Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

AL-KAFI #1703: PERLUKAH ORANG BISU MENGGERAKKAN BIBIR KETIKA MEMBACA RUKUN QAULI DALAM SOLAT


Notice: Undefined index: tie_hide_meta in /home/darulkautsar/public_html/wp-content/themes/sahifa/framework/parts/meta-post.php on line 3

Notice: Trying to access array offset on value of type null in /home/darulkautsar/public_html/wp-content/themes/sahifa/framework/parts/meta-post.php on line 3

KAFI 1703

 

Soalan:

Perlukah seorang yang bisu menggerakkan bibirnya ketika membaca bacaan rukun qauli dalam solat? Atau cukup sekadar membacanya di dalam hati sahaja? Jazakallah khair.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

 

Rukun qauli dalam solat

Rukun dibahagikan kepada tiga iaitu rukun qalbi (hati), rukun qauli (pertuturan atau bacaan) dan rukun fi’li (perbuatan). Syeikh al-Sayid Abdullah al-Hadrami menyebutkan di dalam kitabnya bahawa:

القولية، وهي خمسة: تكبيرة الإحرام أول الصلاة، وقراءة الفاتحة في كل ركعة وقراءة التشهد والصلاة على النبي والسلام آخر الصلاة، ثلاثتها في القعدة الأخيرة

Maksudnya: (rukun) Qauliah ada lima: Takbiratul Ihram pada awal solat, membaca surah al-Fatihah pada setiap rakaat, tasyahud dan selawat ke atas Nabi SAW serta salam, ketiga-tiganya pada duduk yang terakhir (Rujuk Safinah al-Naja hlm. 44)

Maka hukum asalnya ialah wajib untuk membaca rukun qauli ini, dan bacaan tersebut hendaklah didengari oleh yang membaca itu sendiri. Imam Abu Bakar al-Syato al-Dimyati menyebutkan bahawa: “(Dan wajib mendengar) yakni takbiratul ihram oleh orang yang solat bersolat sendiri, sekiranya pendengarannya baik dan tidak dihalang dengan benda yang mendatang, contohnya bunyi bising, (seperti seluruh rukun qauli) daripada al-Fatihah, tasyahud akhir dan salam”. (Rujuk I’anah al-Tolibin 3/295).

 

Bacaan bagi orang bisu

Namun Allah SWT tidak memberikan beban taklif kepada para hamba-Nya melebihi batas kemampuannya. Hal ini berdasarkan firman-Nya:

لَا يُكَلِّفُ اللَّـهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

Maksudnya: Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya.

Surah al-Baqarah (286)

Begitu juga dengan sabda Rasulullah SAW:

فَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِشَىْءٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ وَإِذَا نَهَيْتُكُمْ عَنْ شَىْءٍ فَدَعُوهُ

Maksudnya: Apabila aku perintahkan kalian satu perkara, maka laksanakanlah dengan semampu kalian; apabila aku larang daripada satu perkara, hendaklah kalian menjauhinya.

Sahih Muslim (1337)

Atas dasar itulah menurut  Imam al-Nawawi, para ashab mazhab Syafi’e menjelaskan bahawa seorang yang bisu hanya perlu menggerakkan mulutnya dengan niat membaca dengan kadar ukuran sebagaimana orang yang boleh berbicara menggerakkan lisannya. Hukum ini terpakai bagi bacaan al-Fatihah, bacaan tasyahhud, salam dan seluruh bacaan serta zikir ketika solat. (Rujuk Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 3/294 dan 394-395)

Dr. Muhammad al-Zuhaily pula menyatakan:

أن يسمع نفسه إذا كان صحيح السمع، ولا عارض عنده من لغط أو غيره، فإن كان بلسانه خبل (فساد) أو خرس، حرکه بما يقدر عليه، ويحرك شفتيه ولهاته بالتكبير بقدر الإمكان

Maksudnya: Hendaklah dia mendengar (apa yang dibaca) dirinya sendiri, sekiranya mempunyai pendengaran yang baik, dan tidak ada padanya gangguan bunyi dan sebagainya. Sekiranya mempunyai masalah pada lisannya (pertuturan) atau bisu, maka hendaklah digerakkan apa yang termampu baginya. Digerakkan kedua bibirnya dan anak tekaknya dengan kadar yang termampu. (Rujuk al-Mu’tamad fi al-Mazhab al-Syafi’e 1/241).

Namun dijelaskan pula oleh Imam al-Ramli dan Imam al-Syarwani bahawa hukum ini hanya untuk mereka yang menjadi bisu setelah sebelumnya mampu bercakap. Adapun bagi mereka yang bisu sejak lahir, maka mereka tidak perlu menggerakkan bibir kerana tidak mampu menggerakkannya mengikut kadar dan sifat huruf-huruf tersebut. (Rujuk Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj 1/463 dan Hasyiyah al-Syarwani ‘ala Tuhfah al-Muhtaj 2/49)

 

Kesimpulan

Tuntasnya, kami nyatakan bahawa seorang yang bisu sejak lahir, maka dia tidak diwajipkan untuk menggerakkan bibirnya ketika membaca rukun qauli sewaktu solat, dan tidak disunatkan pula untuk membaca bacaan-bacaan sunat yang lain.

Manakala seorang yang menjadi bisu atau hilang suaranya, maka dia tetap diwajibkan untuk menggerakkan bibirnya ketika membaca rukun qauli sewaktu solat, dan disunatkan juga ketika membaca bacaan dan zikir sunat yang lain, dengan kadar sepertimana seorang yang bercakap membaca bacaan tersebut.

Wallahu a’lam.

Source: Al-KAFILI AL-FATAWI

Check Also

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-522: BERTAUBAT DARIPADA MENCURI DENGAN CARA BERSEDEKAH KEPADA FAKIR MISKIN

Soalan Assalamualaikum, saya ada satu persoalan. Boleh tak saya bayar semula duit yang pernah dicuri …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *