Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Asas / Mustholah Hadis / Sesi 13 – (sambungan) Nasikh Al-Hadith Wa Mansuukhuh, Khabar Mardud Dan Sebab-sebab Penolakannya, Al-Da’if
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Sesi 13 – (sambungan) Nasikh Al-Hadith Wa Mansuukhuh, Khabar Mardud Dan Sebab-sebab Penolakannya, Al-Da’if

Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 09 Ogos 15

 

 

Bagaimana Hadis Nasikh Dan Mansukh Diketahui?

Hadis nasikh dan mansukh diketahui dengan salah satu daripada perkara-perkara berikut:

  1. Penjelasan Rasulullah s.a.w. seperti hadis Buraydah di dalam Sahih Muslim:

كُنْتُ نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيارَةِ القُبُورِ فَزُورُوها فَإنَّها تُذَكِّرُ الآخِرَةَ 

“Dahulu aku melarang kamu dari menziarahi kubur, maka ziarahilah kubur kerana ia mengingatkan kamu akan akhirat.”

  1. Kata-kata sahabat seperti Jabir bin ’Abdullah berkata:

كَانَ آخِرَ الْأَمْرَيْنِ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَرْكُ الْوُضُوءِ مِمَّا غَيَّرَتْ النَّارُ

Perkara terakhir daripada Rasulullah s.a.w. ialah tidak berwudu` kerana memakan makanan yang dimasak dengan api.”

 Hadis ini telah dikeluarkan oleh pengarang-pengarang kitab sunan.

  1. Mengetahui sejarah seperti hadis Shaddad bin Aws yang diriwayatkan oleh Abu Dawud:

أَفْطَرَ الْحَاجِمُ وَالْمَحْجُومُ

“Puasa tukang bekam dan orang dibekam telah terbatal.”

Hadis ini telah dinasakhkan oleh hadis Ibn ‘Abbas:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ احْتَجَمَ وَهُوَ مُحْرِمٌ وَاحْتَجَمَ وَهُوَ صَائِمٌ

“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah berbekam di dalam keadaan baginda berihram dan berpuasa.”

Dalam sesetengah jalan hadis Shaddad, itu berlaku pada zaman pembukaan Mekah sedangkan Ibn ‘Abbas mendampingi baginda ketika Hajjah al-Wida’.

  1. Petunjuk ijma’ seperti hadis

مَنْ شَرِبَ الْخَمْرَ فَاجْلِدُوهُ فَإِنْ عَادَ فِي الرَّابِعَةِ فَاقْتُلُوهُ

“Sesiapa meminum arak maka hendaklah kamu menyebatnya. Sekiranya dia mengulangi pada kali keempat maka bunuhlahnya.” (hadis riwayat al-Tirmidhi dan Abu Dawud)

Imam al-Nawawi berkata: Ijma’ menunjukkan tentang mansukhnya hukum itu. Ijma’ itu sendiri tidak memansukhkannya dan tidak juga dinasakhkan tetapi menunjukkan kepada nasikh (hadis yang menasakhkan).

Kitab-Kitab Yang Terkenal

  1. al-I’tibar fi al-Nasikh Wa al-Mansukh Min al-Athar karangan Abu Bakar Muhammad ibn Musa al-Hazimi.
  2. al-Nasikh wa al-Mansukh karangan Imam Ahmad
  3. Tajrid al-Ahadith al-Mansukhah tulisan Ibn al-Jawzi.

 

FASAL KETIGA: KHABAR MARDUD (TERTOLAK)

 

KHABAR MARDUD DAN SEBAB-SEBAB PENOLAKANNYA

Definisi

Hadis yang tidak terbukti kebenaran perawi kerana ketiadaan salah satu atau lebih syarat penerimaan hadis yang kita telah bincangkan dalam perbahasan hadis sahih.

Pembahagian Mardud Dan Sebab-Sebab Penolakannya

Ulama telah membahagikan khabar mardud kepada beberapa bahagian. Bagi setiap bahagian itu, ulama telah menyebutkan namanya masing-masing. Ada juga yang tidak diberikan nama khusus tetapi mereka menamakannya dengan nama umum iaitu da’if.

Terdapat banyak sebab-sebab penolakan sesuatu hadis namun secara ringkasnya ia merujuk kepada dua sebab utama iaitu:

  1. Keguguran perawi daripada sanad
  2. Kecaman terhadap perawi

Di bawah setiap sebab ini terdapat pelbagai bentuk. Penulis akan membincangkan dengan berasingan secara terperinci dengan didahului dengan perbahasan da’if yang dikira sebagai nama umum bagi hadis mardud.

PERBAHASAN PERTAMA: AL-DA’IF

Definisi

Dari sudut bahasa ia lawan kepada al-qawiyy (yang kuat), kelemahan itu terbahagi kepada konkrit dan abstrak. Yang dimaksudkan di sini ialah kelemahan abstrak.

Makna istilahnya pula ialah hadis yang tidak mencukupi sifat hasan kerana ketiadaan salah satu syaratnya.

Al-Bayquni mengungkapkan di dalam nazamnya:

Setiap hadis rendah daripada tingkat hasan, maka itu da’if dan banyak pula bahagiannya.

Kepelbagaiannya

Tahap keda’ifan hadis berbeza mengikut tahap berat dan ringan kelemahan para perawi sebagaimana terdapat pelbagai tingkatan bagi hadis sahih. Antaranya da’if, da’if jiddan, wahi, munkar dan yang paling jelik ialah maudu’.

Sanad Yang Paling Lemah

Berdasarkan kepada perbahasan dalam hadis sahih tentang sanad yang paling sahih, ulama menyebut dalam perbahasan da’if satu istilah yang dinamakan sanad yang paling lemah. Al-Hakim al-Naysaburi menyebut beberapa sanad yang paling da’if dengan nisbah kepada sebahagian sahabat, sebahagian kawasan dan negeri. Penulis akan menyebutkan beberapa contoh daripada kitab al-Hakim dan kitab-kitab lain.

  1. Sanad yang paling lemah dengan nisbah kepada Abu Bakar al-Siddiq iaitu Sadaqah bin Musa al-Daqiqi daripada Farqad al-Sabakhi daripada Murrah al-Tayyib daripada Abu Bakar.
  2. Sanad penduduk Sham yang paling lemah iaitu Muhammad bin Qays al-Maslub daripada `Ubaydullah bin Zahr daripada `Ali bin Yazid daripada al-Qasim daripada Abi Umamah.
  3. Sanad yang paling lemah dengan nisbah kepada Ibn `Abbas iaitu al-Suddi al-Saghir Muhammad bin Marwan daripada al-kalbi daripada Abu Salih daripada Ibn `Abbas. Hafiz Ibn Hajr berkata: Ini adalah silsilah dusta bukan silsilah emas.

Contoh

Hadis yang dikeluarkan oleh al-Tirmidhi daripada tariq Hakim al-Athram daripada Abu Tamimah al-Hujaymi daripada Abu Hurayrah bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

“Sesiapa yang mendatangi perempuan yang haid atau mendatangi isteri pada duburnya atau menemui tukang tilik, sesungguhnya dia telah mengkufuri apa yang telah diturunkan kepada Muhammad s.a.w.”

 Setelah mengeluarkan hadis ini, al-Tirmidhi mengulas: kita tidak mengetahui hadis ini dari hadis Hakim al-Athram daripada Abu Tamimah al-Hujaymi daripada Abu Abu Hurayrah .” Kemudian al-Tirmidhi berkata lagi: “Muhammad al-Bukhari telah menda’ifkan hadis ini dari sudut sanadnya. Penulis berpendapat ini kerana pada sanadnya ada Hakim al-Athram. Ulama telah mengatakannya da’if. Dalam Taqrib al-Tahdhib, Hafiz Ibn Hajar berkata: Padanya ada kelemahan”.

Hukum Meriwayatkan Hadis Da’if

Di sisi ulama hadis dan juga orang lain, harus meriwayatkan hadis da’if dan bermudah pada sanadnya tanpa menjelaskan keda’ifannya berbeza dengan yang maudu’ kerana tidak harus meriwayatkannya kecuali dengan menjelaskan tentangnya. Keharusan meriwayatkan hadis da’if dengan dua syarat:

  1. Tidak berkait dengan `akidah.
  2. Periwayatan itu bukan tentang hukum syara’ yang berkaitan dengan halal haram.

Harus meriwayatkannya pada perkara seperti peringatan, galakan, ancaman, cerita-cerita dan sebagainya. Antara mereka yang disebutkan bermudah-mudah dalam meriwayatkannya ialah Sufyan al-Thawri, `Abdul Rahman bin Mahdi dan Ahmad bin Hanbal.

Perlu diberi perhatian apabila anda meriwayatkan hadis da’if tanpa sanad, maka janganlah anda menyebutkan ‘Rasulullah s.a.w bersabda’, tetapi katakanlah ‘diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w. .. atau `sampai kepada kami’ dan sebagainya supaya anda tidak secara pasti menisbahkan hadis tersebut kepada Rasulullah s.a.w sedangkan anda mengetahui kelemahannya.

Hukum Beramal Dengan Hadis Da’if

Ulama berbeza pendapat tentang hukum beramal dengan hadis da’if. Pendapat yang dipegang oleh majoriti ulama ialah dianggap elok beramal dengan hadis da’if berkenaan dengan keutamaan-keutamaan amalan namun dengan tiga syarat yang telah dihuraikan oleh Hafiz Ibn Hajar.

  1. Keda’ifan yang tidak bersangatan.
  2. Ia termasuk di bawah prinsip atau dalil yang diamalkan.
  3. Tidak boleh yakin tentang sabitnya ketika beramal dengannya bahkan mesti berhati-hati.

Kitab-Kitab Terkenal Yang Didapati Mengandungi Banyak Hadis Da’if:

  1. Kitab-kitab yang disusun berkenaan perawi-perawi da’if seperti Kitab al-Du’afa’ tulisan Ibn Hibban, Mizan al-I’tidal karangan al-Zahabi. Mereka telah menyebutkan contoh-contoh hadis da’if yang menjadi da’if kerana periwayatan orang-orang da’if tersebut.
  1. Kitab-kitab yang disusun tentang bentuk-bentuk da’if secara khusus seperti kitab-kitab al-Marasil , al-‘Ilal, al-Mudraj dan sebagainya. Contohnya Kitab al-Marasil tulisan Abu Dawud, Kitab al-Ilal susunan al-Daruqutni.

Check Also

Sesi 40 – Mengenali Perawi Thiqah Yang Mengalami Ikhtilat

Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 29- Feb-16     MENGENALI PERAWI THIQAH YANG MENGALAMI …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *