَا فَلَا يَخْرُجَنَّ مِنْ الْمَسْجِدِ حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا أَوْ يَجِدَ رِيحًا

Daripada Abu Huraiyrah katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila seseorang dari kamu mendapati ada sesuatu dalam perutnya lalu dia menjadi musykil adakah keluar sesuatu darinya atau tidak maka janganlah dia keluar dari masjid sehinggalah dia mendengar bunyi atau merasai angin (keluar). (Muslim, no: 362)

وَعَنِ اِبْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اَللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اَللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَيَأْتِي أَحَدَكُمُ الشَّيْطَانُ فِي صَلَاتِهِ, فَيَنْفُخُ فِي مَقْعَدَتِهِ فَيُخَيَّلُ إِلَيْهِ أَنَّهُ أَحْدَثَ, وَلَمْ يُحْدِثْ, فَإِذَا وَجَدَ ذَلِكَ فَلَا يَنْصَرِفُ حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا أَوْ يَجِدَ رِيحًا – أَخْرَجَهُ اَلْبَزَّار ُ

 Daripada Ibn ‘Abbas bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Syaitan mendatangi salah seorang daripada kamu dalam sembahyangnya lalu dia meniupkan punggungnya lalu dia terbayang bahawa yang dia berhadas sedangkan dia tidak berhadas. Apabila seseorang dari kamu mendapati demikian janganlah dia keluar (dari sembahyangnya) sehinggalah dia mendengar bunyi atau mendapati ada bau. (al-Bazzar)

عَنْ سَعِيدِ بْنِ الْمُسَيَّبِ وَعَنْ عَبَّادِ بْنِ تَمِيمٍ عَنْ عَمِّهِ أَنَّهُ شَكَا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله  عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الرَّجُلُ الَّذِي يُخَيَّلُ إِلَيْهِ أَنَّهُ يَجِدُ الشَّيْءَ فِي الصَّلاةِ فَقَالَ لا يَنْفَتِلْ أَوْ لا يَنْصَرِفْ حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا أَوْ يَجِدَ رِيحًا

Daripada Said bin al-Musayyab dan daripada ‘Abbad bin Tamim daripada bapa saudaranya, bahawa dia mengadu kepada Rasulullah s.a.w tentang seseorang yang terlintas kepadanya bahawa dia telah mengalami sesuatu dalam sembahyangnya. Nabi s.a.w bersada: “Janganlah dia berpaling atau pergi (meninggalkan sembahyangnya) sehingga dia mendengar suara atau mendapat bau”. (al-Bukhari, no: 137, Muslim, no: 361)

عَنْ عِياض قَالَ : سألتُ أبا سَعِيدٍ الخُدريِّ فَقَلْتُ : أحَدُنَا يُصَلِّيْ فَلَا يَدْرِيْ كَمْ صَلّى ؟ قال : فَقَالَ لَنَا رَسُوْلُ اللهِ صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إذا صَلّى أحَدُكُمْ فَلَمْ يَدْر كَمْ صَلّى فَلْيَسْجُدْ سَجْدَتَيْنِ وَهُوَ جَالِسٌ وَإِذَا جَاءَ أَحَدَكُمُ الشَّيْطَانُ, فَقَالَ: إِنَّكَ أَحْدَثْتَ, فَلْيَقُلْ: كَذَبْتَ إلّا مَا وَجَدَ رِيحًا بِأنْفِهِ أوْ سَمِعَ صَوْتًا بِأُذُنِهِ

Daripada ‘Iyad katanya, saya bertanya kepada Abu Sa’id al-Khudri, seseorang daripada kami bersembahyang lalu dia tidak mengetahui berapa rakaat yang telah dikerjakannya. Abu Sa’id menjawab: “Rasulullah s.a.w. bersabda kepada kami, apabila salah seorang dari kamu bersembahyang lalu dia tidak mengetahui berapa rakaat yang telah dikerjakannya maka hendaklah dia sujud dua kali ketika dia duduk (selepas tahiyyat akhir) dan apabila syaitan mendatangi salah seorang daripada kamu lalu dia membisikkan kepada kamu, sesungguhnya kamu telah berhadas maka hendaklah dia mengatakan (dalam hatinya) sesungguhnya engkau berdusta, kecuali dia mendapati bau dengan hidungnya atau dia mendengar suara dengan telinganya.” (al-Mustadrak)

Yakni tidak harus dia keluar dari sembahyangnya sehinggalah dia menyakini keluarnya hadas.

Ini merupakan salah satu prinsip agama yang terpenting iaitu sesuatu itu dihukum kekal dengan keadaannya yang asal sehinggalah seseorang itu menyakini yang sebaliknya. Ini bererti keraguan yang muncul secara tiba-tiba tidak dapat menghilangkan sesuatu yang asal yang diyakini kekal dengan keadaannya. Yakin bererti merasa pasti akan sesuatu manakala ragu bererti syak, teragak-agak tentang kewujudan atau ketiadaan sesuatu perkara. Syak juga berlaku dalam membuat keputusan atau memilih di antara beberapa perkara.

Makna yang ditekankan oleh hadis-hadis di atas bertepatan dengan firman Allah s.w.t.:

وَمَا يَتَّبِعُ أَكْثَرُهُمْ إِلَّا ظَنًّا إِنَّ الظَّنَّ لَا يُغْنِي مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا

Dan kebanyakan mereka, tidak menurut melainkan sesuatu sangkaan sahaja, (padahal) sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran. (Surah Yunus: 36)

Sebuah hadis lain yang memberi maksud yang sama:

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا شَكَّ أَحَدُكُمْ فِي صَلَاتِهِ فَلَمْ يَدْرِ كَمْ صَلَّى ثَلَاثًا أَمْ أَرْبَعًا فَلْيَطْرَحْ الشَّكَّ وَلْيَبْنِ عَلَى مَا اسْتَيْقَنَ ثُمَّ يَسْجُدُ سَجْدَتَيْنِ قَبْلَ أَنْ يُسَلِّمَ فَإِنْ كَانَ صَلَّى خَمْسًا شَفَعْنَ لَهُ صَلَاتَهُ وَإِنْ كَانَ صَلَّى إِتْمَامًا لِأَرْبَعٍ كَانَتَا تَرْغِيمًا لِلشَّيْطَانِ

Daripada Abu Sa’id al-Khudri katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila seseorang ragu-ragu dalam sembahyangnya, dia tidak mengetahui berapa rakaat yang telah dikerjakannya, tiga atau empat maka hendaklah dia melontarkan syak dan hendaklah dia meneruskan sembahyangnya mengikut keyakinan kemudian hendaklah dia sujud dua kali sebelum salam. Sekiranya dia bersembahyang lima rakaat, dua sujud itu menjadikannya genap dan sekiranya dia bersembahyang empat rakaat maka ia menjadi penghinaan kepada syaitan. (Muslim)

Islam memberi perhatian yang khusus dalam prinsip dan hukumnya untuk membebaskan manusia dari waswas dan gangguan syaitan. Selaras dengan semangatnya untuk menjamin kesejahteraan, Islam melindungi manusia dari kejahatan syaitan yang menganggu manusia dalam ibadat dan muamalat mereka. Tanpa perlindungan ini segala amalan menjadi rosak atau setidak-tidaknya menjadi kurang bermutu. Inilah matlamat dan rencana syaitan. Oleh itu, seorang mu`min tidak sepatutnya membiarkan dirinya diganggu oleh waswas syaitan malah dia hendaklah berpegang kepada keyakinan kerana keyakinan itu sendiri syarat keimanan. Berpegang dengan syak atau terikut-ikut dengan waswas menjadikan syak penyakit kronik yang sukar diubati kecuali dengan usaha yang penuh sukar.[1]

Hukum diasaskan di atas keyakinan bukan waham dan bukan juga sangkaan yang nyata kesalahannya. Dalil yang menjadi sumber kepada hukum, pada keseluruhannya adalah diyakini dan tidak boleh diragui. Hukum-hukum yang berkaitan dengan  mukallaf mestilah yang jelas diyakini dan tidak dapat dimasuki oleh shubhah yang menyebabkannya tidak dapat beramal dengan tuntutan agama.

Usul ini juga mempunyai kaitan dengan usul rahmat untuk umat dan penafian mashaqqah. Tidak perlu bagi orang yang sedang sembahyang keluar dari sembahyangnya jika dia merasa sesuatu yang keluar melainkan setelah diyakini. Bahkan dia hendaklah mengenepikan syak dan waswas. Sekiranya berlaku yang sebaliknya, kesalahan itu dimaafkan dan sembahyangnya diterima sebagai rahmat dan limpahan Allah s.w.t. yang telah memberikan jaminan apabila bersembahyang dalam keadaan yakin dan mengenepikan sebarang waswas.[2]

Wajib kepada orang yang mengalami syak dalam ibadat untuk menghilangkannya dengan cara-cara berikut:

Pertama, Taghlib al-Zann, iaitu mentarjihkan mengikut apa yang kuat pada sangkaannya. Maksudnya ialah mengira sebagai kuat apa yang menyebabkan hati kita merasa tenang dan lapang. Beramal dengan sangkaan yang kuat sama dengan beramal dengan sesuatu yang diyakini.

Kedua, al-Istishab, iaitu memakai secara terus hukum asal. Sebagai contoh, hukum asal pada air ialah suci. Sesiapa yang meragui tentang sucinya atau tidak maka air tersebut adalah suci sehingga berat pada sangkaannya air itu najis.

Ketiga, beramal dengan keyakinan dan mengenepikan syak. Sebagai contoh, syak tentang rakaat sembahyang tiga atau empat rakaat maka hendaklah dia meneruskan sembahyang dengan menghitung tiga rakaat kerana itulah yang diyakini. Seseorang yang berpuasa meragui adakah matahari telah terbenam atau tidak maka dia tidak boleh berbuka kerana yang diyakini adalah matahari belum terbenam.[3]

 

 

 

________________________________________________

 

[1] Muhammad Bakr Ismail, al-Qawa’id al-Fiqhiyyah Bayn al-Asalah Wa al-Tawjih, hal. 57.
[2] Lihat Dr. Musa Shahin Lashin, Fath al-Mun’im Sharh Sahih Muslim, jil. 2, hal. 393.
[3] Lihat Dr. Rawwas Qal’ah Ji, al-Mawsu’ah al-Fiqhiyyah al-Muyassarah, jil. 2, hal. 1173.

 

 

Check Also

Usul Daripada Hadis Larangan Berbisik Di Hadapan Seseorang

Muhammad Hanief Awang Yahaya   وَعَنْ اِبْنِ مَسْعُودٍ  رضي الله عنه  قَالَ: قَالَ رَسُولُ اَللَّهِ …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *