Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Asas / Mustholah Hadis / Mustalah Al Hadith -Sesi 2- Selayang Pandang Sejarah Pertumbuhan Ilmu Mustalah Dan Peringkat-Peringkatnya
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Mustalah Al Hadith -Sesi 2- Selayang Pandang Sejarah Pertumbuhan Ilmu Mustalah Dan Peringkat-Peringkatnya

Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 12 Apr 15

Seorang penyelidik dapat mengamati asas-asas dan prinsip-prinsip periwayatan dan nukilan cerita ada di dalam al-Qur`an dan al-Sunnah.

Al-Qur`an menyebutkan:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا

“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa berita, maka periksalah dengan teliti.” (Surah al-Hujurat: 6)

Al-Sunnah pula mengatakan:

نَضَّرَ اللَّهُ امْرَأً سَمِعَ مِنَّا شَيْئًا فَبَلَّغَهُ كَمَا سَمِعَ فَرُبَّ مُبَلِّغٍ أَوْعَى مِنْ سَامِعٍ

“Semoga Allah menyinari seseorang yang mendengar sesuatu hadis daripada kami lalu dia menyampaikannya mengikut apa yang didengari. Maka betapa ramai orang disampaikan berita itu lebih menjaganya daripada orang yang mendengarnya”[1]

Di dalam riwayat yang lain pula disebutkan:

فَرُبَّ حَامِلِ فِقْهٍ إِلَى مَنْ هُوَ أَفْقَهُ مِنْهُ وَرُبَّ حَامِلِ فِقْهٍ لَيْسَ بِفَقِيهٍ

“Alangkah banyaknya orang yang membawa fiqh kepada orang yang lebih memahami daripadanya. Dan betapa banyak orang yang membawa fiqh tetapi ia bukan seorang faqih.” [2]

Di dalam potongan al-Qur`an dan hadis ini, terdapat prinsip kepastian dalam menukilkan riwayat, cara-cara menjaganya dan berhalus serta teliti dalam menyampaikannya, terutamanya apabila ragu-ragu tentang kebenaran penyampaiannya. Dari sinilah jelas kepada kita tentang kepentingan dan nilai sanad dalam penerimaan dan penolakan riwayat.

Di dalam Muqaddimah Sahihnya, Imam Muslim menukilkan kata-kata Ibn Sirin:

قَالَ لَمْ يَكُونُوا يَسْأَلُونَ عَنْ الْإِسْنَادِ فَلَمَّا وَقَعَتْ الْفِتْنَةُ قَالُوا سَمُّوا لَنَا رِجَالَكُمْ فَيُنْظَرُ إِلَى أَهْلِ السُّنَّةِ فَيُؤْخَذُ حَدِيثُهُمْ وَيُنْظَرُ إِلَى أَهْلِ الْبِدَعِ فَلَا يُؤْخَذُ حَدِيثُهُمْ

“Tidak pernah ulama bertanyakan tentang sanad. Tetapi apabila berlaku fitnah, mereka berkata: Sebutkan kepada kami tokoh-tokoh kamu. Lalu dilihat kepada ahli sunnah maka diambil riwayat mereka kemudian dilihat pula kepada ahli bid’ah lalu tidak diambil riwayat mereka

Berdasarkan kepada prinsip ini, riwayat tidak boleh diterima kecuali setelah diketahui sanadnya, maka muncullah ilmu al-Jarh Wa al-Ta’dil[3], perbincangan terhadap perawi, pengetahuan tentang sanad muttasil (bersambung) dan munqati’ (terputus) dan pengetahuan tentang kecacatan yang tersembunyi.[4] Kemudian muncul pula perbincangan tentang para perawi[5] tetapi tidak banyak kerana tidak ramai perawi-perawi yang ditajrihkan pada peringkat awal.

Kemudian ulama meluaskan perbincangan ilmu-ilmu tersebut sehingga muncul banyak ilmu yang berkaitan dengan hadis dari sudut penjagaan, catatan, metode (kaedah) penerimaan dan penyampaian, pengetahuan tentang nasikh dan mansukh, perkataan yang sukar (gharib) dan sebagainya. Walau bagaimanapun semuanya itu disentuh oleh para ulama secara lisan.

Perkembangan terus berlaku sehinggalah ilmu-ilmu yang berkaitan dengan hadis ini dicatit dan dibukukan tetapi masih lagi berselerak di dalam pelbagai kitab dan bercampur dengan ilmu-ilmu yang lain seperti ilmu usul[6], fiqh[7] dan hadis. Ini dapat dilihat di dalam karya-karya Imam Shafi’i di dalam al-Risalah dan Al-Umm.[8]

Setelah ilmu-ilmu ini matang dan istilah-istilahnya kemas serta dapat berdiri sendiri iaitu pada abad ke empat Hijrah, ulama telah menyusun ilmu Mustalah al-Hadith secara berasingan. Ulama pertama yang menulis secara berasingan penulisan Mustalah al-Hadith dalam kitab yang khusus ialah Muhammad al-Hasan al-Ramahurmuzi (meninggal 360H) dengan kitabnya al-Muhaddith al-Fasil Bayna al-Rawi Wa al-Wa’i.

KARANGAN-KARANGAN YANG TERKENAL DALAM ILMU MUSTALAH AL-HADITH

1. al-Muhaddith al-Fasil Bayna al-Rawi Wa al-Wa’i

Kitab ini ditulis oleh al-Qadi Muhammad al-Hasan bin ‘Abdul Rahman bin Khallad al-Ramahurmuzi (wafat 360H), tapi beliau tidak meliputi kesemua perbahasan ilmu Mustalah al-Hadith. Senario begini biasanya berlaku kepada orang yang mula-mula merintis dalam menulis mana-mana ilmu.

2. Ma’rifah ‘Ulum al-Hadith

Penulisnya Abu ‘Abdullah al-Hakim al-Naysaburi (wafat 405H). Kitab ini meliputi 52 jenis ilmu hadis bagaimanapun ia tidak tersusun mengikut tertib ilmu Mustalah al-Hadith.

3. Al-Mustakhraj ‘Ala Ma’rifah ‘Ulum al-Hadith

Ditulis oleh Abu Nu’aym Ahmad bin ‘Abdullah al-Asfahani (wafat 430H). Beliau menambah beberapa kaedah yang tidak disebutkan oleh al-Hakim. Dalam pada itu, masih ada beberapa fasal yang tertinggal yang mungkin dapat ditambah oleh orang lain.

4. Al-Kifayah Fi ‘Ilm Al-Riwayah

Karangan Abu Bakr Ahmad Bin ‘Ali Bin Thabit Al-Khatib Al-Baghdadi (meninggal 463H). Sebuah kitab yang lengkap dengan permasalahan-permasalahan ilmu mustalah yang telah disaring, menjelaskan kaedah-kaedah periwayatan dan diakui sebagai sumber utama ilmu ini.

5. Al-Jami’ Li Akhlaq Al-Rawi Wa Adab Al-Sami’ juga ditulis oleh Al-Khatib Al-Baghdadi. Ia membincangkan etika periwayatan sebagaimana jelas tertera pada tajuknya. Kitab ini merupakan rujukan yang unik dalam masalah ini dan sangat bernilai dari segi kajian-kajian dan bahan-bahannya atau kandungannya. Sangat sedikit sekali bidang-bidang ‘Ulum al-Hadith yang tidak ditulis oleh beliau melainkan ada karangan yang berasingan tentangnya. Benar sekali kata-kata Al-Hafiz Abu Bakr Bin Nuktah: “Setiap orang yang adil pasti mengetahui bahawa semua Ahli Hadis selepas beliau bergantung kepada kitab-kitabnya.”

6. Al-‘Ilma‘ Ila Ma’ rifah Usul Al-Riwayah Wa Taqyid Al-Sama’ ditulis oleh Qadi ‘Iyad Bin Musa Al-Yahsubi (meninggal 544H) kitab ini tidak meliputi kesemua perbahasan ilmu Mustalah al-Hadith tetapi hanya berkaitan dengan kaedah penerimaan dan penyampaian hadis serta cabang-cabangnya. Kitab ini sangat baik dalam bab ini dan mempunyai susunan yang indah.

7. Ma La Yasa’ al-Muhaddith Jahluh

Ditulis oleh Abu Hafs ‘Umar bin ‘Abdul Majid al-Mayanaji (W 580H). Ia merupakan satu risalah yang ringkas.

8. ‘Ulum al-Hadith[9]

Karangan Abu ‘Amr ‘Uthman bin ‘Abdul Rahman al-Shahrazuri yang lebih dikenali dengan Ibn al-Salah (W643). Kitab ini sangat terkenal dan merupakan antara kitab-kitab yang terbaik dalam ilmu Mustalah al-Hadith. Pengarangnya menghimpunkan perbahasan-perbahasan yang terselerak di dalam karangan-karangan al-Khatib al- Baghdadi dan ulama sebelumnya. Kitab ini penuh dengan fakta-fakta penting cumanya ia tidak tersusun dengan rapi. Ini kerana pengarang mendiktekan (menyuruh tulis) satu demi satu kepada pelajar-pelajar beliau. Ia telah diringkaskan, dinazamkan, dikritik dan juga disokong.

9. Al-Taqrib Wa al-Taysir Li Ma’rifah Sunan al-Bashir al-Nadhir

Ditulis oleh Muhyi al-Din Yahya bin Sharaf al-Nawawi (W 676). Kitab ini merupakan ringkasan kepada kitab ’Ulum al-Hadith karangan Ibn al-Salah. Kitab ini sangat baik namun kadang-kadang terdapat frasa-frasa yang sukar difahami.

10. Tadrib al-Rawi Fi Sharh Taqrib Al-Nawawi

Ditulis oleh Jalaluddin ‘Abdul Rahman bin Abi Bakr al-Suyuti (W 911) merupakan ulasan kepada karangan “Taqrib” al-Nawawi. Pengarangnya mengumpul pelbagai fakta penting yang berguna.

11. Nazm al-Durar Fi ‘Ilm al-Athar

Pengarang ialah Zaynuddin ‘Abdul Rahim bin Al-Husayn al-Iraqi (W 806) ungkapan-ungkapan syair ini terkenal dengan Alfiyah al-‘Iraqi. Beliau telah menazamkan kitab ‘Ulum Hadith karangan Ibn al-Salah dengan membuat beberapa tambahan. Ia sangat baik dan banyak mempunyai fakta-fakta penting dan ditulis beberapa ulasan. Antaranya dua ulasan yang disusun oleh pengarang sendiri (Fath al-Mughith– al-‘Iraqi).

12. Fath al-Mughith Fi Sharh Alfiyah al-Hadith

Ditulis oleh Muhammad bin ‘Abdul Rahman (W 902) merupakan penjelasan kepada Alfiyah al-‘Iraqi. Ia huraian yang paling lengkap dan baik bagi matan Alfiyah al-Hadith .

13. Nukhbah al-Fikar Fi Mustalah Ahl al-Athar

Karangan al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani (W 852). Sebuah risalah yang terlalu ringkas tetapi sangat baik dan bermutu. Pengarang telah mencipta dan pembahagian yang baru yang tidak pernah ada sebelum ini. Beliau sendiri menghuraikannya dengan diberi nama Nuzhah al-Nazar dan kitab ini juga telah diberi penjelasan oleh ulama lain.

14. Al-Manzumah al-Bayquniyyah

Disusun oleh ‘Umar bin Muhammad al-Bayquni (W 1030). Ia merupakan nazam yang sangat ringkas tidak melebihi 34 bait dan baik. Ia telah dihuraikan dengan banyaknya oleh ulama.

15. Qawa’id al-Tahdith

Disusun oleh Muhammad Jamaluddin al-Qasimi (W 1332) merupakan karya yang sangat bermutu. Di samping itu terdapat banyak lagi kitab-kitab lain untuk disebutkan dan penulis hanya menyebutkan yang masyhur sahaja. Semoga Allah s.w.t memberi ganjaran-Nya kepada kita semua.

 


[1] Hadis riwayat al-Tirmidhi, no: 2657, Ibn Majah, no: 232.
[2] Riwayat Abu Dawud, no: 3660.
[3] Iaitu satu cabang ilmu hadis iaitu kaedah-kaedah yang menjadi asas untuk mengenali para perawi yang riwayat mereka diterima atau ditolak serta tingkatan mereka dari sudut penerimaan dan penolakan hadis yang diriwayatkan oleh mereka. [pent.]
[4] Ilmu ini dikenali dengan ilmu ‘Ilal al-Hadith iaitu yang membincangkan sebab-sebab tersembunyi lagi sukar yang mencacatkan kesahihan hadis, matan dan sanadnya, dari segi penerimaannya dan berhujah dengannya walaupun pada zahir kelihatan sahih kerana terhimpun padanya syarat zahir bagi penerimaan hadis. ‘Illah yang terdapat pada hadis ma’lul itu bukan kerana perawi yang da’if tetapi perawi yang thiqah yang berkemungkinan berlaku waham dan kekeliruan padanya. [pent.]
[5] Ilmu tentang perawi-perawi hadis dikenali sebagai ilmu rijal. Tujuan ilmu rijal ialah memperkenalkan ulama hadis yang amanah, benar dan teliti dalam nuqilan mereka di samping ia memperkenalkan perawi yang lemah lagi pendusta yang berbohong atas nama agama. Ilmu ini boleh dikelaskan kepada dua bahagian utama, satu, ilmu Tarikh al-Ruwat (sejarah perawi) dan ilmu al-Jarh wa al-Ta’dil (keputusan terhadap perawi, adil atau tidak). Kedua-duanya mempunyai hubungan yang sangat penting, terutamanya, ulama al-Jarh wa al-Ta’dil tidak akan dapat memberikan keputusan yang tepat terhadap perawi sebagai thiqah atau da’if melainkan dengan bergantung kepada ilmu Tarikh al-Ruwat. Ulama berijtihad dalam menilai perawi dengan berpandukan kepada beberapa perbahasan dalam ilmu Tarikh al-Ruwat seperti sejarah kelahiran perawi, tarikh mendengar hadis, nama-nama guru dan murid, tarikh datang ke sesebuah negeri, tarikh mendengar hadis sebelum atau selepas berlaku kecelaruan ingatan. [pent.]
[6] Ilmu Usul al-Fiqh ialah ilmu tentang dalil-dalil hukum, cara memahami dan mengeluarkan hukum daripadanya berdasarkan kepada keadah-kaedahnya serta individu yang terlibat dengannya. [pent.]
[7] Ilmu fiqh ialah ilmu tentang hukum-hukum amali yang disimpulkan daripada dalil-dalil syara’ yang juz`i. [pent.]
[8] Antara masalah yang dibahas oleh Imam al-Shafi’i ialah autorti hadis ahad, syarat-syarat hadis sahih, kehujahan hadis mursal, hadis mudallas, munqati’, hafazan perawi, dan sebagainya. Kitab ini telah ditahqiq oleh Shaykh Ahmad Shakir dengan perenggan bernombor dan indeks. [pent.]
[9] Nama ini yang popular di kalangan ulama dan pelajar hadis. Ada juga yang menamakannya sebagai Muqaddimah Ibn al-Salah. Nama yang diletakkan sendiri oleh pengarangnya ialah Ma’rifah Anwa’ ‘Ilm al-Hadith. [pent.]

Check Also

Sesi 40 – Mengenali Perawi Thiqah Yang Mengalami Ikhtilat

Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 29- Feb-16     MENGENALI PERAWI THIQAH YANG MENGALAMI …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *