Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Asas / Prinsip-Prinsip Hadis / Prinsip Aqidah Dalam Hadis
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Prinsip Aqidah Dalam Hadis

Muhammad Hanief bin Awang Yahaya

 

Islam yang diturunkan oleh Allah s.w.t. sebagai agama yang terakhir mempunyai beberapa prinsip yang menjadi tonggak utama yang menjamin hubungan manusia dengan Penciptanya, hubungan manusia sesama mereka dan dengan semua jenis makhluk di alam ini. Rasulullah s.a.w. yang diutuskan oleh Allah s.w.t. sebagai rasul bertanggungjawab untuk menjelaskan maksud-maksud Allah yang terkandung di dalam al-Qur’an. Penjelasan Rasulullah s.a.w. dalam bentuk ucapan, tindakan dan pengakuan dikenali sebagai hadis. Hadis-hadis Rasulullah s.a.w. tersebut berlegar di atas beberapa paksi yang dikatakan sebagai prinsip atau roh Islam. Hakikat ini dapat diamati dengan melakukan kajian dan renungan yang khusus terhadap hadis-hadis tersebut.
Sesuatu hadis dapat diakui sebagai mengandungi prinsip tertentu apabila inti kandungannya dapat dirujukkan kepada satu makna atau konsep yang terkandung dengan jelas di dalam al-Qur’an. Dengan ini, kehadiran hadis itu dikatakan sebagai penjelasan, pengukuhan dan penegasan terhadap makna al-Qur’an. Dalam istilah ulama Usul Hadis dan Usul Fiqh, konsep ini dikenali sebagai bayan Taqrir.[1] Begitu juga apabila diteliti kepada hadis-hadis lain, tentu membawa tema atau makna yang selaras.
Prinsip utama atau yang merupakan tonggak dan asas kepada hadis-hadis Rasullullah s.a.w. ialah menyeru manusia kepada ajaran tauhid. Maksud tauhid ialah seseorang insan membebaskan dirinya dari sebarang bentuk syirik terhadap Allah dan beriktikad bahawa Allah s.w.t. maha esa tidak mempunyai sebarang sekutu, dalam zat-Nya, sifat-sifat-Nya, perbuatan-perbuatan-Nya, nama-nama-Nya dan hukum-hukum-Nya.[2] Sementara lawan kepada tauhid ialah syirik iaitu menyamakan mana-mana makhluk dengan Allah dalam mana-mana perkara berikut iaitu dalam zat-Nya, sifat-sifat-Nya, perbuatan-perbuatan-Nya, nama-nama-Nya dan hukum-hukum-Nya.[3] Pengakuan Allah sebagai Pencipta, Pentadbir yang Esa dan Dialah sahaja yang berhak disembah merupakan ajaran utama para Rasul. Hakikat ini terkandung di dalam surah al-Anbiya’, ayat 25:

وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ مِنْ رَسُولٍ إِلَّا نُوحِي إِلَيْهِ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدُون

“Dan Kami tidak mengutuskan seorang rasul pun sebelum kamu, melainkan Kami wahyukan kepadanya: Bahawasanya tidak ada tuhan yang hak melainkan Aku, maka sembahlah olehmu sekalian akan Aku.” (al-Anbaiya`: 25)

Ajaran tauhid merupakan roh ajaran Islam dan ianya akan terbukti apabila kita menafikan selain dari Allah sebagai tempat pengabdian kita. Apabila kita memeriksa hadis-hadis Rasulullah s.a.w., prinsip ini amat ditekankan terutamanya hadis-hadis yang bersifat sebagai nasihat yang lengkap dan bersifat universal seperti hadis Jibrail yang datang bertanyakan tentang hakikat Islam, Iman dan Ihsan, hadis rombongan Abdul Qais, hadis Islam diasaskan di atas lima rukun, hadis cabang-cabang Iman, agama itu nasihat dan banyak lagi.
Tauhid itu merupakan hak Allah s..w.t yang wajib disempurnakan oleh hamba dengan menjauhi syirik.

وعن معاذ بن جبل (رضي الله عنه)؛ قال: “كنت رديف النبي على حمار، فقال لي: “يا معاذ! أتدري ما حق الله على العباد، وما حق العباد على الله؟”. قلت: الله ورسوله أعلم. قال: “حق الله على العباد أن يعبدوه ولا يشركوا به شيئاً.

Daripada Muaz bin Jabal katanya: “Saya pernah satu kali membonceng seekor keldai bersama Rasulullah s.a.w. Baginda bertanya kepada saya: “Wahai Muaz, tahukah apakah hak Allah ke atas hamba-Nya dan haknya ke atas Allah?” Saya menjawab: “Allah dan rasul-Nya lebih mengetahui.” Baginda bersabda: “Hak Allah ke atas para hamba-Nya ialah hendak dia beribadat kepada-Nya dan jangan mensyirikkan-Nya.”

Tauhid juga merupakan asas pendidikan anak-anak. Di dalam surah Luqman, ayat 13, Luqman telah mengajarkan kepada anaknya beberapa ajaran Allah s.w.t. Perkara pertama yang diajarkan ialah mentauhidkan Allah dengan menjauhkan syirik.

وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ

Dan ingatlah ketika Luqman berkata kepada anaknya di waktu beliau memberi pelajaran kepada anaknya: “ Hai anakku, janganlah engkau mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah benar-benar kezaliman yang besar.”

Hal yang sama ditekankan oleh hadis Rasulullah mengajarkan Ibn Abbas:

عن أبي العباس عبد الله بن عباس – رضي الله عنهما – قال: كنت خلفَ النبي صلى الله عليه وسلم يوماً فقال : (يا غلامُ إني أُعَلِّمُك كلمات: احفظِ الله يحفظك، احفظِ الله تجده تجاهك، إذا سألت فاسأل الله، وإذا استعنت فاستعن بالله، واعلم أن الأمة لو اجتمعت على أن ينفعوك بشيء لم ينفعوك إلا بشيء قد كتبه الله لك وإن اجتمعوا على أن يضروك بشيء لم يضروك إلا بشيء قد كتبه الله عليك، رفعت الأقلام وجفّت الصحف)

Daripada Ibn Abbas katanya: “Pada suatu hari saya berada di belakang Rasulullah s.a.w. lalu baginda bersabda: Wahai anak, saya akan mengajarkan kepadamu beberapa kalimah, jagalah Allah pasti Allah akan menjagamu. Jagalah Allah kamu akan dapatinya di hadapanmu. Apabila kamu meminta, maka mintalah daripada Allah. Apabila kamu memohon pertolongan, maka pohonlah daripada Allah. Ketahuilah jika semua umat berkumpul untuk memberi manafaat kepadamu dengan sesuatu, maka mereka tidak akan mampu melakukannya kecuali dengan sesuatu yang telah ditentukan Allah untukmu. Dan jika mereka berkumpul untuk memudaratkanmu dengan sesuatu benda maka mereka tidak mampu bertindak demikian kecuali dengan sesuatu yang telah ditentukan Allah ke atasmu. Sesungguhnya pena sudah diangkat dan lembaran telah kering.”

(Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam al-Jami`, Ahmad di dalam Musnad dan al-Tabarani di dalam al-Mu`jam al-Kabir)

 

Ada beberapa prinsip tauhid dan keimanan di dalam hadis ini.
Pertama, “jagalah Allah’’ bermaksud, menjaga hak-hak-Nya, perintah dan larangan-Nya, sempadan dan batas Islam. Hak dan kewajipan yang paling utama terhadap Allah ialah tauhid dan menjaga aqidah. “Allah akan menjagamu “bermaksud, faedah dan manfaat yang diperolehi oleh seorang muslim apabila dia menjaga hak-hak Allah, iaitu ia akan terselamat dari neraka dan memperolehi syurga. Jagaan Allah terhadap hamba-Nya juga membawa maksud manfaat dan kebaikan dalam kehidupannya seperti sihat tubuh badan dan keselamatan nyawa dan jiwa.
Kedua, Allah s.w.t. sentiasa menjaga dan mengawasi hamba-hamba-Nya. Segala gerak-geri dan tidak tanduknya di dalam pengetahuan Allah dan ilmu Allah adalah maha sempurna. Hal ini juga ditekankan oleh makna hadis Jibril iaitu:

أن تعبد الله كأنك تراه فإن لم تكن تراه فإنه يراك .

“Kamu hendaklah beribadat kepada Allah seolah kamu melihatnya. Jika kamu tidak merasai keadaan ini maka hendak kamu yakin Allah melihat kamu.” (Hadis riwayat Muslim)

Ketiga, memohon pertolongan hanya kepada Allah. Makna ini selaras dengan ayat 5, surah al-Fatihah. Hanya kepada Allah tempat bermohon kerana meminta pertolongan itu mempunyai makna ketundukan, kehinaan dan berhajat dan inilah erti yang terkandung dalam makna ibadat. Menurut al-Qurtubi, ibadat asalnya bermaksud kehinaan dan ketundukan.[4] Keempat, hanya Allah memudaratkan dan memberi manfaat. Walaupun jika semua makhluk berpakat menentang Allah itu tidak akan menjejaskan kekuasaan-Nya. Allah maha berkuasa.
Kelima, segala yang berlaku kepada seseorang sama ada memberi manafaat kepadanya atau sebaliknya, itu merupakan ketentuan Allah. Allah maha berkuasa lagi maha mengetahui. Tauhid dan keimanan kepada Allah tidak akan sempurna jika seorang muslim itu tidak mempercayai taqdir Allah yang merupakan rahsia ilmu Allah.
Keenam, hadis ini memberi penekanan iaitu wajib mengajarkan aqidah yang sahih kepada umat agar mereka dapat mengetahui dan mentauhidkan Allah dengan sebenar-benarnya. Penekanan sewajarnya diberikan pada peringkat kanak-kanak remaja lagi. Kesungguhan Rasulullah s.w.t. mendidik umatnya supaya mengambil berat persoalan tauhid. Hakikat ini sejajar dengan pengutusan Rasulullah s.a.w. yang memiliki sifat penyayang dan prihatin. Allah s.w.t. berfirman:

لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِنْ أَنْفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُمْ بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ

Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang rasul dari kalangan kamu sendiri, berat terasa olehnya penderitaan kamu, Sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan dan penyayang terhadap orang-orang mukmin. (Al-Tawbah: 128)

Al-Hakim meriwayatkan sebuah hadis di dalam al-Mustadrak (no. 2136):

عن بن مسعود أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال ليس من عمل يقرب إلى الجنة إلا قد أمرتكم به ولا عمل يقرب إلى النار إلا قد نهيتكم عنه

“Daripada Ibn Mas`ud bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda tidak satu amalan yang mendekatkan kepada syurga melainkan aku telah menyuruh kamu melakukannya dan tidak ada amalan yang mendekatkan kepada neraka melainkan aku telah melarang kamu dari melakukannya.”

Untuk mengajarkan Islam kepada tempat-tempat yang tertentu, Rasulullah s.a.w. menghantar sahabat-sahabat. Seruan dan perkara pertama yang ditekankan ialah tauhid.

، عن ابن عباس قال:” لما بعث النبي-صلى الله عليه وسلم – معاذاً إلى نحو أهل اليمن، قال له: إنك تقدم على قوم من أهل الكتاب، فليكن أول ما تدعوهم، إلى أن يوحدوا الله تعالى، فإذا عرفوا ذلك، فأخبرهم أن الله فرض عليهم خمس صلوات في يومهم وليلتهم، فإذا صلوا فاخبرهم أن الله افترض عليهم زكاة أموالهم، تؤخذ من غنيهم فترد على فقيرهم، فإذا أقروا بذلك، فخذ منهم، وتوق كرائم أموال الناس”.

Daripada Ibn Abbas, katanya: Tatkala Rasulullah s.a.w. mengutuskan Muaz kepada penduduk Yaman, baginda memberi beberapa nasihat: Sesungguhnya kamu akan mendatangi satu kaum dari Ahli Kitab. Hendaklah perkara pertama kamu dakwahkan mereka ialah mentauhidkan Allah. Apabila mereka telah mengetahui perkara ini maka beritahulah kepada mereka Allah s.w.t. telah menfardukan lima sembahyang sehari semalam. Apabila mereka telah bersembahyang maka beritahulah pula Allah telah menwajibkan zakat harta mereka, iaitu diambil daripada orang yang kaya di kalangan mereka dan diberikan kepada faqir miskin mereka. Apabila mereka telah mengetahui perkara ini maka ambillah daripada mereka dan berwaspadalah dari mengambil harta orang ramai yang baik-baik. (Hadis al-Bukhari dan Muslim)

Tauhid Kepada Allah Menjamin Keselamatan Di Dunia

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم:” أمرت أن أقاتل الناس، حتى يشهدوا أن لا إله إلا الله وأن محمداً رسول الله، فإذا فعلوا ذلك عصموا مني دماءهم، إلا بحقها”.

Rasulullah s.a.w. bersabda: Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehinggalah mereka menyaksikan bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah. Maka apabila mereka telah berbuat demikian darah mereka itu terselamat daripadaku kecuali dengan haknya.(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sembahyang Witir Adalah Manifestasi Tauhid Kepada Allah
Sembahyang witir dilakukan pada akhir waktu malam sebelum fajar menyinsing atau boleh juga dilakukan selepas insya sebelum tidur. Bagaimanapun witir tidak dilakukan dua kali dalam satu hari. Witir bermaksud tunggal. Ini sebagai satu isyarat supaya kita mengingati Allah itu tunggal dan esa. Dalam hadis disebutkan:

عن علي رضي الله عنه قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: إن الله وتر يحب الوتر.

Sesungguhnya Allah itu tunggal dan Dia menyukai yang tunggal. (Hadis riwayat al-Tirmizi, Abu Daud dan al-Nasa’i)

Ini bermakna dengan melakukan sembahyang witir, seseorang itu dapat menghayati falsafah tauhid dan keesaan Allah. Tambahan pula Rasulullah s.a.w. membacakan beberapa surah dalam sembahyang witir yang menekankan tema keesaan dan kesucian Allah dari segala kekurangan dan syirik. Antara surah yang dibacakan ialah Surah al-A`la, al-Kafirun dan al-Ikhlas.

وعن عبد العزيز بن جريج قال سألنا عائشة رضي الله عنها بأي شيء كان يوتر رسول الله صلى الله عليه وسلم ؟ قالت كان يقرأ في الأولى ب ( سبح اسم ربك الأعلى وفي الثانية بقل يا أيها الكافرون وفي الثالثة ب قل هو الله أحد والمعوذتين

Diriwayatkan daripada Ubay bin Ka`b bahawa: Rasulullah s.a.w. sering melakukan witir dengan membaca Surah al-A`la dalam rakaat pertama, al-Kafirun dalam rakaat kedua dan al-Ikhlas bersama surah al-Falaq dan al-Nas dalam rakaat ketiga. (Hadis riwayat Al-Tirmizi dan Abu Daud)

Kandungan surah al-A`la menegaskan bahawa Allah yang telah mencipta dan mentadbir alam semesta. Oleh itu, manusia wajib bertasbih kepada Allah. Surah al-Kafirun pula menafikan segala yang disembah selain dari Allah sementara Surah al-Ikhlas menegaskan keesaan Allah dan Dia tidak menyerupai makhluk dari apa sudutpun. Segala makhluk, semuanya amat berhajat dan memerlukan kepada-Nya. Intisari surah al-Falaq dan al-Nas pula ialah dengan Allah sahajalah, kita memohon perlindungan dari segala macam kejahatan.
Rasulullah s.a.w. juga menegaskan bahawa surah al-Ikhlas menyamai satu pertiga al-Qur’an kerana mengandungi makna tauhid.

وعن أبي الدرداء قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم أيعجز أحدكم أن يقرأ في ليلة ثلث القرآن ؟ قالوا وكيف يقرأ ثلث القرآن ؟ قال قل هو الله أحد يعدل ثلث القرآن .

Daripada Abu al-Darda’, katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: Apakah salah seorang kamu mampu membaca satu pertiga al-Qur’an dalam satu malam? Para sahabat bertanya: Bagaimana boleh dibaca satu pertiga al-Qur’an? Rasulullah bersabda: Surah al-Ikhlas menyamai satu pertiga al-Qur’an. (Hadis riwayat Muslim)

Begitu juga dalam sembahyang sunat fajar Rasulullah s.a.w. sering membaca surah al-Kafirun dan al-Ikhlas. Surah al-Kafirun merupakan pernyataan Tauhid al-Nafi iaitu menafikan selain daripada Allah sebagai yang berhak disembah manakala surah al-Ikhlas menegaskan bahawa hanya Allah yang dikatakan sebagai Tauhid al-Ithbat.

 

Menghalalkan Yang Haram Dan Mengharamkan Yang Halal Membatalkan Tauhid

Allah s.w.t. telah menegaskan di dalam surah al-Baqarah ayat 22 bahawa segala yang ada telah diciptakan untuk manusia. Dengan itu, setiap perkara itu adalah halal kecuali terdapat nas yang mengatakan sebaliknya. Sebarang keputusan atau hukum yang mengharamkan sesuatu yang halal menyebabkan akidah seseorang rosak. Tindakan ini sebenarnya mencampuri urusan Allah dan seolah-olah mencabar kekuasaan Allah. Oleh kerana Rasulullah s.a.w. menggambarkannya sebagai syirik dan bertuhankan selain Allah.

عن عدي بن حاتم قال :أتيت النبي صلى وفي عنقي صليب من ذهب، فقال: يا عدي اطرح عنك هذا الوثن، وسمعته يقرأ في سورة براءة: {اتخذوا أحبارهم ورهبانهم أربابا من دون اللّه}، قال: أما إنهم لم يكونوا يعبدونهم، ولكنهم كانوا إذا أحلوا لهم شيئا استحلوه، وإذا حرموا عليهم شيئا حرموه”. هذا حديث غريب لا نعرفه الا من حديث عبد السلام بن حرب.

Daripada `Adi bin Hatim katanya: Saya menemui Rasulullah s.a.w. dalam keadaan pada leher saya ada salib dari emas. Baginda bersabda: Wahai `Adi, buangkanlah darimu berhala ini. Kata `Adi : Saya mendengar Rasulullah s.a.w. membaca surah Bara’ah: Mereka menjadikan pendita-pendita mereka dan rahib-rahib mereka sebagi tuhan selain Allah. Adapun menyembah mereka, mereka (golongan Nasara) itu tidak berbuat demikian. Tetapi apabila paderi-paderi mereka menghalalkan sesuatu kepada mereka, maka mereka menganggapnya sebagai halal dan apabila paderi-paderi itu mengharamkan sesuatu ke atas mereka, maka merekapun mengharamkan juga. (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Menjaga Dan Melindungi Tauhid

1. Hadis larangan tentang gambar

عن عائشة: أن أم حبيبة وأم سلمة: ذكرتا كنيسة رأينها بالحبشة، فيها تصاوير، فذكرتا للنبي صلى الله عليه وسلم فقال: (إن أولئك، إذا كان فيهم الرجل الصالح فمات، بنوا على قبره مسجدا، وصوروا فيه تلك الصور، فأولئك شرار الخلق عند الله يوم القيامة.

Daripada `Aishah bahawa Ummu Habibah dan Ummu Salamah menyebutkan sebuah gereja yang dilihat oleh mereka berdua di Habsyah dan di dalamnya terdapat gambar-gambar. Lalu mereka berdua menceritakan perkara itu kepada Rasulullah s.a.w. lantas baginda bersabda: Sesungguhnya mereka itu, apabila seorang lelaki yang soleh dari kalangan mereka meninggal dunia, mereka akan membina masjid di atas kuburnya, dan mereka membuat gambar-gambar di atasnya. Mereka itulah makhluk yang paling jahat di sisi Allah pada hari akhirat. (Hadis al-Bukhari, Muslim dan al-Nasa’i)

عن عائشة. قالت: دخل علي رسول الله صلى الله عليه وسلم وأنا متسترة بقرام فيه صورة. فتلون وجهه. ثم تناول الستر فهتكه. ثم قال (إن من أشد الناس عذابا يوم القيامة، الذين يشبهون بخلق الله.

Daripada `Aishah bahawa Rasulullah s.a.w. masuk menemui beliau ketika beliau berada di balik tabir yang mempunyai gambar. Tiba-tiba berubah wajah baginda. Lalu mengambil tabir tersebut dan mengutis-ngutisnya seraya bersabda: “Sesungguhnya orang paling dahsyat siksaannya di hari akhirat ialah orang yang menyerupakan dengan ciptaan Allah.” (Hadis riwayat Muslim)

Hadis di atas mengajar kita sudah menjauhi unsur-unsur yang boleh membawa kepada syirik. Larangan yang dikeluarkan oleh Rasulullah s.a.w. itu kerana keadaan zaman mereka masih lagi hampir dengan situasi penyembahan berhala dan gambar-gambar yang dijadikan pujaan. Gambar-gambar dilukis sebagai membesarkan orang yang dilukiskan wajahnya dan dijadikan perantaraan untuk meminta pertolongan dengan Allah kerana mereka adalah orang-orang soleh dan hampir dengan Allah.[5]

عن ابن عباس. فقال: سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول (كل مصور في النار. يجعل له، بكل صورة صورها، نفسا فتعذبه في جهنم

Daripada Ibn Abbas katanya:” Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Setiap pelukis akan berada di dalam neraka lalu setiap gambar yang dilukiskan itu diberikan nyawa dan akan menyeksanya di dalam neraka Jahannam.” (Hadis riwayat Muslim)

2. Larangan kubur dijadikan masjid

عن أبي هريرة؛ أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: لعن الله اليهود والنصارى. اتخذوا قبور أنبيائهم مساجد”.

Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Allah telah melaknat Yahudi dan Nasara. Mereka telah menjadikan kubur-kubur nabi mereka sebagai masjid.” (Hadis Muslim)

Hadis ini memberitahu bahawa tempat yang betul untuk beribadat kepada Allah s.w.t. mestilah bersih dari sebarang unsur yang membawa kepada syirik.

3. Menjauhi tanggapan sial untuk menjaga akidah tauhid
Rasulullah s.a.w. menjelaskan aqidah tauhid kepada ummat Islam dengan menegaskan tidak ada sebarang bentuk sial kerana segala-galanya sudah ditakdirkan Allah. Penyakit yang menimpa manusia berlaku kerana bukan jangkitan penyakit itu sendiri melainkan Allah yang menyebabkan berlakunya jangkitan tersebut.

عن أبي هريرة قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: لا عدوى ولا طيَرة، ولا هامة ولا صفر، وفِرَّ من المجذوم كما تفرُّ من الأسد.

Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidak ada sebarang jangkitan, tidak ada sial burung, tidak ada sial burung hantu dan tidak ada sial bulan Safar. Larilah dari mangsa kusta seperti kamu lari dari singa.”

(Hadis al-Bukhari)

4. Larangan bersembahyang ketika matahari terbit dan terbenam

Rasulullah s.a.w. melarang dari mendirikan sembahyang ketika matahari terbit dan tenggelam. Larangan ini bertujuan untuk menghindarkan diri dari menyerupai orang-orang yang menyembah matahari.

عن ابن عمر رضي الله عنهما قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: (إذا طلع حاجب الشمس فدعوا الصلاة حتى تبرز، وإذا غاب حاجب الشمس فدعوا الصلاة حتى تغيب، ولا تحينوا بصلاتكم طلوع الشمس ولا غروبها، فإنها تطلع بين قرني شيطان، أو الشيطان.

Daripada Ibn Umar katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila dua kening matahari terbit, janganlah bersembahyang sehinggalah ia kelihatan dengan jelas. Apabila kening matahari tenggelam maka janganlah bersembahyang sehingga ia lenyap. Jangan kamu tunggu untuk bersembahyang pada matahari terbit dan tenggelam kerana ia terbit di antara dua tanduk syaitan.”

(Hadis al-Bukhari)

Hadis di atas menunjukkan bahawa syaitan akan berada dekat matahari supaya orang yang menyembah matahari ini menyembahnya juga. Rasulullah s.a.w. melarang sembahyang pada ketika itu supaya tauhid orang-orang Islam terpelihara. Berdasarkan kepada faktor ini juga sebahagian ulama mengatakan sebab Rasulullah s.a.w. tidak menggalakkan sunat qabliah maghrib ialah kerana zaman mereka itu masih lagi hampir dengan golongan yang menyembah matahari. Oleh itu baginda merasa keberatan untuk bersembahyang pada ketika itu.

 

 

[1] Muhammad Sulaiman al-Asyqar, al-Wadih Fi Usul al-Fiqh, hal. 96
[2] Muhammad Anwar al-Badakhsyani, Talkhis Syarh al-`Aqidah al-Tahwiyyah, hal. 24
[3] Ibid., hal. 32
[4] Abdul Rahman Ali al-Shaikh, Fath al-Majid Syarh Kitab al-Tuwhid, hal. 11.
[5] Wahbah al-Zuhaili, al-Fiqh al-Islami Wa adillatuhu, jil.4, hal. 2671

Check Also

Usul Daripada Hadis Larangan Berbisik Di Hadapan Seseorang

Muhammad Hanief Awang Yahaya   وَعَنْ اِبْنِ مَسْعُودٍ  رضي الله عنه  قَالَ: قَالَ رَسُولُ اَللَّهِ …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *