Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Asas / Mustholah Hadis / SESI 18 – Al-Mawdu’
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

SESI 18 – Al-Mawdu’

Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 20 Sep 15

 

 

AL-MAWDU’

Jika sebab kecaman pada perawi itu ialah berdusta atas Rasulullah s.a.w maka hadisnya itu dinamakan hadis mawdu’.

Definisinya

Dari segi bahasa ia adalah kata nama objek daripada wada’a al-shay’ iaitu merendahkannya. Dinamakan demikian kerana kedudukannya yang rendah.

Menurut istilah pula, pendustaan yang direka, dinisbahkan kepada Rasulullah s.a.w.

Kedudukannya

Ia adalah hadis da’if yang paling buruk dan paling keji. Sesetengah ulama menganggapnya sebagai satu bahagian yang tersendiri bukan daripada hadis-hadis da’if.

Hukum Meriwayatkannya

Ulama telah sepakat bahawa tidak halal meriwayatkannya bagi sesiapa yang mengetahui kedudukannya dalam apa bentuk sekalipun melainkan jika diterangkan kepalsuannya berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:

“Sesiapa yang menceritakan daripadaku sesuatu hadis yang kelihatan sebagai palsu maka dia adalah salah seorang pendusta.”

Cara pereka-pereka Hadis Memalsukan Hadis

  1. Sama ada mereka iaitu mencipta ucapannya sendiri kemudian meletakkan satu sanad untuknya lalu dia meriwayatkannya.
  2. Atau dia mengambil ucapan ahli hikmat atau orang lain lalu meletakkan sanad untuknya.

Bagaimana Hadis Mawdu’ Dikenali

Ia dapat dikenali melalui:

  1. Pengakuan oleh pereka itu sendiri seperti pengakuan Abu Ismah Nuh bin Abu Maryam bahawa dia telah mencipta hadis kelebihan setiap surah al-Quran daripada Ibn ‘Abbas.
  2. Sesuatu seperti pengakuan seperti pereka itu menceritakan daripada seorang syeikh. Lalu dia ditanya tentang tahun lahirnya lalu dia menyebutkan tahun kewafatan syeikh tersebut terdahulu dari tahun kelahirannya sendiri dan hadis hadis itu hanya diketahui melaluinya sahaja.
  3. Bukti pada perawi. Contohnya ialah perawi itu seorang rafidah dan hadis pula tentang kelebihan Ahli Bayt.
  4. Bukti pada riwayat. Seperti hadis itu mempunyai lafaz yang rapuh atau bercanggah dengan pancaindera atau nas al-Quran yang terang.

Faktor Pendorong Kepada Pemalsuan Hadis Dan Golongan-Golongan Yang Terlibat

  1. Sangkaan dapat mendekatkan diri kepada Allah s.w.t dengan mencipta hadis-hadis yang menggalakkan manusia kepada kebajikan dan hadis-hadis yang menakutkan dari melakukan kemungkaran. Pereka-pereka ini adalah kumpulan yang menisbahkan diri mereka kepada zuhud dan kesolehan. Mereka adalah perawi yang paling jahat kerana orang ramai menerima hadis-hadis rekaan mereka kerana percayakan mereka. Di antara mereka ini ialah Maysarah bin Abd Rabbih. Ibn Hibban telah meriwayatkan di dalam kitabnya al-Du’afa’ daripada Ibn Mahdi katanya, “Saya bertanya kepada Maysarah bin Abd Rabih: Dari mana anda bawakan hadis-hadis ini, “Siapa yang membaca ini maka pahalanya begini”? Dia menjawab: Saya menciptakannya supaya orang ramai berminat”
  1. Untuk menyokong fahaman, terutamanya fahaman kumpulan-kumpulan politik setelah berlaku fitnah dan kemunculan kumpulan politik seperti Khawarij dan Syiah. Setiap kumpulan menciptakan hadis masing-masing bagi menyokong fahaman mereka seperti hadis: “Ali sebaik-baik manusia, sesiapa yang meraguinya maka kafir”.
  1. Serangan terhadap Islam. Golongan ini ialah ahli zindiq yang tidak mampu menghancurkan Islam secara terbuka lalu mereka memilih cara yang keji ini. Mereka telah mencipta sejumlah hadis dengan tujuan memalsukan Islam dan menyerangnya. Di antara mereka ini ialah Muhammad bin Sa’id al-Shami yang telah disalib kerana kezindikannya. Dia telah meriwayatkan daripada Humayd daripada Anas secara marfu’. “Saya adalah penutup sekelian nabi, tidak ada nabi selepasku kecuali siapa yang Allah kehendaki.” Sesungguhnya para ulama hadis telah bangkit menjelaskan kedudukan hadis-hadis mawdu’, Alhamdulillah, syukur di atas nikmatnya.
  1. Mendampingi pemerintah. Sebahagian mereka yang lemah iman mendekatkan diri dengan para pemerintah dengan mencipta hadis sesuai dengan penyelewengan yang ada pada perintah seperti kisah Ghiyath bin Ibrahim al-Nakha’i al-Kufi dengan al-Mahdi ketika dia menemuinya sedang bermain-main dengan burung merpati. Lalu secara langsung dia membawakan dengan sanadnya kepada Rasulullah s.a.w sebagai bersabda: “Tidak ada perlumbaan kecuali pada pedang, kuda, unta atau burung. Dia telah menambahkan burung kerana al-Mahdi. Mengetahui hal ini, beliau memerintah supaya disembelih merpati itu dan berkata: “Sayalah yang menyebabkan dia berbuat demikian.”
  1. Mencari makan. Seperti sesetengah tukang cerita yang mencari wang dengan menyampaikan hadis kepada orang ramai. Mereka membawakan cerita-cerita yang menghiburkan dan pelik sehingga orang ramai memberi perhatian dan menghulurkan kepada mereka seperti Abu Said al-Mada’ini.
  1. Mencari kemasyhuran. Ini dengan cara mengemukakan hadis-hadis pelik yang tidak ada pada syeikh-syeikh hadis. Mereka memalingkan sanad hadis supaya kelihatan ganjil lalu menarik minat orang lain mendengarnya seperti Abu Dihyah dan Hammad al-Nasibi.

Fahaman Al-Karramiyyah Dalam Masalah Perekaan Hadis

Sekumpulan ahli bid’ah yang dikenali sebagai al-Karramiyyah mendakwa harus mereka hadis-hadis berhubung galakan dan ancaman. Mereka beralasan dengan lafaz tambahan yang diriwayatkan dalam sesetengah jalan hadis: “Sesiapa yang berdusta di atas namaku” iatu tambahan “untuk menyesatkan manusia”. Tetapi tambahan ini tidak sabit di sisi ulama hadis yang hafiz.

Setengah mereka berkata pula: “Kami berdusta untuk kepentingan baginda bukan untuk kemudaratan baginda”. Dalil ini sangat lemah sekali kerana syariat yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w tidak memerlukan para pendusta untuk melariskannya.

Dakwaan ini bercanggah dengan ijma’ umat Islam sehingga Imam Muhammad al-Juwayni menghukumkan kufurnya pereka hadis.

Kesilapan Sesetengah Ahli Tafsir Dalam Menyebutkan Hadis-Hadis Mawdu’

Sesetengah ahli tafsir melakukan kesilapan dalam menyebutkan hadis-hadis mawdu’ di dalam kitab-kitab tafsir mereka tanpa menjelaskan kepalsuannya terutama hadis yang diriwayatkan daripada Ubay bin Ka’b tentang kelebihan al-Quran surah demi surah. Antara ahli tafsir itu ialah:

  1. Al-Tha’labi
  2. Al-Waqidi
  3. Al-Zamakhshari
  4. Al-Baydawi
  5. Al-Shawkani

Kitab-Kitab Yang Terkenal Tentang Hadis-Hadis Mawdu’

Kitab al-Mawdu at karangan Ibn al-Jawzi. Ini merupakan kitab paling awal dalam masalah ini tetapi beliau seorang bermudah dalam menghukumkan sesuatu hadis sebagai mawdu’. Oleh kerana itu, ulama mengkritik dan memberi komentar terhadapnya.

  1. Al-La’ali al-Masnu’ah Fi al-Ahadith al-Mawdu’ah karangan al-Suyuti. Ini merupakan ringkasan kepada kitab Ibn al-Jawzi dan komentar terhadapnya dan tambahan yang tidak disebutkan oleh Ibn al-Jawzi.
  1. Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah ‘An al-Ahadith al-Shani’ah al-Mawdu’ah karangan Ibn `Arraq al-Kinani. Kitab ini adalah ringkasan kepada kedua kitab di atas dan merupakan kitab yang padat, kemas dan berguna.

 

Check Also

Sesi 40 – Mengenali Perawi Thiqah Yang Mengalami Ikhtilat

Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 29- Feb-16     MENGENALI PERAWI THIQAH YANG MENGALAMI …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *