Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Asas / Mustholah Hadis / Sesi 14 – Mardud Dengan Sebab Gugur Perawi Dari Sanad, Al-Mu’allaq, Al-Mursal
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Sesi 14 – Mardud Dengan Sebab Gugur Perawi Dari Sanad, Al-Mu’allaq, Al-Mursal

Ust Mohd Hanief Awang Yahaya, 16-Ogos-15

 

 

Perbahasan Kedua: Mardud Dengan Sebab Gugur Perawi Dari Sanad

Maksud gugur dari sanad ialah terputus rantaian perawi dengan sebab gugur seorang perawi dari sanad, secara sengaja ataupun tidak, yang dilakukan oleh sebahagian perawi, sama ada dari awal sanad, pertengahan ataupun akhir, sama ada secara jelas atau tersembunyi.

Bahagian-Bahagian Gugur

Berdasarkan kepada jelasnya atau tidak gugur perawi dari sanad itu terbahagi kepada dua:

Pertama: Gugur Yang Jelas

Gugur ini diketahui oleh para imam dan mereka yang terlibat dengan ilmu-ilmu hadis. Bentuk gugur ini dapat dikesan berdasarkan kepada seorang perawi itu tidak bertemu dengan gurunya. Sama ada dia tidak sezaman dengannya atau sezaman tetapi tidak sempat bertemu dengannya (dan tidak mempunyai ijazah dan juga wijadah). Oleh itu, pengkaji sanad-sanad hadis perlu mengetahui sejarah perawi-perawi kerana ia mengandungi keterangan tentang tarikh lahir dan wafat, zaman pengajian, pengembaraan mereka dan sebagainya.

Ulama hadis telah memperkenalkan empat nama bagi hadis yang mengalami gugur jelas berdasarkan kepada tempat atau bilangan perawi yang gugur.

  1. al- Mu‘allaq
  2. al-Mursal
  3. al-Mu‘dal
  4. al-Munqati’

Kedua: Gugur Tersembunyi

Bahagian ini hanya diketahui oleh para imam yang mahir dan mengetahui jalan-jalan hadis dan kecacatan-kecacatan sanad. Ia mempunyai dua nama iaitu:

  1. al-Mudallas
  2. al-Mursal al-Khafiy

 

AL- MU‘ALLAQ المعلّق

Definisi
Dari segi bahasa ia adalah kata nama objek bagi kata kerja ‘allaqa al-shay` علّق الشيئ iaitu menggantungkan dan mengikatnya supaya ia menjadi tergantung. Sanad ini dinamakan dengan mu‘allaq kerana ia bersambung dengan bahagian atas sanad sahaja dan terputus pada bahagian paling bawah seperti sesuatu yang tergantung pada bumbung.
Dari segi istilah ia adalah hadis yang dibuang seorang perawi atau lebih pada awal sanad secara berturut.

Bentuknya

  1. Keseluruhan sanad dibuang kemudian dikatakan Rasulullah s.a.w. bersabda…
  2. Keseluruhan sanad dibuang kecuali sahabat atau sahabat dan tabi’in.

Contoh

Hadis yang dikeluarkan oleh al-Bukhari di awal tajuk Bab Ma Yudhkar fi al-Fakhdh:

وَقَالَ أَبُو مُوسَى غَطَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رُكْبَتَيْهِ حِينَ دَخَلَ عُثْمَانُ

Abu Musa berkata: Rasulullah s.a.w. menutup kedua-dua lututnya ketika ‘Uthman masuk.”

 

Hadis ini adalah hadis mu‘allaq kerana Imam al-Bukhari membuang keseluruhan sanadnya kecuali sahabat sahaja iaitu Abu Musa al-Ash’ari.

Hukum Hadis Mu‘allaq

Hadis mu‘allaq adalah mardud (tertolak) kerana ia tidak mempunyai salah satu syarat penerimaan hadis iaitu bersambung-sambung sanad. Tertolaknya hadis itu dengan sebab gugur seorang atau lebih perawi dari sanad dalam keadaan tidak diketahui keadaan perawi yang gugur itu.

Hukum Hadis-Hadis Mu‘allaq Dalam Sahih al-Bukhari Dan Muslim

Hukum ini iaitu hadis mu‘allaq tertolak hanya kepada hadis mu‘allaq secara mutlak. Tetapi jika hadis mu‘allaq itu didapati di dalam kitab yang pengarangnya beriltizam hanya mengeluarkan hadis sahih sahaja seperti Sahih al-Bukhari dan Muslim, maka ia mempunyai hukum yang tersendiri. Penulis sudahpun menyentuhnya dalam perbahasan hadis sahih. Namun tidak mengapa untuk disebutkan juga di sini.

  1. Hadis yang disebutkan dengan lafaz yang pasti seperti ‘berkata’, ‘menyuruh’ dan ‘menyebut’ maka ia dihukumkan sebagai sahih daripada orang yang disandarkan kepadanya hadis itu.
  2. Hadis yang dikemukakan dengan lafaz yang tidak pasti seperti ‘diriwayatkan daripada’, ‘disebutkan’, ‘diceritakan’, ‘telah diriwayatkan’, ‘telah disebutkan’, maka ia tidak dihukumkan sebagai sahih. Bagaimanapun di dalam Sahih al-Bukhari ini, tidak ada satupun hadis wahin (sangat da’if) untuk dimasukkan dalam kitab yang dinamakan dengan kitab sahih. Untuk mengetahui kesahihan dan keda’ifan hadis ini, perlu mengkaji sanad hadis ini dan menghukumnya sesuai dengan kedudukannya.

 

AL-MURSAL

Definisi

Dari segi bahasa ia adalah kata nama objek bagi kata kerja “arsal” iaitu melepaskan. Seolah-olah orang yang meriwayatkan hadis secara mursal melepaskan sanadnya tanpa mengikatnya dengan perawi yang dikenali. Dari segi istilah ia adalah hadis yang gugur dari penghujung sanad perawi selepas tabi’in.

Bentuknya

Bentuknya ialah seorang tabi’in – besar atau kecil berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda, melakukan sesuatu atau sesuatu perkara dilakukan di hadapan baginda. Ini adalah bentuk mursal di sisi ulama hadis.

Contoh

Hadis yang dikeluarkan oleh Imam Muslim di dalam sahihnya dalam kitab al-Buyu’

Kata Imam Muslim: Muhammad bin Rafi’ menceritakan kepadaku bahawa al-Layth menceritakan daripada`Uqayl daripada Ibn Shihab daripada Sa’id bin al-Musayyab bahawa Rasulullah s.a.w melarang dari al-muzabanah dan al-muhaqalah.

Sa’id bin al-Musayyab adalah tabi’in besar telah meriwayatkan hadis ini daripada Rasulullah s.a.w tanpa menyebut perantaraan di antaranya dengan Rasulullah s.a.w. Beliau telah menggugurkan daripada sanad ini seorang perawi selepas dari tabi’in. Paling kurang seorang sahabat yang gugur dan berkemungkinan gugur bersama sahabat itu perawi lain seperti seorang tabi’in.

Mursal Menurut Fuqaha’ Dan Ulama Usul

Bentuk mursal yang penulis sebutkan itu adalah mursal di sisi Ulama Hadis. Sementara itu, mursal menurut Fuqaha dan Ulama Usul lebih luas lagi. Bagi mereka, setiap hadis munqati’ tanpa mengira bagaimana bentuk terputus sanadnya adalah mursal. Ini juga pendapat al-Khatib al-Baghdadi.

Hukumnya

Mursal pada asalnya da’if dan tertolak kerana tidak memiliki salah satu syarat hadis maqbul iaitu tidak bersambung-sambung sanadnya dan kedudukan perawi yang digugurkan tidak diketahui. Ada kemungkinan perawi yang gugur itu bukan sahabat. Dalam hal ini, boleh jadi perawi yang gugur itu bukan sahabat. Dalam hal ini, boleh jadi perawi yang gugur itu da’if.

Walaupun begitu, ulama hadis dan lain-lain tidak sepakat tentang hukum hadis mursal dan berhujah dengannya kerana bentuk inqita’ (terputus sanad) berbeza dengan yang lain. Juga kerana perawi yang gugur itu biasanya sahabat dan kesemua sahabat adalah adil dan tidak menjejaskan sanad jika mereka tidak diketahui.

Ringkasnya ada tiga pendapat ulama tentang hadis mursal:

  1. Da’if dan Mardud, iaitu di sisi kebanyakan ulama hadis, ulama usul dan fuqaha. Hujah mereka ialah kerana tidak diketahui kedudukan perawi yang digugurkan kerana ada kemungkinan dia bukan sahabat.
  1. Sahih dan dijadikan hujah, ini pendapat Imam Abu Hanifah, Malik dan Ahmad dalam satu riwayat yang masyhur daripadanya serta sekumpulan ulama dengan syarat perawi yang memursalkan itu seorang thiqah dan hanya memursalkan daripada perawi thiqah sahaja. Hujah mereka ialah tabi’in yang thiqah tidak menganggap harus untuk berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda kecuali beliau mendengar daripada perawi yang thiqah.
  1. Menerima dengan syarat. Iaitu mursal menjadi sahih dengan beberapa syarat. Ini merupakan pendapat al-Shafi’i dan sebahagian ahli ilmu. Ada empat syarat, tiga berkenaan dengan perawi yang memursalkan dan satu berkenaan hadis mursal itu. Syarat-Syarat tersebut ialah:
  1. Perawi yang memursalkan itu adalah tabi’i yang besar.
  2. Apabila beliau menyebutkan perawi yang digugurkan itu, beliau akan menamakan perawi yang thiqah.
  3. Beliau tidak bercanggah dengan perawi-perawi yang hafiz dan dipercayai jika mereka meriwayatkan hadis yang sama.
  4. Tiga syarat di atas hendaklah disertakan dengan salah satu syarat yang berikut:
  • Hadis itu diriwayatkan melalui jalan yang lain secara musnad (bersambung)
  • Hadis itu diriwayatkan secara mursal melalui tariq yang lain bukan dari perawi hadis mursal yang pertama itu.
  • Hadis itu bertepatan dengan qawl al-Sahabi (pendapat sahabat)
  • Kebanyakan ulama menfatwakan mengikut ma’na hadis itu.

Apabila syarat-syarat ini dipenuhi, kesahihan punca hadis mursal itu akan terbukti begitu juga riwayat-riwayat lain yang menyokongnya. Kedua-duanya adalah sahih. Sekiranya terdapat suatu hadis sahih yang mempunyai satu jalan (sanad) bercanggah dengannya dan tidak dapat diselaraskan antara kedua-duanya maka haids itu akan ditarjihkan dengan sebab mempunyai bentuk jalan.

Perkara-perkara yang menjadi tambahan kepada syarat-syarat di atas dapat dihuraikan dengan cara berikut:

Hadis mursal + hadis musnad = sahih

Hadis mursal + hadis mursal = sahih

Hadis mursal + qawl sahabat = sahih

Hadis mursal + fatwa kebanyakan ulama = sahih

Mursal al-Sahabi

Iaitu hadis yang diriwayatkan oleh sahabat tentang ucapan atau perbuatan Rasululah s.a.w yang tidak pernah didengari dan disaksikannya. Sama ada kerana usianya yang muda atau lewat memeluk Islam atau tidak ada di samping baginda. Hadis-hadis sahabat-sahabat yang kecil termasuk di dalam bahagian ini seperti Ibn `Abbas, Ibn al-Zubayr dan lain-lain.

Hukum Mursal al-Sahabi

Mengikut pendapat yang masyhur yang diputuskan oleh majoriti ulama ialah sahih dan dijadikan hujah kerana jarang berlaku periwayatan sahabat daripada tabi’in. Apabila sahabat meriwayatkan daripada tabi’in mereka akan menyatakan dan mereka berkata: Rasulullah s.a.w bersabda hukum asal ialah mereka mendengar daripada sahabat lain. Sebagaimana ditegaskan sebelum ini, menggugurkan sahabat di dalam periwayatan tidak menjejaskan sanad.

Dikatakan hukum mursal al-Sahabi seperti mursal lain, tetapi pendapat ini da’if dan tertolak.

Kitab-kitab yang masyhur

  1. Al-Marasil karangan Abu Dawud.
  2. Al-Marasil karangan Ibn Abi Hatim
  3. Jami’ al-Tahsil Li Ahkam al-Marasil karangan al-‘Ala’’i

Check Also

Sesi 40 – Mengenali Perawi Thiqah Yang Mengalami Ikhtilat

Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 29- Feb-16     MENGENALI PERAWI THIQAH YANG MENGALAMI …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *