Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Asas / Mustholah Hadis / Sesi 9 – Al-Hasan
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Sesi 9 – Al-Hasan

Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 31 Mei 15

 

AL-HASAN  الحَسَن
Definisi
Dari segi bahasa ia adalah sifat mushabbahah daripada al-husn الحُسْن yang bererti keindahan.

Dari segi istilah pula ulama berbeza pendapat dalam memberikan definisi hadis hasan memandangkan ia berada di tengah-tengah antara sahih dan da’if. Sebahagian ulama mendefinisikan salah satu bahagiannya sahaja. Bagaimanapun penulis akan menyebutkan sebahagian daripada definisi-definisi tersebut dan akan memilih definisi yang dirasakan paling tepat.

  1. Definisi al-Khattabi: Hadis yang diketahui puncanya dan perawi-perawinya masyhur lagi dikenali . Kebanyakan hadis tergolong dalam hadis hasan dan ia diterima oleh kebanyakan ulama dan diamalkan oleh kesemua fuqaha`.
  2. Definisi al-Tirmidhi: Setiap hadis yang diriwayatkan tanpa ada di dalam sanadnya perawi yang dituduh berdusta, hadis tidak shadh, diriwayatkan dengan jalan yang lain seperti itu juga, maka itu menurut kami adalah hadis hasan .
  3. Definisi Ibn Hajar: Khabar (hadis) ahad dengan nukilan perawi adil, sempurna ketepatan, bersambung sanad tanpa ada ‘illah dan shadh, maka itu adalah sahih lidhatih. Sekiranya ketepatannya kurang, maka ia adalah hasan lidhatih.

Penulis berpendapat, seolah-olah, hadis hasan menurut Ibn Hajar adalah hadis sahih apabila ketepatan perawinya rendah dan ini adalah definisi hadis hasan yang paling baik. Sementara definisi al-Khattabi, terlalu banyak kritikan padanya. Manakala definisi al-Tirmidhi, beliau hanya mendefinisikan salah satu bahagian hadis hasan sahaja iaitu hasan lighayrih. Sepatutnya beliau memberikan ta’rif hasan lidhatihi kerana hasan lighayrih adalah hadis da’if yang meningkat ke darjah hasan kerana ditampung oleh banyak sanad.

Definisi Terpilih

Berdasarkan kepada definisi Ibn Hajar, hadis hasan bolehlah didefinisikan sebagai: “Hadis yang bersambung sanadnya dengan nukilan perawi yang adil tetapi rendah ketepatannya daripada perawi sepertinya sehingga ke hujung sanad tanpa sebarang shadh dan ‘illah.”

Hukumnya

Ia seperti hadis sahih dari segi boleh untuk dijadikan hujah walaupun dari segi kekuatan ia lebih rendah. Oleh kerana itu, semua fuqaha beramal dengannya. Kebanyakan ulama hadis dan ulama usul berhujah dengannya kecuali segelintir dari kalangan yang berpandangan keras. Bagaimanapun sebahagian ulama hadis yang bersikap mudah seperti al-Hakim, Ibn Hibban dan Ibn Khuzaymah telah memasukkannya ke dalam bahagian sahih walaupun mereka berpendapat hadis hasan lebih rendah daripada hadis sahih seperti yang dijelaskan sebelum ini.

Contohnya: Hadis yang dikeluarkan oleh al-Tirmidhi:

 

حَدَّثَنَا قُتَيبةُ حَدَّثَنَا جعفرُ بنُ سليمانَ الضُّبعيُّ عن أبي عمرانَ الجونيُّ عن أبي بكرِ بنِ أبي موسى الأشعريِّ قال: سمعتُ أبي بحضرةِ العدوِّ يقول قال رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وسَلَّم: إنَّ أبوابَ الجنَّةِ تحتَ ظلال ِ السُّيوفِ.

Kata beliau: “Qutaybah telah menceritakan kepada kami bahawa Ja’far bin Sulayman al-Duba’i telah menceritakan daripada Abi ‘Imran al-Jawni daripada Abi Bakr bin Abi Musa al-Ash’ari berkata: “Saya mendengar ayah saya berkata ketika berhadapan dengan musuh: “Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya pintu-pintu syurga berada di bawah naungan pedang-pedang.”

Hadis ini dihukumkan oleh al-Tirmidhi sebagai: “Ini adalah hadis hasan gharib”. Hadis ini hasan kerana perawi-perawi yang empat bagi sanad ini kesemua adalah thiqah kecuali Ja’far bin Sulayman al-Duba’i. Beliau seorang hasan al-hadith (baik hadisnya). Oleh kerana itu hadis ini jatuh dari martabat sahih kepada hasan.

Martabatnya

Sebagaimana hadis sahih mempunyai martabat yang berbeza antara satu sama lain, begitu juga dengan hadis hasan. Al-Dhahabi telah membahagikan hadis hasan kepada dua martabat:

  1. Martabat hasan yang paling tinggi: Riwayat Bahz bin Hakim daripada bapanya daripada datuknya, ‘Amr Ibn Shu’ayb daripada bapanya daripada datuknya, riwayat Ibn Ishaq daripada al-Taymi dan yang seumpamanya yang dikatakan sebagai sahih. Martabat ini adalah martabat sahih yang paling rendah.
  1. Martabat hasan yang rendah: Iaitu hasan yang dipertikaikan kedudukannya, ada yang mentashihkan dan ada yang mendaifkan seperti hadis al-Harith bin ‘Abdullah, ‘Asim bin Damrah, Hajjaj bin Artah dan lain-lain.

Kedudukan Hadis Yang Dihukumkan Oleh Ulama Hadis Sebagai “Hadis Sahih Al-Isnad”

Kata-kata ulama hadis: “Ini hadis sahih al-Isnad” tidak sama dengan kata-kata mereka: “Ini hadis sahih”. Begitu juga kata-kata mereka: “Ini hadis hasan al-Isnad” tidak sama dengan “Ini hadis hasan”. Kadang-kadang sanad itu sahih atau hasan tetapi tidak pada matan kerana ada shadh dan ’illah. Seolah-olah apabila ulama hadis mengatakan: “Ini hadis sahih”, beliau telah menjamin kepada kita bahawa hadis ini memenuhi kelima-lima syarat-syarat hadis sahih. Sekiranya beliau mengatakan: “Ini hadis sahih al-Isnad”, beliau menjamin adanya 3 syarat sahih sahaja iaitu bersambung sanad, keadilan dan ketepatan para perawi. Adapun penafian shadh dan ’illah, itu tidak diberi jaminan oleh beliau kerana ketidakpastian kedua-duanya itu.

Bagaimanpun jika seorang Hafiz yang diakui hanya menyebutkan hadis ini sahih al-Isnad tanpa menyebut ’illahnya, maka pada zahirnya, matan itu adalah sahih kerana kaedah asal ialah tidak ada ’illah dan tidak ada shadh.

 

Check Also

Sesi 40 – Mengenali Perawi Thiqah Yang Mengalami Ikhtilat

Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 29- Feb-16     MENGENALI PERAWI THIQAH YANG MENGALAMI …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *