Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Bukan ‘A`ishah Pencetus Fitnah Perang Jamal


Notice: Undefined index: tie_hide_meta in /home/darulkautsar/public_html/wp-content/themes/sahifa/framework/parts/meta-post.php on line 3

Bukan ‘A`Ishah Pencetus Fitnah Perang Jamal[1]

Dipetik dari web: www.darulkautsar.net

 

Intro: Rata-rata penulis sejarah Islam meletakkan kesalahan di atas bahu ‘A`ishah dengan menuduhnya sebagai punca berlakunya fitnah perang Jamal yang berakhir dengan kekalahannya kepada tentera Sayyidina ‘Ali. Beliau didakwa mempunyai maksud untuk menjatuhkan Khalifah ‘Ali yang telahpun dibai’ah. Mereka mengaitkan juga dengan kegagalan Sayyidatina ‘A`ishah di dalam peperangan Jamal itu dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:  “Sekali-kali tidak akan berjaya golongan yang dipimpin oleh seorang perempuan”. Persoalannya adakah benar begitu pendirian Sayyidatina ‘A`ishah, isteri Rasulullah s.a.w. di dunia dan akhirat, guru kepada sekalian sahabat dan juga ibu kepada orang-orang mu`min? Apakah maksud memimpin orang-orang Islam menemui Sayyidina ‘Ali dan adakah wanita sama sekali tidak boleh menjadi pemimpin?

حَدَّثَنَا عُثْمَانُ بْنُ الْهَيْثَمِ حَدَّثَنَا عَوْفٌ عَنْ الْحَسَنِ عَنْ أَبِي بَكْرَةَ قَالَ لَقَدْ نَفَعَنِي اللَّهُ بِكَلِمَةٍ أَيَّامَ الْجَمَلِ لَمَّا بَلَغَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّ فَارِسًا مَلَّكُوا ابْنَةَ كِسْرَى قَالَ لَنْ يُفْلِحَ قَوْمٌ وَلَّوْا أَمْرَهُمْ امْرَأَةً

Diriwayatkan daripada al-Hasan daripada Abu Bakrah katanya: “Allah memberi satu faedah dan pengajaran kepada saya apabila berlaku peperangan Jamal iaitu bila sampai kepada Rasulullah orang-orang Parsi melantik anak perempuan Kisra sebagai raja. Baginda bersabda: “Tidak akan berjaya satu kaum yang melantik perempuan memegang urusan mereka”. (al-Bukhari, no: 7099)

Apa yang disebutkan oleh Abu Bakrah adalah kesimpulannya sendiri. Padahal Peperangan Jamal bukan berlaku antara Sayyidatina ‘A`ishah dan tentera Sayyidina ‘Ali. Tetapi antara dua puak Saba`iyyah yang masing-masing menyelinap masuk dalam kumpulan ‘A`ishah dan Sayyidina ‘Ali.

Mereka datang berjumpa Sayyidina ‘Ali untuk menuntutnya supaya bertindak dengan membuat sesuatu terhadap pembunuh Sayyidina ‘Uthman. Mereka menuntut diselesaikan segera kes darah khalifah supaya tidak timbul fitnah lain yang lebih besar. Pada masa itu, Sayyidina ‘Ali telahpun dibai’ah menjadi khalifah dan Sayyidatina ‘A`ishah dalam perjalanan pulang ke Madinah setelah menunaikan haji tetapi terpaksa berpatah balik ke Mekah.

Sayyidatina ‘A`ishah yang mempunyai kedudukan dan berwibawa telah didatangi oleh orang Islam supaya bertindak. Beliau mahu menemui Sayyidina ‘Ali untuk menasihatinya supaya tidak berlaku fitnah yang lain pula. Bersama dengan beliau ada dua orang sahabat yang besar, Talhah dan al-Zubair. Mereka berdua telah pun berbai’ah dengan Sayyidina ‘Ali dan meminta keizinan dari beliau untuk menyelesaikan masalah darah Khalifah.

Tujuan Sayyidatina ‘A`ishah pergi ialah untuk mendamaikan bukan untuk menonjolkan dirinya untuk menjadi khalifah. Penyelewengan sejarah telah berlaku dengan mengatakan tujuan kedatangan ‘A`ishah untuk merampas jawatan khalifah. Sedangkan pada kenyataannya ialah beliau datang untuk kedamaian untuk menyelesaikan kes pembunuhan Khalifah ‘Uthman.

Golongan munafikin yang membunuh Khalifah ‘Uthman membuat perhitungan, jika Sayyidina ‘Ali dan ‘A`ishah berdamai maka mereka akan tergugat dan akan dibunuh. Mereka mengatur rancangan dengan membuat keputusan bahawa satu kumpulan dari mereka berada di pihak ‘A`ishah manakala sebahagian yang lain berada di pihak Sayyidina ‘Ali. Sebelum apa-apa tindakan diambil oleh Sayyidina ‘Ali dan para Sahabat, mereka secara senyap mencetuskan peperangan antara satu sama lain. Keadaan ini menyebabkan berlaku kekeliruan kepada kedua-dua belah pihak. Orang-orang yang berada di pihak Sayyidatina ‘A`ishah menyangka mereka diserang oleh pihak Sayyidina ‘Ali dan begitu juga kekeliruan yang berlaku kepada pasukan ‘Ali yang menganggap pihak ‘A`ishah memulakan serangan. Semuanya disebabkan oleh perancangan jahat pembunuh Khalifah ‘Uthman. Pada hal, kedua-dua pihak tersebut masih lagi berunding untuk menyelesaikan kes pembunuhan khalifah. Keadaan menjadi berselerakan dan berlaku pertumpahan darah yang tidak dapat dielakkan lagi dan inilah yang dikehendaki oleh musuh Sahabat. Pada asalnya mereka datang untuk berdamai dan memulihkan keadaan tetapi muncul pula fitnah yang lain.

Dengan kekuatan tentera yang dimilikinya, Sayyidina ‘Ali berjaya menguasai keadaan kerana pada masa itu, pasukan Sayyidatina ‘A`ishah tidak mempunyai kelengkapan yang mencukupi kerana tujuan kedatangan bukan untuk berperang dan jauh sekali dengan tujuan untuk memberontak dan merebut jawatan khalifah daripada Sayyidina ‘Ali.

Walaubagaimanapun, apabila Sayyidina ‘Ali dapat menguasai keadaan, beliau tetap menunjukkan hormatnya kepada Sayyidatina ‘A`ishah dengan menghantar pulang ke Madinah. Kepada pasukannya, beliau berpesan supaya tidak menjadikan peperangan ini seperti peperangan lain kerana perang ini berlaku sesama sendiri. Harta pihak ‘A`ishah tidak boleh dijadikan sebagai ghanimah. Mereka yang lari tidak boleh dikejar dan yang terbunuh hendaklah disemadikan sebagai seorang Islam[2].

Pada pendapat Abu Bakrah iaitu apa yang berlaku adalah kesilapan ‘A`ishah kerana beliau yang mengetui pasukan dan memahami hadis “tidak akan berjaya satu kaum yang melantik perempuan memegang urusan mereka” sebagai berlaku kepada ‘A`ishah. Apa yang difahami oleh Abu Bakrah adalah pendapatnya sendiri bukan mewakili semua sahabat.

Dengan alasan pendapat inilah, ada ulama menyimpulkan bahawa wanita tidak boleh menjadi pemimpin baik di peringkat yang tertinggi atau bawah.

Sedangkan perkara ini menjadi khilaf di kalangan ulama dan tidak boleh berhujah dengan hadis ini untuk mengatakan wanita tidak boleh menjadi pemimpin sama sekali. Ini kerana apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. itu mempunyai latar belakang dan sebab yang khusus iaitu merujuk kepada Kisra Parsi yang melantik anak perempuannya sebagai raja.

Sekiranya secara mutlak wanita tidak boleh menjadi pemimpin tentu Sayyidina ‘Umar tidak akan melantik Shifa` binti ‘Abdullah menjadi ketua yang bertanggunjawab terhadap bandar Madinah. Keluarnya Sayyidatina ‘A`ishah menemui ‘Ali dengan tujuan untuk menasihatinya menunjukkan wanita boleh keluar dari rumahnya sekiranya ada keperluan dengan maksud yang baik dan dia boleh terlibat dengan urusan politik. Sekiranya ‘A`ishah mengetahui dan memahami hadis tersebut bahawa perempuan tidak boleh menjadi pemimpin (seperti yang difahami oleh Abu Bakrah) tentu dari awal lagi beliau tidak akan terlibat. Ini menunjukkan bahawa ‘A`ishah berpendapat harus keluar dengan maksud yang baik itu.

Cuma apa yang berlaku kepada ‘A`ishah adalah sesuatu yang di luar jangkaannya. Kedatangan beliau dan rombongannya dengan tujuan yang baik dan suasana yang damai telah bertukar menjadi fitnah akibat konspirasi perancangan jahat golongan munafikin atau Saba`iyyah. Dalam hal ini, beliau tidak boleh dipersalahkan kerana beliau seorang wanita.

Dari segi kenyataan, jatuh bangun sesebuah kerajaan bukan terletak kepada jantina pemerintahnya, tetapi berdasarkan kepada kebijaksanaan, ketelusan dan keadilan. Sekian banyak negara yang ma’mur dan maju di bawah pemerintahan wanita yang adil dan bijaksana. Sementara itu, berapa banyak kerajaan yang diperintah oleh pemimpin yang rasuah akhirnya mundur dan jatuh.

Ada juga ulama yang berpendapat wanita boleh menjadi pemimpin di semua peringkat kecuali di peringkat wilayah kubra iaitu kepimpinan tertinggi negara. Walau bagaimanapun, al-Qur`an merakamkan kisah Baqis yang menjadi raja sebuah negara yang ma’mur dan maju. Kehebatan kerajaannya itu tidak dapat dikalahkan kecuali oleh kerajaan Nabi Sulaiman.

Sifat atau keadaan pendapat Abu Bakrah ini sama seperti pendapat sahabat yang lain di mana mereka mengemukakan pendapat mengikut pemahaman masing-masing. Sebagaimana adanya khilaf di kalangan sahabat dalam masalah-masalah fiqh maka begitu juga dalam masalah ini. Tidak semestinya seseorang itu terikat dengan pendapat salah seorang sahabat.

_____________________________________________

[1] Artikel ini ditulis oleh Muhammad Hanief Awang Yahaya berdasarkan kepada kuliah Sahih al-Bukhari, hadis nombor 7099, Kitab al-Fitan yang disampaikan oleh Maulana Muhammad ‘Asri Yusuf pada 18 Disember 2006. Segala kekurangan dan ketidaktepatan maksud adalah tanggungjawab penulis bukan pengkuliah.
[2] Lihat Dr. ‘Ali Muhammad Muhammad al-Sallabi,  Asma al-Matalib Fi Sirah Amir al-Mu`minin ‘Ali bin Abi Talib, hal. 548

Check Also

Sunan Abu Daud – Kitab Wasiat-Wasiat – Sesi 8 – 11 Sep 2018

Sunan Abu Daud – Kitab Wasiat-Wasiat – Matan Hadis -Sesi 8 – 11 Sep 2018 …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *