Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Asas / Prinsip-Prinsip Hadis / Prinsip Mencari Rezeki Halal Dalam Hadis-Hadis
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Prinsip Mencari Rezeki Halal Dalam Hadis-Hadis

 

 

Muhammad Hanief Awang Yahaya

Antara kegiatan manusia yang terpenting ialah mencari rezeki yang halal. Matlamatnya ialah supaya manusia mendapat manfaat daripada segala kemudahan dan kemaslahatan hidup yang disediakan oleh Allah s.w.t. melalui kaedah dan prinsip yang betul. Selama mana dia menjaga kaedah dan prinsip ini, kemaslahatan orang lain akan terjamin dan mereka akan hidup dalam keadaan aman tanpa ada kezaliman sesama mereka.

Berdasarkan kepada hadis-hadis, seorang muslim wajib bekerja untuk keperluan dirinya dan keluarganya dengan mencari rezeki dengan cara yang digariskan oleh syara’. Dia mestilah mengelakkan diri daripada bergantung kepada orang lain dan meminta-meminta daripada mereka. Tulang empat kerat yang diberikan itu adalah untuk memanfaatkan sumber alam yang ada dengan menjadikannya berpotensi untuk menjana harta dan keuntungan. Selagi dia tidak dihimpit oleh kesengsaraan dan terdesak, meminta-minta adalah tidak wajar kerana hukum asalnya adalah haram. Dengan itu kita menyimpulkan bahawa pada prinsipnya setiap orang wajib bekerja untuk mendapat rezeki yang halal kecuali dalam keadaan terdesak dia dibenarkan untuk meminta daripada pihak yang berwajib.

Hukum asal ini difahami daripada hadis-hadis berikut:

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ أَطْيَبَ مَا أَكَلَ الرَّجُلُ مِنْ كَسْبِهِ وَوَلَدُهُ مِنْ كَسْبِهِ

Daripada ‘A`isyah katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya sebaik-sebaik harta yang dimakan oleh seseorang itu ialah hasil dari usahanya dan anaknya itu termasuk dalam usahanya. (al-Nasa`i)

عَنْ الزُّبَيْرِ بْنِ الْعَوَّامِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَأَنْ يَأْخُذَ أَحَدُكُمْ حَبْلَهُ فَيَأْتِيَ بِحُزْمَةِ الْحَطَبِ عَلَى ظَهْرِهِ فَيَبِيعَهَا فَيَكُفَّ اللَّهُ بِهَا وَجْهَهُ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَسْأَلَ النَّاسَ أَعْطَوْهُ أَوْ مَنَعُوهُ

 Daripada al-Zubair bin al-‘Awwam daripada Rasulullah s.a.w.: “Seseorang itu mengambil tali lalu mambawa pulang seberkas kayu api di atas bahunya lalu dia menjualnya dengan itu Allah s.w.t. menjaga air mukanya maka itu adalah lebih baik kepadanya daripada dia meminta daripada manusia sama ada mereka memberikan kepadanya atau tidak.”   (al-Bukhari, Bab al-Isti’faf ‘An al-Mas`alah)

Walaupun pekerjaan itu sukar dan berat atau tidak mendatangkan pulangan yang besar dia mesti melakukannya demi untuk menjaga maruahnya daripada menagih pemberian orang lain.

عَنْ حَكِيمِ بْنِ حِزَامٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْيَدُ الْعُلْيَا خَيْرٌ مِنْ الْيَدِ السُّفْلَى وَابْدَأْ بِمَنْ تَعُول

Daripada Hakim bin Hizam daripada Rasulullah s.a.w.: “Tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima dan mulakan (sedekah) dengan orang yang kamu menyaranya.” (al-Bukhari dan Muslim)

حَدَّثَنَا الْقَاسِمُ بْنُ زَكَرِيَّا بْنِ دِينَارٍ قَالَ حَدَّثَنَا أَبُو دَاوُدَ الْحَفَرِيُّ عَنْ سُفْيَانَ عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَنْ الْمَقْبُرِيِّ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْتِي عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ مَا يُبَالِي الرَّجُلُ مِنْ أَيْنَ أَصَابَ الْمَالَ مِنْ حَلَالٍ أَوْ حَرَام

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Akan datang satu masa seseorang itu tidak mempedulikan dari mana dia memperolehi harta, dari sumber halal atau haram. (Sunan al-Nasa`i)

Islam menyarankan kepada kita supaya menjadi orang yang terbaik. Ciri ini dari sudut harta hanya diperolehi oleh orang yang mempunyai pekerjaan yang dapat menyara kehidupan keluarganya dengan rezeki yang halal yang membawa kepada keberkatan.

Hadis di atas juga membetulkan perspektif orang yang mengatakan sedekah itu khusus kepada fakir miskin sahaja. Sedekah itu, sebenarnya mempunyai pengertian yang luas dan ia mestilah bermula kepada anak isteri sendiri yang menjadi tanggungannya.

إِنَّكَ أَنْ تَذَرَ وَرَثَتَكَ أَغْنِيَاءَ خَيْرٌ مِنْ أَنْ تَذَرَهُمْ عَالَةً يَتَكَفَّفُونَ النَّاسَ وَإِنَّكَ لَنْ تُنْفِقَ نَفَقَةً تَبْتَغِي بِهَا وَجْهَ اللَّهِ إِلَّا أُجِرْتَ حَتَّى مَا تَجْعَلُ فِي فِي امْرَأَتِكَ

Sesungguhnya kamu meninggalkan waris dalam keadaan kaya itu lebih baik daripada meninggalkan mereka menjadi beban yang meminta-minta daripada orang ramai, sesungguhnya tidak kamu membelanjakan sesuatu kerana Allah melainkan kamu diberikan ganjaran sehingga suapan yang kamu angkatkan ke mulut isterimu. (Malik, al-Bukhari)

Seseorang itu mestilah menginsafi bahawa pekerjaan yang dilakukan untuk menyara keluarga merupakan satu bentuk sedekah  yang utama.

عن المقدام بن معديكرب الزبيدي عن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال ما كسب الرجل كسبا أطيب من عمل يده وما أنفق الرجل على نفسه وأهله وولده وخادمه فهو صدقة .

Daripada al-Miqdam daripada Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidak pernah seseorang itu berusaha dengan sesuatu pekerjaan yang lebih baik daripada berusaha dengan tangannya sendiri. Apa-apa yang dibelanjakan oleh seseorang itu untuk dirinya, isterinya, anaknya, pembantunya maka itu adalah sedekah. (Ibn Majah)

Tambahan pula Rasulullah s.a.w. memberi peringatan yang tegas kepada mereka yang tidak mengambil berat  tentang kewajipan ini.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَفَى بِالْمَرْءِ إِثْمًا أَنْ يُضَيِّعَ مَنْ يَقُوتُ

Daripada Abdullah bin ‘Amr katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Cukuplah seseorang itu dikira berdosa apabila dia mengabaikan orang yang dia wajib memberi makan. (Abu Daud)

Dalam usaha mencari yang halal bererti menjauhi perkara-perkara yang syubhat kerana halal dan haram adalah satu perkara yang jelas. Di antara kedua-dua perkara yang jelas ini ada banyak perkara yang tidak jelas yang akhirnya membawa kepada terjerumus dalam perkara haram. Sama ada membawa kepada haram itu sendiri atau membawa kepada kezaliman terhadap orang lain.

عَنْ النُّعْمَانَ بْنَ بَشِيرٍ يَقُولُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ الْحَلَالُ بَيِّنٌ وَالْحَرَامُ بَيِّنٌ وَبَيْنَهُمَا مُشَبَّهَاتٌ لَا يَعْلَمُهَا كَثِيرٌ مِنْ النَّاسِ فَمَنْ اتَّقَى الْمُشَبَّهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ وَعِرْضِهِ وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ كَرَاعٍ يَرْعَى حَوْلَ الْحِمَى يُوشِكُ أَنْ يُوَاقِعَهُ أَلَا وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى أَلَا إِنَّ حِمَى اللَّهِ فِي أَرْضِهِ مَحَارِمُهُ أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ

Diriwayatkan daripada al-Nu’man bin Basyir katanya saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya yang halal itu nyata dan yang haram itupun nyata dan di antara keduanya ada perkara-perkara yang kesamaran yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Maka sesiapa memelihara dirinya dari segala yang kesamaran sesungguhnya dia memelihara agama dan kehormatannya. Sesiapa yang terjerumus dalam perkara kesamaran seperti pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, hampir dia terjerumus dalamnya. Ketahuilah setiap raja itu mempunyai kawasan larangan, ketahuilah sesungguhnya kawasan larangan Allah di bumi ini ialah perkara-perkara yang diharamkannya, sesungguhnya dalam setiap jasad ada seketul daging. Bila ia baik maka seluruh jasad akan menjadi baik, bila ia rosak maka seluruh jasad akan rosak. Ketahuilah itulah hati. (al-Bukhari Bab Fadhl Man Istabra`a Li Dinih, Muslim Bab Ahkz al-Halal Wa Tark al-Syubhat)

Adalah sangat penting kepada seorang muslim mencari rezeki yang halal kerana pada prinsipnya, halal itu amat jelas dan mudah diketahui seperti mana perkara haram amat nyata dan wajib dihindari. Sesuatu yang meragukan dalam urusan harta mestilah dielakkan supaya tidak membawa kepada yang haram. Dia hendaklah merujuk kepada ulama yang ahli dalam bidang mu’amalat untuk mengetahui status sesuatu aktiviti ekonomi yang tidak jelas. Oleh kerana itu, amatlah penting seseorang itu mempunyai ilmu yang secukupnya tentang prinsip halal dan haram. Pengetahuan tentang pekerjaan yang dicebur itu bukan setakat pengetahuan dan kemahiran teknikal tetapi mestilah meliputi asas fiqh terutamanya fiqh harta atau mu’amalat.

Selain dari itu, hadis di atas juga mengisyaratkan satu lagi ilmu yang mesti ada pada setiap orang yang bekerja supaya memperolehi rezeki halal dan diberkati iaitu ilmu tentang keutamaan akhlak. Akhlak atau pekerti mulia itu berpunca daripada hati. Seseorang itu mestilah mengawal dirinya daripada penyakit-penyakit hati terutama dengki, haloba, zalim dan lain-lain. Penyakit-penyakit tersebut akan menggugat hubungan seseorang itu dengan Penciptanya dan hubungannya sesama makhluk. Akibat tamak haloba, seseorang itu mungkin melampaui batas sehingga mengabaikan tanggungjawabnya kepada Allah s.w.t. Hatinya lebih terikat dengan dunia dan itu sahajalah kemuncak matlamatnya.

ابْنَ عَبَّاسٍ يَقُولُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَوْ أَنَّ لِابْنِ آدَمَ مِثْلَ وَادٍ مَالًا لَأَحَبَّ أَنَّ لَهُ إِلَيْهِ مِثْلَهُ وَلَا يَمْلَأُ عَيْنَ ابْنِ آدَمَ إِلَّا التُّرَابُ وَيَتُوبُ اللَّهُ عَلَى مَنْ تَابَ

Daripada Ibn Abbas katanya saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Jika anak Adam itu memiliki harta seperti lembah pasti dia akan menghendaki seperti itu dan matanya tidak akan puas melainkan apabila dipenuhi dengan tanah (meninggal dunia) dan Allah s.w.t menerima taubat orang yang bertaubat kepadanya. (al-Bukhari)

Oleh kerana Rasulullah s.a.w. mengajar kepada kita berdoa agar dunia dan kemewahannya itu tidak menjadi matlamat utama dan terakhir.

وَلَا تَجْعَلْ مُصِيبَتَنَا فِي دِينِنَا وَلَا تَجْعَلْ الدُّنْيَا أَكْبَرَ هَمَِّنَا وَلَا مَبْلَغَ عِلْمِنا

“Dan janganlah Engkau timpakan kami musibah pada agama kami dan janganlah Engkau jadikan dunia sebagai kerisauan kami yang paling besar dan penghabisan ilmu kami.” (al-Tirmizi)

Termasuk dalam pengertian bencana pada agama ialah sesuatu yang menggugat agama kita seperti i’tiqad yang salah, rezeki yang haram, malas dan lesu dalam beribadat dan sebagainya. Pencarian dunia tidak sepatutnya menjadi matlamat utama sebaliknya akhirat hendaklah sentiasa diutamakan. Justeru, janganlah ilmu dan fikiran kita hanya terbatas pada dunia dan kebendaan semata-mata. Ilmu yang benar akan sentiasa membimbing kita kepada kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Bagi mereka yang terlibat dengan perniagaan khususnya, dia  hendaklah mengelakkan daripada menjual perkara yang diharamkan kerana apa yang haram dimakan maka penjualan dan pembeliannya turut diharamkan.

وَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ إِذَا حَرَّمَ أَكْلَ شَيْءٍ حَرَّمَ ثَمَنَهُ

Sesungguhnya Allah s.w.t. apabila Dia mengharamkan memakan sesuatu maka Dia mengharamkan juga harganya. (Ahmad)

Dalam mencari harta yang halal, seseorang itu hendaklah mempunyai ilmu dalam perkara yang diceburinya dan hukum mempelajarinya adalah fardhu ‘ain kerana melibatkan tanggungjawabnya secara langsung. Haram itu bukan setakat objek tetapi merangkumi cara memperolehinya. Tidak mengetahui apa yang halal dan haram serta jahil tentang kaedah memperolehi yang halal akan menjerumuskan dalam lembah kebinasaan. Oleh kerana itu Rasulullah s.a.w. bersabda:

اجعلوا بينكم وبين الحرام سترة من الحلال ، من فعل ذلك استبرأ لعرضه ودينه ، ومن أرتع فيه كان كالمرتع إلى جنب الحمى  يوشك أن يقع فيه ، وإن لكل ملك حمى ، وإن حمى الله في الأرض محارمه »

Diriwayatkan daripada al-Nu’man bin Basyir katanya saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Kamu hendaklah menjadikan antara diri kamu dan perkara haram satu tabir iaitu sesuatu yang halal. Sesiapa yang berbuat demikian maka sesungguhnya dia telah memelihara agama dan kehormatannya. Sesiapa yang terjerumus dalam perkara kesamaran seperti pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, hampir dia terjerumus dalamnya. Ketahuilah setiap raja itu mempunyai kawasan larangan, ketahuilah sesungguhnya kawasan larangan Allalh di bumi ini ialah perkara-perkara yang diharamkannya.” (Ibn Hibban dalam sahihnya)

Hadis ini menyatakan apabila seseorang itu mempunyai sumber pendapatan yang halal maka itu akan menjadi pendinding kepadanya daripada terlibat dalam aktiviti yang tidak halal. Semuanya ini bergantung kepada hati yang sentiasa takut kepada Allah dan merasa cukup dengan apa yang diperolehi serta menjauhi sifat tama’ dalam mencari harta

عن أبي حميد الساعدي قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم أجملوا في طلب الدنيا فإن كلا ميسر لما خلق له .

Daripada Abi Hamid al-Sa’di katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Bersederhanalah dalam mencari dunia kerana setiap sesuatu itu dimudahkan mengikut ketentuannya.” (Ibn Majah)

عن جابر بن عبد الله قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم أيها الناس اتقوا الله وأجملوا في الطلب فإن نفسا لن تموت حتى تستوفي رزقها وإن أبطأ عنها فاتقوا الله وأجملوا في الطلب خذوا ما حل ودعوا ما حرم .

Daripada Jabir bin Abdullah katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Wahai manusia, bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah kamu bersikap sederhana dalam mencari (harta) kerana satu nyawa itu tidak meninggal dunia sehinggalah ia memperolehi rezekinya dengan sempurna walaupun lewat diperolehinya. Maka bertaqwalah kepada Allah dan bersederhanalah dalam mencari. Ambillah apa yang halal dan tinggallah apa yang haram. (Ibn Majah)

Hadis ini mendidik kita supaya menyakini rezeki yang telah ditentukan Allah s.w.t. untuk kita. Tidak ada maknanya kalau kita bersikap tamak haloba mencari habuan dunia tanpa menghiraukan halal dan haram kerana kita diperintahkan supaya berpada-pada dan mengutamakan ketakwaan dan keredhaan Allah.

عن قيس بن أبي غرزة قال كنا نسمى في عهد رسول الله صلى الله عليه وسلم السماسرة فمر بنا رسول الله صلى الله عليه وسلم فسمانا باسم هو أحسن منه فقال يا معشر التجار إن البيع يحضره الحلف واللغو فشوبوه بالصدقة .

Diriwayatkan daripada Qais bin Abi Gharzah katanya, kami dipanggil dengan nama “broker-broke”r di zaman Rasulullah s.a.w. Lalu baginda melalui dekat kami dan menamakan kami dengan nama yang lebih baik. Baginda bersabda: “Wahai para peniaga, sesungguhnya jual beli itu didatangi oleh sumpah dan lagha, maka campurkanlah ia dengan sedekah. (Ibn Majah)

Dalam kegiatan jual beli, kita sewajarnya memperbanyak sedekah untuk menyucikan harta kerana dibimbangi kalau-kalau terambil bukan hak kita. Sedekah di sini sebagai kaffarah terhadap sumpah lagha, janji palsu dan pendustaan yang sering diucapkan oleh penjual-penjual.

 

 

Check Also

Usul Daripada Hadis Larangan Berbisik Di Hadapan Seseorang

Muhammad Hanief Awang Yahaya   وَعَنْ اِبْنِ مَسْعُودٍ  رضي الله عنه  قَالَ: قَالَ رَسُولُ اَللَّهِ …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *