Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Asas / Prinsip-Prinsip Hadis / Prinsip Menyalahi Syaitan
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Prinsip Menyalahi Syaitan

 

Oleh: Ahmad Nasim bin Abdul Rauf

 

Syaitan adalah merupakan makhluk yang membawa kerosakan, kejahatan, kehancuran dan sebagainya. Perhambaan diri kepada syaitan adalah merupakan punca kerosakan dan kejahatan seseorang. Kerana itu ia merupakan makhluk yang dimusuhi oleh mana-mana agama. Lebih-lebih lagi Islam yang sentiasa mengingatkan umatnya bahawa syaitan adalah makhluk yang mesti dijauhi serta dimusuhi.

Allah Ta’ala berfirman:

أَلَمْ أَعْهَدْ إِلَيْكُمْ يَا بَنِي آَدَمَ أَنْ لَا تَعْبُدُوا الشَّيْطَانَ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ

Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya dia musuh yang nyata terhadap kamu! (Surah Yaasin ayat 60)

Allah Taala berfirman lagi:

إِنَّ الشَّيْطَانَ لَكُمْ عَدُوٌّ فَاتَّخِذُوهُ عَدُوًّا إِنَّمَا يَدْعُو حِزْبَهُ لِيَكُونُوا مِنْ أَصْحَابِ السَّعِيرِ

Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk Neraka. (Surah al-fathir ayat 6)

Ini adalah dua contoh daripada beberapa ayat al-quran yang menyebutkan perintah supaya menjadikan syaitan sebagai musuh. Di dalam hadis juga terdapat larangan dari Nabi s.a.w. supaya jangan menampakkan perhambaan kepada syaitan walaupun secara tidak langsung sebagaimana sabdaNya:

عَنْ الْعَلَاءِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ أَنَّهُ دَخَلَ عَلَى أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ فِي دَارِهِ بِالْبَصْرَةِ حِينَ انْصَرَفَ مِنْ الظُّهْرِ وَدَارُهُ بِجَنْبِ الْمَسْجِدِ فَلَمَّا دَخَلْنَا عَلَيْهِ قَالَ أَصَلَّيْتُمْ الْعَصْرَ فَقُلْنَا لَهُ إِنَّمَا انْصَرَفْنَا السَّاعَةَ مِنْ الظُّهْرِ قَالَ فَصَلُّوا الْعَصْرَ فَقُمْنَا فَصَلَّيْنَا فَلَمَّا انْصَرَفْنَا قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ تِلْكَ صَلَاةُ الْمُنَافِقِ يَجْلِسُ يَرْقُبُ الشَّمْسَ حَتَّى إِذَا كَانَتْ بَيْنَ قَرْنَيْ الشَّيْطَانِ قَامَ فَنَقَرَهَا أَرْبَعًا لَا يَذْكُرُ اللَّهَ فِيهَا إِلَّا قَلِيلًا

Daripada ‘Alaa bin Abdul Rahman bahawa ia masuk menemui Anas bin Malik r.a. di rumahnya di Basrah ketika ia (‘Alaa) selesai sembahyang zohor dan rumahnya hampir dengan masjid. Bilamana kami masuk menemuinya Dia berkata, “Adakah kamu telah sembahyang asar”? Kami menjawab, “Kami baru sahaja selesai dari sembahyang zohor”. Dia berkata, “Sembahyanglah asar”. Kami pun bangun lalu bersembahyang asar, setelah kami selesai Dia berkata, “Aku mendengar Rasulullah s.a.w. berkata, “Itu adalah sembahyang orang munafik, dia duduk menanti-nanti matahari sehingga bila ia berada di antara dua tanduk syaitan maka ia bangun lalu mematuk sebanyak empat kali (sembahyang dengan cepat sebanyak empat rakaat seperti binatang mematuk makanan) hanya sedikit sahaja ia mengingati Allah. (Hadis riwayat Muslim)

Begitu juga kalau diperhatikan kepada hadis-hadis Rasulullah s.a.w. kita akan dapati banyak hadis yang memerintahkan umat Islam supaya sentiasa menyalahi perbuatan yang dilakukan oleh syaitan.

Antaranya, Nabi s.a.w. memerintahkan umatnya supaya menjawab seruan azan yang dilaungkan oleh muazzin sebagaimana sabdanya yang berbunyi:

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا سَمِعْتُمْ النِّدَاءَ فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ الْمُؤَذِّنُ

Yang bermaksud: Daripada Abu Sa’id al-Khudri bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Bila kamu mendengar seruan (azan) maka katakanlah sebagaimana yang dikatakan oleh muazzin”.(Riwayat al-Bukhari)

Perintah menjawab seruan azan ini yang memestikan seseorang itu mendengar seruan tersebut adalah sebagai menyalahi perbuatan syaitan yang tidak boleh mendengar azan lalu lari lintang pukang sebagaimana sabda Nabi s.a.w. yang berbunyi:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ أَدْبَرَ الشَّيْطَانُ وَلَهُ ضُرَاطٌ حَتَّى لَا يَسْمَعَ التَّأْذِينَ فَإِذَا قَضَى النِّدَاءَ أَقْبَلَ حَتَّى إِذَا ثُوِّبَ بِالصَّلَاةِ أَدْبَرَ حَتَّى إِذَا قَضَى التَّثْوِيبَ أَقْبَلَ حَتَّى يَخْطِرَ بَيْنَ الْمَرْءِ وَنَفْسِهِ يَقُولُ اذْكُرْ كَذَا اذْكُرْ كَذَا لِمَا لَمْ يَكُنْ يَذْكُرُ حَتَّى يَظَلَّ الرَّجُلُ لَا يَدْرِي كَمْ صَلَّى

Yang bermaksud, “Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Bilamana diseru untuk sembahyang (azan) syaitan akan berundur (lari) dalam keadaan terkentut-kentut sehingga dia tidak lagi mendengar seruan tersebut. Bila azan telah selesai dia dating,  sehingga diiqamat untuk sembahyang dia akan berundur lagi sehingga bila selesai iqamat dia akan datang sehingga ia membisikkan kepada seseorang dengan berkata, “ingatlah ini, ingatlah ini” kepada sesuatu perkara yang ia tidak ingat sebelumnya sehingga seseorang itu tidak tahu berapa (rakaatkah) ia telah sembahyang”. (Hadis riwayat Bukhari)

Di antara hadis-hadis yang mengandungi perintah supaya menyalahi syaitan adalah hadis yang berkaitan dengan sifat sembahyang Nabi s.a.w. Antaranya:

وعن عائشة قالت : كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يستفتح الصلاة بالتكبير والقراءة ب ( الحمد لله رب العالمين )  وكان إذا ركع لم يشخص رأسه ولم يصوبه ولكن بين ذلك وكان إذا رفع رأسه من الركوع لم يسجد حتى يستوي قائما وكان إذا رفع رأسه من السجدة لم يسجد حتى يستوي جالسا وكان يقول في كل ركعتين التحية وكان يفرش رجله اليسرى وينصب رجله اليمنى وكان ينهى عن عقبة الشيطان وينهى أن يفترش الرجل ذراعيه افتراش السبع وكان يختم الصلاة بالتسليم .

Daripada A’isyah r.a. katanya, “Rasulullah s.a.w. memulakan sembahyangnya dengan takbir dan membaca surah al-Fatihah, baginda bila ruku’ tidak meninggikan kepalanya dan tidak menundukkannya tetapi antara keduanya, bila Baginda mengangkat kepalanya dari ruku’ Baginda tidak sujud sehinggalah Baginda telah berdiri tegak. Baginda bila mengangkat kepalanya daripada sujud Baginda tidak sujud sehingga telah duduk dengan tegak. Baginda membaca dalam setiap dua rakaat tahiyyat (tasyahhud). Baginda menghamparkan kaki kirinya dan menegakkan kaki kanannya dan Baginda menegah daripada cara duduk syaitan dan menegah juga seseorang menghamparkan dua lengannya sebagaimana binatang buas. Baginda menyudahkan sembahyangnya dengan salam. (Hadis riwayat Muslim)

Daripada hadis ini bukan hanya terdapat prinsip menyalahi syaitan bahkan terdapat juga prinsip menyalahi sifat-sifat kebinatangan. Kita juga diajar supaya mempraktikkan segala amalan yang terdapat di dalam sembahyang ke dalam kehidupan seharian seperti contohnya di dalam sembahyang kita diajar supaya menjaga lidah dengan hanya menyebut perkataan-perkataan yang mulia, menjaga penglihatan dengan hanya melihat tempat yang diperlukan sahaja, menjaga hati, pendengaran dan sebagainya. Begitulah sepatutnya di luar sembahyang juga kita menjaga anggota-anggota tersebut sebagaimana yang dilakukan dalam sembahyang. Antara pengajaran yang dapat diperolehi daripada sifat sembahyang yang diajarkan oleh Nabi s.a.w. di dalam hadis ini ialah supaya menghindari sifat-sifat kebinatangan dan sifat syaitan. Pengajarannya adalah supaya dipraktikkan di luar sembahyang iaitu berusaha untuk menghindari sifat-sifat tersebut dan juga sifat kebinatangan serta syaitan keseluruhannya yang jika dibiarkan ianya menguasai seseorang pasti akan membawa ia kepada kehinaan dan kebinasaan dalam kehidupan dunia dan akhirat.

Di samping Rasulullah s.a.w. menyuruh umatnya menyalahi syaitan, baginda juga ketika mana memberikan sesuatu larangan atau perintah kepada umatnya, terdapat isyarat sebagai peringatan kepada umatnya supaya sentiasa berwaspada terhadap syaitan dan jangan sesekali memberi peluang serta ruang kepada syaitan untuk menghampiri, berkongsi di dalam sesuatu amalan dan seterusnya membenarkan mereka menguasai kita.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

وعن عائشة رضي الله عنها قالت : سألت رسول الله صلى الله عليه وسلم عن الالتفات في الصلاة فقال : ” هو اختلاس يختلسه الشيطان من صلاة العبد “

Daripada Aisyah r.a. katanya, aku bertanya Rasulullah s.a.w. tentang berpaling dalam sembahyang lalu Baginda menjawab, “Ia adalah rampasan yang dirampas oleh syaitan dari sembahyang seseorang hamba”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Di dalam hadis ini Rasulullah s.a.w. memberi peringatan kepada kita supaya jangan memberikan peluang kepada syaitan mengambil sebahagian daripada ganjaran sembahyang kita ataupun jangan membiarkan syaitan mencuri penumpuan kita dalam bermunajat dengan Allah taala. Di samping itu Rasulullah s.a.w. mahu mengingatkan umatnya supaya tidak membiarkan diri dikuasai oleh syaitan di luar sembahyang juga.

Di dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda,

وعن أبي سعيد الخدري قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ” إذا تثاءب أحدكم فليكظم ما استطاع فإن الشيطان يدخل ” .

Daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda. “Bila seseorang kamu menguap hendaklah ia menutup mulutnya sekadar yang ia mampu kerana sesungguhnya syaitan akan masuk”. (Hadis riwayat Muslim)

Rasulullah s.a.w. bersabda lagi,

وعن ابى هريرة قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ” إذا استيقظ أحدكم من منامه فليستنثر ثلاثا فإن الشيطان يبيت على خيشومه “

 Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Bila seorang kamu bangun dari tidurnya hendaklah ia memasukkan air ke dalam hidung lalu menghembuskannya sebanyak tiga kali kerana sesungguhnya syaitan bermalam di dalam batang hidungnya”. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Di sini Rasulullah s.a.w. memberitahu kepada umatnya tentang salah satu rahsia mengapa bilamana seseorang bila bangun dari tidurnya, ia malas untuk melakukan ibadat kepada Allah taala iaitu kerana syaitan bermalam di dalam batang hidung seseorang itu. Ini bermakna sepanjang malam dia dapat menguasainya dan andaikata  tidak dihilangkan kesan-kesan yang ditinggalkan oleh syaitan dalam batang hidungnya maka ia akan meninggalkan kesan penguasaan syaitan terhadapnya semasa tidur sehingga ke pagi. Kerana itulah ia akan malas atau tidak bersemangat untuk melakukan ibadat kepada Allah. Jadi dengan memasukkan air ke dalam hidung InsyaAllah ia akan menghilangkan kesan penguasaan syaitan terhadap seseorang itu.

 

Check Also

Usul Daripada Hadis Larangan Berbisik Di Hadapan Seseorang

Muhammad Hanief Awang Yahaya   وَعَنْ اِبْنِ مَسْعُودٍ  رضي الله عنه  قَالَ: قَالَ رَسُولُ اَللَّهِ …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *