Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Asas / Prinsip-Prinsip Hadis / Prinsip Kebertanggungjawaban Dalam Hadis-Hadis
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Prinsip Kebertanggungjawaban Dalam Hadis-Hadis

Kebertanggungjawaban boleh dihuraikan sebagai keadaan yang memerihalkan seseorang itu menanggung kewajipan yang mesti ditunaikan kerana ia akan disoal dan kerananya dia akan diperhitungkan. Adakah amanah tersebut disempurnakan atau tidak. Persoalan tersebut hanya dapat dijawab apabila kewajipan tersebut dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

Setiap orang memikul amanah yang wajib ditunaikan kepada empunya dengan sebaik-baiknya. Allah s.w.t. berfirman:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا

 Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) (al-Nisa`: 58)

Ibn ‘Asyur menulis: “Ayat ini ditujukan kepada orang yang sesuai untuk menerima khitab (ucapan atau mesej) ini dan beramal dengannya, iaitu setiap orang yang diberikan amanah, setiap orang yang menguruskan dan mengendalikan hak-hak manusia. (al-Tahrir Wa al-Tanwir, jil. 4, hal. 160)

Di dalam ayat ini disebutkan perintah Allah, yakni perintah itu mengandungi unsur penegasan dan penekanan serta ia datang dari Allah yang Maha Kuasa. Ahlinya bermaksud setiap amanah itu ada pemiliknya dan mesti ada orang menjaga dan menunaikannya.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَدِّ الْأَمَانَةَ إِلَى مَنْ ائْتَمَنَكَ وَلَا تَخُنْ مَنْ خَانَكَ

 Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tunaikanlah amanah kepada orang yang memberikan kepercayaan kepada anda dan janganlah khianat seseorang yang telah mengkhianati anda”. (Ahmad, Abu Daud dan al-Tirmizi)

Adalah terkeluar daripada sikap bertanggungjawab sekiranya kita juga mengkhianati walaupun kita menjadi mangsa pengkhianatan. Ini bermakna, kejahatan itu tidak sepatutnya dibalas dengan kejahatan. Oleh itu, sentiasa menunaikan amanah dalam apa jua keadaan akan menjadikannya seorang yang bertanggungjawab.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَتُؤَدُّنَّ الْحُقُوقَ إِلَى أَهْلِهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُقَادَ لِلشَّاةِ الْجَلْحَاءِ مِنْ الشَّاةِ الْقَرْنَاءِ

 Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Kamu pasti akan menunaikan hak-hak kepada pemiliknya pada hari kiamat sehingga dibawa kambing yang bertanduk kepada kambing tidak bertanduk. (Muslim, Ahmad dan al-Tirmizi)

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا

Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya. (al-Isra`: 36)

Ayat ini menjelaskan bahawa tidak boleh bertindak tanpa berasaskan ilmu kerana kesan daripada tindakan itu akan membawanya kepada kemudaratan dan kerosakan. Ini bererti seseorang itu mengabaikan tanggungjawab yang dipikulnya.

Ayat ini mengisyaratkan kepada adab yang besar nilainya merangkumi islah aqal dan islah masyarakat. Islah aqal dalam erti seseorang itu hendaklah mempunyai asas tentang apa yang diketahuinya dan membezakan apa yang sabit berdasarkan dalil dan apa yang hanya terlintas di hatinya. Mengambil pendirian dengan berdasarkan tekaan, sangkaan dan agakan adalah tidak boleh dipertanggungjawabkan.  Islah masyarakat pula ialah dengan cara menggelakkan mereka daripada terjerumus dalam bahaya kerana keputusan yang berasaskan kepada alasan yang samar.

 

Tanggungjawab Terhadap Allah Dan Agama-Nya

عَنْ مُعَاذٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ كُنْتُ رِدْفَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى حِمَارٍ يُقَالُ لَهُ عُفَيْرٌ فَقَالَ يَا مُعَاذُ هَلْ تَدْرِي حَقَّ اللَّهِ عَلَى عِبَادِهِ وَمَا حَقُّ الْعِبَادِ عَلَى اللَّهِ قُلْتُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ قَالَ فَإِنَّ حَقَّ اللَّهِ عَلَى الْعِبَادِ أَنْ يَعْبُدُوهُ وَلَا يُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَحَقَّ الْعِبَادِ عَلَى اللَّهِ أَنْ لَا يُعَذِّبَ مَنْ لَا يُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَفَلَا أُبَشِّرُ بِهِ النَّاسَ قَالَ لَا تُبَشِّرْهُمْ فَيَتَّكِلُوا

 Daripada Mu’az bin Jabal katanya saya dan Rasulullah bersama membonceng keldai yang dipanggil ‘Ufair. Baginda bersabda: “Wahai Muaz! Adakah anda mengetahui hak Allah ke atas hamba-hamba-Nya dan hak hamba-hamba ke atas Allah. Saya menjawab: “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Baginda bersabda: “Sesungguhnya hak Allah ke atas hamba-hamba-Nya ialah hendaklah mereka itu mengabdikan diri kepada Allah tanpa mensyirikkan-Nya dengan sesuatupun manakala hak hamba-hamba ke atas Allah ialah Dia tidak akan mengazabkan orang yang tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatupun. Sayapun bertanya: “Wahai Rasulullah! Bolehkah saya memberitahu orang ramai sebagai satu berita gembira? Baginda menjawab: ‘Janganlah kamu menyampaikan berita gembira ini kerana mereka akan meninggalkan usaha. (al-Bukhari, Muslim)

Mentauhidkan Allah dan menjauhi syirik merupakan tanggungjawab yang terbesar yang dipikul oleh manusia dan ini merupakan dakwah utama para nabi. Sebagai ummat yang dipertanggungjawabkan dengan amar ma’ruf dan nahi munkar, inilah merupakan tugas utama dalam gerakan supaya manusia mentauhidkan Allah dan menafikan segala bentuk kesyirikan.

عَنْ تَمِيمٍ الدَّارِيِّ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الدِّينُ النَّصِيحَةُ قُلْنَا لِمَنْ قَالَ لِلَّهِ وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُولِهِ وَلِأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ

 Daripada Tamim al-Dari bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Agama itu mengikhlaskan diri. Kami bertanya: “Untuk siapa?” Baginda menjawab untuk Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya, pemimpin-pemimpin orang Islam dan masyarakat umum. (Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasa`i)

Setiap daripada perkara yang disebutkan oleh hadis ini mewakili hak-hak dan kewajipan yang perlu ditunaikan supaya setiap orang yang berada dalam satu masyarakat akan memperolehi kebaikan dan seterusnya memperolehi kebahagiaan.

 

Tanggungjawab Terhadap Diri Dan Keluarga

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا

 Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); (Surah al-Tahrim: 6)

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ كُلُّكُمْ رَاعٍ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ فَالْإِمَامُ رَاعٍ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ وَالرَّجُلُ فِي أَهْلِهِ رَاعٍ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ وَالْمَرْأَةُ فِي بَيْتِ زَوْجِهَا رَاعِيَةٌ وَهِيَ مَسْئُولَةٌ عَنْ رَعِيَّتِهَا

Diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Umar bahawa beliau mendengar Rasulullah bersabda: “Setiap kamu adalah penjaga dan akan ditanya tentang jagaannya. Pemerintah merupakan penjaga dan akan disoal tentang jagaannya. Seorang lelaki adalah penjaga ahli keluarganya dan akan disoal tentang jagaannya. Seorang wanita di rumah suaminya adalah seorang penjaga dan dia akan ditanya tentang jagaannya. (al-Bukhari, Muslim)

و حَدَّثَنِي حَرْمَلَةُ بْنُ يَحْيَى أَخْبَرَنَا ابْنُ وَهْبٍ أَخْبَرَنِي يُونُسُ عَنْ ابْنِ شِهَابٍ حَدَّثَنِي ابْنُ الْمُسَيَّبِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ الْمَرْأَةَ كَالضِّلَعِ إِذَا ذَهَبْتَ تُقِيمُهَا كَسَرْتَهَا وَإِنْ تَرَكْتَهَا اسْتَمْتَعْتَ بِهَا وَفِيهَا عِوَجٌ

 Imam Muslim berkata: Harmalah bin Yahya telah menyampaikan kepada saya bahawa Ibn Wahb menceritakan kepada saya bahawa Yunus menceritakan kepada saya daripada Ibn Syihab bahawa Ibn al-Musayyab menyampaikan kepada saya daripada Abu Hurairah katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya perempuan itu seperti tulang rusuk. Apabila kamu terus memperbetulkannya kamu akan mematahkannya. Jika kamu biarkannya, kamu bersenang-senang dengannya dalam keadaan kebengkokan padanya. (al-Bukhari, Muslim)

Seorang suami bertanggungjawab terhadap isterinya kerana aqad nikah yang telah dilafazkan di hadapan walinya dengan nama Allah. Aqad melambangkan janji dan komitmen untuk membina keluarga yang merupakan unit-unit sosial yang seterusnya akan membentuk masyarakat beriman dan bertaqwa.

فَاتَّقُوا اللَّهَ فِي النِّسَاءِ فَإِنَّكُمْ أَخَذْتُمُوهُنَّ بِأَمَانِ اللَّهِ وَاسْتَحْلَلْتُمْ فُرُوجَهُنَّ بِكَلِمَةِ اللَّهِ وَلَكُمْ عَلَيْهِنَّ أَنْ لَا يُوطِئْنَ فُرُشَكُمْ أَحَدًا تَكْرَهُونَهُ فَإِنْ فَعَلْنَ ذَلِكَ فَاضْرِبُوهُنَّ ضَرْبًا غَيْرَ مُبَرِّحٍ وَلَهُنَّ عَلَيْكُمْ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

 Maka hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah. Sesungguhnya kamu telah mengambil mereka (sebagai isteri) dengan jaminan Allah dan kamu menghalalkan kemaluan mereka dengan nama Allah. Menjadi kewajipan ke atas mereka untuk tidak membenarkan sesiapapun yang kamu tidak suka memijak rumah kamu. Jika mereka berbuat demikian maka pukullah dengan tidak mencederakan mereka. Kamu pula berkewajipan menyediakan makanan dan pakaian mereka dengan cara yang baik. (Muslim, Ahmad, Abu Daud, Ibn Majah)

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ الْغَيْرَةِ مَا يُحِبُّ اللَّهُ وَمِنْهَا مَا يَكْرَهُ اللَّهُ فَأَمَّا مَا يُحِبُّ فَالْغَيْرَةُ فِي الرِّيبَةِ وَأَمَّا مَا يَكْرَهُ فَالْغَيْرَةُ فِي غَيْرِ رِيبَةٍ

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Di antara cemburu itu ada yang disukai Allah s.w.t. dan ada yang dibencinya. Cemburu yang disukai-Nya ialah pada perkara yang meragukan dan cemburu yang tidak disukai-Nya ialah pada perkara yang tidak menimbulkan keraguan. (Ibn Majah)

Sebagai suami yang bertanggungjawab, seseorang itu akan merasa cemburu terhadap sesuatu yang mencurigakan yang boleh menjejaskan kebahagiaan rumahtangga. Allah s.w.t. menyukai rumahtangga yang aman, tenang dan damai.

Sekiranya seseorang itu memiliki lebih daripada seorang isteri maka dia hendaklah berlaku adil dalam pembahagian giliran. Ini merupakan tanggungjawab yang besar kepada orang yang memiliki lebih daripada orang lain.

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْسِمُ فَيَعْدِلُ وَيَقُولُ اللَّهُمَّ هَذَا قَسْمِي فِيمَا أَمْلِكُ فَلَا تَلُمْنِي فِيمَا تَمْلِكُ وَلَا أَمْلِكُ

 Diriwayatkan daripada Aishah katanya, Rasulullah s.a.w. membuat giliran dan baginda berlaku adil dalamnya dan berdoa: “Ya Allah! Ini pembahagian yang mampu aku laksanakan maka jangan Engkau mencelaku dalam perkara yang Engkau kuasai dan tidak pula aku kuasainya. (Abu Daud)

Walaupun keadilan antara isteri-isteri sukar untuk dicapai, namun Rasulullah s.a.w. tetap melaksanakannya dengan sebaik-baiknya dan memberikan contoh yang baik kepada ummatnya. Ini menunjukkan bahawa dalam sesuatu perkara walaupun tidak dapat dilakukan dengan sempurna, seseorang itu mestilah membuat yang terbaik supaya tanggungjawab yang tertanggung di bahunya dapat ditunaikan.

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ وَاسْمَعُوا وَأَطِيعُوا وَأَنْفِقُوا خَيْرًا لِأَنْفُسِكُمْ وَمَنْ يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

 Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu; dan dengarlah (akan pengajaran-pengajarannya) serta taatlah (akan perintah-perintah-Nya); dan belanjakanlah harta kamu (serta buatlah) kebajikan untuk diri kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya. (al-Taghabun: 16)

Perintah ini merupakan rahmat dan belas kasihan Allah s.w.t. kepada orang-orang beriman. Oleh kerana tanggungjawab yang dipikul oleh seseorang itu sangat banyak dan pelbagai macam fitnah dan ujian yang dihadapinya sama ada dalam bentuk anak pinak, isteri, harta dan sebagainya, maka dia diperintahkan dengan mengikut kemampuannya dan tidak dibebankan dengan sesuatu yang di luar keupayaanya. Dalam melaksanakan tanggungjawab yang dipikulnya itu maka hendaklah bertaqwa kepada Allah dengan sehabis daya dan usaha kerana kejayaan hanya akan dicapai oleh orang yang mempunyai ketaqwaan kepada Allah.

Berhubung dengan wajib berlaku adil, Rasulullah s.a.w. memberi amaran kepada mereka yang tidak berlaku adil terhadap salah seorang isterinya. Bertanggungjawab dalam poligami menuntut suami supaya sewajarnya melaksanakan keadilan dan menjauhkan diri daripada kezaliman.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ كَانَتْ لَهُ امْرَأَتَانِ يَمِيلُ مَعَ إِحْدَاهُمَا عَلَى الْأُخْرَى جَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَأَحَدُ شِقَّيْهِ سَاقِطٌ

 Daripada Abu Hurairah katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang mempunyai dua orang isteri dan dia lebih cenderung kepada salah seorang maka di akhirat dia akan datang dalam keadaan senget. (Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasa`i dan Ibn Majah)

Balasan yang diterima oleh suami itu sama bentuk dengan perbuatannya di dunia yang berat menyebelahi isteri yang paling disayanginya sahaja.

Pihak kedua yang menjadi kewajipan kepada suami sebagai ketua keluarga ialah tanggungjawab terhadap anak-anak.

وَعَنْ عَبْدِ اَللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اَللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ: قَالَ رَسُولُ اَللَّهِ صلى الله عليه وسلم كَفَى بِالْمَرْءِ إِثْمًا أَنْ يُضَيِّعَ مَنْ يَقُوتُ  رَوَاهُ النَّسَائِيُّ.

 Rasulullah s.a.w. bersabda: “Cukuplah seseorang itu dikira berdosa  dengan  sebab dia mengabaikan  seseorang  yang dia bertanggungjawab memberi makan kepadanya. (Muslim)

 

Pahala Berbeza Kerana Tanggungjawab

 عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَدِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ فِي رَقَبَةٍ وَدِينَارٌ تَصَدَّقْتَ بِهِ عَلَى مِسْكِينٍ وَدِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ عَلَى أَهْلِكَ أَعْظَمُهَا أَجْرًا الَّذِي أَنْفَقْتَهُ عَلَى أَهْلِكَ

 Daripada Abu Hurairah katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “ Satu dinar yang kamu belanjakan di jalan Allah, satu dinar yang kamu belanjakan kepada hamba, satu dinar yang kamu belanjakan kepada orang miskin dan satu dinar yang kamu belanjakan kepada ahli keluargamu, yang paling besar ganjarannya ialah yang kamu belanjakan kepada ahli keluargamu. (Muslim)

Hadis ini menunjukkan bahawa orang paling dekat dengan kita mempunyai hak yang lebih banyak berbanding dengan orang lain. Sebanyak mana hak-hak orang lain ada di bahu kita maka sebanyak itu pula kita berpeluang untuk mendapat pahala yang lebih.

 

Berkahwin Atas Dasar Tanggungjawab

 عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ هَلَكَ أَبِي وَتَرَكَ سَبْعَ بَنَاتٍ أَوْ تِسْعَ بَنَاتٍ فَتَزَوَّجْتُ امْرَأَةً ثَيِّبًا فَقَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَزَوَّجْتَ يَا جَابِرُ فَقُلْتُ نَعَمْ فَقَالَ بِكْرًا أَمْ ثَيِّبًا قُلْتُ بَلْ ثَيِّبًا قَالَ فَهَلَّا جَارِيَةً تُلَاعِبُهَا وَتُلَاعِبُكَ وَتُضَاحِكُهَا وَتُضَاحِكُكَ قَالَ فَقُلْتُ لَهُ إِنَّ عَبْدَ اللَّهِ هَلَكَ وَتَرَكَ بَنَاتٍ وَإِنِّي كَرِهْتُ أَنْ أَجِيئَهُنَّ بِمِثْلِهِنَّ فَتَزَوَّجْتُ امْرَأَةً تَقُومُ عَلَيْهِنَّ وَتُصْلِحُهُنَّ فَقَالَ بَارَكَ اللَّهُ لَكَ أَوْ قَالَ خَيْرًا

Daripada Jabir bin ‘Abdullah katanya, ayah saya telah meninggal dunia dan beliau meninggalkan tujuh orang anak perempuan atau sembilan orang (perawi tidak pasti angka yang sebenar) lalu saya berkahwin dengan seorang janda. Rasulullah s.a.w. bersabda kepada saya: “Adakah kamu telah berkahwin, wahai Jabir? Saya menjawab: “Ya.” Baginda bertanya: “Gadis atau janda?” Saya menjawab: “Bahkan seorang janda.” Baginda bertanya lagi: “Mengapa tidak gadis, kamu dapat bersenda gurau dengannya dan dia dapat bersenda gurau dengan kamu?” Saya menjawab: “Sesungguhnya ‘Abdullah (ayah Jabir) telah meninggal dunia dengan meninggalkan beberapa anak perempuan dan saya tidak suka membawa pulang kepada mereka isteri yang seperti mereka, maka sebab itu saya mengahwini seorang perempuan yang dapat menjaga dan mengurus mereka.” Rasulullah s.a.w. bersabda: “Semoga Allah memberkati kamu atau memberikan kebaikan yang banyak.” (al-Bukhari)

Riwayat ini menunjukkan bagaimana sahabat Rasulullah s.a.w. Jabir memahami tanggungjawab yang ditinggalkan oleh ayahnya. Apa yang dilakukan oleh beliau adalah berdasarkan kepada akhlak Rasulullah s.a.w. di mana baginda sendiri mengahwini beberapa janda dan menjaga anak-anak isterinya seperti mana baginda menjaga anak sendiri.

 

Disediakan oleh Muhammad Hanief bin Awang Yahaya untuk www.darulkautsar.net

Check Also

Usul Daripada Hadis Larangan Berbisik Di Hadapan Seseorang

Muhammad Hanief Awang Yahaya   وَعَنْ اِبْنِ مَسْعُودٍ  رضي الله عنه  قَالَ: قَالَ رَسُولُ اَللَّهِ …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *