Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Asas / Mustholah Hadis / Sesi 6 – Klasifikasi Khabar Ahad Berdasarkan Kepada Kekuatan Dan Kelemahannya, Al-Khabar al-Maqbul, Al-Sahih
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Sesi 6 – Klasifikasi Khabar Ahad Berdasarkan Kepada Kekuatan Dan Kelemahannya, Al-Khabar al-Maqbul, Al-Sahih

Ust Mohd Hanief Awang Yahaya, 10 May 15

 

FASAL KEDUA: Klasifikasi Khabar Ahad Berdasarkan Kepada Kekuatan Dan Kelemahannya

Hadis ahad yang terdiri daripada mashhur, ‘aziz dan gharib terbahagi kepada dua :

  1. Maqbul iaitu hadis yang kebenaran penceritanya lebih kuat atau lebih mengatasi. Hukumnya, wajib berhujah dan beramal dengannya.
  2. Mardud iaitu hadis yang kebenaran penceritanya tidak kuat. Hukumnya ialah tidak boleh berhujah dengannya dan tidak wajib beramal dengannya. Setiap hadis maqbul dan mardud itu mempunyai pembahagian dan perincian yang akan disebutkan pada fasal yang berasingan, Insha Allah Ta’ala.

 

Al-Khabar al-Maqbul الخبر المقبول

Perbahasan pertama: Pembahagian al-maqbul

Perbahasan kedua: Pembahagian al-hadis al- maqbul kepada ma’mul bih معمول به (yang boleh beramal) dan ghayr ma’mul bih غير معمول به (yang

tidak boleh beramal).
Perbahasan Pertama

Pembahagian maqbul

Berdasarkan kepada tingkatan martabatnya, hadis maqbul terbahagi kepada dua bahagian utama: sahih dan hasan. Setiap bahagian ini pula terbahagi kepada dua iaitu li dhatih dan li ghayrih. Ini menjadikan hadis maqbul empat bahagian.

  1. Sahih Li dhatih
  2. Hasan Li dhatih
  3. Sahih Li ghayrih
  4. Hasan Li ghayrih حسن لغيره

Al-Sahih صحيح

Definisi
Dari sudut bahasa, Sahih صحيح adalah lawan kepada saqim سقيم(sakit) iaitu penggunaan sebenarnya pada perkara konkrit dan penggunaan secara majaz (pinjaman) kepada hadis dan perkara abstrak.

Manakala dari segi istilah: Hadis yang bersambung sanadnya dengan nukilan perawi yang adil, dabit daripada perawi sepertinya hingga ke hujung sanad tanpa ada shadh dan ‘illah.

Huraian Ta’rif

Definisi di atas mempunyai beberapa perkara yang wajib ada bagi menjadikan hadis itu sebagai sahih iaitu:

  1. Bersambung sanad. Setiap perawi mengambil riwayat secara langsung dari orang sebelumnya dari awal sanad sehingga ke penghujungnya.
  2. Keadilan para perawi. Setiap perawi mestilah mempunyai sifat Islam, baligh, tidak fasiq dan tidak cacat maruah.
  1. Ketepatan para perawi. Setiap perawi mestilah sempurna ketepatan, sama ada dari segi ingatan atau catatan.
  1. Tidak shadh. Hadis tersebut tidak bersifat shadh. Maksud shadh ialah percanggahan perawi thiqah terhadap perawi yang lebih thiqah daripadanya.
  1. Tidak mempunyai ‘illah. Hadis itu mestilah tidak terdapat ‘illah. ‘Illah adalah satu sebab yang rumit dan tersembunyi yang mencacatkan kesahihan hadis walaupun pada zahirnya tidak kelihatan.

Syarat-Syarat Hadis Sahih

Jelas daripada huraian ta’rif tadi, terdapat lima syarat yang wajib dipenuhi supaya sesebuah hadis dikira sebagai hadis sahih. Iaitu bersambung sanad, keadilan perawi, ketepatan perawi, tidak ada ’illah dan tidak ada shadh.

Apabila tidak cukup salah satu syarat ini, pada ketika itu hadis itu tidak dinamakan sahih.

Contohnya:
Hadis yang dikeluarkan oleh Imam al-Bukhari di dalam kitab sahihnya:

حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ يُوسُفَ قَالَ أَخْبَرَنَا مَالِكٌ عَنْ ابْنِ شِهَابٍ عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ جُبَيْرِ بْنِ مُطْعِمٍ عَنْ أَبِيهِ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَرَأَ فِي الْمَغْرِبِ بِالطُّورِ

Imam Al-Bukhari berkata: “ ‘Abdullah bin Yusuf telah menceritakan kepada kami bahawa Malik telah mengkhabarkan kepada kami daripada Ibn Shihab daripada Muhammad Bin Jubayr daripada Mut‘im daripada ayahnya katanya: “Saya telah mendengar Rasulullah s.a.w. telah membaca Surah Al-Tur di dalam solat Maghrib.”

Hadis ini sahih kerana:

  1. Sanadnya bersambung (Muttasil) kerana setiap perawi mendengar daripada gurunya, tentang periwayatan secara ‘an’anah oleh Malik, Ibn Shihab dan Ibn Jubayr ditafsirkan sebagai bersambung-sambung kerana mereka bukanlah perawi-perawi yang melakukan tadlis .
  2. Perawi-perawinya adil dan dabit. Berikut ini sifat-sifat mereka di sisi ulama al-Jarh Wal Ta’dil:
    1. ‘Abdullah bin Yusuf: thiqah, mutqin. Malik bin Anas: imam, hafiz
    2. Ibn Shihab al-Zuhri: faqih, hafiz, kehebatan dan keteguhannya disepakati semua.
    3. Muhammad bin Jubayr: thiqah.
    4. Jubayr bin Mut’im: seorang sahabat.
  3. Hadis ini tidak shadh kerana tidak bercanggah dengan hadis yang lebih kuat daripadanya.
  4. Kerana ia tidak mempunyai sebarang ‘illah.

Hukumnya

Wajib beramal dengan hadis sahih berdasarkan kepada ijma’ ahli hadis ulama yang diakui pendapat mereka dari kalangan usuliyyin dan fuqaha`. Ia merupakan salah satu hujah shara’ yang tidak ada ruang bagi seorang muslim untuk tidak beramal dengannya.

Maksud Kata-Kata: “Ini Hadis Sahih Atau Ini Hadis Tidak Sahih”:

  1. Maksud kata-kata ulama hadis: “hadis ini sahih” ialah lima syarat hadis sahih ada padanya. Bukan diputuskan hadis itu benar-benar sahih kerana harus berlaku kesilapan dan lupa kepada perawi yang thiqah.
  2. Maksud kata-kata mereka: hadis ini tidak sahih ialah hadis ini tidak memenuhi lima syarat hadis sahih, sama ada kesemuanya atau sebahagian daripadanya bukan bermaksud pada kenyataannya ia adalah satu pendustaan kerana orang yang biasa melakukan kesilapan boleh jadi betul pada ketika yang lain.

Check Also

Sesi 40 – Mengenali Perawi Thiqah Yang Mengalami Ikhtilat

Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 29- Feb-16     MENGENALI PERAWI THIQAH YANG MENGALAMI …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *