Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Asas / 99 usul utk mengenali hadis palsu / 99 Usul Dirayah Untuk Mengenal Pasti Hadits-Hadits Dha`if Dan Maudhu`- Sesi 1
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

99 Usul Dirayah Untuk Mengenal Pasti Hadits-Hadits Dha`if Dan Maudhu`- Sesi 1


SISTEM RIWAYAT DAN DIRAYAT DALAM PENGAJIAN AL-HADITS

Secara kasar dapat dikatakan bahawa seluruh pengajian dan pengkajian hadis itu tersimpan di dalam dua sistem yang unik pernah dipersembahkan oleh manusia dalam dunia ilmu pengetahuan iaitu:

(i) Sistem Riwayat
(ii) Sistem Dirayat

SISTEM RIWAYAT

Sebenarnya pemakaian system riwayat dalam penilaian sesuatu fakta adalah khususiyyah umat Islam. Ibnu Hazm berkata: “Nukilan orang yang dipercayai daripada orang yang dipercayai juga dengan bersambung-sambung sampai kepada Nabi s.a.w. adalah suatu keistimewaan yang diberikan oleh Allah s.w.t. kepada orang-orang Islam sahaja tidak kepada penganut-penganut agama lain.”

Hafidz Abu `Ali al-Jayyaani berkata, ” Allah telah mengistimewakan umat Muhammad ini dengan 3 perkara yang tidak pernah dikurniakan kepada orang-orang sebelumnya iaitu isnad, ansab dan i’raab”

Kepentingan sistem riwayat ini juga dapat dilihat pada kata-kata `ulama’ salaf dari kalangan tabi’in seperti `Abdullah bin al-Mubarak, Sufyan ats-Tsauri, al-Auzaa’i dan lain-lain `Abdullah bin al-Mubarak berkata : “Isnad itu sebahagian daripada ugama. Jikalau tidak ada isnad nescaya akan berkata sesiapa sahaja apa yang ia mahu” (Sahih Muslim – j.1 m//s 87)

Sufyan ats-Tsauri berkata: “Isnad itu senjata orang mu’min” (Tadriibu ar-Raawi – j.2 m/s 160)

Al-Auzaa’i pula berkata: “Ilmu tidak akan hilang melainkan dengan hilangnya sistem isnad (Muqaddimah at Tamheed – j.1 m/s/ 15).

Kajian terhadap isnad membuatkan `ulama’ Islam yakin tentang perkara ini. Mereka bukan sahaja menyelidik nama-nama perawi dan latar belakangnya untuk mengetahui zaman mereka hidup. Keadaan perekonomian dan persekitaran hidup mereka selain daripada perhubungan mereka dengan tokoh-tokoh yang lain. Bahkan mereka juga memastikan kualiti seseorang tokoh hadiths itu dengan menguji kebenaran dan kedustaannya disamping ketelitian dan amanah mereka dalam menukilkan matan-matan (teks-teks) untuk dihukum siapakah di antara perawi-perawi itu yang boleh dipercayai riwayatnya.” (Daairatu al-Maarif – j.7 m/s 335 – dipetik dari Ilmu Rijal al-Hadiths. Karangan Dr. Taqiyuddin Nadwi Madzaahiri).

Sesungguhnya kalangan `ulama’ mutaqaddimin tidak memberi penghargaan yang secukupnya kepada sesebuah kitab melainkan jika perawi kitab itu seorang tsiqah, dhabit lagi adil di samping pula membaca kitab itu dihadapan pengarang atau seseorang perawi itu mempunyai sanad yang mutasil (bersambung-sambung) dalam membaca kitab itu dan menerimanya daripada guru-gurunya secara berterusan sampai kepada pengarangnya sendiri. (Lihat Dr. Taqiyuddin Nadwi Madzaahiri – Ilmu Rijal al-Hadiths m/s 23)

Pemakaian sistem riwayat itu adalah suatu perkara yang dianjurkan oleh al-Quran sendiri. Di dalam al-Quran Allah s.w.t. berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang-orang fasiq membawa sesuatu berita maka hendaklah kamu selidik dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal di atas perbuatan kamu” (al-Hujuraat: 6)

Pencapaian umat Islam dalam bidang riwayat atau isnad ini telah melahirkan perpustakaan besar yang memuatkan buku-buku yang ada kaitannya dengan sistem riwayat atau isnad seperti ilmu Mushtalahu al-Hadits, ilmu Rijal al-Hadits, al-Jarh Wat Ta’dil dan segala pecahan-pecahannya.

SISTEM DIRAYAT, USUL DAN KEISTIMEWAANNYA

Sistem dirayat mempunyai pertalian yang rapat dengan sistem riwayat, namun begitu tidak semestinya apa yang diterima dalam sistem riwayat itu akan diterima terus dalam dirayat. Begitulah sebaliknya matan yang bertepatan dengan system dirayat kebanyakannya datang melalui sanad yang sahih mengikut system riwayat. (lihat Dr. Subhi as-Saleh – `Uloomu al-Hadits Wa Mushtalahuhu m/s 283)

Sistem dirayat yang dimaksudkan di sini ialah sistem yang termasuk di bawah ta’rif istilah khusus dalam ilmu hadits. Antara ta’rif yang diberikan berhubung dengan sistem dirayat ini ialah seperti yang telah dikemukakan oleh Nawab Siddiq Hasan Khan bahawa: “Ilmu dirayat al-Hadits ialah suatu ilmu yang membincangkan tentang erti yang difahami daripada lafaz-lafaz hadits. Begitu juga maksud-maksudnya berdasarkan kaedah-kaedah bahasa Arab dan peraturan-peraturan syariat di samping bersesuaian pula dengan keadaan Nabi s.a.w.,” (Nawab Siddiq Hassan Khan –Abjadu al-uloon j.2. m/s 220)

Pemakaian sistem dirayat ini adalah suatu yang berlandaskan al-Quran al-Karim dan amalan para sahabat Nabi s.a.w yang mulia dan bijaksana. Antara ayat al-Quran yang dapat disebutkan ialah firman Allah s.w.t. : “Mengapa di waktu kamu mendengar berita bohong itu, orang-orang mukmin dan mu’minat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri (mengapa tidak) kamu berkata, ini adalah suatu berita bohong yang nyata” (An-Nur: 12)

Check Also

Sesi 23 – Usul no 7 – Hadis Yang Menyebutkan Secara Terperinci Kelebihan Setiap Surah Di Dalam Al-Quran

USUL DIRAYAT HADIS – Sesi 23 – Ulangan Usul no 7 – 5 Mac-17   …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *