Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Asas / Prinsip-Prinsip Hadis / Prinsip-Prinsip Hadis: Satu Perbincangan Awal
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Prinsip-Prinsip Hadis: Satu Perbincangan Awal

Mohd Nazri Hasan

AL-HADIS

Al-hadis adalah rujukan kedua selepas al-Quran dalam agama Islam yang berfungsi sebagai penjelas dan penghurai kepada al-Qur’an. Telah menjadi aqidah bahawa seseorang yang mengakui sebagai seorang muslim menerima al-hadis sebagai sumber hukum dan cara hidupnya. Inilah di antara ciri-ciri ahlu al-Sunnah wal-Jama’ah yang mana juga menerima sahabat sebagai rujukan mereka selain al-Qur’an.

Sesetengah ahli fikir yang terpengaruh dengan ideologi barat menolak dan menyangkal hadis sebagai rujukan dalam Islam dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah seperti percanggahan hadis, hadis sebagai punca perpecahan dan kepuakan serta maksud hadis yang samar tentang sifat Tuhan walhal perkara-perkara sebegini ada penjelasan yang panjang dan terang dari ulamak-ulamak serata dunia. Berbeza pula dengan mereka yang terpengaruh dengan golongan Syi’ah yang mana bukan sahaja tidak menerima para sahabat bahkan mengkafirkan majoriti para sahabat. Golongan-golongan seperti inilah yang cuba menghidupkan kembali jahiliyah yang telah dihapuskan oleh Rasulullah s.a.w

Tidak cukup dengan serangan orientalis barat, muncul pula serangan dari dalam dengan bertopengkan sebagai orang-orang yang memperjuangkan Islam. Sebenarnya aliran-aliran seperti ini lebih berbahaya apabila mereka muncul atas nama Islam, apatah lagi apabila dunia mengiktiraf mereka sebagai salah satu firqah atau mazhab dalam Islam sedangkan ajaran mereka sebenarnya bertujuan meruntuhkan ajaran yang asli dan mengembalikan semula ajaran jahiliah ke dunia.

Oleh kerana itu ilmu pengajian al-hadis amat perlu dipertingkatkan dan diperkembangkan lagi agar ia sebati dengan masyarakat. Hanya dengan pendedahan dan penerapan maksud hadis sahajalah yang mampu untuk menangkis serangan dan niat jahat musuh Islam seterusnya mempertahankan maruah dan agama Islam itu sendiri.

DEFINISI AL-HADIS

Al Hadis dari segi bahasa Arab bermakna cerita, berita, keterangan, penjelasan dan baharu. Manakala dari segi istilahnya ‘al-hadis’ adalah segala perkataan, perbuatan, pengakuan dan sifat-sifat Nabi s.a.w.

Syeikhul Islam Hafidz Ibnu Hajar berpendapat bahawa oleh kerana ada kesesuaian dari segi istilah dan bahasanya maka ia dinamakan al-hadis yang bermakna baharu berbanding al-Quran yang bersifat qadim.

Al-hadis juga dinamakan wahyu ghair matlu manakala al-Quran adalah wahyu matlu yang mana menjadi ibadat apabila ia dibaca. Al-hadis juga dinamakan dengan ‘Wahyu Khafi’. Firman Allah s.w.t :-

قُلْ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ مِثْلُكُمْ يُوحَى إِلَيَّ

Katakanlah (Wahai Muhammad) bahawasanya aku hanyalah manusia biasa, diwahyukan kepadaku. (al-Kahfi Ayat 110)

Dan firman Allah s.w.t :

رُسُلًا مُبَشِّرِينَ وَمُنْذِرِينَ لِئَلَّا يَكُونَ لِلنَّاسِ عَلَى اللَّهِ حُجَّةٌ بَعْدَ الرُّسُلِ وَكَانَ اللَّهُ عَزِيزًا حَكِيمًا

“(Meraka kami utuskan) selaku rasul-rasul pembawa berita gembira dan pemberi peringatan supaya tidak ada alasan lagi bagi manusia membantah Allah sesudah diutusnya rasul-rasul itu dan adalah Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”. (An Nisaa’ Ayat 165)

Dan firman Allah s.w.t :

قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

“Katakanlah! Sekiranya kamu kasih kepada Allah maka ikutlah aku nescaya kamu akan dikasihi oleh Allah dan ia akan mengampuni dosa-dosamu, Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. (Ali ‘Imran:31)

PERANANNYA

Peranan al-hadis adalah sebagai penjelas dan penghurai maksud al-Quran. Bagi Ahlu as-sunnah wal-jama’ah, perkara ini adalah sesuatu yang tidak dapat disangkal dan dipertikaikan lagi. Ia termasuklah penjelasan tentang aspek-aspek kenegaraan, peperangan, muamalat, perekonomian, permasyarakatan, peradaban serta sains dan teknologi.

Ia juga menyentuh tentang persoalan-persoalan peribadi seperti tutur kata, tingkah laku, rupa paras, kehidupan rumah tangga, makan minum, duduk bangun, senyum ketawa, gaya berjalan, gaya bercakap, minat, budi bahasa dan lain-lain dengan cukup jelas sehingga boleh diketahui segala yang berkaitan dengannya.

Ringkasnya, al-hadis adalah tafsiran amali bagi al-Qur’an dan perlaksanaan secara realiti bagi segala ajaran dan anjuran dalam al-Qur’an.

 

PERBINCANGAN TENTANG PRINSIP-PRINSIP YANG TERDAPAT DALAM AL-HADIS

DEFINISI PRINSIP

Prinsip dari segi bahasa bermakna asas atau dasar (yang menjadi pokok sesuatu pemikiran, kajian, tindakan dan lain-lain). – Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Dari segi istilah ‘Prinsip-Prinsip Yang Terdapat Dalam Al-Hadis’ bermaksud dasar atau maksud sebenar yang terkandung dalam al-hadis.

SEBAB-SEBAB DINAMAKAN “PRINSIP” DAN PERBEZAANNYA DENGAN USUL HADIS DAN USUL FIQH

Prinsip-prinsip yang terdapat dalam al-hadis adalah satu kajian dari sudut atau perspektif yang berlainan dari ilmu-ilmu yang lain. Ia sebenarnya adalah dasar atau pokok kepada beribu-ribu hadis yang terdapat dalam mana-mana kitab sunan maupun jami’. Bahkan sebenarnya ribuan hadis tersebut boleh dimasukkan di bawah prinsip-prinsip yang akan disebutkan nanti yang mana telah diistilahkan sebagai sub-ordinat dalam al-hadis.

Atas dasar untuk mengelakkan kekeliruan, penulis merasakan perlu untuk tidak menggunakan perkataan yang sama tetapi mempunyai makna yang berlainan. Berkemungkinan dengan menggunakan perkataan ‘Usul daripada al-Hadis’ akan menyebabkan berlakunya kekeliruan dan mungkin disamakan dengan Imu Usul Hadis sedangkan apa yang akan dibincangkan adalah sebaliknya.

Ilmu Usul Hadis adalah ilmu tentang asas-asas dan kaedah-kaedah untuk mengetahui keadaan sanad dan matan yang membolehkan suatu hadis itu diterima atau ditolak. Manakala Ilmu Usul Fiqh pula adalah ilmu yang menghimpunkan kaedah-kaedah kulli yang membolehkan mujtahid memahami dan mengistinbat hukum dengan nas-nas al-Quran dan al-Sunnah.

Berbeza dengan Ilmu Usul Fiqh dan Usul Hadis, ‘usul atau prinsip-prinsip yang terdapat dalam al-hadis’ ini adalah kumpulan hadis-hadis di bawah beberapa prinsip yang bersumberkan al-Qur’an yang mana adalah dasar atau asal kepada beribu-ribu al-hadis yang tidak dapat dipastikan kuantiti sebenarnya.

Membaca hadis-hadis yang ribuan bilangannya mungkin terlalu banyak bagi sesetengah orang atau menjadi kesukaran untuk memahaminya tapi sebenarnya apabila dipandang dari sudut yang lain sebenarnya ia termasuk hanya di bawah beberapa prinsip yang sebenarnya telah digariskan dalam al-Qur’an. Selain dari itu kita dapat lihat perkaitan rapat antara hadis dengan al-Quran dan seterusnya membuktikan hadis sebagai penjelas dan penghurai kepada al-Qur’an.

BEBERAPA PRINSIP YANG DAPAT DIKUMPULKAN

Semua al-hadis yang terdapat dalam kitab-kitab hadis sunan dan kitab-kitab hadis yang lain boleh diklasifikasikan di bawah beberapa prinsip mengikut kesuaian dari segi dasar dan maksudnya. Berikut adalah beberapa prinsip yang telah dikumpulkan oleh penulis:-

1) Prinsip Kebersihan

2) Prinsip Perubatan

3) Prinsip Kesihatan

4) Prinsip Adab

5) Prinsip Kemesraan Antara Suami Dan Isteri

6) Prinsip Berbuat Baik Kepada Ibu Dan Bapa

7) Prinsip Individu

8) Prinsip Menjauhi Sifat-Sifat Mazmumah (Tercela)

9) Prinsip Meninggalkan Perkara Yang Tidak Perlu

10) Prinsip Menakutkan Manusia Dengan Api Neraka.

11) Prinsip Perkara-Perkara Yang DiHaramkan

12) Prinsip Perkara-Perkara Yang DiHalalkan

13) Prinsip Menyalahi Syaitan

14) Prinsip Menyalahi Orang Kafir

15) Prinsip Kemudahan

16) Prinsip Rahmat

17) Prinsip Tauhid

18) Prinsip Menjaga Keselamatan

19) Prinsip Kenegaraan

20) Prinsip Pemerintahan

21) Prinsip Kehakiman

22) Prinsip Sains

23) Prinsip Kemasyarakatan / sosial

24) Prinsip Psikologi

25) Prinsip Ekonomi

26) Prinsip Geologi

27) Prinsip Biologi

28) Prinsip Keselamatan

29) Prinsip Politik

30) Prinsip Cinta Dan Kasih Sayang

PRINSIP BAGI PRINSIP PRINSIP YANG LAIN

Sebahagian prinsip-prinsip dalam al-hadis ini pula boleh dimasukkan di bawah beberapa prinsip sahaja atau dalam erti kata yang lain beberapa prinsip itu menjadi prinsip kepada sebilangan prinsip yang lain. Dan akhirnya beberapa prinsip itu juga boleh dimasukkan di bawah satu prinsip pokok iaitu “Prinsip Tauhid”. Ia juga adalah satu kaedah yang menunjukkan prinsip tersebut adalah benar, munasabah dan tepat sebagai salah satu prinsip dalam al-hadis. Sebagai contoh prinsip-prinsip yang boleh di masukkan di bawah prinsip lain adalah :

– “Prinsip Kebersihan” dan “Prinsip Perubatan” boleh dimasukkan di bawah “Prinsip Kesihatan” kerana ia adalah sebab dan bermotifkan Kesihatan. Tanpa kebersihan tentu kesihatan susah untuk dicapai manakala perubatan adalah cara merawat dan memulihkan kembali kesihatan dengan sebab-sebab yang telah ditentukan Allah dalam sunnatullah atau undang-undang alam.

– “Prinsip Menjauhi Sifat-Sifat Mazmumah”, “Prinsip Meninggalkan Perkara Yang Tidak Perlu”, “Prinsip Adab” dan “Prinsip Perkara-Perkara Yang DiHaramkan” boleh kita masukkan di bawah “Prinsip Individu” kerana prinsip-prinsip itu juga bertujuan membina peribadi seseorang dan menjaga hak-hak individu.

– “Prinsip Adab” juga boleh dimasukkan di bawah “Prinsip Berbuat Baik Kepada Ibu Dan Bapa” kerana adab adalah suatu yang tidak dapat dipisahkan apabila seseorang ingin berbuat baik kepada kedua ibubapanya. Ia juga boleh dimasukkan di bawah “Prinsip Menjauhi Sifat-Sifat Mazmumah” kerana dengannyalah seseorang dapat menjauhi sifat-sifat yang tercela.

– “Prinsip Menakutkan Manusia Dengan Api Neraka” pula boleh dimasukkan di bawah “Prinsip Menjauhi Sifat Mazmumah” kerana prinsip ini juga berfungsi untuk mendidik hati manusia supaya jauh dari sifat-sifat yang tercela yang membawa kepada dosa-dosa dan seterusnya azab Allah yang memedihkan. Prinsip ini juga menjadi kaedah untuk bahawa perkara yang menyebabkan azab adalah berdosa dan amaran dengan azab yang amat pedih itu menunjukkan ia adalah dosa besar, dengan itu prinsip ini boleh dimasukkan di bawah “Prinsip Perkara-Perkara Yang DiHaramkan”

PRINSIP TAUHID SEBAGAI PRINSIP KEPADA SEGALA PRINSIP

Selain menjadi salah satu asal atau prinsip dalam al-hadis, tauhid menjadi asas atau pokok kepada segala prinsip. Prinsip ini jelas amat penting kerana “Prinsip Tauhid” lah yang akan mengukur samada ianya tepat sebagai satu prinsip ataupun tidak. Sebagaimana al-Quran adalah rujukan dan sumber pertama maka begitulah juga dengan prinsip-prinsip dalam al-hadis yang bersumberkan Prinsip Tauhid sebagai dasar atau pokok kepada kesemua prinsip yang terdapat dalam al-hadis.

Ringkasnya, kebersihan, kesihatan dan prinsip-prinsip lain adalah daripada suruhan dan perintah Allah s.w.t. Mematuhi dan menuruti segala perintah-Nya pula melambangkan muslim itu menjaga tauhid, iaitu mengesakan Allah s.w.t dalam segala keadaan sama ada dalam kepatuhan melakukan perintahnya maupun dalam meninggalkan larangannya. Oleh kerana itu kesemua prinsip yang terdapat dalam al-hadits adalah kembali kepada tauhid yang terkandung dalam kalimah syahadah. Firman Allah s.w.t:

وَإِلَهُكُمْ إِلَهٌ وَاحِدٌ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الرَّحْمَنُ الرَّحِيمُ

dan Tuhan kamu ialah Tuhan yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) selain dari Allah, yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Al-Baqarah:163

Check Also

Usul Daripada Hadis Larangan Berbisik Di Hadapan Seseorang

Muhammad Hanief Awang Yahaya   وَعَنْ اِبْنِ مَسْعُودٍ  رضي الله عنه  قَالَ: قَالَ رَسُولُ اَللَّهِ …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *