Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Asas / 99 usul utk mengenali hadis palsu / 99 Usul Dirayah Untuk Mengenal Pasti Hadits-Hadits Dha`if Dan Maudhu`- Sesi 2
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

99 Usul Dirayah Untuk Mengenal Pasti Hadits-Hadits Dha`if Dan Maudhu`- Sesi 2

 

USUL (1): Hadits-hadits yang bercanggah dengan kebesaran Allah s.w.t dan menyerupakanNya dengan makhluk seperti berjisim, berkaifiyat dan sebagainya, kecuali apa yang tersebut di dalam al-Quran dan tsabit di dalam hadits sahih. Setelah diitsbatkan, ia sama ada ditafwidhkan (diserahkan hakikat ma’nanya kepada Allah) atau dita’wilkan, jika ada ruang-ruang dan alas an-alasan yang kukuh membolehkannya dita’wil, disamping diyakini bahawa Allah tidak menyerupai sesuatu apa pun daripada makhlukNya.

Antara contoh yang sesuai dikemukakan untuk Usul (1) ini ialah riwayat-riwayat berikut:

Contoh 1:

Maksudnya: Sesungguhnya Ibnu `Umar telah menghantar seseorang kepada Ibnu `Abbaas untuk bertanya beliau begini: “Adakah (Nabi) Muhammad s.a.w. telah melihat Tuhannya?” Ibnu `Abbaas menjawab: “Ya” Baginda telah melihatNya (duduk) di atas kerusi emas yang dipikul oleh empat malaikat. Yang pertama dalam rupa seorang lelaki, yang kedua dalam rupa singa, yang ketiga dalam rupa lembu jantan dan yang keempat dalam rupa burung nasar di dalam sebuah bilik hijau berhamparkan emas.

Komentar

(a) Riwayat ini termasuk di dalam senarai “tafarrudaat Ibnu Ishaq”, iaitu riwayat yang hanya dikemukakan oleh Ibnu Ishaq sahaja. Berdasarkan riwayat-riwayat seperti inilah para `ulama’ telah menganggap Ibnu Ishaq sebagai seorang pendusta dan seorang Mujassimah. Sedia dima’lumi bahawa tafarudaat Ibnu Ishaq tertolak, tidak boleh dipakai dan dipertanggungjawabkan.

(b) Ia juga munqathi kerana tidak diketahui siapakah yang dihantar Ibnu `Umar untuk pergi bertanya Ibnu `Abbaas.

(c) Riwayat ini jelas menyerupakan Allah dengan makhluk. Padahal Allah telah berfirman tentang dirinya di dalam al-Quran bermaksud: .tiada suatu pun yang serupa dengan Nya. (as-Syura:11) Bermaksud: “Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya” (al-Ikhlas: 4). Maka jelaslah palsunya riwayat-riwayat ini kerana bercanggah dengan keterangan al-Quran.

(d) Riwayat-Riwayat seperti ini tentunya hasil rekaan golongan Mujassimah dan Musyabbihah yang mempercayai Allah berjisim dan menyerupai makhlukNya.

Contoh 2:

Maksudnya: Ibnu `Abbaas meriwayatkan, katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya Allah turun pada tiap-tiap malam Jumaat ke dunia bersama enam ratus ribu malaikat. Dia duduk di atas kerusi daripada cahaya. Dihadapannya ada sekeping lauh daripada yaqut (permata delima) merah. Di dalamnya tercatat nama-nama orang yang mengisbatkan ru’yah (dapat melihat ‘Allah), kaifiyat (Allah) dan shurah (rupa bentuk Allah) dari kalangan umat Muhammad s.a.w. Maka Allah berbangga dengan mereka kepada para malaikat seraya berkata: “Mereka inilah hamba-hambaku yang tidak mengingkari sifat-sifatKu dan menegakkan sunnah NabiKu. Mereka tidak takut keranaKu celaan yang yang mencela. Aku jadikan kamu wahai para malaikatKu sebagai saksi: “Demi kemuliaanKu dan kebesaranKu, pasti Aku akan memasukkan mereka ke dalam syurga tanpa hisab”.

Komentar

a) Setelah mengemukakan riwayat di atas bersama-sama sanadnya Imam Ibnu al-Jauzi mengulas begini: “Hadits ini maudhu’. Semoga Allah melaknat perekanya dan tidak mengasihaninya, kerana dia adalah seorang yang paling hina dari kalangan golongan Musyabbihah dan paling jelik kepercayaannya. Saya percaya perkara seumpama ini tidak akan dinyatakan kecuali oleh pelampau-pelampau Musyabbihah yang tidak pernah duduk bersama mana-mana orang `alim. Hadits ini adalah hasil rekaan Abi as-Sa’adaat. Sesungguhnya dia dikatakan berfahaman sesat, suka bergaul dengan orang-orang yang tidak dikenali sebagai tokoh dalam agama dan tidak mengambil berat tentang agama. Dia telah mereka satu peribadi al-Karukhi dan mengemukakan namanya. Pada hal al-Karukhi seorang yang langsung tidak dikenali tokoh-tokoh hadits. Allah sesungguhnya telah memelihara orang-orang seperti al-Thabaraani dan juga perawi-perawi di atasnya daripada mengemukakan hadits-hadits seperti ini.

Contoh 3:

Maksudnya: Aku telah melihat Tuhanku di Mina menaiki unta kelabu. Dia memakai jubah daripada bulu bebiri di hadapan orang ramai.

Komentar:

a) Mulla `Ali al-Qari berkata, `Hadits ini maudhu’, tiada asalnya.” Imam adz-Dzahabi menceritakan , “Kata Abu al-Qasim Ibnu `Asaakir, orang yang dituduh mereka hadits ini ialah al-Ahwaazi. Abu al-Fadlh Ibnu Khairuun menganggapnya sebagai seorang yang lemah Hafiz `Abdullah bin Ahmad as-Samarqandi berkata: “Hafiz Abu Bakar al-Khathib mengatakan dia seorang pendusta besar dalam hadits dan qira’at kedua-dua sekali. Ibnu `Asaakir di dalam “Tabyiin Kazibi al-Muftari” menulis: “Tidak hairanlah jika orang jahil pun mendustakan apa saja cerita yang dikemukakan oleh al-Ahwaazi ini, kerana dia adalah antara yang paling pembohong dalam mengemukakan riwayat-riwayat qira’atnya

Check Also

Sesi 23 – Usul no 7 – Hadis Yang Menyebutkan Secara Terperinci Kelebihan Setiap Surah Di Dalam Al-Quran

USUL DIRAYAT HADIS – Sesi 23 – Ulangan Usul no 7 – 5 Mac-17   …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *