Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Asas / Mustholah Hadis / Sesi 5 – Al-Aziz, Hadis Gharib
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Sesi 5 – Al-Aziz, Hadis Gharib

Ust Mohd Hanief Awang Yahaya, 3 May 15

 

 
Al-‘Aziz العزيز

Definisi Dari Segi Bahasa 

Sifat mushabbahah daripada ‘azza ya’izzu عزّ يعِزّiaitu sedikit dan jarang atau daripada ‘azza ya’azzu عزّ يعَزّkuat dan bersangatan. Dinamakan demikian sama ada kewujudannya yang sedikit dan jarang ataupun kerana kekuatannya kerana ia datang dari tariq (jalan sanad) yang lain.

Dari Segi Istilah 

Hadis yang bilangan perawi-perawinya tidak kurang daripada dua orang di kesemua peringkat sanad.

Huraian Ta’rif

Iaitu perawi-perawinya tidak kurang dari dua orang pada setiap tabaqat (lapisan atau genarasi) sanad. Sekiranya didapati pada sesetengah sanad tiga orang atau lebih itu tidak menjadi hal (tidak mengapa) dengan syarat ada dua orang perawi walaupun pada satu peringkat kerana yang diambil kira ialah had minimum mana-mana peringkat sanad.

Definisi ini merupakan definisi yang terpilih sebagai mana yang diputuskan oleh Hafiz Ibn Hajar. Sebahagian ulama berpendapat Hadis ‘aziz ialah periwayatan dua orang atau tiga orang. Dengan itu mereka tidak mengasingkan hadis ‘aziz daripada hadis mashhur dalam beberapa bentuk.

Contohnya

Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Muslim daripada hadis Anas dan Imam al-Bukhari daripada hadis Abu Hurayrah bahawa Rasululah s.a.w bersabda:

 لا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ والِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعينَ

“Tidak sempurna iman seseorang dari kalangan kamu sehingga aku lebih dikasihinya daripada bapanya, anaknya dan sekalian manusia.”

Hadis ini telah diriwayatkan daripada Anas oleh Qatadah, ‘Abdul Aziz bin Suhayb dan diriwayatkan daripada Qatadah oleh Shu’bah dan Sa’id dan diriwayatkan pula daripada ‘Abdul ‘Aziz oleh Isma’il bin ‘Ulayyah dan ‘Abdul Warith. Dan diriwayatkan daripada setiap mereka itu oleh sebilangan yang ramai.

Karangan Yang Terkenal

Ulama tidak menulis karangan yang khusus berhubung dangan hadis ‘aziz. Sebabnya yang jelas ialah kerana bilangannya yang sedikit dan kerana tidak didapati faedah yang penting daripada penulisan itu.

 

HADIS GHARIB غريب

Definisi Dari Sudut Bahasa

Sifat mushabbahah dengan erti yang bertunggalan atau yang berjauhan dari sanak saudara.

Dari Segi Istilah

Hadis yang seorang perawi berseorangan dalam meriwayatkannya.

Huraian Definisi

Iaitu hadis yang seorang perawi berseorangan meriwayatkannya sama ada pada setiap tabaqah sanad atau pada sebahagiannya walaupun pada satu tabaqah sahaja. Ta’rif gharib tidak terjejas dengan adanya lebih daripada seorang perawi pada tabaqah yang lain kerana yang diambil kira ialah had minimum.

Nama Lain Bagi Hadis Gharib

Ramai dari kalangan ulama menyebut hadis gharib dengan nama lain iaitu al-fard sebagai sema’na. Tetapi sebahagian ulama membezakan antara kedua-duanya. Dengan itu mereka menjadikan kedua-duanya sebagai bahagian yang berasingan. Akan tetapi Al-Hafiz Ibnu Hajar menganggapnya semakna dari segi bahasa dan istilah. Bagaimanapun beliau berkata: “Ulama Mustalah membezakan antara keduanya dari sudut banyak dan kurang pengunaannya. Mereka lebih banyak menyebut al-fard sebagai al-fard al-mutlaq dan al-gharib pula sebagai al-fard al-nisbi.”

Bahagian–bahagiannya

Berdasarkan tempat berlaku tafarrud (keseorangan), gharib dibahagikan kepada dua iaitu gharib mutlaq dan gharib nisbi.

  1. Al-gharib al-mutlaq atau al-fard al-mutlaq

Ta’rifnya: hadis yang gharabah berlaku pada asal sanad iaitu hadis yang seorang perawi berseorangan meriwayatkan pada asal sanad. Contohnya hadis:

 إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ

“Sesungguhnya amalan itu dikira dengan niat”

Sayyidina ‘Umar bin Al-Khattab berseorangan meriwayatkannya (tafarrada) dan ini kadang kala berterusan sehingga akhir sanad dan kadang-kadang sebilangan perawi meriwayatkan daripada perawi-perawi yang berseorangan itu (al-Mutafarrid).

  1. Al-gharib al-nisbi

Ta’rifnya: hadis yang gharabah berlaku pada pertengahan sanad iaitu lebih daripada seorang perawi yang meriwayatkan pada asal sanad kemudiannya seorang perawi berseorangan meriwayatkannya daripada perawi-perawi itu. Contohnya Hadis Malik daripada al-Zuhri daripada Anas r.a bahawa:

 أن النبي صلى الله عليه وسلم دخل مكة وعلى رأسه المغفر

Rasululah s.a.w memasuki Mekah dalam keadaan memakai mighfar (tudung).

Malik telah berseorangan meriwayatkannya daripada al-Zuhri sebab itu dinamakan gharib nisbi. Sebab dinamakan bahagian ini gharib nisbi ialah kerana tafarrud berlaku dengan nisbah kepada individu tertentu.

Antara bentuk hadis gharib nisbi ialah: Terdapat beberapa bentuk gharabah atau tafarrud yang boleh dikira sebagai gharib nisbi kerana gharabah padanya tidak mutlak. Gharabah padanya wujud secara nisbah atau merujuk kepada sesuatu yang tertentu.

Bentuk-Bentuk gharib nisbi

  1. Tafarrud thiqah dengan periwayatan hadis seperti kata-kata ulama hadis: Tidak seorang pun thiqah yang meriwayatkannya kecuali si fulan.
  2. Tafarrud perawi tertentu daripada perawi tertentu: Seperti kata ulama hadis: “Perawi itu berseorangan meriwayatkan daripada si fulan. Walaupun diriwayatkan dengan sanad atau dengan jalan yang lain melalui perawi yang lain.
  3. Tafarrud penduduk negeri seperti kata ulama hadis iaitu diriwayatkan oleh ahli Makkah atau ahli Sham.
  4. Tafarrud penduduk sebelah negeri daripada penduduk negeri lain seperti kata mereka: Tafarrud penduduk Basrah daripada penduduk Madinah atau tafarrud dalam meriwayatkan hadis ini penduduk Sham daripada penduduk Hijaz.

Pembahagian Lain

Dari segi Gharabah sanad dan matan, Ulama hadis membahagikan gharib kepada:

  1. gharib matan dan sanad.

Iaitu hadis yang seorang perawi berseorangan meriwayatkan matannya.

  1. gharib sanad tidak matan

Seperti hadis yang matannya diriwayatkan oleh sekumpulan perawi daripada kalangan sahabat kemudian seorang perawi berseorangan meriwayatkan daripada sahabat yang lain berkenaan dengan hadis ini Imam al-Tirmidhi menyebut “gharib min hadha al-wajh” gharib dari wajah ini atau jalan ini,

Kitab-Kitab Yang Terdapat Banyak Hadis gharib

  1. Musnad al-Bazzar
  2. Al-Mu’jam al-Awsat oleh al-Tabarani

Kitab-Kitab Yang Terkenal

  1. “Ghara`ib Malik” karangan al-Daruqutni
  2. “Al-Afrad” juga oleh al-Daruqutni
  3. “Al-Sunan Allati Tafarrada Bi kulli Sunnah Minha Ahlu Baldah” oleh Abu Dawud al-Sajistani.

Check Also

Sesi 40 – Mengenali Perawi Thiqah Yang Mengalami Ikhtilat

Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 29- Feb-16     MENGENALI PERAWI THIQAH YANG MENGALAMI …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *