Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #949: QASIDAH MEMUJI RASULULLAH SAW


Notice: Undefined index: tie_hide_meta in /home/darulkautsar/public_html/wp-content/themes/sahifa/framework/parts/meta-post.php on line 3

Notice: Trying to access array offset on value of type null in /home/darulkautsar/public_html/wp-content/themes/sahifa/framework/parts/meta-post.php on line 3

qasidah.JPG

Soalan

Assalamualaikum wbt SS Dato’ Seri Mufti, saya ingin bertanya, apa pandangan ustaz tentang Qasidah yang memuji Rasulullah, tanda sayangnya pada Rasulullah SAW?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Pertamanya, kami mulakan dengan definisi Qasidah.

Qasidah (bahasa Arab: “قصيدة”, bahasa Parsi: قصیده atau چكامه dibaca: chakameh) adalah bentuk syair epik kesusasteraan Arab yang dinyanyikan. Penyanyi menyanyikan lirik berisi puji-pujian (dakwah keagamaan dan sindiran/teguran) untuk orang Islam.

Qasidah adalah seni suara yang bernafaskan Islam, di mana lagu-lagunya banyak mengandungi unsur-unsur dakwah Islamiyah dan nasihat-nasihat baik sesuai dengan ajaran Islam. Biasanya lagu-lagu itu dinyanyikan dengan irama penuh kegembiraan yang hampir menyerupai irama-irama Timur Tengah dengan diiringi rebana, iaitu sejenis alat tradisional yang dibuat daripada kayu. Ia dibuat dalam bentuk lingkaran yang dilubangi pada bahagian tengahnya, kemudian di tempat yang dilubangi itu di tampal kulit binatang yang telah dibersihkan bulu-bulunya.[1]

 

Keduanya, Qasidah memuji pada Nabi SAW adalah salah satu daripada pernyataan kasihnya seseorang kepada Nabi SAW. Ia mengingatkan kita bagaimana penyair pada zaman Nabi SAW seperti Hasan bin Thabit R.A[2] memuji Baginda SAW dan mempertahankannya dari musuh-musuh Islam dengan kekuatan syairnya.

Justeru kami berpendapat, jika syair itu benar apa yang disifatkan kepada Nabi SAW dengan puji-pujian serta nasihat yang penuh kesedaran, maka ia adalah amat baik dan sesuai untuk didendangkannya. Sebenarnya qasidah yang baik menjadi salah satu dari seni untuk terapi ketenangan dan juga boleh mendatangkan keinsafan kepada pendengar. Oleh itu, ia adalah baik jika senikatanya baik dan juga sejuzuk daripada tanda cinta kepada Rasulullah SAW.

Walaupun begitu, hendaklah dijauhi bentuk qasidah yang tidak benar atau mendustakan kepada Nabi SAW. Begitu juga yang melampau sehingga menyamakan Nabi SAW dengan Tuhan. Hal ini berdasarkan kepada hadis daripada Umar ibn al-Khattab R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لا تُطْرُونِي كَمَا أَطْرَتِ النَّصَارَى ابْنَ مَرْيَمَ , إِنَّمَا أَنَا عَبْدٌ , فَقُولُوا : عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ

Maksudnya: “Jangan kamu melampau ke atasku sebagaimana melampaunya golongan Nasara terhadap anak Maryam (Nabi Allah Isa AS). Sesungguhnya aku hanya hamba Allah. Maka katakanlah: Hamba Allah dan Rasul-Nya.”

Riwayat al-Bukhari (3214)

Kami telah nukilkan dalam kitab kami berkenaan tanggungjawab seorang Muslim terhadap Rasulullah SAW, antaranya:

  • Beriman dengan risalah dan nubuwwah Rasulullah SAW.
  • Mengikut dan mematuhi perintah dan suruhannya.
  • Merindui dan mengkaji sirah dan sunnahnya.
  • Tidak menentang syariatnya.
  • Menziarahi makam Rasulullah SAW dan masjidnya.
  • Memperbanyakkan selawat dan salam ke atasnya.
  • Menyebarkan sunnahnya.
  • Mengasihi dan mencintai Rasulullah hendaklah melebihi daripada ayahnya, anaknya dan semua orang.
  • Menjadikannya sebagai panduan dan contoh suri tauladan dalam kehidupan. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّـهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ

Maksudnya: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik.

(Surah al-Ahzab: 21)

Syeikh Abu al-Hasan Ali al-Nadwi Rahimahullah pernah berkata:

  • Jika anda seorang pemuda, maka teladan yang paling elok dan paling cantik bagimu adalah Nabi Muhammad SAW.
  • Jika anda telah mencapai umur tua, maka Baginda SAW adalah contoh anda.
  • Jika anda faqir dan miskin, maka Bagindalah teladan dan contoh bagi anda.
  • Jika anda kaya, maka Bagindalah imam anda.
  • Jika anda berangkat untuk berperang, maka Baginda SAW juga turut serta berperang.
  • Jika kamu menginginkan perdamaian, maka Baginda SAW akan memberikan kedamaian sebelum kamu memintanya.
  • Jika anda redha, maka Baginda SAW pun redha.
  • Jika anda marah (tidak menerima sesuatu), maka Baginda pun demikian halnya. (Lihat Ma’rifah Rasulullah SAW, hlm. 49-53)

Oleh itu, marilah sama-sama kita mencintai Rasulullah SAW dengan sebenar-benarnya mengikut apa yang telah dinyatakan di atas. Kita berdoa kepada Allah agar kita dikurniakan syafaat Rasulullah SAW pada hari Kiamat kelak. Amin.

 

Nota Hujung:

[1] Lihat https://id.wikipedia.org/wiki/Kasidah

[2] Hassan bin Thabit R.A lahir di Madinah pada 563 M. Beliau dari suku Khazraj. Nama lengkapnya Hassan bin Tsabit bin al-Mundzir al-Khazraji al-Ansari, dan biasanya dipanggil Abu al-Walid. Setelah masuk Islam, orang menggelarkannya sebagai “Sya’ir Rasulullah” (Penyair Rasulullah SAW).

Hassan bin Thabit termasuk sahabat Nabi yang masuk Islam dalam usia yang lanjut (60 tahun). Namun Allah SWT mengurniakannya umur panjang, sehingga 120 tahun. Pada masa mudanya, beliau pernah mengembara ke al-Hirah dan Damsyiq. Kemudian beliau menetap di Madinah.

Ketika Nabi SAW tiba di Madinah dalam peristiwa hijrah, Hassan meninggalkan agamanya dan menyatakan dirinya masuk Islam. Setelah menjadi Muslim, beliau aktif berperanan dengan mencipta dan membacakan syair-syair perjuangan.

Apabila Raja Muqauqis menghadiahkan kepada Rasulullah SAW dua bersaudara, Sirin dan Mariyyah al-Qibtiyah, Baginda SAW menikahi Mariyyah dan menghadiahkan Sirin kepada Hassan. Hassan bin Thabit R.A kemudian berkahwin dengannya. Daripada perkahwinan ini, lahirlah anak kelaki yang diberi mana Abd al-Rahman.

Rasulullah SAW mengakui perjuangan Hassan bin Thabit R.A dan mengakui bahawa syair-syairnya ampuh dan padu dalam melumpuhkan propaganda jahat yang dibuat oleh musuh-musuh Islam. Syair-syairnya seperti anak panah yang meluncur menikam dada para pendusta kebenaran dan mereka yang menghina Rasulullah SAW. Bahkan sabda Baginda, Jibril AS juga turut menyukai syair-syair Hassan bin Thabit R.A.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Check Also

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-522: BERTAUBAT DARIPADA MENCURI DENGAN CARA BERSEDEKAH KEPADA FAKIR MISKIN

Soalan Assalamualaikum, saya ada satu persoalan. Boleh tak saya bayar semula duit yang pernah dicuri …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *