Home / darulkautsar.net / Bahaya Syiah / APAKAH SYIAH - TERPERINCI / Aqidah Al-Bada’ Dan Sejarah Kemunculannya Menurut Syiah
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Aqidah Al-Bada’ Dan Sejarah Kemunculannya Menurut Syiah

Oleh Muhammad Malullah

 

Menurut doktrin agama Yahudi, Allah adalah jahil dan memerlukan kepada tanda-tanda dan isyarat yang memimpinNya dalam sesetengah perkara. Dia menjadikan makhluk tetapi tidak mengetahui penciptaanNya itu baik atau buruk melainkan setelah melihatnya dan jelas kepadaNya beberapa perkara tidak diketahui sebelum ini lalu menyebabkan Dia berasa sedih dan kecewa terhadap makhluk-makhlukNya lalu menghapuskan segala yang ada di muka bumi ini. Maha Suci dari pembohongan Yahudi !!

Yahudi mendakwa bahawa Allah menyuruh Bani Israil meletakkan tanda di rumah mereka agar tidak dibinasakan secara tersilap… dan pelbagai lagi dakwaan karut dan sesat mereka. Aqidah sesat ini telah menyusup masuk dalam agama Syi`ah atau dengan tepat lagi Syi`ah telah meminjamnya dari Yahudi dengan nama Bada’. Iaitu mengakui sesuatu yang diketahui selepas tidak mengetahuinya. (Lisan al-`Arab jil. 1, hal. 187)

Di dalam al-Qur’an terdapat kalimah bada’ pada banyak tempat, antaranya:

فَوَسْوَسَ لَهُمَا الشَّيْطَانُ لِيُبْدِيَ لَهُمَا مَا وُورِيَ عَنْهُمَا

Maka syaitan membisikkan fikiran jahat kepada keduanya untuk menampakkan kepada keduanya apa yang tertutup dari mereka. (Al-A`raf: 20).

وَبَدَا لَهُمْ مِنَ اللَّهِ مَا لَمْ يَكُونُوا يَحْتَسِبُونَ

Dan jelaslah bagi mereka azab dari Allah yang belum pernah mereka perkirakan. ( Al-Zumar:47)

وَبَدَا لَهُمْ سَيِّئَاتُ مَا كَسَبُوا

Dan jelaslah bagi mereka akibat buruk dari apa yang telah mereka perbuat (Al-Zumar:48)

ثُمَّ بَدَا لَهُمْ مِنْ بَعْدِ مَا رَأَوُا الْآيَاتِ لَيَسْجُنُنَّهُ

Kemudian timbul pada fikiran mereka setelah melihat tanda-tanda (kebenaran Yusuf) bahawa mereka harus memenjarakannya. (Yusuf: 35)

Semuanya adalah sesuatu menjadi jelas setelah tidak diketahui sebelum ini.

قَدْ بَدَتِ الْبَغْضَاءُ مِنْ أَفْوَاهِهِمْ وَمَا تُخْفِي صُدُورُهُمْ أَكْبَرُ

Telah nyata kebencian dari mulut mereka dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi.( Aali Imran: 118)

وَإِن تُبْدُواْ مَا فِي أَنفُسِكُمْ أَوْ تُخْفُوهُ يُحَاسِبْكُم بِهِ اللّهُ

Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hatimu atau kamu sembunyikannya pasti Allah akan membuat perhitungan dengan kamu tentang perbuatanmu itu ( Al-Baqarah: 284)

Al-Ibda’ (menyatakan, menampakkan) di dalam ayat-ayat di atas merupakan lawan bagi al-Ikhfa’ (menyembunyikan) dan bada’ itu terhasil selepas tersembunyi.

Dengan itu, al-bada’ adalah jelasnya sesuatu yang tidak diketahui sebelum ini. Al-dhalal (kesesatan) pula kehilangan sesuatu yang sebelum ini diketahui.

أَيْنَ مَا كُنتُمْ تَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّهِ قَالُواْ ضَلُّواْ عَنَّا

Di mana (berhala-berhala) yang biasa kamu sembah selain Allah? Orang-orang musyrik itu menjawab: Berhala-berhala itu semuanya lenyap dari kami. ( al-A`raf: 37)

وَضَلَّ عَنْهُم مَّا كَانُواْ يَفْتَرُونَ

Dan lenyaplah dari mereka apa yang mereka ada-adakan (Yunus: 30)

Sementara al-ghaflah (kelalaian) tidak mengetahui sesuatu yang ada dan terjadi. Manusia mempunyai ketiga-tiga perkara ini kerana kejahilan melitupi dirinya dari semua sudut. Oleh kerana Allah s.w.t. mengetahui setiap sesuatu secara ijmali dan tafsili, mengetahui kulli dan juz’i bagi sesuatu secara mutlak sejak azali hingga selama-lamanya, setiap masa, baik sebelum penciptaan mahupun selepasnya maka mustahil dan tidak mungkin terjadi al-bada’, al-dhalal dan al-ghaflah pada ilmu Allah. (Musa Jarullah, al-Wasyi`ah Fi Naqd `Aqa’id al-Syi`ah, hal. 110)

Al-bada’ mengikut Syi`ah adalah kelihatan dan jelasnya sesuatu kepada Allah setelah Dia tidak mengetahuinya. Sesiapa yang jahil atau tidak mengakui aqidah al-bada’ maka dia tidak mempunyai bahagian langsung dalam pengetahuan. (`Ali al-`Usfur, Syubhat Hawl al-Tasyasyu`, hal. 52) Kalau begitu, seorang itu tidak akan menjadi berilmu kecuali setelah membohongi atas nama Allah dan setelah menyifatkanNya sebagai jahil!!

Kadang-kadang sesetengah penganut Syi`ah berkeras kepala dengan mengingkari aqidah ini. Bertitik tolak dari amanah dan kajian ilmiah, kami menukilkan dari sumber-sumber yang dipegang dan dipercayai oleh mereka. Al-Kulaini meriwayatkan di dalam kitabnya al-Usul Min al-Kafi, daripada Zurarah: “Allah tidak pernah diibadatkan seperti mana Dia diibadatkan dengan al-bada’.” (jil.1, hal. 146)

Kalau begitu, ibadat Syi`ah adalah ibadat kepada tuhan yang jahil. Bagaimana dapat beribadat kepada yang jahil dan tidak mengetahui kemaslahatan hamba-hambanya? Seluruh hukumnya terbit dari yang jahil dan kejahilan? Tidak ada yang beribadat dengan kejahilan kecuali orang yang jahil!

Dalam riwayat Ibn Abi `Umair daripada Hisham bin Salim daripada Abi Abdillah a.s.: “Allah tidak dita`zimkan dan diagungkan sepertimana dengan al-bada’” (al-Kafi,jil. 1, hal. 146)

Pentahqiq kitab al-Kafi membuat komentar tentang riwayat ini: “Al-bada’ ialah perbuatan nyata setelah tersembunyi dengan sebab muncul ilmu tentang kemaslahatan yang sebelum ini tersembunyi. Pemakaian perkataan ini menjadi umum lalu kami menggunakannya sebagai perkataan yang memberi maksud kelihatan dan jelasnya sesuatu perbuatan yang sebelum ini tidak sama dengannya.”

Kalau begitu, Allah, menurut Syi`ah, sering terkejut dengan perkara-perkara yang belum pernah diketahuiNya atau berbeza dengan apa yang diketahuiNya. Maha Suci Allah dari pembohongan mereka!

كَبُرَتْ كَلِمَةً تَخْرُجُ مِنْ أَفْوَاهِهِمْ إِن يَقُولُونَ إِلاّ كَذِبًا

Alangkah jeleknya kata-kata yang keluar dari mulut mereka, mereka tidak katakan sesuatu melainkan dusta.(Al-Kahf:5)

Al-Kulaini menyebut di dalam al-Kafi, jil. 1, hal.148:

“Daripada al-Rayyan bin al-Salt, katanya: Saya mendengar al-Ridha a.s. berkata: Tidak ada seorangpun nabi yang diutuskan Allah melainkan membawa hukum haramnya arak dan mengakui al-bada’ kepada Allah.”

Ini bermakna Allah s.w.t. mengutus para rasul dengan mensyaratkan pengakuan bahawa Allah s.w.t. jahil dan mereka wajib menyebarkan dan mengajarkannya kepada manusia!!

Juga dalam al-Kafi, jil. 1, hal. 148 daripada Mirzam bin Hakim katanya: Saya mendengar Abu Ja`far a.s. berkata: “Seorang nabi tidak akan dilantik melainkan setelah mengakui lima perkara: Bada’, Masyi’ah (kehendak), sujud, `ubudiyyah dan ketaatan.”

Juga dalam al-Kafi, Bab Karahiyah al-Tawqit, jil. 1, hal. 368 daripada Abu Hamzah al-Thamali katanya: Saya mendengar Abu Ja`far a.s. berkata: “Wahai Thabit, sesungguhnya Allah s.w.t. telah memberi ruang kepada keadaan ini selama tujuh puluh tahun. Tatkala Husain a.s. dibunuh, kemarahan Allah s.w.t menjadi sangat kuat terhadap penduduk bumi lalu Dia menangguhkan kepada seratus empat puluh. Kami menceritakan kepada kamu (perkara ini) lalu kamu menyebarkannya menyebabkan kamu membuka rahsia dan Allah tidak lagi memberi ruang kepada kepadanya selepas dari peristiwa itu. Allah menghilangkan dan menetapkan apa yang Dia kehendaki dan sisiNyalah terdapat Ummu al-Kitab (lauh mahfuz).”

Adakah ada riwayat yang lebih terang daripada riwayat ini? Bagaimana pula Syi`ah menafsirkan pembohongan dan kesesatan ini?

Dalam komentar kepada Tafsir al-Qummi, Tayyib al-Musawi menulis: “Guru kami, al-Tusi menulis dalam al-`Uddah: Berkenaan dengan aqidah al-bada’, pada bahasa ialah tampak dan kelihatan seperti bada laana sur al-madinah, kelihatan kepada kami benteng kota. Kadang-kadang digunakan pada pengetahuan tentang sesuatu yang sebelum ini tidak ada.” Al-Sayyid al-Murtadha menyebut: “Boleh juga ditafsirkan dengan makna hakiki bada liLlahi iaitu suatu perintah kelihatan kepada Allah setelah tidak kelihatan kepadaNya dan suatu larangan kelihatan kepada Allah setelah tidak jelas kepadaNya.”

Kitab-kitab Syi`ah menyebutkan, pegangan dengan al-bada’ bermaksud sanggahan terhadap Yahudi yang mengatakan: “Allah s.w.t memang telah selesai membuat keputusan.” Kepercayaan yang berasal daripada Syi`ah ini merupakan helah dan tipu daya untuk melekakan orang yang jahil dan mengada-adakan kebatilan atas nama Yahudi. Sebenarnya Syi`ah telah meminjam aqidah al-bada’ ini dari kitab Taurat dan dakwaan sanggahan dengan menggunakan aqidah al-bada’ adalah mengkufuri nikmat yang dipinjam.( setelah Syi`ah meminjam dari Yahudi tetapi tidak berterima kasih)

Dengan menyelubungi dengan keindahan, kitab-kitab Syi`ah menyebut: al-bada’ ialah kedudukannya di dalam takwin (penciptaan) seperti kedudukan nasakh di dalam perundangan. Al-bada’ ialah nasakh takwini sebagaimana nasakh adalah bada’’ tasyri`i. Kata-kata ini adalah satu hiasan kerana tidak ada bada’ di dalam nasakh. Hukum telahpun ditentukan waktunya dalam ilmu Allah. Tempoh dan berakhirnya hukum ketika bermula tempoh telahpun diketahui oleh Allah s.w.t. sebelum ditetapkan hukum. Kalau begitu di mana letaknya bada’? Ya, kelihatan kepada kita dari Allah setelah turun nasikh dan setelah berlaku penghapusan. Dengan itu, bada’ berlaku kepada kita berkenaan ilmu kita tetapi tidak untuk Allah. (lihat al-Wasyi`ah Fi Naqd Aqa’id al-Syi`ah, hal. 110)

Dr. Musa al-Musawi menulis dalam kitabnya, al-Syi`ah wa al-Tashih, (halaman 147 dan seterusnya): “Bada’ ialah mentafsirkan kesalahan dengan kesalahan lain iaitu berterusan dan tidak keluar darinya sehingga hari kiamat. Di sini saya suka untuk mengatakan jika sebahagian ulama kita mempunyai keberanian ilmiah, ketulusan niat, kebersihan fikiran dan kejernihan minda pasti mereka tidak akan melalui jalan kritikal untuk mentafsirkan kata-kata rekaan, ayat yang palsu atau pemikiran yang bertentangan dengan prinsip-prinsip aqidah dan prinsip-prinsip yang diterima umum. Berpendapat dengan bada’, terus berpegang dengannya dan mengekalkannya di dalam kitab-kitab ziarah kubur para imam (manasik al-Masyahid) dan kitab-kitab riwayat merupakan contoh paling sempurna tentang berterusan merasa hebat dengan dosa. Selagi keadaan masih begini, jalan untuk melepaskan diri dari waham dan khayalan adalah sukar lagi rumit. Sedangkan perhatian Allah tidak akan meliputi kaum yang Allah firmankan tentang mereka:

وَمِنَ النَّاسِ مَن يُجَادِلُ فِي اللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَلا هُدًى وَلا كِتَابٍ مُّنِيرٍ

Dan di antara manusia ada orang-orang yang membantah tentang Allah tanpa ilmu pengetahuan, tanpa petunjuk dan tanpa kitab (wahyu) yang bercahaya.( Al-Hajj: 8)

Konsep bada’ amat sukar difahami oleh majoriti penganut Syi`ah Imamiyah, bahkan mereka tidak mengetahui sedikitpun inti kandungannya. Sehinggakan anda bertanya kepada mereka maksud bada’ pasti mereka tercengang-cengang untuk memberikan jawapan. Walaupun demikian, satu kesedihan dan kekecewaan yang amat sangat iaitu keadaan umat ini disebabkan kelebihan kepimpinan mazhab, terdapat berpuluh ribu malah kalau anda mahu katakan beratus-ratus ribu penganut Syi`ah mengulang-ulang ayat-ayat berikut: Assalamu`alaikuma, salam sejahtera untuk kamu berdua, wahai orang yang kelihatan kepada Allah tentang kamu berdua. (Mafatih al-Jinan, hal. 929) ini diucapkan ketika mereka menziarahi kubur dua Imam al-`Askari di Samarra bagi mengucapkan salam kepada Imam kesepuluh dan imam kesebelas di sisi Syi`ah. Syi`ah mengulang-ulang kalimah-kalimah ini setiap kali memasuki makam Imam Ali al-Naqi dan Imam al-Hasan al-`Askari sama ada berseorangan atau berkumpulan sedangkan mereka tidak mengetahui makna al-bada’ dan memahami maksud ayat:

“يا من بدا الله في شأنكما”

“Wahai orang yang kelihatan kepada Allah tentang keadaan kamu berdua”.

Mereka juga tidak memahami sebab di sebalik ayat tersebut sebagaimana mereka tidak mengetahui bahaya yang tersembunyi di dalamnya yang mengurangkan kekuasaan, ilmu, kehendak dan kebijaksaan Allah s.w.t. Tetapi lebih dahsyat lagi sehingga hari ini tidak terjadi seorang ilmuwan dari kalangan kita tampil untuk memadamkan ayat ini dalam menziarahi kubur atau melarang dari membacanya. Kedudukannya seperti beratus-ratus ayat yang memenuhi kitab ziarah kubur imam-imam, kitab-kitab riwayat dan kesemuanya, sebagaimana kita sering tegaskan bercanggah dengan asas aqidah dan roh Islam.

Makna bada’ dan konsep yang terkandung dalam doa ketika menziarahi kubur dua Imam al-`Askari iaitu imamah mengikut turutan yang ada dalam aqidah Syi`ah Imamiyah berpindah dari bapa kepada anak sulung tetapi dua imam iaitu al-Hasan dan al-Husain terkecuali dari kaedah ini. Imamah selepas al-Hasan berpindah kepada al-Husain bukan kepada anak sulung al-Hasan. Ismail iaitu anak sulung Imam Ja`far al-Sadiq telah meninggal dunia pada masa hayat bapanya lalu imamah berpindah kepada adik bongsunya Musa bin Ja`far al-Sadiq. Perubahan dalam perjalanan imamah yang merupakan jawatan yang ditentukan Allah ini dinamakan bada’ yang berlaku kepadaNya. Dengan itu, Imamah Ilahiyah yang sepatutnya Ismail telah berpindah kepada Musa dan seterusnya kepada anak keturunannya dengan tidak melalui jalan asal iaitu perpindahan dari bapa kepada anak sulung.

Tetapi di sini timbul satu persoalan yang membingungkan, kenapakah dinamakan perubahan perjalanan imamah sebagai bada’ dan kenapakah mereka menisbahkan sesuatu seperti ini kepada Allah untuk menetapkan satu perkara yang tidak perlu kepada mengurangkan kekuasaan Allah. Jawapannya ialah mungkin dalam keadaan dan suasana yang berlaku pada zaman pertelingkahan antara Syi`ah dan Tasyasyu`. Apabila imamah itu adalah jawatan ketuhanan yang tidak tunduk kepada pemilihan langsung dan perjalanannya tidak berubah kerana kematian imam syar`i, maka pada ketika itu, imamah berpindah mengikut peraturan Ilahi yang tidak beralih dari bapa kepada anak. Oleh kerana itu, imamah dikatakan sebagai takwiniyah iaitu tidak tunduk kepada perubahan masa dan tempat, kedudukannya seperti sebab dan akibat yang tidak terpisah antara satu sama lain. Ini bererti Imam yang merupakan bapa tidak mempunyai kuasa untuk menentukan imam yang bakal menggantikannya kerana ia ditentukan mengikut kehendak Allah.

Pertarungan pemikiran ini berlaku di kalangan Syi`ah sendiri sebelum berlanjutan ke ufuk yang lebih luas sebelum keghaiban besar bagi Imam. Ini berlaku di awal kemunculan Syi`ah Ismailiyah di persada pemikiran Islam yang mengancam kesatuan Syi`ah dengan perpecahan dalaman. Syi`ah Ismailiyah berpendapat Imamah Ilahiyah berterusan dalam bentuk yang dikehendaki Allah sejak azali iaitu pada keturunan Ali dan keturunannya mengikut turutan umur. Ini bermakna, imam yang merupakan bapa tidak mempunyai kuasa untuk menentukan imam yang akan menggantikannya kerana ia ditentukan dengan kehendak Allah. Apabila waris syar`i meninggal dunia iaitu Ismail, maka bapanya, Ja`far al-Sadiq tidak berhak untuk memilih Musa, anak bongsunya bahkan imamah berpindah kepada anak sulung dari keturunan Ismail. Disebabkan Syi`ah membina konsep Imamah Ilahiyah dengan bentuknya tersendiri, jalan keluar dari kegelinciran ini, mereka mengemukakan konsep bada’ bagi mencampakkan tanggungjawab perpindahan imamah dari Ismail bin Ja`far kepada Musa bin Ja`far ke atas Allah bukan ke atas Ja`far al-Sadiq dan bagi menghapuskan aqidah Ismailiyah. Sebagaimana yang diketahui oleh semua orang, menurut golongan Ismailiyah imamah berterusan sehingga hari ini di kalangan kalangan mereka. Imam mereka masih lagi hidup dan muncul serta ia dari keturunan Ismail. Malah mereka tidak pernah berganjak dari ajaran ini walaupun sejengkal!!

Kembali kepada konsep bada’, kemunculan Ismailiyah mencabar Syi`ah dan menghapuskan kesatuan mereka. Oleh kerana itu, kita tidak dapat menjejaki konsep bada’ sehinggalah pada abad ketiga hijrah. Imam pertama yang dikaitkan dengan bada’ ialah imam kesepuluh dan imam kesebelas. Sedangkan, sepatutnya Imam Musa yang dikaitkan dengan bada’ kerana beliaulah yang menjadi motif dan subjek. Bukan Imam Musa, bukan anaknya, Imam Ali al-Ridha dan bukan cucunya, Muhammad al-Jawwad yang ditujukan dengan kata-kata yang mengisyaratkan berlaku bada’ pada mereka. Yang lebih meyakinkan kita, pengalihan kepada mencipta konsep bada’ sebenarnya berlaku ketika arus Ismaliyah mula membuka jalan kepada kewujudan dan kemunculan di awal abad ketiga hijrah iaitu zaman imam kesepuluh dan kesebelas.

Sesungguhnya beberapa tokoh Syi`ah mengubah haluan kepada bada’ sehingga mereka menetapkan perjalanan imamah dari Ismail kepada Musa bin Ja`far. Sedangkan imamah dan perpindahannya dari seorang tokoh kepada tokoh yang lain dan dengan gambaran yang diciptakan oleh Syi`ah sebelum ada pertelingkahan antara Syi`ah dan Tasyayyu` tidak memerlukan kepada adanya konsep bada’ dan perubahan kehendak ketuhanan. Disebabkan kematian calon imam pertama, imamah berpindah kepada calon kedua mengikut wasiat Imam al-Sadiq yang menyaksikan kewafatan anaknya yang dicalonkan untuk imamah. Tidak syak lagi beliau bercakap tentang imam yang mengambil alih urusan fatwa dan fiqh sesudahnya dan memberi kata putus tentang waris syar`i.

Tajuk bada’ menduduki tempat yang penting di dalam kitab-kitab Syi`ah. Sebahagian ulama Syi`ah menulis kitab berasingan atau risalah khusus yang mempertahankan makna bada’ dan inti patinya. Polemik dan perdebatannya berakhir dengan perbahasan-perbahasan falsafah dan ilmu kalam yang memakan banyak juzuk dan kitab-kitab ilmu kalam tentang Iradah Ilahiyah (kehendak Tuhan), tempoh-tempoh yang pasti dan ditetapkan, taqdir yang dapat dihindari dengan waspada dan musibah yang dielakkan dengan sedakah serta pelbagai perbahasan yang hanya diketahui oleh ahli ilmu, sebagaimana sesetengah tokoh-tokoh Syi`ah menemui jalan keluar dari dilema dan situasi kritikal dengan memperincikan antara nasakh takwini dan nasakh tasyri`i dengan mengatakan bada’ itulah nasakh takwini. Penulis tidak pasti adakah mereka yang menulis tentang bada’ menemui penyelesaian bagi kerumitan tersebut jika ia satu kerumitan atau tidak dalam ayat al-Qur’an ini?:

يَمْحُو اللَّهُ مَا يَشَاءُ وَيُثْبِتُ وَعِندَهُ أُمُّ الْكِتَابِ

Allah menghapuskan apa yang Dia kehendaki dan menetapkan (apa yang Dia kehendaki) dan di sisiNya lah Ummul Kitab (lauh mahfuz).(Al-Ra`d: 39)

Biar apapun, sebenarnya mereka yang menulis tentang bada’ tidak menambah apapun melainkan khayalan atas khayalan dan kekarutan atas kekarutan. Kalaulah mereka menemui penyelesaian bagi kerumitan itu dalam ayat yang kami kemukakan pasti mereka mempunyai jalan keluar yang terbaik dari dilema dan situasi kritikal yang mereka sendiri ciptakan. Malahan persoalan itu pasti tidak berakhir dengan mengurangkan kekuasaan Allah yang mutlak dengan mengatakan bahawa Dia menghendaki sesuatu kemudian kelihatan kepadaNya sesuatu yang lain.”

 

(Terjemahan oleh Ust Mohd Hanif bin Awang Yahya )

Check Also

Shi’ah Concept of Temporary Marriage (Mut’ah)

by Dr. Ahmad ‘Abdullah Salamah   Foreword The religious beliefs and practices of Shi’ahs differentiate …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *