Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Asas / Mustholah Hadis / Sesi 16 – Al- Mudallas
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Sesi 16 – Al- Mudallas

Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 06 Sep 15

 

 

AL-MUDALLAS المدلّس

Definisi al-Tadlis

Dari segi bahasa ia adalah kata nama objek bagi kata dasar tadlis تدليس iaitu menyembunyikan kecacatan barang daripada pembeli. Kata akar tadlis ialah al-dalas الدَّلَسiaitu kegelapan atau pencampurnan dengan kegelapan sebagaimana yang disebutkan oleh kitab al-Qamus al-Muhit. Seolah-olah, kerana perawi mudallis menyembunyikan kepada orang yang mahu mengetahui sesebuah hadis bermakna dia telah menggelapkan perkara itu dan jadilah hadis itu mudallas (digelapkan).

Dari segi istilah ia adalah menyembunyikan keaiban di dalam sanad dan memperelokkan zahirnya.

Pembahagian Tadlis

Tadlis mempunyai dua bahagian utama iaitu Tadlis al-Isnad dan Tadlis al-Shuyukh.

Tadlis al-Isnad

Ulama telah memberi pelbagai definisi bagi tadlis al-Isnad. Penulis akan memilih ta’rif yang paling sahih dan paling halus mengikut pandangan penulis iaitu ta’rif Imam Abu Ahmad bin ‘Amar al-Bazzar dan Abu al-Hasan bin al-Qattan. Ta’rif tersebut ialah: “Seorang perawi meriwayatkan hadis–hadis yang tidak pernah didengari daripada perawi yang dia ada mendengar daripadanya tanpa menyebut dengan jelas bahawa dia mendengar daripadanya”

Huraian Ta’rif

Maksud ta’rif ini ialah Tadlis al-Isnad ialah seorang perawi telah meriwayatkan beberapa hadis daripada seorang syeikh yang dia pernah mendengar daripadanya tetapi hadis yang ditadliskannya itu dia tidak mendengar sendiri daripada syeikh tersebut. Sebenarnya dia meriwayatkannya daripada syeikh yang lain daripada syeikh yang pertama tadi. Jadi dia telah menggugurkan syeikh tersebut lalu meriwayatkan dengan lafaz yang diandaikan dia mendengar sendiri seperti قال‘dia telah berkata’ atauعن ‘daripada’. Bagaimanapun dia tidak menyatakan dengan jelas bahawa dia mendengar hadis tersebut daripada syeikh itu. Dengan sebab itu dia tidak boleh mengata, سمعتُ ‘Saya mendengar’, حدَّثني ‘telah menceritakan kepada saya’, supaya dia tidak menjadi seorang pendusta besar dengan sebab perbuatan itu. Kadang-kadang perawi yang digugurkannya itu lebih daripada seorang.

Perbezaan Antara Tadlis al-Isnad Dan al-Irsal al-Khafiy

Setelah mengemukakan ta’rifnya, Abu al-Hasan al-Qattan menyatakan: “Perbezaan di antara Tadlis al-Isnad dan al-Irsal al-Khafiy iaitu al-Irsal ialah perawinya adalah daripada orang yang dia tidak pernah mendengar hadis daripadanya. Ringkasnya ialah al-Mursil al-Khafiy (perawi yang melakukan al-Irsal al-Khafiy) dan al-Mudallis meriwayatkan daripada syeikh hadis yang tidak pernah didengari daripada syeikh itu dengan lafaz yang memberi kemungkinan dia mendengar. Tetapi al-Mudallis ada mendengar juga beberapa hadis lain selain daripada hadis yang ditadliskannya sedangkan al-Mursil al-Khafiy langsung tidak pernah mendengar hadis daripada syeikh tersebut, baik hadis yang dimursalkannya atau hadis-hadis lain. Cumanya dia hanya hidup sezaman atau pernah bertemu sahaja.

Contohnya:

Hadis yang dikeluarkan oleh al-Hakim dengan sanadnya melalui ‘Ali bin Khashram,

علي بن خشرم قال قال لنا بن عيينة عن الزهري فقيل له سمعته من الزهري فقال لا ولا ممن سمعه من الزهري حدثني عبد الرزاق عن معمر عن الزهري

“‘Ali bin Khashram berkata, Ibn ‘Uyaynah berkata kepada kami daripada al-Zuhri lalu beliau ditanya adakah anda mendengar daripada al-Zuhri katanya tidak, tidak dari orang yang mendengarnya daripada al-Zuhri. ‘Abd al-Razzaq telah menceritakan kepadaku daripada Ma’mar daripada al-Zuhri.”

Di dalam contoh ini, Ibn ‘Uyaynah telah menggugurkan dua orang perawi di antara beliau dan al-Zuhri.

Tadlis al-Taswiyah

Sebenarnya bentuk tadlis ini salah satu bentuk Tadlis al-Isnad. Ta’rifnya ialah periwayatan seorang perawi daripada syeikhnya kemudian menggugurkan seorang perawi da’if di antara dua perawi thiqah yang masing-masing saling bertemu. Gambarannya ialah seorang perawi meriwayatkan satu hadis daripada seorang syeikh yang thiqah. Syeikh yang thiqah itu meriwayatkan daripada perawi da’if daripada perawi thiqah. Dua perawi yang thiqah ini pernah bertemu. Lalu perawi yang mendengar hadis daripada thiqah yang pertama datang dengan menggugurkan perawi da’if yang terdapat di dalam sanad. Dia menjadikan sanad itu daripada syeikh yang thiqah dari syeikh thiqah yang kedua dengan lafaz yang tidak jelas lalu dia telah menyamakan keseluruhan sanad itu daripada perawi-perawi thiqah.

Ini adalah bentuk tadlis yang paling jelik kerana perawi thiqah yang pertama kemungkinan tidak pernah dikenali sebagai mudallis. Orang yang datang kemudian dan melihat sanad ini setelah berlaku tadlis taswiyah akan mendapati ianya telah diriwayatkan daripada perawi thiqah lalu dia menghukumkan sahih. Maka ini adalah satu tipu daya yang dahsyat.

Perawi Yang Terkenal Melakukan Tadlis

  1. Baqiyyah bin al-Walid. Abu Mushir berkata : “Hadis-hadis Baqiyyah tidaklah bersih maka hendaklah anda berwaspada”
  1. Al-Walid bin Muslim. Contohnya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim di dalam kitabnya al-‘Ilal, katanya: Saya mendengar bapa saya berkata: -lalu dia menyebutkan hadis yang diriwayatkan oleh Ishaq bin Rahawayh daripada Baqiyyah, Abu Wahb al-Asadi telah menceritakan kepada saya daripada Nafi’ daripada Ibn `Umar hadis: Jangan kamu memuji keislaman seseorang sehinggalah kamu mengetahui pegangannya. Bapa saya berkata: Hadis ini mempunyai satu perkara yang jarang diketahui. Hadis ini diriwayatkan daripada `Ubaydullah bin `Amar (thiqah) daripada Ishaq bin Abu Farwah (da’if) daripada Nafi’ daripada Ibn `Umar daripada Rasulullah s.a.w. `Ubaydullah adalah seorang yang thiqah. Ibn `Amar, kuniahnya ialah Abu Wahb dan dia dinisbahkan dengan al-Asadi. Baqiyyah telah menyebutkan `Ubaidullah dengan kunyahnya dan menisbahkannya kepada Bani Asad supaya kedudukannya tidak diketahui sehingga orang lain tidak menyedari bahawa dia menggugurkan Ishaq bin Abi Farwah.

Tadlis al-Shuyukh

Definisi: Seorang perawi meriwayatkan satu hadis yang didengarnya daripada syeikh lalu dia menamakannya, memberikan kunyah, menisbahkannya atau menyifatkannya dengan sesuatu yang syeikh itu tidak dikenali dengannya supaya tidak dikenali.

Huraian Ta’rif: seorang meriwayatkan sebuah hadis daripada seorang syeikh yang dia belajar dan mendengar riwayat daripadanya, yakni tidak berlaku pengguguran dan pada tadlis al-shuyukh tetapi terdapat penyamaran dan penyembunyian bagi nama syeikh itu, kunyah, nisbahnya atau sifatnya. Bagi menjelaskan lagi kita katakan:

  1. Nama syeikh: Mahmud bin Ahmad al-Tahhan
  2. Kunyah : Abu Hafs
  3. Nisbah: al-Tahhan
  4. Antara sifatnya: berjanggut putih.

Maka datanglah seorang perawi mudallis lalu dia berkata, telah meriwayatkan kepada saya:

  1. Ibn Ahmad
  2. Atau Abu Suhayl
  3. Atau Mahmud al-Halabi
  4. Atau si janggut putih

Perkara-perkara ini bertepatan dan bersesuaian dengan syeikh kerana:

  1. Namanya itu memang Ibn Ahmad (anak Ahmad)
  2. Kunyahnya Abu Suhayl kerana salah seorang anaknya bernama Suhayl
  3. Nisbahnya al-Halabi kerana beliau dari Bandar Halab.
  4. Sifatnya, memang beliau mempunyai janggut putih.

Bagaimanapun syeikh ini tidak dikenali di kalangan orang ramai dengan nama ini. Oleh itu, menamakannya dengan nama ini merupakan satu bentuk penyamaran dan penyembunyian dan inilah yang dikehendaki oleh perawi mudallis, iaitu mensifatkannya dengan sesuatu yang orang lain mengenalnya supaya tidak dikenali. Ini kerana terdapat aib pada syeikh itu seperti da’if, masih muda dan sebagainya.

Contohnya: Abu Bakr bin Mujahid, salah seorang imam qiraat berkata: `Abdullah bin Abi `Abdullah menceritakan kepada saya. Yang dimaksudkannya ialah Abu Bakr bin Abu Dawud al-Sajistani.

Hukum Tadlis

Tadlis al-Isnad hukumnya ialah sangat makruh dan dicela oleh kebanyakan ulama. Shu’bah adalah seorang ulama yang keras dalam mencela tadlis sehingga ada beberapa celaan daripada beliau. Antaranya ialah, tadlis adalah saudara berdusta.

Manakala hukum tadlis al-Taswiyah lebih makruh lagi sehingga al-Iraqi berkata : Ia mencacatkan orang yang sengaja melakukannya.

Tadlis al-Shuyukh pula, hukum makruhnya lebih ringan daripada tadlis al-Isnad kerana mudallis tidak menggugurkan sesiapa. Ia dihukumkan makruh kerana mengabaikan perawi yang diriwayatkan daripadanya dan menyukarkan kepada pendengar untuk mengetahuinya. Keadaan makruh berbeza mengikut tujuan tadlis itu.

Sebab-Sebab Berlakunya Tadlis

Sebab-sebab berlakunya tadlis al-Shuyukh:

  1. Syeikh itu seorang da’if atau tidak thiqah
  2. Syeikh itu berusia lanjut sehingga sekumpulan perawi yang lain juga mendengar hadis daripadanya selain dari perawi yang melakukannya tadlis.
  3. Syeikh itu muda sehingga muridnya itu lebih tua daripadanya.
  4. Terlalu banyak periwayatan daripada beliau. Oleh itu perawi yang melakukan tadlis ini tidak mahu menyebutkan nama gurunya ini dengan satu cara.

Tujuan-Tujuan Tadlis Al-Isnad

  1. Untuk mewahamkan bahawa sanad itu tinggi
  2. Terlepas satu bahagian hadis daripada syeikh yang dia mendengar daripadanya.
  3. Syeikh itu seorang da’if atau tidak thiqah.
  4. Syeikh itu berusia lanjut sehingga sekumpulan perawi yang lain juga mendengar hadis daripadanya selain dari perawi yang melakukan tadlis.
  5. Syeikh itu muda sehingga muridnya itu lebih tua daripadanya.

Tiga Sebab mengapa Tercelanya Perawi Tadlis

  1. Dia telah mewahamkan bahawa dia mendengar hadis daripada perawi yang tidak didengarinya.
  2. Dia meninggalkan cara periwayatan yang nyata kepada cara yang menimbulkan pelbagai kemungkinan.
  3. Dia menyedari sekiranya dia menyebutkan perawi yang ditadliskannya tentu dia tidak akan disenangi.

Hukum Periwayatan Perawi Tadlis

Ulama berbeza pendapat tentang penerimaan riwayat perawi tadlis. Dua pendapat yang masyhur ialah:

  1. Riwayatnya ditolak sama sekali walaupun dia menyatakan bahawa dia mendengar kerana tadlis itu sendiri merupakan tajrih. Pendapat ini tidak dipegang oleh ulama.
  2. Pendapat yang sahih mengemukakan perincian iaitu:
  3. Jika dia menyatakan `saya mendengar’ maka riwayatnya diterima iaitu beliau mengatakan saya mendengar atau sebagainya maka hadisna diterima.
  4. Jika dia tidak menjelaskan bahawa dia mendengar maka riwayatnya tidak diterima. Iaitu jika dia mengatakan `daripada’ dan sebagainya maka hadisnya tidak diterima.

Bagaimana Tadlis Dapat Dikenalpasti?

Tadlis dapat dikesan melalui dua perkara:

  1. Pengakuan perawi mudallis sendiri apabila ditanya sebagaimana yang berlaku kepada Ibn `Uyaynah.
  2. Keterangan oleh mana-mana imam dalam bidang ini berdasarkan kepada pengetahuannya yang diperolehi melalui kajian dan penyelidikan.

Kitab-Kitab Yang Terkenal Tentang Tadlis Dan Perawi-Perawi Mudallis

Antara kitab yang paling masyhur ialah:

  1. Tiga buah kitab yang ditulis oleh al-Khatib al-Baghdadi, satu kitab tentang senarai mudallis iaitu al-Tabyin Li Asma’ al-Mudallisin dan dua buah lagi tentang bentuk-bentuk tadlis.
  2. Al-Tabyin Li Asma al-Mudallisin oleh Burhan al-Din bin al-Halabi 3. Ta’rif Ahl al-Taqdis Bi Maratib al-Mawsufin bi al-Tadlis oleh Hafiz Ibn Hajar.

Check Also

Sesi 40 – Mengenali Perawi Thiqah Yang Mengalami Ikhtilat

Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 29- Feb-16     MENGENALI PERAWI THIQAH YANG MENGALAMI …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *