Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Asas / Mustholah Hadis / Sesi 12 – (Sambungan) Al-Muhkam Wa Al Mukhtalif Al-Hadith, Nasikh Al-Hadith Wa Mansuukhuh
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Sesi 12 – (Sambungan) Al-Muhkam Wa Al Mukhtalif Al-Hadith, Nasikh Al-Hadith Wa Mansuukhuh

Ust Mohd Hanief Awang Yahaya, 03-Ogos-15

 

 

Contoh Hadis Mukhtalif

Hadis لَا عَدْوَى وَلَا طِيَرَة “Tidak ada jangkitan dan sial burung” yang dikeluarkan oleh Muslim dan hadis

وَفِرَّ مِنْ الْمَجْذُومِ كَمَا تَفِرُّ مِنْ الْأَسَدِ

“Larilah dari orang yang diserang kusta seperti anda lari dari singa”

yang dikeluarkan oleh al-Bukhari.

Kedua-dua hadis ini adalah sahih, namun pada zahirnya ada pertentangan kerana hadis yang pertama menafikan jangkitan manakala hadis yang kedua mensabitkannya. Para ulama telah mengkompromikan dan menyelaraskan antara kedua-dua maknanya dengan pelbagai cara. Di sini penulis menyebutkan pandangan yang telah dipilih oleh al-Hafiz Ibn Hajar yang keterangannya seperti berikut:

Metode Penyelarasan

Cara menyelaraskan antara dua hadis ini boleh dikatakan, jangkitan itu dinafikan ada dan ianya tidak sabit berdasarkan kepada sabda Rasulullah s.a.w.:

لا يٌعْدِي شيء شيئاً

Sesuatu itu tidak boleh menjangkiti sesuatu yang lain.

Dan sabda baginda kepada orang yang mempersoalkan tentang unta yang berkurap yang berada di tengah-tengah unta sihat lalu bercampur dengannya dan unta dijangkiti kurap juga. Baginda menjawab:

فَمَنْ أَجْرَبَ الْأَوَّلَ

Kalau begitu siapa yang menyebabkan jangkitan pada unta yang pertama?

Maksudnya ialah Allah s.w.t. yang menyebabkan penyakit itu pada yang kedua sebagaimana Dia menyebabkan pada yang pertama. Perintah lari atau menjauhi dari orang yang terkena kusta itu adalah sebagai menutup pintu-pintu kerosakan (Sadd al-Dhari’ah) supaya seseorang yang bergaul dengan pesakit kusta itu tidak terkena kepadanya penyakit kusta dengan takdir Allah bukan kerana jangkitan. Dengan itu, dia akan menyangka itu kerana dia bergaul dengan pesakit itu, lalu menyebabkannya mempercayai adanya jangkitan dan menjerumuskannya dalam dosa. Oleh kerana itu, diperintahkan supaya menjauhi pesakit kusta sebagai mengelak diri daripada terjerumus dalam kepercayaan yang membawanya kepada dosa.

Apakah Yang Wajib Dilakukan Bila Menemui Dua Hadis Maqbul Yang Saling Bertentangan?

Bila seseorang menemui dua hadis maqbul yang saling bertentangan, dia wajib mengikuti peringkat-peringkat berikut:

  1. Dia mesti menyelaraskan antara kedua hadis tersebut jika boleh dan wajib beramal dengan kedua-duanya.
  1. Jika tidak boleh diselaraskan dengan apa-apa sudut:
  •  Sekiranya diketahui mana satu yang nasikh, maka itulah yang diutamakan dan diamalkan dengannya serta yang mansukh ditinggalkan.
  •  Sekiranya tidak diketahui nasikh dan mansukh, maka ditarjihkan salah satunya dengan mana-mana bentuk tarjih yang berjumlah lebih daripada lima puluh bentuk. Dengan itu, hadis yang rajah (kuat) diamalkan.
  • Sekiranya salah satu hadis tersebut tidak dapat ditarjihkan – ini jarang berlaku – maka ditangguhkan beramal dengan hadis tersebut sehinggalah alasan yang kuat diketahui .

Kepentingan

Bahagian ini merupakan antara cabang ilmu hadis yang terpenting kerana semua ulama terpaksa mengetahuinya. Kemahiran yang sempurna di dalam disiplin ini hanya dimiliki oleh imam-imam yang menggabungkan antara ilmu hadis dan fiqh dan ulama usul yang menyelami makna-makna yang halus. Bagi mereka, jarang sekali timbul kemusykilan apabila berhadapan dengan hadis-hadis seperti ini.

Pertentangan dalil-dalil benar-benar telah merangsangkan fikiran ulama. Padanya terserlah bakat dan kehalusan pemahaman serta pendapat mereka yang baik. Begitu juga padanya juga ramai orang yang mengharungi kebanjirannya pasti tergelincir iaitu dari kalangan mereka yang masih lagi mentah dalam menghadapi perbahasan para ulama.

Kitab-Kitab Yang Terkenal

  1. Ikhtilaf al-Hadith karangan Imam al-Shafi’i. Beliau merupakan orang yang pertama membincangkan dan mengarang ilmu ini.
  2. Ta’wil Mukhtalif al-Hadith tulisan Ibn Qutaybah ‘Abdullah bin Muslim
  3. Mushkil al-Athar hasil karangan al-Tahawi Abu Ja’far Ahmad bin Salamah.

 

NASIKH AL-HADITH WA MANSUKHUH ناسخ الحديث ومنسوخه

Definisi Nasakh

Nasakh Dari sudut bahasa ia mempunyai dua makna, pertama, menghilangkan. Daripadanya terbit contoh nasakhat al-shams al-zill نسختْ الشمْسُ الظلَّ iaitu matahari menghilangkan bayangannya. Kedua, memindahkan. Daripadanya terbit contoh nasakhtu al-kitab َ نَسَخْتُ الكتاب iaitu saya memindahkan buku apabila saya menukilkan apa-apa yang ada padanya. Dengan ini, seolah-olah al-nasikh telah menghilangkan al-mansukh atau memindahkannya kepada hukum yang lain.

Manakala makna istilahnya ialah: Shari’ (Allah dan Rasul-Nya) telah mengangkat suatu hukum yang datang daripadanya dan menggantikan dengan hukum yang lain yang datang kemudian.

Kepentingan Dan Kesukarannya

Mengetahui hadis yang memansukhkan dan hadis yang dimansukh merupakan satu disiplin yang penting dan sukar. al-Zuhri pernah berkata: “Pengetahuan tentang hadis nasikh dan mansukh telah memenatkan dan melemahkan para fuqaha.”

Antara ulama terkenal yang menonjol dalam bidang ini ialah Imam al-Shafi’i dan beliau mempunyai jasa dan sumbangan yang sungguh besar. Imam Ahmad bertanya kepada Ibn Warah yang tiba dari Mesir: “Adakah anda mencatat buku-buku al-Shafi’i? Beliau menjawab: “Tidak”. Beliau berkata: “Anda telah cuai. Kami tidak mengetahui mana yang mujmal dan mana yang mufassar , mana yang hadis nasikh dan mana hadis mansukh sehinggalah kamu duduk di majlis al-Shafi’i”.

 

Check Also

Sesi 40 – Mengenali Perawi Thiqah Yang Mengalami Ikhtilat

Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 29- Feb-16     MENGENALI PERAWI THIQAH YANG MENGALAMI …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *