Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Asas / Prinsip-Prinsip Hadis / Prinsip Berbuat Baik Kepada Ibu Dan Bapa
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Prinsip Berbuat Baik Kepada Ibu Dan Bapa

Mohd Nazri Hasan

 

Berbuat baik kepada kedua ibu bapa adalah kewajipan yang dapat diterima oleh mana-mana agama sekalipun. Islam tidak memisahkan sama sekali hubungan kekeluargaan yang terjalin walaupun berlainan agama. Islam mewajibkan ummatnya menjaga hubungan yang baik dengan kedua ibu dan bapa sebagaimana firman-Nya:

وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَذِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينِ

“Dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim dan orang-orang miskin”.   (Surah al-Baqarah : 83)

Namun seorang anak itu hanya wajib mentaati ibu bapanya selagi mereka tidak menyuruh kepada maksiat dan syirik kepada Allah s.w.t.  Ini jelas dengan apa yang telah terkandung dalam kitab-Nya. Firman Allah s.w.t :

وَوَصَّيْنَا الْإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَى وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ (١٤) وَإِنْ جَاهَدَاكَ عَلَى أَنْ تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا وَاتَّبِعْ سَبِيلَ مَنْ أَنَابَ إِلَيَّ ثُمَّ إِلَيَّ مَرْجِعُكُمْ فَأُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ (١٥)

“Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya, dan pergauilah keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku, kemudian hanya kepada-Ku lah kembalimu, maka Ku beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan”. (Surah al-Luqman : 14-15)

Hadis-hadis di bawah ini adalah termasuk di bawah prinsip berbuat baik kepada kepada ibu dan bapa.

عن عبدالله إبن مسعود رضى الله عنه قال : سألت النبى صلى الله عليه وسلّم : أيّ الأعمال أحبّ إلى الله ؟ قال : الصلاة على وقتها. قلت : ثمّ أيّ ؟ قال : برّ الوالدين . قلت : ثمّ أيّ ؟ قال : الجهاد فى سبيل الله

 “Daripada Abdillah bin Mas’ud, beliau berkata : “Aku bertanya kepada Nabi s.a.w; Amalan manakah yang lebih Allah suka? Rasulullah menjawab: Sembahyang pada waktunya. Aku berkata : Kemudian apa? Rasulullah s.a.w menjawab : Berbuat baik kepada kedua ibu dan bapa. Aku berkata : Kemudian apa? Rasulullah s.a.w menjawab: Berjuang di jalan Allah”. (Riwayat al-Bukhari, Muslim, al-Nasa’i dan Ahmad) 

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قَالَ رَجُلٌ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُجَاهِدُ قَالَ لَكَ أَبَوَانِ قَالَ نَعَمْ قَالَ فَفِيهِمَا فَجَاهِدْ

 Daripada Abdullah bin Amar beliau berkata: “Seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w:  “Aku hendak berjihad”. Nabi bertanya kepadanya : “Adakah kamu mempunyai ibubapa?” Beliau menjawab : “Ya”. Nabi s.a.w berkata : “Maka berjihadlah pada mereka berdua.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibnu Majah) 

Kedudukan ibubapa dalam Islam terletak di tempat yang mulia dan tinggi sehingga seseorang itu lebih patut menjaga ibubapanya yang memerlukannya daripada berjihad di medan perang. Walaupun peperangan suatu perkara yang amat penting kerana kekuatan sesebuah negara bergantung kepadanya namun berkhidmat kepada kedua ibubapa adalah lebih penting.

Sesetengah pengulas hadis menyebutkan secara mutlak lafaz ‘ibubapa’ iaitu sama ada kafir atau Islam. Dengan itu, seorang yang beriman wajib berkhidmat kepada ibubapanya walaupun ibubapanya itu kafir atau tidak seakidah dengannya.

Manakala kedudukan seorang ibu itu adalah tiga kali lebihnya daripada seorang ayah sepertimana sabdanya :-

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ أَحَقُّ النَّاسِ بِحُسْنِ صَحَابَتِي قَالَ أُمُّكَ قَالَ ثُمَّ مَنْ قَالَ ثُمَّ أُمُّكَ قَالَ ثُمَّ مَنْ قَالَ ثُمَّ أُمُّكَ قَالَ ثُمَّ مَنْ قَالَ ثُمَّ أَبُوكَ

 Daripada Abi Hurairah r.a, beliau berkata : “Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah s.a.w lalu berkata : “Wahai Rasulullah! Siapakah yang paling berhak untuk aku berbuat baik? Rasulullah menjawab: “Ibumu”. Dia bertanya (lagi): “Kemudian siapa?” Rasulullah s.a.w menjawab: “kemudian ibumu”. Kemudian dia bertanya (lagi): “Kemudian siapa?” Rasulullah s.a.w menjawab: “kemudian ibumu”. Dia bertanya (lagi): “Kemudian siapa?” Rasulullah s.a.w menjawab: “Kemudian ayahmu”.

(Riwayat al-Bukhari, Muslim, Ibnu Majah dan Ahmad)

 

Check Also

Usul Daripada Hadis Larangan Berbisik Di Hadapan Seseorang

Muhammad Hanief Awang Yahaya   وَعَنْ اِبْنِ مَسْعُودٍ  رضي الله عنه  قَالَ: قَالَ رَسُولُ اَللَّهِ …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *