Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Asas / Prinsip-Prinsip Hadis / Prinsip Kemudahan Dalam Hadis-Hadis
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Prinsip Kemudahan Dalam Hadis-Hadis

 

Mohd Nazri Hasan

Firman Allah s.w.t:

 مَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيَجْعَلَ عَلَيْكُمْ مِنْ حَرَجٍ وَلَكِنْ يُرِيدُ لِيُطَهِّرَكُمْ وَلِيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

“Allah tidak menghendaki untuk menjadikan kesukaran bagi kamu tetapi Dia hendak membersihkan kamu dan menyempurnakan nikmat-Nya bagimu supaya kamu bersyukur.” (al-Maidah: 6)

Sabda Nabi s.a.w:-

 عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبَّاسٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قال أحبّ الأديان إلى الله الحنيفيّة السّمحة

Daripada Abdullah bin Abbas bahawasa Rasulullah s.a.w bersabda : “Agama yang paling disukai Allah ialah lurus dan bertolak ansur.”  (Riwayat Ahmad dan Al-Bukhari)

 عَنْ أَنَس بْن مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خير دينكم أيسره

Daripada Anas bin Malik r.a beliau berkata, Rasulullah s.a.w bersabda: “Sebaik-baik agama kamu ialah yang paling mudah”  (Riwayat Ahmad dan al-Bukhari)

Dua hadis tadi dengan jelas menyatakan bahawa agama yang dikehendaki di sisi Allah adalah yang bertolak ansur dan mudah kerana Islam tidak datang untuk menyusahkan manusia bahkan ia datang membawa sinar kebahagiaan, aman dan sejahtera sedangkan kesusahan dan kebekuan adalah suatu yang akan menghambat manusia jauh dari mengamalkan agama sebagai cara hidup. Sabda Nabi s.a.w:-

 عن ابن عمر عن النبى صلى الله علّيه وسلّم قال إنّ الله يحبّ أن تؤتى رخصه كما يكره أن تؤتى معصيته

Daripada Ibnu Umar daripada Nabi s.a.w, beliau berkata: “Sesungguhnya Allah suka dilakukan rukhsahnya sebagaimana Dia tidak suka apabila maksiat dilakukan.” (Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan al-Baihaqi)

 عَنْ أَنَس بْن مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسِّرُوا وَلا تُعَسِّرُوا وَسَكِّنُوا وَلا تُنَفِّرُوا

Daripada Anas bin Malik r.a, beliau berkata: “Nabi s.a.w pernah bersabda: Permudahkan dan jangan menyukarkan, tenangkan dan  jangan meliarkan.” (Riwayat Al-Bukhari)

 عَنْ أَبى هُرَيْرَةَ أَخْبَرَهُ أَنَّ أَعْرَابِيًّا بَالَ فِي الْمَسْجِدِ فَثَارَ إِلَيْهِ النَّاسُ ليَقَعُوا بِهِ فَقَالَ لَهُمْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَعُوهُ وَأَهْرِيقُوا عَلَى بَوْلِهِ ذَنُوبًا مِنْ مَاءٍ أَوْ سَجْلا مِنْ مَاءٍ فَإِنَّمَا بُعِثْتُمْ مُيَسِّرِينَ وَلَمْ تُبْعَثُوا مُعَسِّرِينَ

Daripada Abi Hurairah bahawa seorang arab badwi kencing di dalam masjid maka orang ramai pun pergi kepadanya. Maka Rasulullah s.a.w pun berkata kepada mereka : “Biarkan dia dan jiruskan sebaldi air ke (tempat) kencingnya atau tuangkan air kerana kamu hanya diutus untuk memudahkan bukan memayahkan. (Riwayat al-Bukhari, al-Tirmizi dan al-Nasa’i)

 

 عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّهَا قَالَتْ مَا خُيِّرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَ أَمْرَيْنِ قَطُّ إِلا أَخَذَ أَيْسَرَهُمَا مَا لَمْ يَكُنْ إِثْمًا فَإِنْ كَانَ إِثْمًا كَانَ أَبْعَدَ النَّاسِ مِنْهُ

Daripada Aisyah r.ha, bahawa beliau berkata: “Rasulullah s.a.w tidak diberi pilihan melainkan baginda akan memilih yang paling mudah daripada keduanya selagi ia tidak berdosa. Jika ia berdosa, dialah manusia yang paling jauh daripadanya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menunjukkan Rasulullah s.a.w sendiri dalam amalannya memilih yang lebih mudah di antara dua perkara apabila beliau mempunyai pilihan selagi mana ia tidak haram. Bahkan beliau menyuruh umatnya supaya memudahkan dan berlembut dalam berdakwah kerana apabila nilai ini tiada maka orang ramai akan terus liar dari agama seterusnya kekal dalam kejahilan dan kesesatan. Sebagai contoh yang terbaik, tiada yang lebih afdhal dan lebih utama kalau bukan seperti yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.

Riwayat-riwayat ini juga dengan jelas menunjukkan bahawa Islam adalah satu agama yang mudah untuk diikuti bahkan ia menjadi satu kaedah dan prinsip dalam Islam. Jumhur ulamak sendiri menjadikan ia sebagai satu kaedah.

Oleh kerana itu, dalam masalah menjamakkan sembahyang semasa bermusafir, ‘jamak hakiki’ adalah lebih tepat dari ‘jamak suri’ walaupun dari segi nas atau hujjah menyebelahinya. Ini kerana ‘jamak suri’ sebenarnya tidak memudahkan bahkan menyukarkan kerana orang yang bermusafir perlu menunggu hujung waktu yang pertama. Bagaimanapun atas dasar kemudahan, Imam Abu Hanifah dan orang-orang yang sependapat dengannya berpendapat bahawa qasar wajib dan tidak harus melakukan itmam. (sembahyang sempurna rakaatnya) (Syarah Nawawi-Sahih Muslim)

Sabda Rasulullah s.a.w:-

 عَنْ ابْنِ شِهَابٍ أَنَّهُ سَأَلَ سَالِمَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ هَلْ يُجْمَعُ بَيْنَ الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ فِي السَّفَرِ فَقَالَ نَعَمْ لا بَأْسَ بِذَلِكَ أَلَمْ تَرَ إِلَى صَلاةِ النَّاسِ بِعَرَفَةَ

Daripada Ibnu Syihab bahawa beliau bertanya kepada Salim bin Abdilah: “Adakah boleh dihimpunkan sembahyang antara Zohor dan Asar dalam perjalanan?” Maka beliau menjawab: “Ya, itu tidak mengapa. Adakah engkau tidak lihat sembahyang orang ramai di Arafah?” (Riwayat Malik)

 عَنْ عَلِيِّ بْنِ حُسَيْنٍ أَنَّهُ كَانَ يَقُولُ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَرَادَ أَنْ يَسِيرَ يَوْمَهُ جَمَعَ بَيْنَ الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ وَإِذَا أَرَادَ أَنْ يَسِيرَ لَيْلَهُ جَمَعَ بَيْنَ الْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ

Daripada Ali bin Husain bahawa beliau berkata: “Rasulullah s.a.w bersabda : Apabila beliau mahu berjalan di siang hari, beliau himpunkan antara Zohor dan Asar dan apabila beliau mahu berjalan di waktu malam, beliau himpunkan sembahyang Maghrib dan Isyak.” (Riwayat Malik)

 عَنَْ عَبْد اللَّهِ بْن عُمَرَ فَقَالَ يَا أَبَا عَبْدِ الرَّحْمَنِ إِنَّا نَجِدُ صَلاةَ الْخَوْفِ وَصَلاةَ الْحَضَرِ فِي الْقُرْآنِ وَلا نَجِدُ صَلاةَ السَّفَرِ فَقَالَ ابْنُ عُمَرَ يَا ابْنَ أَخِي إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ بَعَثَ إِلَيْنَا مُحَمَّدًا صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلا نَعْلَمُ شَيْئًا فَإِنَّمَا نَفْعَلُ كَمَا رَأَيْنَاهُ يَفْعَلُ

Daripada Abdullah bin Umar, beliau berkata: “Wahai ayah Abdirrahman, sesungguhnya kami mendapati solat khauf dan solat hadhar ada di dalam al-Qur’an dan tidak (pula) kami dapati solat safar. Maka Ibnu Umar berkata : “Wahai anak saudaraku! Sesungguhnya Allah Azza Wajalla telah mengutuskan kepada kita Muhammad s.a.w dan kita tidak mengetahui sesuatu. Kita hanya melakukan sebagaimana yang kami lihat dia buat. (RiwayatMalik)

 عَنْ عَائِشَةَ زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهَا قَالَتْ فُرِضَتْ الصَّلاةُ رَكْعَتَيْنِ رَكْعَتَيْنِ فِي الْحَضَرِ وَالسَّفَرِ فَأُقِرَّتْ صَلاةُ السَّفَرِ وَزِيدَ فِي صَلاةِ الْحَضَرِ

Daripada Aisyah isteri Nabi s.a.w bahawa beliau berkata: “Difardhukan sembahyang dalam hadhar (di tempat sendiri) dua rakaat dan sembahyang musafir dua rakaat maka di kekalkan sembahyang safar dan ditambah dalam sembahyang hadhar. (Riwayat Malik)

 عَنْ مُعَاذ بْن جَبَلٍ أَنَّهُمْ خَرَجُوا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَامَ تَبُوكَ فَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْمَعُ بَيْنَ الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ وَالْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ قَالَ فَأَخَّرَ الصَّلاةَ يَوْمًا ثُمَّ خَرَجَ فَصَلَّى الظُّهْرَ وَالْعَصْرَ جَمِيعًا ثُمَّ دَخَلَ ثُمَّ خَرَجَ فَصَلَّى الْمَغْرِبَ وَالْعِشَاءَ جَمِيعًا

Daripada Muaz bin Jabal bahawa mereka keluar bersama Rasululullah s.a.w pada tahun Tabuk dan Rasulullah s.a.w jamak di antara sembahyang Zohor dan Asar, Maghrib dan Isyak. (Muaz) berkata: Beliau melewatkan sembahyang pada  suatu hari  dan keluar bersembahyang Zohor dan Asar sekali. Kemudian dia masuk dan kemudian beliau keluar lalu bersembahyang Maghrib dan Isyak sekali. (Riwayat Malik)

 عَنْ نَافِعٍ أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا عَجِلَ بِهِ السَّيْرُ يَجْمَعُ بَيْنَ الْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ

Daripada Nafi’ bahawa Abdullah bin Umar berkata: “Rasulullah s.a.w bila masuk waktu sembahyang  apabila perjalanan membuatkannya tergopoh-gapah maka dia himpunkan (sembahyang) antara Maghrib dan Isyak. (Riwayat Malik)

Sesetengah ulamak berpendapat haram melakukan sesuatu yang susah sedangkan sudah diberi pilihan yang lebih mudah kepadanya, mereka menganggap ianya sebagai menolak rahmat yang telah Allah kurniakan. Oleh kerana itu hadis-hadis tadi dan hadis-hadis yang termasuk di bawah prinsip ini boleh juga dimasukkan di bawah ‘Prinsip Rahmat’.

 عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبَّاسٍ أَنَّهُ قَالَ صَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الظُّهْرَ وَالْعَصْرَ جَمِيعًا وَالْمَغْرِبَ وَالْعِشَاءَ جَمِيعًا فِي غَيْرِ خَوْفٍ وَلا سَفَرٍ

Daripada Abdullah bin Abbas bahawa beliau berkata: “Rasululllah s.a.w sembahyang Zohor dan Asar sekali, Maghrib dan Isyak sekali tanpa ketakutan, safar.” (Riwayat Malik)

Imam Malik dalam kitabnya al-Muwatta’ berpendapat bahawa peristiwa ini adalah ketika hujan. Tetapi sesetengah ulamak memakai hadis ini dengan maknanya yang zahir seperti Ibnu Sirin, Rabi’ah, Asyhab dan Ibnul Munzir dan segolongan ahli zahir yang lain, mereka berpendapat harus melakukan jamak ketika hadhar (di tempat sendiri) dengan syarat tidak menjadikannya kebiasaan. (Aujazul Masalik Syarah Muwatta’ Imam Malik). Selain safar dan ketakutan seseorang itu boleh menjamakkan sembahyangnya ketika hujan berdasarkan hadis ini:-

 عَنْ نَافِعٍ أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ كَانَ إِذَا جَمَعَ الأُمَرَاءُ بَيْنَ الْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ فِي الْمَطَرِ جَمَعَ مَعَهُمْ

Daripada Nafi’ bahawa Abdullah bin Umar apabila gabenor-gabenor berhimpun di antara Maghrib dan Isyak ketika hujan (maka) dia jamak bersama mereka. (Riwayat Malik)

Seseorang itu lebih digalakkan memilih rukhsah dan kemudahan jika jelas ada keperluan kepadanya, misalnya lemah, tua, sakit atau terlalu sukar dan yang seumpamanya. Sebagai contoh; sabda Rasulullah s.a.w:-

 عن جابر بن عبد الله قال كان رسول الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فى سفر فرأى زحاما و رجلا قد ظلّل عليه فقال ما هذا ؟ فقالوا صائم فقال ليس من البرّ الصيام فى السفر

Daripada Jabir bin Abdillah r.a beliau berkata: “Ketika Rasulullah s.a.w dalam musafir, lalu beliau melihat seorang lelaki sedang dalam kepayahan. Beliau bertanya: “Apa ini?” Orang-orang yang ada di situ menjawab: “Dia sedang berpuasa!” Beliau bersabda: “Tidak ada kebaikan  berpuasa ketika musafir.  “ (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

 

Prinsip Kemudahan Dalam Hadis-Hadis

Rasulullah mengatakan apabila mendapati lelaki tersebut menghadapi kesukaran perjalanan. Sekiranya seseorang itu berpuasa semasa bermusafir dan itu tidak menjadi kesukaran baginya maka ia adalah harus baginya. Dalilnya berdasarkan riwayat Rasulullah s.a.w:-

 عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّ حمزة بن عمرو الأسلمى قال للنبى صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : أأصوم فى السفر؟ وكان كثير الصيام فقال إن شئت فصم و إن شئت فأفطر

Daripada Aisyah r.ha bahawa Hamzah bin Amr al-Aslamiy bertanya kepada Rasulullah s.a.w: “Bolehkah aku berpuasa dalam musafir?” Orang ini sangat rajin berpuasa. Nabi s.a.w menjawab: Jika kamu hendak berpuasa silakanlah dan jika kamu hendak berbuka maka silakanlah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) Sabda Rasulullah s.a.w :-

 عَنْ أَبِي بُرْدَةَ عَنْ أَبِيهِ قَالَ لَمَّا بَعَثَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَمُعَاذَ بْنَ جَبَلٍ قَالَ لَهُمَا يَسِّرَا وَلا تُعَسِّرَا وَبَشِّرَا وَلا تُنَفِّرَا وَتَطَاوَعَا قَالَ أَبُو مُوسَى يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّا بِأَرْضٍ يُصْنَعُ فِيهَا شَرَابٌ مِنْ الْعَسَلِ يُقَالُ لَهُ الْبِتْعُ وَشَرَابٌ مِنْ الشَّعِيرِ يُقَالُ لَهُ الْمِزْرُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كُلُّ مُسْكِرٍ حَرَامٌ

Daripada Abi Burdah daripada ayahnya, beliau berkata: “Bilamana Rasulullah s.a.w  menghantar (ayah)nya bersama Muaz bin Jabal. Rasulullah s.a.w berkata kepadanya: “Permudahkanlah (oleh keduamu) dan jangan memayahkan, berilah kabar berita gembira dan jangan meliarkan (orang), dan lakukanlah dengan sukarela”. Abu Musa berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kami berada di bumi yang padanya di buat arak (diperbuat)  daripada madu yang dipanggil ‘bit`’ dan arak (diperbuat) daripada gandum yang dipanggil ‘mizr”. Maka beliau berkata : Rasulullah s.a.w bersabda : “Setiap yang memabukkan itu haram.” (Riwayat al-Bukhari)

 عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ قَدِمَ أُنَاسٌ مِنْ عُكْلٍ أَوْ عُرَيْنَةَ فَاجْتَوَوْا الْمَدِينَةَ فَأَمَرَهُمْ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِلِقَاحٍ وَأَنْ يَشْرَبُوا مِنْ أَبْوَالِهَا وَأَلْبَانِهَا فَانْطَلَقُوا فَلَمَّا صَحُّوا قَتَلُوا رَاعِيَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَاسْتَاقُوا النَّعَمَ فَجَاءَ الْخَبَرُ فِي أَوَّلِ النَّهَارِ فَبَعَثَ فِي آثَارِهِمْ فَلَمَّا ارْتَفَعَ النَّهَارُ جِيءَ بِهِمْ فَأَمَرَ فَقَطَعَ أَيْدِيَهُمْ وَأَرْجُلَهُمْ وَسُمِرَتْ أَعْيُنُهُمْ وَأُلْقُوا فِي الْحَرَّةِ يَسْتَسْقُونَ فَلا يُسْقَوْنَ

Daripada Anas bahawa ada beberapa orang berasa tidak sesuai dengan udara Madinah, maka Nabi s.a.w menyuruh mereka ke kandang unta  supaya meminum air kencing dan susunya maka mereka pun pergi. Bila mereka sihat, mereka bunuh pengembala (unta) Nabi dan membawa lari binatang. Apabila sampai berita perbuatan mereka di awal tengahari lalu Nabi pun mengutus supaya mengejar mereka. Bila sudah tengahari, mereka dibawa datang lalu dipotong tangan dan kaki mereka dan dan diselar mata mereka, dicampak ke kawasan berbatu hitam dan tidak diberi minum. (Riwayat al-Bukhari)

Setengah ulamak berpendapat bahawa air kencing binatang yang boleh dimakan dagingnya tetap najis walaupun riwayat Anas di atas menunjukkan keharusannya bahkan mereka mengatakan bahawa ianya hanya harus dengan tujuan perubatan. Di antara mereka yang berpendapat demikian adalah Imam Syafie’ dan Imam Abu Hanifah.

Tetapi bagi Imam Malik dan Imam al-Bukhari air kencing binatang yang boleh dimakan dagingnya tidak najis bahkan suci berdalilkan hadis ini. Ini jelas menunjukkan kemudahan yang telah Allah s.w.t kurniakan. Selain itu hadis ini juga boleh dimasukkan di bawah ‘Prinsip Perubatan’ berdasarkan kesesuaiannya

 عَنْ أَنَسٍ قَالَ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي قَبْلَ أَنْ يُبْنَى الْمَسْجِدُ فِي مَرَابِضِ الْغَنَمِ

Daripada Anas beliau berkata: Dulu Rasulullah s.a.w bersembahyang di kandang kambing sebelum dibina masjid. (Riwayat al-Bukhari)

وَصَلَّى أَبُو مُوسَى فِي دَارِ الْبَرِيدِ وَالسِّرْقِينِ وَالْبَرِّيَّةُ إِلَى جَنْبِهِ فَقَالَ هَا هُنَا وَثَمَّ سَوَاءٌ

Dan Abu Musa bersembahyang di pejabat pos dan kawasan yang ada najis binatang (atau najis binatang itu sendiri) sedangkan tanah lapang ada dekatnya. Maka beliau berkata: “Di sini dan di sana sama sahaja.” (Riwayat al-Bukhari)

Hadis riwayat Anas dan perbuatan Abu Musa menjadi dalil bagi al-Bukhari dan orang-orang yang sependapat dengannya bahawa harus bersembahyang di kandang atau tempat-tempat seumpamanya. Hadis ini sesuai dan juga menyokong pendapat ulamak supaya memudahkan. Dengan itu ia sesuai sekali di masukkan di bawah prinsip ini.

Dari segi amalan, Rasulullah juga memperlihatkan sembahyangnya sebagai satu pekerjaan yang mudah dan ringkas.  Seseorang itu tidak semestinya berpakaian lengkap untuk beribadat kepada Allah. Di antara dalilnya:-

 عَنْ عُمَرَ بْنِ أَبِي سَلَمَةَ أَنَّهُ رَأَى رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ مُشْتَمِلا بِهِ فِي بَيْتِ أُمِّ سَلَمَةَ وَاضِعًا طَرَفَيْهِ عَلَى عَاتِقَيْهِ

Daripada Umar bin Abi Salamah bahawa beliau melihat Rasulullah s.a.w sembahyang dalam satu kain dalam keadaan berselimut dengannya di rumah Ummi Salamah dengan meletakkan dua hujung kain di atas dua bahunya. (Riwayat Malik)

 عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ سَائِلا سَأَلَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الصَّلاةِ فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَوَ لِكُلِّكُمْ ثَوْبَانِ

Daripada Abi Hurairah bahawa ada seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang sembahyang dengan sehelai kain. Maka Rasulullah s.a.w bersabda : “Atau adakah bagi kamu dua pakaian?” (Riwayat Malik)

 عَنْ ابْنِ شِهَابٍ عَنْ سَعِيدِ بْنِ الْمُسَيَّبِ أَنَّهُ قَالَ سُئِلَ أَبُو هُرَيْرَةَ هَلْ يُصَلِّي الرَّجُلُ فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ فَقَالَ نَعَمْ فَقِيلَ لَهُ هَلْ تَفْعَلُ أَنْتَ ذَلِكَ فَقَالَ نَعَمْ إِنِّي لأُصَلِّي فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ وَإِنَّ ثِيَابِي لَعَلَى الْمِشْجَبِ

Daripada Ibnu Syihab daripada Said bahawa beliau berkata : “Abu Hurairah ditanya : Adakah boleh seorang lelaki bersembahyang dalam sehelai kain maka Abu Hurairah menjawab : “Ya! (boleh)”. Maka dikatakan kepadanya: “Adakah engkau buat begitu?” Abu Hurairah menjawab “Ya, sesungguhnya aku sembahyang dalam sehelai kain dalam keadaan bajuku di penyangkut. (Riwayat Malik)

 عَنْ رَبِيعَةَ بْنِ أَبِي عَبْدِ الرَّحْمَنِ أَنَّ مُحَمَّدَ بْنَ عَمْرِو بْنِ حَزْمٍ كَانَ يُصَلِّي فِي الْقَمِيصِ الْوَاحِدِ

Daripada Rabi’ah bin Abi Abdirrahman bahawa Muhammad bin Amr bin Hazam bersembahyang dalam sehelai baju. (Riwayat Malik)

 عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ لَمْ يَجِدْ ثَوْبَيْنِ فَلْيُصَلِّي فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ مُلْتَحِفًا بِهِ فَإِنْ كَانَ الثَّوْبُ قَصِيرًا فَلْيَتَّزِرْ بِهِ

Daripada Jabir bin Aabdillah bahawa bersabda : “Sesiapa yang tidak mendapati dua helai kain maka hendaklah dia bersembahyang dalam sehelai kain dengan berselimut dengannya. Jika kain itu pendek, hendaklah dia pakai sebagai kain pelikat.” (Riwayat Malik)

Dari segi hikmah dan falsafahnya, semua manusia yang hidup di dunia ini adalah dari pelbagai lapisan masyarakat. Daripada lapisan-lapisan itu ada yang tidak mampu untuk membeli pakain dengan lengkap, bahkan ada riwayat menyatakan ada sahabat yang berkongsi pakaian bersih dengan isterinya yang mana memaksanya pulang awal segera apabila selesai sahaja sembahyang. Rasulullah s.a.w. cuba menunjukkan bahawa sembahyang dengan pakaian yang ringkas juga sah di sisi syariat. Sesetengah ulamak seperti Imam Ahmad berpendapat bahawa wajib menutup bahu kerana Rasulullah s.a.w tidak berpakaian lengkap tetapi beliau tetap menutup bahu. Atas dasar itulah seseorang itu lebih patut menutup bahunya daripada menutup kepala di dalam sembahyang. Walau bagaimana pun seseorang itu lebih elok memakai dengan lengkap apabila ia mampu.

 عَنْ نَافِعٍ أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا عَجِلَ بِهِ السَّيْرُ يَجْمَعُ بَيْنَ الْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ

Daripada Nafi’ bahawa Abdullah bin Umar berkata : “Rasulullah s.a.w bila masuk waktu sembahyang apabila perjalanan membuatkannya tergopoh-gapah maka dia himpunkan (sembahyang) antara Maghrib dan Isyak. (Riwayat Malik)

 

Check Also

Usul Daripada Hadis Larangan Berbisik Di Hadapan Seseorang

Muhammad Hanief Awang Yahaya   وَعَنْ اِبْنِ مَسْعُودٍ  رضي الله عنه  قَالَ: قَالَ رَسُولُ اَللَّهِ …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *